Selasa, November 10, 2009

Khabaran Menjelang Eidul Adha



Saya memulakan tugas di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer pada 2 Nov. 2009. Senang sekali berurusan dengan pentadbiran yang sangat mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada tenaga kerja baharu seperti saya. Saya memulakan tugas admin, menyusun semula nombor kunci file, label file dan mengemas kini file. Suatu tugas yang asing bagi saya. Sebelum ini, segala surat menyurat persatuan dan urusan filing saya serahkan kepada setiausaha. Tugas saya hanya merekodkan urusan yang berkaitan dengan Naib Pengerusi HEWI.
Perasaan saya melalui hari-hari bekerja berbeza daripada sebelumnya. Saya lebih bersemangat, ketulusan dan sepenuh hati melaburkan keringat dan detik waktu yang berengsot. Saya sangat seronok, hari yang dilalui mengujakan saya untuk bertugas dan berjumpa masyarakat. Banyak perkara yang saya pelajari dan perhalusi.
Semalam, pejabat ini dikunjungi seorang AJK Muslimat yang menghamburkan keluhan yang mencuit sensitiviti saya sebagai graduan lepasan Universiti al-Azhar as-Syarif. “Saya rasa kita perlu kekang lantikan AJK atau pimpinan tinggi dalam organisasi muslimat dari kalangan pelajar al-Azhar. Mereka kurang semangat juang. Sebelum ini kita fikir, lepasan al-Azhar mahir soft skill dalam organisasi dan sanggup berkorban masa dan tenaga dalam kerja-kerja amal…rupa-rupanya tidak…” Itu antara hamburan Puan Faridah yang sempat saya kutip ketika mengemas kini borang Ibu Tunggal Miskin.
Saya terdiam dan memikir sendirian. Sebelum ini, sahabat saya yang juga salah seorang daripada abna’ul harakah…Sdr. Amiza Khusyri melahirkan rasa ralat betapa ramainya bilangan agamawan lepasan timur tengah tetapi tiada seruas pun kudrat yang sudi dicurahkan untuk agama dan bangsa. Mereka tergoda mengumpul harta, bekerja dengan KERAjaan, menghimpun bilangan anak dan beristeri lagi. Itu semua tidak salah, tetapi setiap perkara perlu diseimbangkan dan ada keutamaan yang perlu dilunaskan.
Akur dengan bebelan atau sebenarnya luahannya. Saya mengerti, seandainya kemenangan hampir dipetik, namun bagaimana kemenangan itu harus diisi jika tiada pekerja yang sanggup bergadai masa dan tenaga? Bercakap sahaja tidak cukup. Ia perlu dibuktikan dengan praktikal dan amali. Ayuh, Azhariyyah…Islam tidak rugi tanpa kita, tetapi kita rugi di kala Islam menang bukan di tangan kita.
Saya ingin mengelakkan riya’ dan sum’ah (nauzubillah) dalam ‘bekerja’ dengan putaran waktu 24/7 dan sentiasa dalam kondisi ‘on call’, tetapi saya sentiasa bahkan selalu berdoa agar thabat menjadi ansarullah yang kerdil sekalipun sekadar ‘penyusun selipar’ dan ‘juru buat teh’. Taklif laisa tasyrif…ucapan ini saya terima setelah diangkat menjadi pimpinan pelajar ketika di universiti dahulu.