Khamis, Disember 29, 2011

Secangkir Teh Hijau Seorang 'Gomen Slave'

Gambar sekadar hiasan; Cangkir tajaan Jabatan Agama Islam Pahang

Secangkir teh hijau dicicip ke bibir. Terasa hangat di hujung lidah. SBPA terus menjadi polemik 'gomen slave'. Menjadi 'amilah' lillah dan fillah bukan hanya tunggu tangga gaji baru untuk meloncat. Tetapi, biarlah ia berpadanan dengan belasan skop kerja yang belum dicampur dengan kerja-kerja sampingan dan tambahan semasa. Apapun, peluang sebagai 'gomen slave' yang dinaungi nama 'ISLAM' perlukan jiwa 'duat', kesungguhan dan thabat. Peluang ini gunakan untuk beri 'FAHAM' kepada umat juhala'.

 'Gomen slave'...menghirup teh hijau tawar dengan aroma bukitan Yunan sambil menyiapkan takwim tahunan 2012. 

Jumaat, Disember 23, 2011

Tahniah, dinda!

Kiri sekali; Nabilah di samping Ustazah Najihah @ kak GG

Tahniah, Nabilah di atas kecemerlanganmu memperoleh 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011. Kekalkan kecemerlanganmu, dik. Moga akhlakmu dan ketaatanmu kepada Allah turut cemerlang. Ameen.

Jumaat, Disember 16, 2011

Take Over Kerja Tuhan II



Saya bukan penggemar drama bersiri menjelang senja, tetapi drama melayu ini menarik perhatian saya apabila elemen mistik menjadi nadi yang menggerakkan plot. Sikap manusia yang penuh cemburu, hasad dengki, menipu dan hilang peri kemanusiaan sehingga sanggup menduakan Allah SWT! Memenuhi  keinginannya untuk melihat kehancuran keluarga sendiri hanya kerana bencikan jurang duniawi ciptaan mereka sendiri; konservertif, berpendidikan rendah, miskin dan seumpamanya. 

Memberi pengajaran dan balasan kepada manusia bukan kerja manusia, ia kerja Tuhan yang Maha Adil! Sama ada lambat atau cepat bukan urusan manusia. Apa lagi jika tiada kesalahan besar, cuma mainan perasaan dan rasa cemburu yang membuak-buak seperti khamr yang mendidih. Nazak dihentam jin dan syaitan terlalu azab sehingga ia tidak mampu diperikan dengan kata-kata. Hanya Allah yang mengetahui segala kesakitan dan mengizinkan segala kejahatan hanya untuk menguji hamba-Nya. Kematian dan pembalasan setiap buruk baik adalah pasti, tetapi mengambil-alih tugas Allah sebagai Pemilik mutlak makhluk-Nya seperti mencabar pemilik alam. 

Jika menyihir dan menyantau orang hanya kerana inginkan kasih sayang mutlak suami, Allah akan mencabut kebahagian itu, kerana tiada yang mutlak dan kekal selagi kita mendiami alam yang fana. Jika mengkhianati orang kerana menurut hati yang dibiarkan membusuk dengan segala takungan kebencian, pasti akan lemas dan cemas kerana hati yang rosak tiada nur ketenangan yang sudi singgah.

Tentang Dhia; bukan sekadar drama...ia menyinggung golongan yang memuja bomoh lebih dari puja dan puji kepada Tuhannya. Jika percaya hanya Allah tempat kita sembah dan kepada-Nya tempat kita meminta pertolongan, mustahil bomoh mampu menggantikan tempat yang Maha Agung ini! Ya Rabb, andai kami golongan yang teraniaya kerana hasad dengki orang yang berpura-pura baik terhadap kami. Kami mohon keadilan daripada-Mu ya Allah. Berikan balasan setimpal kepada orang-orang yang telah mengkhianati kami menggunakan perantaraan jin dan syaitan, ya Allah! Engkau hancurkan mereka sebagaimana mereka berusaha menghancurkan kami yang tidak tahu apa salah dan silap kami kepada mereka, ya Allah. Engkau kucar-kacirkan perancangan mereka dan goncangkan hati mereka supaya mereka sedar wujud kekuasaan yang Maha Agung mengatasi jin dan syaitan yang bersubahat dengan mereka. Ameen ya Allah!

Jumaat, Disember 09, 2011

PRU Mesir; Memperkasa Daulah Islam


Fakta Pilihanraya Mesir Peringkat Pertama



-Melibatkan sembilan buah Negeri dari 27 buah negeri ( Kaherah, Port Said, Dumyat, Bahr Al-Ahmar, Assyut, Kafr Syiekh, Alfayyoum, Luxor dan Iskandariah ) 

-Mewakili 13.5 juta pengundi 

-Mempetaruhkan sebanyak 166 kerusi parlimen ( 2/3 @ 112 kerusi berkumpulan, 1/3 @ 56 kerusi individu )



Pilihanraya Mesir:-


Pertama : Pilihanraya Dewan Rakyat مجلس الشعب
Kedua : Pilihanraya Dewan Negara مجلس الشورى
Ketiga : Pilihanraya Presiden.

Jadual Pilihanraya Umum Mesir:-

Pilihanraya Dewan Rakyat : 28 November2011 sehingga 12 Januari 2012
Pilihanraya Dewan Negara: 29 Januari sehingga 11 Januari 2012
Pilihanraya Presiden : Akan selesai sebelum Julai 2012

Keputusan terkini:


112 Kerusi Berkumpulan 
- Parti Al-Huriyyah Wal 'Adalah 44 kerusi
- Parti An-Nur As-Salafi 27 kerusi

- Kerusi berbaki dikongsi lapan parti lain :-
- Parti Al-Wafd
- Parti Al-Misriyyin Al-Ahrar
- Parti Al-Adl
- Parti At-Tajammuk
- Parti Misr al-Qaumy
- Parti Al-Huriyyah
- Parti Al-Muwaten Al-Misry
- Parti Misry Al-Hurrah

56 kerusi Individu:-
- Parti Al-Huriyyah Wal 'Adalah 36 kerusi
- Parti An-Nur As-Salafi 6 kerusi
- Parti Al-Wafd satu kerusi
- Parti Al-Misriyyin Al-Ahrar satu kerusi
- Parti Al-Adl satu kerusi
- Parti At-Tajammuk satu kerusi
- Parti Misr al-Qaumy satu kerusi
- Parti Al Huriyyah satu kerusi
- Parti Al-Muwaten Al-Misry satu kerusi
- Calon bebas 5 kerusi
- ( 2 kerusi masih menuggu untuk dipertandingkan semula )

Selasa, Disember 06, 2011

Jejak yang Tinggal


"Masa kita kalau bukan untuk orang yang kita sayang, untuk siapa lagi?" -MTA

Isnin, Disember 05, 2011

'Take Over' Kerja Tuhan


Masuk campur kerja Allah mengambil nyawa hamba-Nya?

Teruja melihat kehancuran orang yang dibenci setelah berusaha memusnahkan hidupnya tidak berhasil, ingatlah Allah SWT sebaik-baik perancang. Derita adalah dugaan. Ia akan menjadi sumber kekuatan kepada insan yang diuji. Justeru, CCTV Allah SWT merakam setiap gerak dan detik hati hamba-Nya dan percaya setiap perbuatan baik dibalas dengan kebaikan dan perbuatan jahat dibalas dengan kejahatan. Kalau derita ditinggalkan dan flashback setiap memori silam anda fikir menyakitkan, ia belum cukup sakit dikhianati menggunakan perantaraan jin dan syaitan yang menghentam jiwa dan fizikal anda.


Tidak hairan, orang yang mati akibat menderita sakit begini dikurniakan syahid 'dunia' dan pesakit yang sembuh daripada derita sakit 'gangguan' dianugerahkan oleh Allah SWT jiwa ampuh dan keras keyakinan setelah disuguhkan duga demi duga. Anda yang bersubahat dengan kerja syaitan, pilih antara dua; mahu bertaubat dan memohon kemaafan  atau dengan senang hati menerima setiap inci balasan bahana 'kerja' terkutuk anda mensyirikkan Allah dan berlaku zalim sesama manusia? 

Derita dunia tidak sehebat derita akhirat...

Jumaat, November 04, 2011

Baik; Kerancuan Definisi



Satu kes perceraian berlaku setiap tiga jam dalam sehari! Hingar-bingar tabloid, akhbar, sembang pagi di radio mahu pun TV memerikan hal perceraian di Malaysia. Berdasarkan statistik perceraian tahun sudah mencatatkan 28, 035 kes dan secara purata perceraian melibatkan 77 pasangan sehari. Banyak pendapat diutarakan dan pengalaman pasangan bercerai diapungkan sebagai perkongsian, pencerahan dan seumpamanya.

