Ahad, April 27, 2008

Kelahiran Yang Dinanti, Akhirnya...


6 bulan- Panjang janin sekitar 10 inchi. Mata sudah terbentuk lengkap dan bintik-bintik pengecap timbul pada lidah. Janin mampu bernafas dan menangis lemah, seandainya kelahiran berlangsung premature.-Kertas Kerja Genetik dan Perkembangannya, Penyusun Dr Liza bagi PROGRAM PASCASARJANA SEKOLAH TINGGI AGAMA ISLAM NEGERI CIREBON 2007.

25.April 2008, Jumaat

Saya memulakan ziarah pesakit di wad 3. Pagi itu tiada pesakit wanita di laporkan menghuni wad 2. Kebiasaannya lawatan ke wad 1(wad bersalin) setelah saya menyudahkan lawatan ke wad 2 dan 3. Agak perlu saya mendahulukan wad 2 dan 3 memandangkan kondisi pesakitnya perlu solat dalam apa keadaan sekalipun, manakala ibu bersalin permasalahan mereka tertumpu pada masalah mandi wiladah dan mandi nifas. Pagi itu ketika saya sedang bertanya khabar kak Noridah yang mengalamai kebocoran di buah pinggang sehingga menyebabkan tubuhnya sembab berair datang seorang SN meminta saya segera ke wad 1. "Ustazah, sister Shima minta ustazah turun sekarang. Seorang pesakit keguguran anak berusia 6 bulan. Dia menangis tak berhenti-henti." Saya mohon izin beredar segera dari kak Noridah.

Menuruni tangga staff, saya masuk ke bilik open baded. Saya melihat sister Shima membalutkan si kecil dnegan kain batik jawa berwarna hijau dengan corak lukis dari warna coklat dan merah pinang. Si ibu menangis. Sister Shima meninggalkan saya bersama ibu muda itu. Saya menyalami dan mengucup kedua belah pipinya. Air matanya tidak tertahan-tahan. Saya bertanya khabar dan perkembangan ibu itu. Sekitar enam minit suaminya datang bersama anak kecil mereka, ibu mertua dan adik ipar ibu muda tadi. Suaminya membuka balutan kain batik si kecil. Saya terpempan! Comelnya bayi enam bulan dalam kandungan. Kedudukan tangan dalam keadaan qiyam dan mata kecil itu tertutup rapat. Ibu itu terus menangis...ibu mertuanya menangis, adik iparnya menangis. Si suami mengangkat bayi itu berhati-hati, bayi yang sudah tidak bernyawa. Urusan pengebumian bayi segera si suami uruskan.

Ibu muda itu terus menangis. Saya katakan kepadanya, "Akak, ada orang bayinya sudah cukup bulan pergi tinggalkan ibunya berpantang sendirian, ada orang bayinya sudah pandai tersenyum dan tergelak riang pergi meninggalkan ibunya." Suara saya tertahan-tahan. Sebak tiba-tiba terbit. "Siapa?" Tanya si ibu dalam sendu. "Ma saya." Kami sama-sama menangis. "Adik saya Nadia, pergi setelah menginap rahim ibu sejak tujuh bulan. Ahmad Ismail pergi setelah dilahirkan 8 hari. Saya pernah merasai kehilangan, saya faham perasaan akak saat ini" Saya menyambung. "Sebelum ini akak mengalami dua kali keguguran, tapi inilah bayi yang paling lama di rahim akak. Bayi sebelum ini sekadar 6-7 minggu."

"Akak, lepaskan dia pergi. Redhailah dia. Akak seperti bayi setelah bersalinkan bayi itu. Suci dari dosa, bahkan si bayi pasti dijanji Allah syurga yang abadi." Saya memujuknya. "Betulkah?" Ibu itu mengenggam tangan saya. "Ya, betul." Saya teruskan sesi komunikasi bagi melegakan ibu itu. Biar dia merasa bahagia melepaskan insan yang paling disayangi. Biar dia merasakan kekuasaan Allah dan Qudrah-Nya tiada siapa layak tandingi. Biar dia beriman sepenuhnya kepada qadha dan qadar yang sudah tertulis sejak azali. Kerana itu juga janji yang telah dimeterai oleh si bayi dengan dengan Maha Pencipta. Sesaat saya terkenangkan mama...menghadapi kehilangan sepasang cahaya hati...Nadia dan Ismail, moga kalian berdua tenang di sana! Ameen Ya Rabb!

4 ulasan:

Okavango Delta berkata...

dik, you made me cried reading this post. i know how it feels like as i've suffered 2 miscarriages before..

Faizah Azaman berkata...

Puan,

Moga sentiasa diberi pinjaman kesabaran. Berdoalah moga diberikan Tuhan 'amanah'...

salam kasih.

Unknown berkata...

Tahniah Faezah kerana telah menjadi warga kerja.Wajah baru menjadikan lulusan syariah dan usuluddin sebagai sebahagian kakitangan sokongan yang mampu meningkatkan etika berasaskan nilai moral dan akhlak dalam profesionalisme berkarier untuk para lulusan agama.Masjid,Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah tidak lagi hanya medan untuk diketengahkan kemampuan graduan seperti saudari untuk turut sama membina negara.Ia adalah pasaran baru untuk alaf ini kerana ibadah perlu dikonsepbarukan dalam kehidupan yang meninggikan maruah ilmu untuk dihayati iman.Roh islam ibadah yang syumul sifatnya memerlukan keadilan itu dilihat sebagai kewajipan dan tanggungjawab boleh belanja saya nanti.

Faizah Azaman berkata...

Terima kasih kerana sudi berkunjung. Di sini saya lalui pengalaman baru setiap hari. Harap segalanya berjalan dengan baik.