Isnin, Disember 15, 2008

Sesekali Menyinggung...


Hampir setahun setengah saya tidak menjejak Kelantan. Tiada perubahan barangkali. Cuma rumah arwah mak agak ‘terang’. Pokok rambutan ditebang, orkid dicabut, segala bunga-bungaan renek ditebas. Yang tinggal hanya beberapa batang pokok pisang, pagar dan kediaman yang semakin pudar kemasan catnya…


Perjalanan yang memenatkan lantaran saya berpuasa sunat Hari Wukuf di Arafah. Sampai di Gua Musang, hujan gerimis bertukar menjadi lebat. Sekitar R&R Gua Musang kami disapa pengunjung yang ramah. “Kuala Krai ampuh air sat ni, tak tahu jalan buleh lalu ke Kota Bharu.” Kami tidak berlengah, lekas-lekas solat jamak dan qasar. Mungkin ada jalan alternatif di buka untuk sampai ke Kota Bharu. Harapnya...


Seperkara yang selalu membuatkan hati saya terkilan...kesedaran sivik rakyat Kelantan yang bermastautin di kelantan atau anak Kelantan yang tinggal di luar negeri Kelantan. Saya sangat sensitif terhadap sampah sarap yang dibuang merata-rata di tempat terbuka. Pesanan abah yang selalu saya bawa ke mana-mana, ”Jangan buang sampah merata-rata, cuba tengok bangsa majoriti yang kerja tukang sapu? Bangsa apa? Agama apa? Semua sampah-sarap kumpul dalam beg plastik. Ikat! Kalau jumpa tong sampah besar kita buang. Jangan buang merata-rata walaupun pembungkus gula-gula yang berukuran 3’ P x L. Ingat sampai bila-bila!”


Saya mengerti maksud abah. Abah tidak berniat mengecil-ngecilkan pekerjaan tukang sapu. Ia lebih mulia berbanding pe$%&*r dan pencuri. Abah mendidik agar kami tidak memberatkan bangsa dan agama kami. Biarlah tukang sapu sampah membersihkan sampah di tempat sepatutnya. Susah sangatkah jika kita meringankan tugas individu yang sebangsa dan seagama dengan kita? Kalau anda membelek beg kecil saya, selain ada pen, kertas, celak, wangian, bedak, telefon genggam, purse dan kunci rumah, jangan terkejut jika anda terjumpa cebisan sampah seperti tiket bas lama, resit pembelian, pembalut gula-gula, resit atm, tanda harga dan brosur yang datang entah dari mana. Saya tidak sampai hati membuang sampah merata-rata kemudian sembunyi tangan walaupin sehelai tisu, kerana saya pasti akan ada seseorang insan bersusah payah menyapu sampah yang saya buang merata-rata itu...bayangkan jika si penyapu sampah itu adalah keluarga terdekat kita. Jika sampah itu saya buangkan ditempat yang betul, bukankah saya telah memudahkan urusan orang? Berlaku hikmah terhadap sesama manusia. Saya membuang sampah di dalam tong sampah. Bukankah itu namanya hikmah? Meletakkan sesuatu di tempatnya!



Saya tidak berniat masuk bakul, angkat sendiri. Cuma pendekatan abah kepada kami dan ingatan abah membuatkan kami sentiasa berhati-hati. Malah, didikan abah saya sematkan di dalam memori tindakan. Ketika saya belajar di seberang laut, sampah sangat berharga. Ia punya nilaian sekeping dua roti ‘ish, namun saya tidak tergamak membuangnya merata-rata. Saya rela membeli roti tersebut dan menginfakkannya kepada fakir miskin. Di dalam beg kuliah saya terdapat bermacam-macam cebisan kertas dan tisu. Tiket keretapi, tiket bas, risalah percuma, nota kuliah, keratan pesanan barang dapur, pembalut gula-gula dan entah apa lagi yang tersisip di celah-celah ruang beg bersama kitab-kitab. Oh ya, saya tidak menjadikan beg sebagai bakul sampah...pulang ke rumah atau terjumpa tong sampah buanglah cebisan dan sampah-sampah kecil tersebut, jangan simpan dan buat pusaka pula...


Disebabkan didikan abah membuatkan saya pantang melihat orang yang turun dari kenderaan kemudian menguis segala sampah sarap dari perut kenderaannya, lalu membiarkan sampah bersepah dan bertaburan di tanah sambil memakai muka bersahaja. Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada kita, umatnya; Kebersihan sebahagian daripada iman! Nah, inilah pokok perbahasannya. Bersih bukan untuk diri kita semata-mata, malah kediaman kita, tubuh badan kita, halaman kita, daerah kita, negeri dan kemudian negara kita.


Saya mual melihat gelagat orang membuang sampah dari kenderaan atau membuang sampah sambil lalu. Kami diajar meletakkan plastik dalam bakul atau tong sampah. Sampah biasanya berbau dan berhabuk. Di sinilah letaknya akal. Gunakan akal untuk berfikir. Kalau kita merasakan peribadi kita sebagai muslim sudah sempurna dari segi percakapan, akhlak, tindakan, berbudi dan baik hati...kita harus muhasabah kebersihan dan praktikalnya. Tulisan ini memang berniat untuk menyinggung ’orang-orang’ yang suka membuang sampah merata-rata. Sastera sifatnya tajam...malah kata-kata boleh jadi lebih tajam dari pedang. Optimis terhadap teguran saya demi kebaikan agama dan bangsa. Sila buang sampah di dalam tong sampah atau plastik, sementara anda menemui tong yang dikhaskan untuk membuang sampah.


Wah, emosinya Faizah! Saya cintakan Kelantan. Saya tidak ingin negeri asal susur galur saya dicemari oleh tangan-tangan anda yang tidak bertanggung jawab...saya anak negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Ahad, Disember 14, 2008

Puteri Tengah Berkisah

Pangeran sedang mendengar khutbah nikah

Tanggal 28 November 2008, abah menikahkan puteri sulungnya dengan pangeran pilihan si puteri. Saya lihat abah sedikit gementar sebelum ke masjid. Mungkin kerana ini pengalaman pertama atau perasaan abah bercampur gaul, antara gembira dan berat hati meyerahkan hak penjagaan puteri sulung kepada seorang lelaki terpecaya bernama SUAMI. Aduhai, kami sekeluarga tak menang tangan. Sejak pulang dari Kuala Lumpur petang kelmarin saya belum sempat berehat. Begitu juga dengan adik-adik yang lain. Pertama kali mengandam pengantin, bagi saya tugas yang menyeronokkan. Saya memilih mekap dari jenama The Body Shop; gincu bibir dari citra kelopak mawar, pembayang mata bernuansa ungu, celak mata bernada hijau kaktus dan alas bedak dari Maybeline. Si puteri mengenakan jubah berona krim dengan corak mawar baldu timbul-timbul dan kerudung satin senada. Tidak sukar merias wajah pengantin dengan tataan sederhana. Pun, saya sudah biasa menata wajah sendiri.


Puteri Sulung; usai ijab qabul bersama Fawwaz



Memberi pose istimewa setelah wajah dirias sederhana



Makan beradab; bersama keluarga pengantin lelaki


Upacara akad nikah di Masjid Taman Tualang Indah berakhir dengan sempurna. Kedua belah pihak menarik nafas lega. Saya kurang sihat sebelah petang. Menonton rakaman uapacara akad nikah dari perakam video tangan milik echu sudah memadai. Maklum saja, esok majlis besar pengantin. Bererti besar juga beban tugas yang menanti. Sungguh, sakit yang ditanggung saya biarkan. Jika dilayan, saya terpaksa terlantar di ranjang menahan gering. Hajat membuat bunga rampai sendiri dilangsaikan malam itu juga. Jika tidak dibantu Nor, Sheila dan GG mungkin kerja-kerja meracik daun pandan dan bunga kertas terbengkalai. Alahai!


Majlis Kesyukuran Menyambut Menantu di Kampung Putih, Kota Bharu. Ma dan abah diapit puteri sulung dan pangerannya



Pada 6 Disember 2008, majlis kesyukuran menyambut menantu diadakan di Kampung Putih, Kota Bharu. Saya masih di Kuala Lumpur. Menangis sendirian di kamar tidur. Saya menangis sungguh-sungguh. Sebelum ini saya dimaklumkan cuti Aidiladha hanya diberikan sehari; Isnin. Petang Jumaat saya dimaklumkan pengurus Anbakri Publika bahawa cuti diberikan sehingga hari Selasa. Mulanya saya nekad berhari raya sendirian jika cuti hanya sehari. Jika cuti diberi dua hari termasuk Sabtu dan Ahad bermakna saya ada empat hari yang harus dihabiskan sendirian! Wallah! Selama 26 tahun saya hidup…belum sekalipun saya berhari raya sendirian. Walaupun berhari raya di sebarang laut saya masih punya puteri sulung abah. Petang Jumaat saya nekad pulang menaiki kenderaan awam; keretapi, bas, kapal terbang. Lagi dua hari menjelang Aidiladha dan destinasinya Kelantan, bermakna mustahil mencari tiket untuk pulang saat-saat akhir. Ah, pagi Sabtu saya dihubungi teman yang mahu pulang ke Kota Bharu hari Ahad. Ini peluang yang jarang-jarang datang menyapa. Setelah berbincang dan mendapat persetujuan abah, saya menyambut pelawaan teman tadi. Seronoknya beraya di Kelantan. Sejak arwah nenek meninggal pada 28 Mac 2007, saya jarang-jarang mengikut mama dan abah pulang ke kampung halaman kami di Machang. Saya kepingin menikmati ketupat daun palas dan tapai pulut putih dalam daun getah buatan mak yang manis-manis lemak.


Pagi raya saya dan mama tergesa-gesa menyiapkan juadah; lontong. Ayah long dah lama mengidam dan kepingin menikmati nasi himpit, kuah lodeh, sambal tumis, serunding dan sambal kicap. Maaf, kami tak sempat sediakan semua itu. Kami hanya sempat merebus nasi himpit, kuah lodeh dan sambal tumis bilis. Hajat kami ingin solat sunat aidiladha di kampung abah tak kesampaian. Hanya abah dan Yiet ke sana. Dah lama saya tak ziarah kubur tok ayah, mak, nenek dan moyang kami; Haji Ibrahem. Malam raya kedua kami ke KB Mall. Aktivitinya, memilih jubah di First Lady, jenguk-jenguk butik The Body Shop dan membeli hadiah untuk Nabilah sempena jualan penghabisan stok di pasaraya Pacific.


Pagi raya kedua ma sibuk di dapur menyiapkan mee hailam. Besan ma mengirimkan daging korban. Sibuk mengemas barang untuk dibawa pulang saya tanyakan mama, ”Mana daging korban yang menantu ma kasi?”


”Mana ada menantu kasi...anak ma la kasi. Siapa aja yang nikah dengan kalian jadi anak ma, bukan menantu.”


Aduhai, untungnya menantu ma. Saya teringin mendapat ibu mertua yang menyayangi menantu seperti anak sendiri, kerana saya ingin mengasihi mereka seperti ma dan abah. Dulu-dulu saya pernah kecindan dengan puteri sulung, kami ingin menikahi lelaki yang tidak punya ibu, anak yatim atau lebih tepat yatim piatu. Kami sangat takut watak-watak ibu mertua yang garang seperti Nyonya Mansur dan Datin (Mertua VS Menantu). Terukkan? Pun, kami bersedia menerima siapapun ibu mertua kami kelak. Pernikahan seperti tali yang mengikat. Bukan sekadar ikatan kukuh antara pasangan semata-mata, bahkan tali yang mengikat seluruh keluarga. Tiada batasan belas kasihan dan kasih sayang.


Pulang dari kampung saya digigit virus selsema. Tekak saya sakit dan kemerahan, hidung bermukus. Hujan kerap turun ketika di Kelantan. Iklim yang sejuk membuatkan saya terlupa ambil banyak air masak. Bahananya saya harus tanggung. Kekurangan air dalam badan menyebabkan tubuh saya panas. Ya Allah, sihatkan tubuh badan saya. Saya punya tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Ameen!



Koleksi di sebalik tabir;



Hadi, anak kelahiran Kota Singa tidak kekok membantu


Pak cik Mad yang baru sampai dari Tempinis malam semalam turut membantu.


"Rempah ni import dari Kelate, patut sedap pun..."


Tetangga yang datang membantu


Buku Kisah Cinta di Rumah Hassan al-Banna antara bingkisan hantaran





Ayiem di perantauan...tak dapat mari bekwah, korban unta lebih bermakna bersama anak-anak Kelantan di Mesir. Salam Eiduladha!






Selasa, September 30, 2008

Kullu Sanah Wa Entum Toyyibin!


Ayiem, setengah jam sebelum berangkat.



Sempat bercanda walau nubari diterpa pilu


Kembali setelah dua bulan ‘menyepi’ dari sebarang entri. Terima kasih saya ucapkan kepada pengunjung FAO yang sudi meninggalkan jejak walaupun hanya menatap entri ‘basi’ yang disuguh sejak dua bulan yang lalu. Saya jatuh gering sejak awal Ramadhan sehingga hampir dua pertiga dari bulan Ramadhan al-Mubarak 1429 Hijrah. Disapa demam, batuk dan selsema yang kritikal sehingga memaksa saya mengambil antibiotik dan beberapa jenis ubat yang disarankan oleh doktor pakar(semestinya harga ubat menginjak ratusan ringgit). Bukankah sakit tanda Allah cinta dan prihatin terhadap hamba-Nya yang hina dina? Abah dan ma sangat risaukan saya sehingga terpacul dari mulut abah agar saya berhenti kerja dan berubat cara kampung. Saya jarang-jarang jatuh gering, tiba-tiba disapa demam virus yang panjang. Wajah saya pucat tanpa dirias sebarang warna, tubuh saya sengal akibat virus, batuk keras dan selsema saling bergandingan menyebabkan saya lemah dan tidak berdaya. Masuk minggu ketiga Ramadhan kesihatan saya semakin baik. Saya sangat berharap lekas sembuh agar saya tidak dikuarantinkan apabila Ayiem berangkat nanti.

Saya lekas-lekas memohon cuti pada 22 September lepas semata-mata untuk menghantar Ayiem ke KLIA. Walaupun suara saya serak dan batuk yang berbaki masih mengiringi, saya bersyukur dengan izin-Nya saya masih gagah berdiri mengiringi keluarga dan memberikan sokongan moral kepada adinda putera bongsu yang akan melanjutkan pengajiannya dalam perubatan di salah sebuah Universiti di timur tengah. Kepada adinda Ayiem, saya berpesan, “Perbetulkan niat belajar kerana Allah walaupun perubatan bukan ‘cinta pertama’’ berbanding ‘engineering’ yang paling dicintai...”. Saya melihat mata Ayiem mencerna moral dari pesanan ringkas saya. Moga dinda saya ini tekal dan tabah menimba ilmu di negara orang.

Perjalanan dari rumah kami bermula jam 11.30pagi gara-gara mama yang tidak suka lewat sampai ke Sepang walaupun kami maklum Ayiem akan berlepas jam 11.45 malam. Saya merasa penat setelah hampir sejam terperosok dalam perut van. Saat saya melelapkan mata terdengar satu letupan yang kuat. Saya fikir tayar van abah meletup. Meleset perkiraan saya. Sebenarnya abah cuba memotong sebuah lori membawa batu di hadapan kami, entah bagaimana sebiji batu melayang dan melanggar cermin depan. Ayiem yang sedang lena di sebelah kerusi pemandu terjaga dan terkejut. Cermin depan van mula meretak sehingga berkecai semuanya. Abah menghentikan van dan memeriksa keselamatan van dengan cermin yang retak dan luluh. Ayiem saya lihat masih tenang dalam gusar. Kasihan adinda saya, saat ingin meninggalkan keluarga diuji dengan cubaan demi cubaan. Sudahlah elaun baju yang diberikan oleh MARA dihabiskan untuk belanja rumah sehinggakan Ayiem tidak membeli walaupun sepasang kasut untuk ke kampus, malah sempat berpesan kepada saya, “Angah, kalau tak ada duit bagi tahu, nanti Ayiem kirim dari sana.” Hati kakak mana yang tidak luluh? Seharusnya saya yang menghulurkan wang kepada Ayiem yang ingin bermusafir menimba ilmu.

Sampai di KLIA, pelajar perubatan tajaan MARA diminta menimbang barang melalui ejen yang dilantik. Sekali lagi Ayiem diuji. Beg kargo Ayiem lebih 14kg dari timbangan yang dibenarkan. Seingat saya Ayiem membawa pakaian, beberapa buah buku dan makanan kering seperti ikan bilis, kuih raya, rempah ratus, kicap, budu, selasih, kuih baulu dan tart nenas yang ma dan kak long buat. Saya cuba ‘nego’ dengan wakil ejen, nyata tiada ‘tasamuh’ walaupun barang terlebih 200grm tetap dikenakan bayaran RM93! Kami kaget, saya mengajak Ayiem menimbang barang di kaunter H17. Saat kami menolak troli beg kargo Ayiem saya melatah apabila seorang polis Airport terlanggar penghadang di depan kami. Polis itu tersenyum dan saya sempat membalas dalam kalut. Ala yang mengekori saya dibelakang tiba-tiba menyapa mesra polis tadi... “Abang Teh, lama tak jumpa...” Mesra Ala menegur. “Eh, abah mana? Buat apa di sini?” Abang Teh terkejut dan mencari-cari kelibat abah. Ala pun memaklumkan keberangkatan Ayiem malam itu dan berhadapan dengan masalah timbangan barang yang melebihi had. “Berapa kilo barang yang lebih?” Tanya Abang Teh bersungguh. “14kg.” Jawab Ayiem. “Tak ada hal lah, jom kita pergi timbang.” Abang Teh menawarkan bantuan untuk ‘nego’ beg kargo Ayiem yang melebihi had muatan. Alhamdulillah, beg kargo Ayiem seberat 44kg lepas semuanya. Saya lihat senyum yang tidak lekang-lekang dari bibir Ayiem. Saya faham dia terlalu penat dan tidak berminat melayan kerenah ‘strict’ staf yang terlibat dengan penerbangan Egypt Air malam itu. Saya sempat merakam beberapa klip video melalui telefon bimbit saat-saat akhir bersama Ayiem malam itu. Kasihan ma dan abah...sekuat mana pun mereka melepaskan Ayiem pergi, tubir mata tetap mengalirkan mutiara jernih. Saya? Saya pernah meninggalkan dan ditinggalkan. Cuma pengalaman orang yang ditinggalkan lebih menderita kerana yang meninggalkan akan menjelajahi pengalaman baru, tapi orang yang ditinggalakan akan melihat kebelakang segala kenangan dan memoir yang tercipta. Salam I’dul Fitri buat Ayiem dan Yiet diperantauan. Moga ‘thabat’belajar!

Salam Eidulfitri kepada semua...moga madrasah Ramadhan bisa melentur kegersangan hati dan pekerti.

Jumaat, Jun 27, 2008

Saat-Saat Itu...



Sejak komputer riba saya bermasalah, semakin renggang hubungan saya dengan papan aksara. Banyak perkara yang ingin saya ukirkan di sini. Kisah hidup saya yang selalu tertumpah dalam pelbagai nuansa latarnya. Sejenak saya terkenang daerah itu.. negara kedua kami. Daerah itu pernah mengenalkan saya erti tadhiyyah, mujahadah, harakah, salamatus sodr, ithar, ukhuwwah, faham, kepimpinan, kesusasteraan dan keberkatan bumi anbiya'. Semoga saya dapat lagi bersua cinta yang dicinta di daerah rindu itu.

*************

Saya mengenal nenek Rabiah yang menginap di wad 3. Nenek berusia 70-an ini senang dibantu urusan ibadahnya. Bermula dari mengangkat wudhu' hingga mendirikan solat fardhu. Kebiasaannya usai mengangkatkan wudhu' nenek Rabiah akan mendoakan saya yang telah membantunya. Nenek ini mahu saya menunggunya hingga selesai solat, saya akur. Nenek Rabiah sering berlucu. Kecindannya, jika tubuhnya agak stabil nenek ingin mengajak saya berjalan-jalan hingga ke pasaraya Mydin yang berdekatan. Hari ketiga nenek ini dirawat di wad, saya ziarahi seperti selalu. Namun petang itu keadaannya kurang stabil. Nenek Rabiah minta saya tangguhkan mengangkatkan wudhu' untuknya. Saya mengelih jam, hampir jam 6 petang. Saya sempat berpesan kepada staff nurse yang bertugas agar membantu nenek Rabiah menunaikan kewajipannya.

Esoknya seperti biasa, saya menziarahi lagi nenek Rabiah. Ternyata katil nenek itu kosong. Kepada jururawat yang ada di situ saya tanyakan sama ada pesakit sudah dibenarkan pulang atau di rujuk ke mana-mana hospital awam. "Nenek Rabiah meninggal!" ungkapan itu meletus dari bibir staf nurse Atikah. "Bila?!" Saya jadi tidak keruan. "Semalam, lepas ustazah beredar tinggalkan nenek Rabiah, dia tiba-tiba sesak nafas dan tidak sedarkan diri. Putus nyawa sekitar jam 7 malam." Saya terduduk.

Ahad, Jun 08, 2008

Teman, Moga Tekal Belajar!


Pagi tadi saya mendapat panggilan telefon dari teman satu sekolah aka seuniversiti. Getar suaranya ceria dan ghairah bercerita. Rupa-rupanya dia mendapat tawaran menyambung pengajian ke peringkat sarjana di UM. Saya sama-sama mendayungi sampan kegirangan bersamanya. Seingat saya teman saya ini mempunyai aspirasi untuk menyambung pengajian. Ketika di tahun akhir pengajian, hanya kami berdua yang sering memasang angan-angan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan andai dimudahkan Tuhan kami sama-sama mengidam Ph.D. Namun segalanya adalah rancangan kami ketika usia menginjak awal 20-an. Alhamdulillah segalanya berlalu seperti yang dirancang walaupun usia kami sudah melepasi sukuan abad pertama.

Gambar ini dirakam ketika kami selesai menjalani peperiksaan semester kedua di tahun satu pengajian. Berkelah ke Nuzhah bersama teman-teman satu 'batch'. Saya suka sekali pohon yang melatari kami, jadi bergambar bersama teman seolah-oleh buku cerita yang menceritakan sebab musabab gambar diambil. Pun dalam sekeping gambar ini, ada cerita di sebalik cerita yang akan saya simpan sampai ke hari tua. Farhana, teman yang akan bersama saya berjuang meneruskan cita-cita yang pernah kami sematkan dalam hati dan jiwa. Moga dia juga tekal dalam ripuh jQaf dan program Sarjananya di UM. Mabruk alaik!

Rabu, Mei 21, 2008

Prahara Duga Yang Menggugurkan Dedaun Hati


Saya sudah lama tidak menyusun aksara di atas lantai ini. Sering sekali saya merindui cita-cita yang pernah dipasak satu saat dulu- menjadi seorang editor yang cermat. Hingga waktu ini berlalu saya ingin sekali menjadi editor yang bergelumang dengan selut aksara dan rencah tatabahasa yang rumit. Terkadang saya kepingin menjadi seorang seniman aka sasterawan yang mengungguli karyanya saban minggu. Sedar dan lenanya hanya memikir plot, watak dan perwatakan, latar waktu dan tempat. Memaksa otak dan sendi jejari berkerja lebih masa melewati dinihari semata-mata berjuang demi membidankan sebuah karya.



Ah, nikmatnya derita ketika menghamilkan karya lalu melahirkan isinya yang menembus tembok editor sekali gus menyentuh khalayak. Saya ingin sekali menjadi seorang yang sensitif dan menjadikan penulisan sebagai mekanisme terapi paling sakti meredakan prahara duga yang menggugurkan dedaun hati...saya ingin menulis...ingin sekali!

Khamis, Mei 01, 2008

Selamat Tinggal Dayasari...Tempat Saya Menakung Budi



Kolej Kediaman Kelima tampat saya melepaskan lelah, menakung kasih dan melerai erti perjuangan. Kolej ini mengenalkan saya kepada acik Sarah yang sudah melimpah ruah kasihnya seperti kami sedaging sedarah, dinda Wan dan Jannah yang selalu-salalu membantu di saat sukar dan bersama di saat bahagia. Adik-adik jurusan pendidikan AI yang manja dan selalu berziarah:-Naemah, Lin, Kak Cik, Waheeda, Elle, Jiha dan nama-nama yang tak sempat saya sebutkan. Tetangga saya, Mandy yang ditil, Hema dan Puvaai yang manis dan senang bersapaan. Tak dilupakan Tan yang rajin menghantar senyuman ketika bertembung. Aduh, senang sekali saya menginap daerah kecil ini. Paling berjasa buat saya:-Ibu sawat wireless yang sentiasa mengadap pintu bilik dan memberi khidmat di saat-saat saya perlukan.

Oh, apa lagi yang saya rindukan tentang kolej ini? Pastinya kulliah maghrib mingguan di Surah Nurul Hidayah atau lebih dikenali dengan Balai Islam. Isnin menelaah tajwid bersama Ust Ridhuan-APIUM, Selasa belajar Fekah bersama Ust Zulhilmi-JAIK, Rabu mendengar Sirah bersama Ust Khairul-motivator dan Khamis menadah Tafsir atau Hadis bersama pelajar DPLI yang mempunyai ijazah dari Timur Tengah. Rindunya saat tangan bertaut dan mencium pipi mulus adik-adik jemaah surau usai solat. Bila lagi agaknya saya menjadi makmumah di surau kecil ini?


Saya bukan atlet KK5. Tapi setiap kali ke kelas aka AI(Akademi Islam) saya akan mengelilingi gelanggang tenis dan menuruni tangga curam disebelah belakang sana (yang banyak sekali pohon hijau merimbun tu...) Aduh, panasaran saya mengingatkan laluan saya saban hari dan kenangan indah-indah di sini. Mungkinkah berulang? Paling saya rindu, AI dan Kutubkhanahnya...kadang-kadang saya mengigil kesejukkan bila berlama-lama menelaah diperutnya. Saya ingin selalu ke sini, ingin selalu dekat dengan daerah ilmu ini...selamat tinggal KK5. Saya benar-benar rindu kehidupan kolej yang mendamaikan...

Ahad, April 27, 2008

Kelahiran Yang Dinanti, Akhirnya...


6 bulan- Panjang janin sekitar 10 inchi. Mata sudah terbentuk lengkap dan bintik-bintik pengecap timbul pada lidah. Janin mampu bernafas dan menangis lemah, seandainya kelahiran berlangsung premature.-Kertas Kerja Genetik dan Perkembangannya, Penyusun Dr Liza bagi PROGRAM PASCASARJANA SEKOLAH TINGGI AGAMA ISLAM NEGERI CIREBON 2007.

25.April 2008, Jumaat

Saya memulakan ziarah pesakit di wad 3. Pagi itu tiada pesakit wanita di laporkan menghuni wad 2. Kebiasaannya lawatan ke wad 1(wad bersalin) setelah saya menyudahkan lawatan ke wad 2 dan 3. Agak perlu saya mendahulukan wad 2 dan 3 memandangkan kondisi pesakitnya perlu solat dalam apa keadaan sekalipun, manakala ibu bersalin permasalahan mereka tertumpu pada masalah mandi wiladah dan mandi nifas. Pagi itu ketika saya sedang bertanya khabar kak Noridah yang mengalamai kebocoran di buah pinggang sehingga menyebabkan tubuhnya sembab berair datang seorang SN meminta saya segera ke wad 1. "Ustazah, sister Shima minta ustazah turun sekarang. Seorang pesakit keguguran anak berusia 6 bulan. Dia menangis tak berhenti-henti." Saya mohon izin beredar segera dari kak Noridah.

Menuruni tangga staff, saya masuk ke bilik open baded. Saya melihat sister Shima membalutkan si kecil dnegan kain batik jawa berwarna hijau dengan corak lukis dari warna coklat dan merah pinang. Si ibu menangis. Sister Shima meninggalkan saya bersama ibu muda itu. Saya menyalami dan mengucup kedua belah pipinya. Air matanya tidak tertahan-tahan. Saya bertanya khabar dan perkembangan ibu itu. Sekitar enam minit suaminya datang bersama anak kecil mereka, ibu mertua dan adik ipar ibu muda tadi. Suaminya membuka balutan kain batik si kecil. Saya terpempan! Comelnya bayi enam bulan dalam kandungan. Kedudukan tangan dalam keadaan qiyam dan mata kecil itu tertutup rapat. Ibu itu terus menangis...ibu mertuanya menangis, adik iparnya menangis. Si suami mengangkat bayi itu berhati-hati, bayi yang sudah tidak bernyawa. Urusan pengebumian bayi segera si suami uruskan.

Ibu muda itu terus menangis. Saya katakan kepadanya, "Akak, ada orang bayinya sudah cukup bulan pergi tinggalkan ibunya berpantang sendirian, ada orang bayinya sudah pandai tersenyum dan tergelak riang pergi meninggalkan ibunya." Suara saya tertahan-tahan. Sebak tiba-tiba terbit. "Siapa?" Tanya si ibu dalam sendu. "Ma saya." Kami sama-sama menangis. "Adik saya Nadia, pergi setelah menginap rahim ibu sejak tujuh bulan. Ahmad Ismail pergi setelah dilahirkan 8 hari. Saya pernah merasai kehilangan, saya faham perasaan akak saat ini" Saya menyambung. "Sebelum ini akak mengalami dua kali keguguran, tapi inilah bayi yang paling lama di rahim akak. Bayi sebelum ini sekadar 6-7 minggu."

"Akak, lepaskan dia pergi. Redhailah dia. Akak seperti bayi setelah bersalinkan bayi itu. Suci dari dosa, bahkan si bayi pasti dijanji Allah syurga yang abadi." Saya memujuknya. "Betulkah?" Ibu itu mengenggam tangan saya. "Ya, betul." Saya teruskan sesi komunikasi bagi melegakan ibu itu. Biar dia merasa bahagia melepaskan insan yang paling disayangi. Biar dia merasakan kekuasaan Allah dan Qudrah-Nya tiada siapa layak tandingi. Biar dia beriman sepenuhnya kepada qadha dan qadar yang sudah tertulis sejak azali. Kerana itu juga janji yang telah dimeterai oleh si bayi dengan dengan Maha Pencipta. Sesaat saya terkenangkan mama...menghadapi kehilangan sepasang cahaya hati...Nadia dan Ismail, moga kalian berdua tenang di sana! Ameen Ya Rabb!

Ahad, April 20, 2008

Antara Dua


Pada 4 April yang lepas saya menghadiri temuduga bagi jawatan kosong di KBMC. Dalam kekalutan menjelang peperiksaan penghujung semester kedua serta beberapa program penulisan anjuran Forum Lingkar Pena Malaysia telah memaksa saya menerima kejutan apabila saya lulus di dalam temuduga dan dihubungi pada 5 April supaya hadir melapor diri pada 7 April di Wisma KBMC. Secepat ini?! Saya celaru beberapa bentar. Bagaimana harus saya urusi beberapa kelas yang berbaki dan peperiksaan yang makin hampir? Kepada Abah, Ma dan adik-adik adalah insan pertama yang saya majukan berita gembira ini.

Lapor diri di KBMC pada hari Isnin. Penerangan yang ditil oleh Ketua Unit Sumber Manusia, Pn. Norzihan Hashim. Saya sungguh tak menyangka, Hospital swasta ini sangat islamik sehingga kod dan etika pakaian staff berlandaskan syara', bahkan kehadiran usrah dan tazkirah Sabtu dikira melalui sistem mata merit de merit. Ketidakhadiran tanpa alasan kukuh akan menyebabkan staff dipotong elaun!!! Bukan itu sahaja, bagi staff yang tidak boleh menguasai pembacaan al-Quran mereka akan dibimbing mengenal huruf dan mengeja menggunakan sistem Qira'ati secara percuma...saya belum pernah temui tempat kerja yang menawarkan input material dunaiwi dan ukhrawi sekali gus. Pakej yang tidak terdapat di mana-mana! WAllah!

Apa bidang saya? Saya diamanahkan sebagai Pegawai Hal Ehwal Khas yang lebih akrab dengan pesakit dengan memberi khidmat nasihat terutama mengenai cara menunaikan kewajipan ibadah ketika sakit. Pesakit akan dibantu dan dibimbing bagaimana menunaikan ibadah dengan sempurna tanpa menyusahkan mengikut kadar kemampuan pesakit tersebut. Saya sangat teruja dan gembira dengan tugas baru yang sangat mencabar. Aneka ragam pesakit yang saya temui. Ada yang manja dan sangat mesra, bahkan senang sekali jika saya menawarkan bantuan untuk mengajarnya solat ketika sakit. Ada juga yang enggan. Pun, saya tidak memaksa. Khidmat ini adalah tanggungjawab sesama muslim. Jika diperlukan saya sedia dan berlapang dada membantu. Jika tidak, moga-moga kesakitan itu bisa mendekatkan mereka kepada Pencipta.

Apapun peperiksaan semakin hampir. Terima kasih buat Prof. Madya Dr Anisah Abd. Ghani yang telah meminjamkan saya disertasi berkaitan ibadah solat bagi pesakit, teman-teman kelas Perbandingan Feqh yang banyak membantu:- Syakirah Abd Kadir, Ust Abu Hisyam, Ust Arman, Ust Husni Zaim, Ust Fauzi dan Ust Hudy Hidayat. Tanpa kalian saya pasti kelelahan berkejar-kejaran antara kerjaya dan pelajaran.

Rabu, April 02, 2008

Jemputan Seminar Penulisan Bersama Asma Nadia-saudara serahim Helvy Tiana Rosa



Telah kutinggalkan cemburu

di sudut kamar gelap

telah kuhanyutkan duka
pada sungai kecil yang mengalir dari mataku
telah kukabarkan lewat angin gerimis
tentang segala catatan hati
yang terhampar di tiap jengkal sajadah
dalam tahajud dan sujud panjangku


(Catatan Hati Seorang Istri, Asma Nadia)






Setiap diri memiliki cerita. Cerita pedih, cerita sedih, cerita gembira. Semua cerita yang dapat dibagi untuk diambil hikmahnya.


Tetapi bagaimanakah cerita itu dapat disampaikan dalam bentuk tulisan yang dapat dinikmati orang lain?


Temukan kiat-kiatnya dalam acara yang dipersembahkan oleh
PPI-UM bersama dengan FLP (Forum Lingkar Pena) Malaysia:




CATATAN HATI SEORANG ISTRI
Menuangkan Pengalaman ke dalam Bentuk Tulisan

bersama

ASMA NADIA
(penulis profesional, co-founder FLP dan
CEO Lingkar Pena Publishing House)




Hari/Tanggal : Sabtu/5 April 2008

Waktu : 10.00-13.00

Tempat : Auditorium IPS Blok B Tingkat I

Tentang Asma Nadia

Asma Nadia adalah penulis profesional yang telah banyak menghasilkan karya dengan banyak penghargaan. Ia juga turut membidani lahirnya Forum Lingkar Pena, sebuah perkumpulan untuk membantu penulis-penulis muda, dan menjadi CEO di Lingkar Pena Publishing House. Selain menulis, Asma sering diminta untuk memberi materi dalam berbagai loka karya yang berkaitan dengan penulisan serta keperempuanan.

Tentang Catatan Hati Seorang Istri

Catatan Hati Seorang Istri adalah catatan kisah-kisah kekuatan para perempuan yang disampaikan kembali oleh Asma Nadia. Adalah juga rekaman perjalanan Asma Nadia sebagai seorang istri dan ibu dari dua orang anak. Adalah juga dialog hati, pertanyaan dan ketidakmengertianny a tentang isi kepala laki-laki. Sebuah buku yang tidak hanya perlu dibaca oleh kaum wanita tetapi juga oleh kaum pria.
Karya Asma Nadia ini dicetak ulang hanya dalam tempo dua minggu dan menjadi best seller.
Komentar pembaca

Tak ada yang bisa menebak ke dalam hati seorang wanita. Dan buku yang ditulis dengan penuh penjiwaan ini akan membuat anda mengerti, mengapa wanita bisa tampil begitu kuat di balik segala kelemah-lembutannya . Karena dia adalah malaikat pelindung bagi hati-hati kecil yang dititipkan Allah padanya. Two thumbs up! (Monica Omardi)
Dalam buku ini Asma Nadia bukan sekadar bercerita tentang perasaan dan tragedi perempuan, namun juga menyampaikan hal-hal yang tak kita sangka dan lebih aneh dari fiksi secara sangat menyentuh (Helvy Tiana Rosa)
The condition under which some Indonesian women are put, as described by Asma Nadia, are really harsh and I felt pain. I was also deeply moved by the writer's warm heart for the female characters in the stories, as well as her deliberate attitude to deal with the subjects.
This is hope, in my opinion. We are human beings before we are artists, before we are men or women, before are Asians. In the other words, we are Asians in the sense that we start from our own reality and we are women in the sense that we will not shut our eyes from the pain around us. (Oh So Yeon, Korean novelist)


Selasa, April 01, 2008

Penghujung Semester...


Saya selalu menggunakan perkhidmatan teksi sejak akhir-akhir ini. Kalau menaiki bas, mahu atau tidak saya harus mendaki PASUM sehingga sampai ke perhentian bas yang berdekatan Dewan Tunku Cancelor. Saya sanggup mengikat perut demi melunaskan bayaran teksi yang menggunakan meter. Itu pengorbanan kecil jika dibandingkan ujian ketika menghabiskan pengajian peringkat sarjana muda. Oleh kerana selalu-selalu menggunakan teksi, saya sudah dapat mengecam dan mengenal 'pak cik-pak cik' teksi yang garang, tidak berkira, haluan dacing, kaki penipu, bahkan ada teksi yang 'berkebajikan'.

Geli hati kadang-kadang, melihat gelagat pak cik-pak cik teksi yang berubah sikap usai PRU12. Ada yang memuji golongan muda dari aliran BN yang sanggup keluar memacak bendera dan poster bahkan menganggap kekalahan adalah adat dan memang sepatutnya kalah disebabkan isu dewan besar yang dibina sekitar Bukit Angkasa. Ada juga yang seronok mengambil saya dan kawan-kawan kerana kami tidak berjalan dengan syaitan(baca:berjalan dengan pasangan). Pun saya merasakan PRU12 adalah rahmat yang telah membuka mata bagi yang buta, memberi pendengarn bagi yang tuli dan pekak.

Pernah satu ketika saya pulang dari Mid Valley, menaiki teksi seorang pemandu India. Pak cik yang berbangsa India itu bercerita perihal HINDRAF dan nasib orang India di Malaysia. Pada saya pak cik ini positif terhadap isu tersebut. Walaupun di hujung bicara dia masih ingin mempertahankan hak orang India di Malaysia sama dengan hak orang Melayu. Malah dia sempat 'menilik' saya mengikut amalan orang Hindu. Apa yang ditilik itu rahsia, dengar boleh, percaya tidak! Bukan itu sahaja, dia malah menasihati saya seperti anaknya supaya saya lekas-lekas menghabiskan pengajian dan berbakti kepada keluarga. Terperanjat saya, rupa-rupanya pak cik India ini semacam kaunselor bagi adik-adik 'undergrade' yang pernah menjadi penumpangnya. Malah masalah peribadi juga dikongsi dengan pak cik ini.

Sabtu lepas saya ingin ke Pekeliling, berjumpa Ayeim yang akan berkursus selama dua hari tiga malam di PERMATA. Berbetulan Abah, Ma, Ayiem dan GG baru pulang dari Kelantan-kampung abah jadi mama sempat mengirimkan ole-ole buat saya. Dari UM saya, Jannah dan Wan menaiki teksi seorang pak cik. "Pak cik, maaflah. Kami tahan di depan sana walaupun kami tahu di situ tak boleh berhenti. Kami tahan sebagai isyarat saja." Wan berbahasa dengan pak cik itu sebelum dimarah. "Tak apa. Tadi ada pasangan yang tahan pak cik, pak cik cakap pak cik nak ambil kalian bertiga. Lagi pun pak cik tak nak ambil syaitan." Jawab pak cik teksi selamba. Saya dan Jannah dibelakang saling berpandangan. Syaitan???

"Kalian tak baca kitab ke? Bila dah jalan berdua-duaan, berpegangan tangan, bukankah berjalan dgn syaitan tu???" Saya berbisik pada Jannah, "Bukan tak baca kitab, tapi terkejut sebab pak cik teksi ini lebih faham dari pensyarah kita!". "Ini teksi negara berkebajikan, pak cik tak ambil penumpang macam tu. Kalau pak cik tak ambil mereka pun, Allah tetap bagi pak cik rezeki, ramai lagi yang nak naik teksi pak cik ni. Kita hidup di dunia tak lama, yang lama kita nak duduk di alam akhirat. Pak cik pun nak bidadari yang cantik-cantik, tak payah pakai minyak wangi, minyak rambut." Kah,kah,kah...Ketawa pak cik meledak. Saya, Jannah dan Wan tumpang gelakkan gelagat pak cik yang membawa isu serius tapi dalam jenaka. Sampai di pintu gerbang UM, pak cik membelok perlahan..."Ha, tengok macam mereka ni, pak cik tak nak ambil, terpegang sana, terpegang sini. Berjalan dengan syaitanlah tu namanya, pak cik tak ingin bersubahat." Kami bertiga menoleh melihat pasangan dua sejoli berjalan kaki berpimpinan tangan. Si teruna memakai Cap dan si dara memakai baju t-shirt 'nangka'. "Akak! Lelaki itu budak KISAS!" Wan menjerit. Saya dan Jannah melongo..."KISAS???"

Selasa, Mac 25, 2008

"Beramalah Dengan Menulis, Sebelum Amalan Ditulis."-Helvy Tiana Rosa



Sabtu, jam 1.30 petang saya tidak berlengah menunaikan solat Zohor, sambil bersiap-siap saya sempat sms Hudy, bertanyakan lokasi Auditorium yang dimaksudkan. Saya selalu ke IPS saat mendaftar tetapi bukan untuk berprogram seperti saat ini. Kata Hudy, "Lantai satu, gak perlu naik lif bu Fai." Saya melewati Asia Europe Institute, berharap pagar keluar IPS dibuka. Nampaknya tidak. Saya melejet lagi. Melalui pintu gerbang IPS saya melihat tampang siswi Indonesia (mengenal cara pakaian mereka). Lalu saya membuntuti siswi itu. Dari jauh saya sudah nampak Hudy dan Samheri yang menjadi panitia acara sore ini. "Ahlan wa sahlan." Ramah Hudy mengalukan. "Ahlan Bik." Saya berbasi-basi. "Enti munfaridah?" Giliran Samheri menyoal. "Na'am." Mata saya tersenyum. "Mana temanmu yang lain?"Hudy mungkin berkira-kira saya membawa teman-teman yang tinggal di kolej. "Ngak, mereka lagi punya acara kolej." Saya cuba-cuba menjawab dalam laras bahasa seberang. "Bayaran dikenakan?" Saya mengisi borang pendaftaran sambil diperhatikan oleh beberapa orang siswa Indonesia. "Ngak, percuma." Jawab Hudy dan Samheri hampir serentak. "Oh, gratis?" Saya sekadar kecindan. "Ibu Helvy udah sampai?" Saya ghairah ingin bersua secara 'mubasyarah', sebelum ini saya hanya bertandang ke pojok Pena Kecil Helvy Tiana Rosa. "Ya, udah lama sampai. Tapi acaranya masih belum mula." Samheri masih sudi meladeni saya walaupun dia kelihatan ripuh. "Jemput ke dalam bu Faizah, teman saya dari PMIUM juga hadir sama, tapi lelaki." Hudy meredakan samudera gementar saya. Saya berkira-kira saya satu-satunya muslimah Malaysia yang hadir, rupa-rupanya Ummu Hani juga datang dan mengambil tempat agak belakang. Saya mengambil tempat di barisan belakang Mbak Helvy Tiana Rosa, Wah, dari tempat duduk saya, bisa ambil gambar pengarang besar Indonesia secara 'candid'. Seronoknya.

Petang itu, Mbak Helvy digandingkan bersama Saudara Alwi al-Attas. Saya sangat teruja dengan prolog ucapan pengarang itu yang lebih kurang berbunyi begini:

"Dulu ada seorang anak kecil serta adiknya, tinggalnya di tepi rel keratapi, di gubuk/gobok yang 5S, sangat, sangat, sangat, sangat, sangat sederhana. Sehingga apabila keretapi lewat di situ ada jemuran yang hilang kerana penumpang keretapi akan mengambil jemuran itu. Dua anak kecil itu selalu ingin bisa membantu orang tuanya. Nah, setiap kali ayah dan ibunya keluar untuk bekerja, ibunya selalu bertanya, “Nak, mahu ibu bawakan apa?” Maka sang anak berkata kepada ibunya, “Ibu, bawakan kami buku.” Lalu ibu menjawab, “Ibu akan berjuang untuk bawakan kalian satu hari satu buku walaupun mungkin ibu tidak mampu untuk membelinya.”

Ketika menawarkan barang jualannya kepada seseorang ibu sempat bertanya, “Boleh tidak kami meminjam buku anakmu? Kami berjanji akan rawat dan membalut buku itu.” Maka kemudian si ibu selalu pulang dengan membawa buku setiap hari. “Buku ibu, kami mahu buku.” Begitu kata anak-anaknya. Setiap sore anak-anak itu akan ke belakang rumah, di situ ada tempat penyewaan buku tetapi mereka tidak pernah mampu menyewa untuk satu buku, mereka hanya memandang dan melihat-lihat. ‘Satu ketika aku akan membaca buku itu, satu ketika kita akan menuliskannya!’ Tiba-tiba gadis kecil itu mendegar bahawa pengarang besar berkumpul di Taman Ismail Marzuki. Maka gadis itu pergi berjalan kaki dari Gunung Sari menuju Taman Ismail Marzuki baru di buka. Di sana dia hanya ingin melihat Taufik Ismail dan para sasterawan, maka di bacakan puisi-puisi karya yang aneh itu. Dan para sasterawan itu tanpa menoleh sedikit pun memberinya wang sepuluh rupiah, lima belas rupiah. Gadis kecil berkata dalam hatinya ‘Satu ketika saya akan jadi penulis dan satu ketika saya akan duduk bersama anda di sini.’ Perlu waktu dua puluh tahun setelah itu bagi gadis kecil untuk kembali ke Taman Ismail Marzuki dan duduk di tempat Taufik Ismail sebagai Sekretaris DPH-Dewan Kesenian Jakarta, gadis kecil itu saya.”

Saya menitiskan air mata…muqaddimah yang sangat menyentuh.

“Sampai sekarang saya berfikir tulisan yang kita buat merupakan rakam jejak. Jika jelek, seumur hidup anak cucu saya akan melihat rakam jejak saya yang jelek. Saya pernah menjadi panelis bergandingan pengarang Ayu Utami, dia pernah mengatakan, “Kalau saya menulis gak ada tujuan, buat saya menulis, menulis aja. Kalau yang ada tujuan macam-macam itu kayaknya Helvy.”

Saya menjawab…”Bagi saya gak mungkin menulis tanpa ada tujuan, kerna bagi saya you are what you write, anda adalah apa yang anda tulis. Ayu Utami pernah bilang…’Oh itu tulisan saya, saya tidak pernah seperti itu.’

Justeru saya senang bersama Habib, katanya “Mbak, jika saya digandingkan bersama penulis kontemporer saya langsung bilang konsep sastera saya berbeda dengan anda, saya pakai balaghah. Anda pakai apa terserah anda. Udah, padan bingkam, diam sudah semua.” Jadi sebelum dia diusik dengan teori sastera kontemporer dia sudah bilang begitu. Karya Habib, sekalipun digelar sastera popular tapi settingnya bagus dan sangat ditil.

Jadi bagi saya ada satu teori dalam sastera ketika dikatakan seorang pengarang selesai menulis karyanya maka karya itu hidup dan pengarang itu mati, tapi saya katakan bagi saya, ketika seorang pengarang menulis dan melahirkan karya maka bertambahlah nyawanya, ertinya apa? Kita harus bertanggungjawab bukan hanya di dunia tapi juga nanti di akhirat kerna itu saya bilang rakam jejak ini bukannya rakam jejak di dunia sampai ke akhirat.

Ramai orang menganggap sastera serius itu hebat, makin tidak mengerti makin hebat. Itu aneh, bagaimana kita boleh berkomunikasi? Paling tidak kalaupun kita bermain simbol adalah lapis makna-lapis makna yang bisa disebak. Kalau anda penulis sastera anda akan bermain dengan simbol dan akan ada lapis makna begitu. Kalau kata Hamid Jabbar ada tiga lapis makna, yang pertama makna yang tersurat, yang kedua ialah yang tersirat dan yang ketiga ialah makna yang tersorok yang ini hanya cendekia bisa memahaminya.”

Mbak Helvy juga sempat menyatakan unsur bias dan layanan double standard yang diterima oleh ahli Forum Lingkar Pena (FLP). Pernah seorang karyawan ternama diminta mengulas novel Ayat-Ayat Cinta jawabnya “Oh, karya anak-anak FLP, saya gak mau.” Di sana langsung ada frame FLP-Islam. Seburuk-buruk karya anak-anak FLP, beliau berani jamin tidak ada satu karya pun yang akan membuat masyarakat menjadi semakin buruk.

Sepetang bersama mbak Helvy adalah kenangan yang indah dan momentum yang bermakna demi memugar konsisten saya dalam dunia kepengarangan...



Jumaat, Mac 21, 2008

Jemputan Seminar Penulisan Bersama Helvy Tiana Rosa


Saya ke kelas Kajian Konflik Keluarga yang diselia Prof. Madya Dr. Raihanah Azahari. Ketika bersama Hudy di dalam kelas dia sempat memajukan handbill berkenaan program usaha sama PPI, KBRI dan PMIUM. Terkejut juga bila dia mengatakan "Jemput datang ke acara kami andai berminat." Saya sangka wacana seperti kebiasaan, rupanya jemputan ke Seminar Merangkai Kata Demi Mengukir Sebuah Karya yang akan ditangani oleh Helvy Tiana Rosa dan Alwi al-Attas.

Tempat: Blok B, aras 1, IPS
Jam 2.00pm-5.00pm
Hari dan tarikh: Sabtu, 22 Mac 2008


Mohon maaf kepada teman-teman yang tidak dapat saya hubungi memaklumkan acara ini. Sebetulnya telefon bimbit saya terpaksa diformat semula lantaran kerosakkan teruk hampir seminggu yang lalu. Semua senarai nombor telefon kalian hilang.

Siapa Helvy Tiana Rosa??? Soalan itu saya lontarkan kepada kanda Nisah Haron beberapa hari sudah. Kata kanda, "Dia pengarang besar (muda) Indonesia, kini pensyarah di Universitas Indonesia, antara pelopor Forum Lingkaran Pena (FLP), banyak menulis karya-karya berbentuk Islami bagi melawan karya-karya yang kuat unsur seksual di kalangan 'sasterawangi' di Indonesia."

Nah, jangan bersoal lagi. Ayuh masukkan seminar ini ke dalam agenda Sabtu nanti. Saya terfikir kenapa Hudy memberi handbill itu kepada saya? Mungkin kerana saya telah mengkritik filem Ayat-Ayat Cinta di depannya, apabila saya mengulas karakter watak gagal dimainkan oleh pemain filem itu, bahkan norma taqarrub ilallah nyata sangat rendah dipamerkan di dalam filem berbanding novel. Filem ini tidak ada 'roh', sekadar koleksi alternatif hiburan islami yang bisa ditonton oleh semua. Saranan, baca novelnya seribu kali bagus berbanding filem itu. Kerana apa? Anda dapat membuat perbandingan usai menonton dan membaca novelnya, lantas anda akan memahami maksud ayat-ayat cinta yang diangkat di dalam novel tidak sama seperti ayat-ayat cinta yang diperjuangkan di dalam filem.

Ada yang berpendapat ini novel popular. Seribu kali popular, bagi saya intinya yang islami itu bisa meletakkan karya Kang Abik punya nilai di sisi agama. Sekalipun tema cinta adalah tunjang, namun keilmuan pengarang telah mengangkat martabat novel popular ini sebagai novel popular kelas atasan. Saya berbesar hati mengalukan gaya penulisan sebegini diperbaiki. Namun sumbangan kepada masyarakat amat besar hinggakan jika novel ini dibaca oleh pak cik-mak cik, mereka akan teringin mencari menantu senaif Fahri, jika dibaca oleh perawan sunti mereka akan meletakkan keilmuan dan ketaqwaan sebagai syarat mencari suami kelak, jika dibaca oleh para teruna pria serasa Fahri adalah ikon yang boleh dicontohi...Apapun terserah anda menilai. Saya hanya pembaca biasa.

Sabtu, Mac 15, 2008

Senario Ahli Akademik Sertai Politik Membimbangkan


Sejujurnya, saya selaku orang yang ber'otak' melihat komentar ini sebagai kenyataan yang berunsur 'bias'. Setahu saya segelintir pensyarah di IPTA khususnya, sangat kuat mempromosi UMNO kepada pelajar. Bahkan pelajar-pelajar diberi pilihan menyertai UMNO atau dibuang kolej dan universiti. Malah mereka menawarkan berbagai kemudahan dan keistimewaan kepada pelajar yang pro kerajaaan. Mereka melarang pelajar berpolitik tetapi mengajak pelajar-pelajar menyertai UMNO. Apakah UMNO? Kelab Nasyid atau Kelab Teater? Kalau penyertaan ahli akademik di saluran pembangkang menjadi masalah kepada pengurusan dan hal ehwal akademik di IPT, bukan sekarang kebimbangan itu harus dilahirkan. Tetapi sejak semua pergerakkan pelajar berada di bawah telunjuk HEP. Kerana HEP adalah dalang UMNO mengawal aktiviti politik pelajar IPT. Fikir-fikirkan!

(Dipetik dari Utusan Online 14 Mac 2008)

KOTA KINABALU 13 Mac - Penglibatan ramai ahli akademik dalam politik khususnya sebagai calon pada pilihan raya umum dikhuatiri akan menjejaskan kualiti, martabat dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, senario itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak-pihak berkaitan supaya tidak menjadi satu trend pada masa akan datang.

Menurut beliau, apa yang disuara itu bukan bermaksud menghalang kebebasan ahli akademik menceburkan diri dalam dunia politik tetapi bimbang dengan kesan mutu dan kecemerlangan pendidikan tinggi untuk jangka masa panjang.

Katanya, kecenderungan sesetengah pensyarah untuk berpolitik boleh mengganggu tumpuan mereka sebagai tenaga pengajar yang baik dalam memajukan akademik termasuk melakukan kajian ilmiah dan penghasilan buku.

"Saya nampak pentadbiran universiti perlu mengambil perhatian mengatasi masalah ini daripada berterusan, hari ini ramai ahli akademik terlibat dalam politik pembangkang.

"Kita tidak bermaksud supaya mereka tidak boleh sokong parti kerajaan atau pembangkang, tetapi dengan berpolitik adakah mereka ini boleh menjadi ahli akademik yang cemerlang untuk mendidik para pelajar.

"Saya khuatir mereka gunakan waktu berada di universiti untuk berpolitik bukannya meningkatkan mutu akademik dan kalau begini kita sepatutnya tidak benarkan mereka menjadi pensyarah," katanya ketika ditemui di sini.

Kata Mohd. Noh, walaupun terpaksa meluahkan satu komen yang tidak popular, ia amat penting difikirkan bersama bagi mengelak kepercayaan masyarakat terhadap ahli akademik terhakis sama sekali.

Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana pada masa ini kebanyakan universiti awam berada di negeri pembangkang seperti UKM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).




Khamis, Mac 13, 2008

Tahniah Dari Kanda Puteri Tengah


Semalam keputusan SPM dan STAM secara rasmi telah pun diumumkan. Sekalung tahniah saya ucapkan buat adinda-adinda saya-GG dan Ayiem, yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STAM. Moga-moga kejayaan dinda berdua menjadi sumber kekuatan keluarga dan mampu membebaskan keluarga dari kepompong kepayahan dan kesusahan. Adik-adik, perjuangan ini baru saja bermula. Mujahadah dan thabatlah menuntut ilmu Allah. Ayuh, kita sama-sama sujud syukur di atas kejayaan yang besar. Moga-moga kejayaan ini dalam pandangan rahmat Illahi. Maaf, sebenarnya entri kali ini saya ingin berkongsi kisah disebalik tabir PRU12...mungkin entri tersebut terpaksa ditangguhkan memandangkan kondisi saya sangat ripuh dengan tugasan dan kelas.

Rabu, Mac 05, 2008

Dakwat Likat


Dakwat
Hitam Likat
Mencalit Jari
Pengundi Berulang Kali

Dakwat
Hitam Likat
Buat Orang Terikat
Jadi Pengundi Dapat Pelikat

Dakwat
Hitam Likat
Sapu Tak Lekat
Sampai Tak Tau Apa Nak Buat

Dakwat
Hitam Likat
Semua Takut Terkulat-Kulat
Sanggup Buat Apa Asal Dapat

Dakwat
Hitam Likat
Alasan Dikilat
Temberang Berkarat

Selasa, Mac 04, 2008

Bingkisan PRU 12


Anekdot PRU 12

Apakah agenda yang lebih besar dalam bulan Mac ini melainkan PRU ke-12 dan keputusan SPM dan STAM yang bakal diumumkan pada 12 Mac bermula jam 10pagi. Saya sempat berbicara dengan seorang teman maya yang tinggal di sekitar Lembah Pantai. Saya tidak hirau siapapun pilihan dia, tetapi kalau cakap saja banyak, daftar sebagai pengundi pun tidak, lebih baik elakkan dari bercakap berdegar-degar. Kerana cakap-cakap itu tidak bisa mengubah apa-apa pun. Cakap-cakap itu tidak akan dapat mewakili dirinya membuang undi pada 8 Mac nanti. Saya terkilan. Bukan teman ini sahaja, malah dengar-dengar adik-adik ijazah dasar juga liat untuk pulang mengundi. Apa kena dengan siswa siswi sekarang? Saya sempat bertanyakan Hafiz(siswa Tahun Satu Pendidikan Islam APIUM) yang menjadi pelanggan ketika saya menjaga booth E n A Bookcentre di ruang legar Balai Ilmu. Katanya dia mempromosi teman-teman yang sudah layak pulang mengundi. Walaupun dia masih belum cukup umur sekurang-kurangnya dia sudah menyumbang sesuatu untuk PRU ke 12. Bukan hanya cakap-cakap saja. (Ha, anda yang hanya tau cakap-cakap saja, sila bertanggungjawab jika disebabkan kalian tidak mengundi menjadi penyebab kepada kegagalan parti YANG HAK gagal memerintah seandainya beza majoriti HANYA SATU UNDI!)



Ayat-Ayat Cinta

Desir pasir di padang tandus
Segersang pemikiran hati
Terkisah ku di antara cinta yang rumit

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekadar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Kupertaruhkan

Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu

Bila bahagia mulai menyentuh
Seakan kubisa hidup lebih lama
Namun harus kutinggalkan cinta
Ketika kubersujud

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekedar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan

Ketika ku bersujud

(Sengaja saya tinggalkan seni lagu Ayat-Ayat Cinta...saya menghubungi Hudy Hidayat yang baru pulang dari Surabaya bagi menghadiri Majlis Pernikahan adiknya. Sengaja bertanyakan sama ada filem Ayat-Ayat Cinta sudah ada dalam bentuk VCD, kata Hudy..."Ini movie baru Faizah, di Indo baru empat hari ditayangkan. Saya fikir mahu menontonnya di Malaysia sahaja. Kamu rindu Mesir ya?" Hudy rakan sekelas saya yang ramah. Pulang dari Surabaya dibawakan ole-ole snek kacang KEDELE dan bubur instant dari Indonesia. Sedikit tanda ingat, banyak tanda ada)