Pelbagai pihak membuat tinjauan mengapa pasangan mudah bercerai sedangkan masing-masing mengakui pasangan mereka baik, ideal dan penyayang? Biasanya penilaian akan dibuat berdasarkan kemampuan pasangan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, faktor ekonomi, cinta kasih, perubahan fizikal, layanan dan kemesraan, kemampuan seksualiti dan seumpamanya. Tetapi, berapa ramai yang menyedari bahawa kehancuran 'masjid' disebabkan tiada nilai 'jamaah' di dalam 'rumah dan tangga'? Adakah menilai calon isteri yang baik daripada tutur kata dan pergaulan sosialnya sahaja? Adakah menilai calon suami berdasarkan kekuatan ekonomi dan rupa parasnya?


Kelemahan individu mencerna ajaran Islam dalam kehidupan menyebabkan penilaian mereka terhadap alam rumahtangga terlalu dangkal. Sebagai contoh, calon isteri yang boleh dikategorikan baik, bukan hanya pada keturunannya, kecantikan, kekakayaan dan kedudukan dalam masyarakat, tetapi bagaimana wanita ini taat kepada perintah Allah dan sejauh mana dia menghayati ajaran Rasulullah. Begitu juga soalnya dalam memilih calon suami, kayu ukur kebaikan bakal pasangan hidup adalah setinggi mana komitmen mereka terhadap ketaatan mereka kepada Allah dan Rasulullah SAW. Menjadi mukmin yang konsisten memerlukan mujahadah, kesabaran dan ketabahan. Justeru, hanya individu yang benar-benar mengadaptasi ajaran al-Quran dan sunah akan lebih matang, bersyukur, bertoleransi, berlapang dada, ithar, mawaddah dan rahmah sehingga dianugerahkan keberkatan oleh Allah SWT kepada pasangan.

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa apabila melabelkan 'BAIK' kepada calon suami atau isteri. Kerana label yang diberikan boleh memakan diri jika definisinya menyalahi perintah Allah. Baik, bukan pada adab, budi dan pekerti individu secara total, tetapi kesungguhan mencintai Tuhan dan nabinya sehingga melahirkan akhlak mahmudah menjadikan manusia itu soleh dan diberkati.

Selasa, Oktober 25, 2011

Pernikahan Teman Baik Saya


My best friend wedding...


"Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atasmu serta mengumpulkan kalian berdua (pasangan) dalam kebaikan. Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu, bahawa hati ini telah berpadu, berhimpun dalam naungan cinta-Mu, bertemu dalam ketaatan, kuatkan ikatan keduanya,  Tegakkan cinta keduanya dan satukan mereka dalam kasih sayang dan ketaqwaan

Dan jadikan kediaman mereka Kiblat, Syurga dan Kediaman yang Tenteram. Dan limpahi kediaman mereka dengan cahaya-Mu yang tidak pernah malap dan peliharalah kediaman mereka dengan malaikat yang tidak pernah lalai dan janganlah Engkau jadikan kediaman mereka kediaman yang menjadi rumah syaitan dan bukan juga kediaman yang gelap zulmat.

Dan Engkau kurniakan buat mereka zuriat yang diberkati dan soleh, dan jadikan keduanya pasangan yang sentiasa mensyukuri nikmat-Mu, sentiasa mengingati  syariat-Mu, juga mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan ke atasmu serta mengumpulkan kalian berdua (pasangan) dalam kebaikan..."

Tips untuk Anda dan Saya!



* Jangan teruskan hubungan dengan lelaki yang tidak mahu mempunyai anak dengan kamu, kerana dia hanya mementingkan dirinya dan tidak meraikan naluri keibuanmu. Maaf, dia juga tidak ada mawaddah dan rahmah terhadap kamu. Percayalah, tak rugi kalau kalian berpisah hanya kerana hal ini


* Kalau dia mengutuk masakan kamu tidak sedap tanpa rasa kasihan dan berkecil hati pula apabila kamu 'mengusik' teh buatannya tidak enak, situasi ini jelas bahawa dia tidak menghargai kamu dan menganggap kamu hanya 'barang' kecil dalam hidupnya.

*Jika dia enggan membelikan rumah untuk kalian berteduh dan mengharapkan kamu mengadakan keperluan asas, ini adalah alasan terbaik untuk kamu menarik diri dari dia. Percayalah, Allah telah menjauhkan kamu dari lelaki sebegini. Jangan menangis dan sedih, sebaliknya bersyukur yang kamu belum diijab qabul. Bayangkan, kamu perlu berkerja keras sepanjang hayat dan hidup dengan lelaki yang tidak menghargai kamu hingga mati! Jangan bayangkan, ia sangat teruk!

Selasa, Oktober 18, 2011

Hujan Pagi


Pagi ini saya mengenakan kurung pahang rona biru navy dengan hiasan figura kuntuman ros. Saya mahu nampak cantik hari ini! Rasa teruja ketika menggosok kain viscose yang saya  beli sebelum Ramadan dan siap dijahit bulan Zulkaedah. Adik lelaki saya jatuh gering sejak malam. Tak mengapa, saya boleh naik bas ke pejabat pagi ini. "Hai, pakai cantik-cantik, naik bas je?" Adik saya buat-buat bertanya sambil terpingkal-pingkal gelakkan saya. Hujan pagi ini buat saya benar-benar hiba. Sampai di stesyen bas, ibu jari terkepit di pintu kereta, menahan kesakitan dan bisa denyut dalam ngauman tua bas BEE HUAT. Saya memilih untuk turun di Rimbun Buluh depan Masjid Negeri, bercadang mengambil bas City Liner laluan ke Kubang Buaya..."Maaf, perkhidmatan bas ke laluan itu sudah ditamatkan sejak 2003!" Oh, saya tak tahu pula...terimbas bas selesa berwarna merah hitam, penghawa dingin yang efektif dannnnn saat manis bersama batch KIBA 2002 berlibur di Kuantan Parade hujung minggu, buat saya tersenyum sendiri. Hujan pagi, saya merasa hiba sekali...

Isnin, Oktober 17, 2011

Count On Me!

If you ever find yourself stuck in the middle of the sea,

I'll sail the world to find you

If you ever find yourself lost in the dark and you can't see,

I'll be the light to guide you



Find out what we're made of

What we are called to help our friends in need



You can count on me like 1 2 3

I'll be there

And I know when I need it I can count on you like 4 3 2

And you'll be there

Cause that's what friends are supposed to do


That's what friends are supposed to do, oh yeah
You can count on me cause I can count on you

Isnin, Oktober 03, 2011

Sibuk Menilai Buruk Orang, Diri Sendiri?


Pesan (1)


Imam Syafi`e ada menyebutkan, “Berhati-hatilah dengan zina, sebab zina adalah hutang. Barangsiapa yang berzina maka tunggulah perempuan-perempuannya (ibu, saudara, isteri, anak, dll) akan dizinakan walaupun melalui lubang dinding rumahnya.”



Anekdot (2)

Ramai yang gemar memahat di dinding FB buruk laku orang. Segala macam label diberikan kepada orang yang dikeji; lepasan al-Azhar menyarung pakaian begini, begitu...ustaz, ustazah berperilaku buruk dan jelik. Suluh diri sendiri, sudahkah meraih maghfirah  Allah? Mendapat kemaafan daripada orang yang disakiti? Berapa ramai orang yang menghafal Quran dan hadis apabila diingatkan kesilapan yang dilakukan, 'dia' bermudah-mudah menghalalkan dosa menggunakan ego, akal dan 'dalil' lemah. 

Pesan (3)


Beringat pada pesan Allah SWT melalui firman-Nya di dalam Surah Ibrahim ayat 22;

"Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar, dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu maka janganlah kamu salahkan aku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan aku dengan-Nya". Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."

Jumaat, September 16, 2011

Sasterawan Tentera '11


Berbagi rasa bahagia dan optimis karya besar ini ditukangi dengan cermat oleh pengarang muda yang saya kenali sejak bergelar 'pelajar'. Moga saja beliau terus menenun kejayaan. Sekalipun menjadi pengarang 'ghuraba', redha Allah sentiasa dalam harapan dan doa. Saya teruja menulis semula!

Rabu, Februari 23, 2011

Islam Adalah Penyelesaian




Ikhwan Muslimin sudah cukup matang menerajui Mesir khususnya. Jundullah telah hadam Usul 20, turut diacu dengan sifat fardhu muslim yang ampuh, thaqafah dan akhlak yang mantap. Seluruh rakyat menanti PRU Mesir, revolusi Libya dan Bahrain. Percaya, bangsa arab punya karekter yang agam dan bersedia untuk memperkasa dustur al-Quran dan al-Hadis yang telah lama terpinggir. Teringat senario ketika menaiki train dari Ramsis ke Doqqi atau dari Abas el-Akkad ke Hayyu Sabiek, atau saja menaiki bas dari Hayyu Asyir ke Hayyu Thamin, betapa ramainya syabab yang menekuni al-Furqan tanpa mempedulikan manusia yang menyendatkan kenderaan awam itu, juga wanita-wanita gigih yang bermurah hati mencari mad'uwah dengan bertaaruf dan memberi hadiah, lelaki-lelaki yang konsisten menghadiri halaqah dan giat memberikan alternatif kepada remaja setelah stesyen TV parabola menghidangkan 'daging segar' berupa tubuh wanita untuk dijamah oleh mata-mata yang bakal menerajui siasah daulah. Ikhwan Muslimin terus mara dengan visi 'Islam adalah Penyelamat' nekad membawa manusia sejagat ke gapura duniawi dan ukhrawi yang sejahtera. Berbahagialah wahai tentera Allah, kemenangan itu barangkali ditangguhkan untuk kemanisan di Jannah nanti!

Sabtu, Januari 22, 2011

Fobia~Mimpi~Ilusi~Hibernasi

Usai subuh biasanya saya akan menghadap tugasan dan menyiapkan kerja-kerja penyelidikan. Pagi ini terasa lelah semalam masih berbaki, lalu saya memilih untuk berehat dan tidur pulas. Setelah puas mengiring saya menelentang. Saat itu terasa seperti mata sudah terbuka. Ya, saya nampak langsir biru berayun disapa kipas siling berkelajuan 3. Saya terdengar suara wanita yang menyebut-nyebut tentang bantal yang saya letak di atas kaki. Terasa seperti bantal itu ditepuk-tepuk keras dan memberat. Suaranya jelas, tetapi di ruang mata hanya kelihatan langsir biru itu. Dalam cepu fikiran, hairan juga bagaimana suara wanita renta itu begitu jelas seperti di alam jaga. Kemudian saya tidak dapat mengerakkan kaki dan terasa mulut seperti disumbat pepejal. Allah! Saya cuba mengingatkan baris-baris ayatul kursi...terasa 'ditindih'! Ya Rabb, setelah dikunci kaki, mulut saya pula disumbat...lemas dan terkedang. Allah, saya mesti berzikir keras dan menggerakkan anggota yang termampu...hanya itu 'kunci' yang boleh membuka pasungan syaitan.

Saya benar-benar bergelut, berjuang untuk hidup. Mulut saya masih disumbat pepejal. Saya sudah kelu. Allah, pinjamkan kekuatan! Hati saya merayu-rayu mohon belas Tuhan. Dalam payah dan lemas itu, Allah mengirimkan tenaga di jemari kaki dan saya berjaya menggerakkannya. Lalu, saya terasa mulut saya sudah kosong...pepejal yang disumbat telah hilang. Telinga yang berdegung seperti dipenuhi air sudah kedengaran jelas. Saya membuka mata dan melihat langsir biru yang masih terbuai-buai sama seperti saat saya berilusi tadi. Bingkas bangkit mencari Athirah. Semacam cemas saya mengadu..."Athirah, aku ditindih!"

Setelah selesai khidmat diri dan bersuci, saya mendirikan solat sunat, membaca al-Quran dan 'memagar' sekitar kediaman. Ya Allah, 'gangguan' ini agak berbekas dan saya diserang fobia. Ya Rabb, pelihara saya dari gangguan manusia yang zalim, jin, syaitan dan makhluk yang sekutu dengannya! 

Rabu, Januari 19, 2011

Mencari Peluang...



Saya akan ke Perth. Tak pasti sama ada kunjungan ini menawarkan ilham dan momentum dalam diri. Saya mahu menulis dan menjadikannya kerjaya. Terfikir, suatu saat saya harus tinggalkan segalanya dan mengubah landskap hidup. Sekarang saya adalah perahu, yang perlu meredah segara. Saya perlu berani sekalipun sedar, badai hanya bergelora di permukaan, tidak di dasar. Rasanya, melewati usia 30-an mengharuskan saya lebih pro-aktif dalam tindakan dan masa depan. Ya Rabb, pinjamkan saya kekuatan itu!