Jumaat, November 04, 2011

Baik; Kerancuan Definisi



Satu kes perceraian berlaku setiap tiga jam dalam sehari! Hingar-bingar tabloid, akhbar, sembang pagi di radio mahu pun TV memerikan hal perceraian di Malaysia. Berdasarkan statistik perceraian tahun sudah mencatatkan 28, 035 kes dan secara purata perceraian melibatkan 77 pasangan sehari. Banyak pendapat diutarakan dan pengalaman pasangan bercerai diapungkan sebagai perkongsian, pencerahan dan seumpamanya.

Pelbagai pihak membuat tinjauan mengapa pasangan mudah bercerai sedangkan masing-masing mengakui pasangan mereka baik, ideal dan penyayang? Biasanya penilaian akan dibuat berdasarkan kemampuan pasangan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, faktor ekonomi, cinta kasih, perubahan fizikal, layanan dan kemesraan, kemampuan seksualiti dan seumpamanya. Tetapi, berapa ramai yang menyedari bahawa kehancuran 'masjid' disebabkan tiada nilai 'jamaah' di dalam 'rumah dan tangga'? Adakah menilai calon isteri yang baik daripada tutur kata dan pergaulan sosialnya sahaja? Adakah menilai calon suami berdasarkan kekuatan ekonomi dan rupa parasnya?


Kelemahan individu mencerna ajaran Islam dalam kehidupan menyebabkan penilaian mereka terhadap alam rumahtangga terlalu dangkal. Sebagai contoh, calon isteri yang boleh dikategorikan baik, bukan hanya pada keturunannya, kecantikan, kekakayaan dan kedudukan dalam masyarakat, tetapi bagaimana wanita ini taat kepada perintah Allah dan sejauh mana dia menghayati ajaran Rasulullah. Begitu juga soalnya dalam memilih calon suami, kayu ukur kebaikan bakal pasangan hidup adalah setinggi mana komitmen mereka terhadap ketaatan mereka kepada Allah dan Rasulullah SAW. Menjadi mukmin yang konsisten memerlukan mujahadah, kesabaran dan ketabahan. Justeru, hanya individu yang benar-benar mengadaptasi ajaran al-Quran dan sunah akan lebih matang, bersyukur, bertoleransi, berlapang dada, ithar, mawaddah dan rahmah sehingga dianugerahkan keberkatan oleh Allah SWT kepada pasangan.

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa apabila melabelkan 'BAIK' kepada calon suami atau isteri. Kerana label yang diberikan boleh memakan diri jika definisinya menyalahi perintah Allah. Baik, bukan pada adab, budi dan pekerti individu secara total, tetapi kesungguhan mencintai Tuhan dan nabinya sehingga melahirkan akhlak mahmudah menjadikan manusia itu soleh dan diberkati.

2 ulasan:

najihahfaizah berkata...

Cari lelaki yang budiman.

Utuh berbudi pada manusia.
Kukuh beriman pada Tuhan.
Hehhehe =)

Faizah Azaman berkata...

Baik, Toh Puan Najihah!