Selasa, Februari 24, 2009

Sembang-sembang ‘Suami Ekonomik’?


”Wah, setiap hari berbelanja lebih. Kadang-kadang hujung bulan duit pun habis. Bila agaknya dapat menyimpan barang seratus dua?” Omelan Sala menggoda perhatian saya. ’Betullah, saya pun selalu mengadapi masalah yang sama.’ Getus hati kecil saya. ”Kak, barangkali saya boros, payah juga kalau selalu begini. Haaa! Saya mesti cari suami yang ekonomik. Yang berbelanja dengan ekonomik. Saya jenis yang membeli apa yang saya inginkan.” Lanjut Sala lagi. ”Suami ekonomik? Oh, betul. Pentingnya ada penasihat kewangan dan perbelanjaan harian.” Saya menambah.

Saya membuang pandangan jauh-jauh. Saya inginkan kesempurnaan dalam kediaman saya. Rumah sewa yang disediakan oleh syarikat tidak terlalu besar atau terlalu kecil buat kami bertiga. Sederhana dan sempurna. Kami menjaganya seperti rumah sendiri. Saya tidak lokek berbelanja untuk memastikan rumah kami sempurna. Oh, ke mana lagi wang saya laburkan? Saya jarang-jarang membeli pakaian. Oh ya, saya sudah ingat...saya sering menukarkan wang dengan beberapa pasang kasut hampir setiap bulan, wangian kegemaran, celak beraneka warna dan beberapa alat mekap yang tak perlu saya perincikan dan harganya yang mencecah ratusan ringgit! Alahai...”Setuju!” Seru saya. ”Setuju apa kak?” Sala kehairanan. ”Setuju nak cari suami yang ekonomik!” Jawapan saya disambut letusan tawa geli hati Sala. ’Bukankah saya sudah sepakat dengannya tadi?’ Monolog saya sendiri.