Lakaran bait:
Ma
wajahmu berseri murni
Bak kelemayar intan di dasar bahri
Kasihmu khalis tidak terperi
Menyelimuti kami berjiwa khali
Ma
Ambalan kasihmu kau bentangkan
Pintalan awan larat mendamaikan
Anyaman bayu manja menenangkan
Lakrima kudus keterharuan mendinginkan
Ma
Sering kau lontarkan pesan
Jatuhnya ke dasar sumur atma
Wanita berhati lunak lagi polos
Rayunya cepat naik ke langit
Doanya punya keampuhan lagi sakti
Sedang ia silah orang mukmin
Ma
Amanatmu kugenggam kemas
Bak lading tersisip di pinggang
Pekerti srikandi jangan dibiar tiris
Walau ditikam samudera duga
Biar dipanah bertubi tohmah
Lalu dicumbu angin mazmumah
Pantang majal akan kuasah
Kuasapkan kesatrian ruhiyah
Demi perawan nubarinya teruji
Sedang si lanang kegagah dikaji
Ma
Aku terkenang untaian madahmu
Gadis anum segar bak mawar
Tangisnya mawar diguyur embun
Ibtisamnya mawar mekar setaman
Usah dipamer keindahan peribadi
Bimbang dijamah lelaki ajnabi
Ma
Berbahagialah di hari ini
Tingkat usiamu setakah lagi
Lima dasawarsa adalah bukti
Rahmat ar-Rahim tak pernah bertepi
Nirmala kasihmu terkepung di kuala hati
Ma
Terima kasih kuucapkan
Sedang nyawamu jadi taruhan
Syahadah dilafaz sebagai cagaran
Maut bertanya khabar iman
Sengsara wiladah melapah nadi
Demi sebuah kelahiran
Hilanglah lelah
Pulihlah kejang
Hadirlah lenang
Salam sayang dari anakandamu,
Angah abah dan ma.
Sempena ulangtahun kelahiran ma pada 9 Mei 2006.
(Ya Allah Ya Tuhanku. Ampunkanlah dosaku dan ibu bapaku. Kasihi dan rahmati mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi kami sejak kami kecil lahir. Ameen!)
4 Mei 2006
Yiet ke Hospital Ahram untuk pemeriksaan lanjut bersama Dr Umar (adik medic Alex. Uni) Saya hanya menanti di rumah. Sempat beramah tamah dengan cik Nurul dan Shakirah. Tajuk bicara kami seputar isu belajar selepas berumahtangga. Soalan yang berpilin dalam kamar minda kami, Mengapa payah benar kaum adam mengizinkan suri hati mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah sesudah berumahtangga? Sehinggakan ada dikalangan wanita bercita-cita tinggi sanggup melunaskan pengajian MA dan Ph.D sebelum menbina istana idaman, bimbang peluang belajar ditutup kemas lalu dipateri dengan besi sesudah bersuami. Tak kurang juga wali si puteri mengenakan syarat kepada si teruna agar disediakan ruang dan peluang kepada si puteri yang bakal ditabal permaisuri hati. Maharnya belajar dan berkerja setelah bergelar raja sehari nanti. Saya terkesan dengan budaya barat yang sangat mengutamakan ilmu walaupun anak sudah besar panjang. Kadang-kadang ibu sefakulti dengan si anak. Betapa kesedaran mereka!
Muiz telefon minta saya maklumkan kepada DPMI bahawa wakil pengedar Legend Comics akan membuat penghantaran ke koperasi sebelum zohor. Ah, mujur saya belum lena. Berbetulan Yiet mengajak saya keluar makan. Sesekali pekena shish tengah malam enak juga. Oh ya, peminat komik islamik, Lagendaseni dan teamworknya menyediakan alternatif untuk anda. Teringat pesannya dulu, WAJIB beli. Komen Faizah hukumnya HARUS saja.
Karya saya yang tersiar di Lagend Comics, Kunang-Kunang Lentera. Bagi sahabat di Malaysia dan Australia anda bisa membacanya di sini. Cerpen ini pernah diangkat sebagai cerpen pilihan di ujana e-sastera.com pada 15 Feb 2006. Selamat membaca!
Jadual Peperiksaan Tahun Empat Syariah, Universiti Al-Azhar As-Syariff Cawangan Iskandariah Semester Musim Panas
22/5/06- Quran
25/5/06-Feqh Mazhab Syafie
29/5/06-Feqh Isu Semasa
1/6/06-Qaah Bahas (Kaedah Penyediaan Tesis)
5/6/06-Feqh Perbandingan Mazhab
8/6/06-Usul Feqh
12/6/06-Hadis Hukum
12/7/06-Lisan Al-Quran dan ta'yin Feqh Mazhab, Feqh Perbandingan Mazhab, dan Usul Feqh.
(Peperiksaan berlangsung bermula jam 9.30am-12.30pm waktu Mesir dan 2.30pm-5.30pm waktu Malaysia)
Ya Allah kurniakanlah buat kami ingatan yang kuat dan tajam, dada yang lapang, hati yang terang, lidah yang lancar, dan kefahaman yang tinggi agar kami dapat menguasai ilmu yang kami pelajari dan beramal dengan akhlak Al-Quran dan As-Sunah. Mudah-mudahan ilmu ini menjadi wasilah untuk kami menegakkan Daulah Islamiyyah. Kejayaan kami adalah kejayaan Azhar, kejayaan Azhar adalah kejayaan Islam! Ameen Ya Rabb!
1 ulasan:
selama berimtihan..
Catat Ulasan