Rabu, Julai 12, 2006

Kecindan dan Lakaran Bait

Kecindan i

Lokasi: Kedai souvenir, Bazar Khan Khalili, Kaherah
Tarikh: Julai 2003

Saya dan kak long meneman kak Mashitah memilih perhiasan sebagai hantaran adik lelakinya yang akan berkahwin sekitar bulan Ogos. Sengaja membiarkan kak long dan kak Mashitah memilih bekas minyak wangi yang dilentur dengan penuh seni. Saya lebih teruja membelek 'benda pelik' di kaki lima kedai-replika piramid kecil, peti barang kemas dari kemasan kayu yang di'varnis' dan perhiasan wanita bergaya ranggi dari manik yang puspawarna. Tiba-tiba muncul pemuda arab atau lebih tepat pelayan kedai dengan muka polos berhias senyum di bibirnya. Tanpa silu dia bertanyakan nama kak Mashitah. Saya dan kak long yang 'bertingkap' memungkin dia tidak berminat berta'aruf dengan kami. Saya menebak.


Pemuda arab: Siapa nama kamu?
Kak mashitah: Mashitah
Pemuda arab: Owh, tukang sikat anak firaun. Siapa nama kawan kamu itu? (Sambil menunding ke arah kak long)
Kak long: Khadijah
Pemuda arab: Owh, isteri Rasulullah. Siapa nama kamu?(Memandang tepat ke arah saya)
Saya: Ahmad!Pemuda arab: Owh, itu nama aku!!!

Cabut!!!
Moral: Hangatnya musim panas. Kalau lelaki arab 'usha', lekas-lekas selamatkan diri!

AKU
Aku
Seorang gadis naif
Irisku hitam bercelak coklat
Hatiku kecil dan tersorok
Kudratku lemah kian melarat
Aku
Selalu ingin menggengam bara
Merenang lautan api
Menyeberang jambatan duri
Melaksana amanah yang membebani
Aku
Sering mencabar diri
Biar diluar kemampuan sendiri
Kerana paksaan tersirat kelebihan
Yang sudah ditentu Tuhan
Aku
Selalu ingin menjadi seseorang
Kufikir mereka insan kamil
Sedang mereka ciptaan Tuhan
Punya kecacatan sarat kelemahan
Aku
Yakin pada mujahadah
Janji Tuhan anugerah pahala
Itu beza dilahir taat
Sedang aku dihampar busa mehnah
3.39pm
10 Julai 06
Isnin

Tiada ulasan: