Khamis, Julai 27, 2006

Putro-Putro Pahang Berpencak

24 Julai 2006 (INDOOR ACTIVITY)
Dewan Mualim,
Rumah Melaka Haiyu 7,
Madinah Nasr,
Kaherah.

Perasmian INTEL INSIDE disempurnakan oleh Naib Pengerusi HEWI PMRAM, Ustazah Sulaiha Shaari. Perasmian yang sepatutnya bermula jam 8.00am terpaksa beranjak ke 8.25am lantaran kelewatan peserta. Slot pengisian yang pertama adalah Forum yang bertajuk ISLAM DI ACHEH, PASCA TSUNAMI DAN KEBANGKITANNYA yang diterajui oleh Ustaz Arif Rahmatillah wakil Keluarga Mahasiswa Acheh, Dr Muhaimin Mustapha pelajar perubatan Universiti Kaherah dan Dr Nur Asyhraff Mohd Noor pelajar perubatan University College Dublin, Ireland keduanya wakil Misi 'Pelajar Mendekati Acheh 'Kami Peduli' pada 6-13 Ogos 2005.

Ustaz Arif mengisahkan kronologi sejarah Acheh Darussalam bermula era kegemilangan pemerintahan Sultan Iskandar Muda (yang katanya punya pertalian dengan negeri Pahang setelah mengahwini seorang puteri dari Tanah Melayu), kepahlawanan Malahayati, kesufian Hamzah Fansuri, dan Syah Kuala yang dikatakan seorang wali hingga pergolakan dalam selut perang saudara dan sedikit penjelasan mengenai TNI dan GAM. Beliau sempat merakamkan penghargaan di atas kesudian HEWI BKMIP menjemput beliau membicarakan kebangkitan Acheh pasca Tsunami. Itu satu injeksi semangat buat Keluarga Mahasiswa Acheh. Beliau menggelar kami 'Putro-Putro Pahang' atau Puteri-Puteri Pahang. Kisah Pertalian Pahang dan Kesultanan Acheh telah saya rakamkan di dalam cerpen saya yang bertajuk MENCARI ENTITI MALAHAYATI digarap sekitar April 2005.


Dr Muhaimin membicarakan noktah bidayah tercetusnya idea untuk menjalankan misi pelajar mendekati Acheh dengan motto ‘Kami Peduli’ juga menyentuh sikap dan komitmen NGO Islam memberi kerjasama demi membangunkan prasarana asas rakyat Acheh. Beliau juga berkisah kondisi rakyat Acheh khususnya kanak-kanak yang mengalami trauma pasca tsunami setelah mengorbankan ahli keluarga dan bencana yang mereka alami. Beliau turut menyelar sikap umat Islam yang lekas alpa dengan sindiran bencana khususnya negara Islam. Beliau sempat menceritakan pengalaman hampir seminggu berada di sana.

Seterusnya, Dr Nur Asyhraff melukiskan keadaan Meulaboh, Acheh setelah diterjah tsunami dan ancaman kristianisasi terhadap anak-anak Acheh yang khabarnya mereka ingin lahirkan anak-anak Acheh yang bersalahan akidah tetapi memiliki bahasa dan adat yang sama bagi memudahkan kristianisasi menembusi tembok Acheh Darussalam (misalnya disediakan panti asuhan bagi anak Acheh, menyalurkan ‘hutang’ dan kelompok missionary bagi tujuan tersebut) berdasarkan pengalaman yang dihadapi dan yang diceritakan ketika misi ‘Kami Peduli’ di Acheh.

Saya sempat meninjau audien tampak begitu fokus terhadap isu yang diperbincangkan. Malah kami menerima muhasabah agar forum sebegini diadakan lagi. Saya begitu tersentuh.

Agenda masih diteruskan setelah berehat hampir 20minit dengan slot; BICARAWARA: Penulisan dan Pendedahan Aplikasi Teknologi Terkini Dalam Revolusi Sastera dan Dakwah. Sengaja saya menjemput tenaga pakar yang saya kesani seluruh penjuru Mesir. Mereka ialah Saudara Ahmad Ubaidillah Alias, Felza Zurrasyiiq, dan Zulkefli Muhammad. Masing-masing mengupas dan membicara bidang dan kepakaran mereka. Saudara Ahmad Ubaidillah mendedahkan rahsia karismatik seorang penulis dengan menyentuh galur genre kreatif dan non-kreatif.

Manakala Saudara Felza Zurrasyiiq memberi definisi majalah dalam konteks penerbitan SUARA KAMPUS khususnya dan prinsip-prinsip yang terbentuk darinya dengan menyentuh teknik dan kemahiran penerbitan.

Saudara Zulkefli pula menyentuh aplikasi blog atau weblog yang begitu dirasai gegarannya kini. Beliau sempat menjelaskan aplikasi teknologi termoden dalam revolusi sastera dan dakwah melalui medium blog atau weblog.

Komen Faizah Untuk Saudara Ahmad Ubaidillah- Jika anda kurangkan membebel dan menumpukan pembentangan kertas kerja anda yang menyentuh genre esei, cerpen dan karikatur pasti masa yang diperuntukkan kepada anda cukup untuk mengupas kertas kerja dengan ditil dan menarik.

Komen Faizah Untuk Felza Zurrasyiiq- Gild, lain kali bangun awal ya. Bimbang kelewatan berulang.

Komen Faizah Untuk Zulkefli @Zulpahang- Sifo Zul, saya dan UPEP bimbang anda nervous. Nampaknya pembentangan anda 'cool' dan bersahaja. Lain kali boleh jemput lagi ya!

Usai solat Zohor, makan dan berehat sekitar 45 minit Agenda Bayt Muslim diteruskan dengan slot GAPURA PERKAHWINAN bertajuk Ikhtilat vs Kahwin Muda, Pro dan Kontra yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Slot ini membariskan penelis yang sudah berumahtangga, Ustaz Halil Hamidon penasihat BKMIP sesi 05/06, Ustaz Kamaruzzaman Md Isa Mantan AJKT BKMIP dan Ustazah Hasliza Abu Kassim Mantan AJKT HEWI PMRAM 04/05.

Panelis berjaya merungkai tajuk dengan mengulas definisi dan suguhan dalil dari al-Kitab dan logikal.

Saya sudah letah-letai, program berbaki satu slot lagi, DEKATI HEWI PMRAM. Saya langsung tidak sempat mengambil sarapan dan makan tengah hari. Serasa sepanjang program saya menghabiskan 3botol air mineral 600ml. Beberapa orang teman menegur dan mengatakan wajah saya kelihatan pucat. Gerak kerja yang bermula hampir sebulan dan bertindak sebagai Pengarah Program INTEL INSIDE 06 cukup memenatkan. Ini adalah program terakhir sebelum saya dan teman-teman mengakhiri sesi kepimpinan kami sekitar September nanti. Ini sahaja hadiah terakhir daripada kami sebelum AGM berlangsung. Walaubagaimanapun tahniah kepada AJKT HEWI BKMIP sesi 05/06 dan ahli HEWI BKMIP di atas sumbangan tenaga, sokongan, kewangan dan idea secara langsung atau tidak. Hanya Allah yang layak menilai dan mengganjari anda. Domo arigatou!


25 Julai 2006
INTEL INSIDE (OUTDOOR ACTIVITY)


Hadiqah AtfalHaiyu ThaminMadinah NasrKaherah
Hadiqah Atfal dibuka jam 9.00am walaupun kami sudah ittifak dengan pengurus taman yang kononnya bersetuju membuka Hadiqah Atfal jam 8.00am untuk program yang bakal kami adakan. Berjanji dengan rakyat mesir tidak semudah kebiasaannya. Bila-bila masa janji itu boleh diubah mengikut citarasa dan kehendak mereka. Acara pembukaan seperti biasa, 'warming up' sebelum acara mini balapan, 4x200m, 4x100m, larian 100m.
Acara permaianan masih diteruskan dengan REGU, Pencari Emas Yamashita, Futsal (5 sebelah), Timbang Bola, Si Cilik, Mencari Permata Hati, Haza Hazihi, Santapan diRaja dan Genius.


Usai makan dan solat Zohor kami meneruskan dengan slot ; SELF DEFENCE yang memperkenalkan seni mempertahankan diri silat gayung dan tae kwan do. Demonstrasi silat dan tae kwan do diterajui oleh Saudara Fitri Nurulain Nordin dan Siti Amnah dalam uniform masing-masing. Kami diajar mempertahankan diri saat genting yang hanya bersenjatakan tangan, kaki dan sebatang pen. Walaupun anda bukan seorang penulis seharusnya membimbit pen ke mana sahaja anda pergi jika tidak diguna sebagai senjata mungkin menulis sesuatu yang melintas di ruang fikir, siapa tahu?

Persembahan kedua-dua gadis cilik ini cukup memukau dan menguja audien. Awas, Putro-Putro Pahang bukan sembaragan!

Acara penutup di akhiri dengan penyampaian hadiah, kalam penutup dari Pengarah INTEL INSIDE 06, dan Sentuhan Ukhuwah Pimpinan Bersama Ahli.

Saya, hari ini, esok dan lusa akan meng'kuarantin'kan diri di ruang pejabat HEWI BKMIP demi menyiapkan skrip drama pentas sempena IHKLAS 06...Doakan jaya!

Tiada ulasan: