Jumaat, Disember 16, 2011

Take Over Kerja Tuhan II



Saya bukan penggemar drama bersiri menjelang senja, tetapi drama melayu ini menarik perhatian saya apabila elemen mistik menjadi nadi yang menggerakkan plot. Sikap manusia yang penuh cemburu, hasad dengki, menipu dan hilang peri kemanusiaan sehingga sanggup menduakan Allah SWT! Memenuhi  keinginannya untuk melihat kehancuran keluarga sendiri hanya kerana bencikan jurang duniawi ciptaan mereka sendiri; konservertif, berpendidikan rendah, miskin dan seumpamanya. 

Memberi pengajaran dan balasan kepada manusia bukan kerja manusia, ia kerja Tuhan yang Maha Adil! Sama ada lambat atau cepat bukan urusan manusia. Apa lagi jika tiada kesalahan besar, cuma mainan perasaan dan rasa cemburu yang membuak-buak seperti khamr yang mendidih. Nazak dihentam jin dan syaitan terlalu azab sehingga ia tidak mampu diperikan dengan kata-kata. Hanya Allah yang mengetahui segala kesakitan dan mengizinkan segala kejahatan hanya untuk menguji hamba-Nya. Kematian dan pembalasan setiap buruk baik adalah pasti, tetapi mengambil-alih tugas Allah sebagai Pemilik mutlak makhluk-Nya seperti mencabar pemilik alam. 

Jika menyihir dan menyantau orang hanya kerana inginkan kasih sayang mutlak suami, Allah akan mencabut kebahagian itu, kerana tiada yang mutlak dan kekal selagi kita mendiami alam yang fana. Jika mengkhianati orang kerana menurut hati yang dibiarkan membusuk dengan segala takungan kebencian, pasti akan lemas dan cemas kerana hati yang rosak tiada nur ketenangan yang sudi singgah.

Tentang Dhia; bukan sekadar drama...ia menyinggung golongan yang memuja bomoh lebih dari puja dan puji kepada Tuhannya. Jika percaya hanya Allah tempat kita sembah dan kepada-Nya tempat kita meminta pertolongan, mustahil bomoh mampu menggantikan tempat yang Maha Agung ini! Ya Rabb, andai kami golongan yang teraniaya kerana hasad dengki orang yang berpura-pura baik terhadap kami. Kami mohon keadilan daripada-Mu ya Allah. Berikan balasan setimpal kepada orang-orang yang telah mengkhianati kami menggunakan perantaraan jin dan syaitan, ya Allah! Engkau hancurkan mereka sebagaimana mereka berusaha menghancurkan kami yang tidak tahu apa salah dan silap kami kepada mereka, ya Allah. Engkau kucar-kacirkan perancangan mereka dan goncangkan hati mereka supaya mereka sedar wujud kekuasaan yang Maha Agung mengatasi jin dan syaitan yang bersubahat dengan mereka. Ameen ya Allah!

Tiada ulasan: