Jumaat, Jun 21, 2013

Tangkapan Hari Jumaat, Bukan Sabbath!





Saya senang sekali menghabiskan masa di kedai buku. Meninjau material apakah yang perlu saya beli selepas disahkan berbadan dua nanti. Wah, ada surah-surah pilihan untuk ibu mengandung, lagu-lagu Mozart terapi ibu mengandung, panduan dan tips sepanjang kehamilan dan banyak lagi maklumat termasuk panduan laktasi secara eksklusif. Jumaat, saya habiskan masa seharian di Jusco Seremban 2. Bagus juga mendaftar sebagai ahli Popular Bookstore selama tiga tahun, mungkin selepas ini saya akan ber'member' dengan MPH Bookstore pula. Saya boleh berjimat sehingga RM15.00 untuk Deadly Mist, Rasulullah saw is My Doctor, Travelog Dakwah Meniti Hari Esok dan Kumpulan Cerpen Bayu Dingin Mediterranean.

Apabila melihat rak buku-buku baharu yang lazat dan segar...liur saya mula kecur. Tiba-tiba saya mula rindu untuk mengarang. Rasa ingin mengarang yang didesak oleh pelbagai ketidakpuasan dan simpati yang menujah-nujah.

Oh, saya merindui saat kontraksi hamili idea-idea sarat dan mahu segera keluar dari rongga ilham, lalu bertukanglah saya semalaman sehingga lahir watak dan perwatakan, plot, pelbagai latar dan ragam. Oh, rasa itu benar-benar mengujakan. Yuk, luaskan pembacaan agar tajam pula indera saat mengarang.

Saya sudah berjinak-jinak dengan hobi baharu, menonton wayang. Setiap babakan membuatkan saya terpesona. Pengucapan dialog dan latar yang rinci meningkatkan penghayatan. Alangkah baik, jika skrip itu membangun jiwa dan roh. Mungkin saya perlu dapatkan keizinan suami ke bengkel menulis skrip sifo Zabidi Mohamed anjuran JAIS 26 Jun nanti.