Ahad, April 30, 2006

Catatan Penghujung April

SEPINTAS LALU
28 April 2006

Jumaat jam sudah bertukar, bermakna awal sejam dari biasa. Mesir lewat 5 jam dari Malaysia di musim panas berbanding 6 jam di musim sejuk. Saya menelefon Ayiem yang khabarnya pulang bercuti awal 4 hari dari temannya yang lain. Bimbang dan pelik merabung dalam hati. Belajar bernakal-nakal ke? Rupanya Ayiem dijemput ke Majlis Kecemerlangan Pelajar Peringkat Negeri Pahang di Pekan Bandar DiRaja.

Oh, saya teruja melayari entri mantan Ketua Moderator KELAP PMRAM sesi 2004, Saudara A. Ubaidillah Alias setelah dia meninggalkan pesanan di cbox pink. Lalu saya ingin menitipkan respon di sini jauh sekali bikin provokasi. Ia tidak lebih dari sebuah luahan dari warga kota klasik(petutlah 2-3 hari ni asyik tersedak makan tepung pelita, rupanya anak dara saya dikata-pantun dua kerat)

Tahun sudah saya memegang jawatan sebagai Pengarah Badan Kaji Tindak Iskandariah atau akronimnya BAKTI. BAKTI adalah sub-org dari Unit Pendidikan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah. Anda tahu, antara bidang tugas paling mencabar ialah mencari tenaga pengajar. Tak semudah yang disangka. Mujur DPMI taakhi KPKM yang juga punya Biro Kelas dan Bimbingan yang diterajui oleh pengarahnya Ustaz Ariff Fadhillah yang sudi membantu kami mendapatkan tenaga pengajar dari Kaherah. Adapaun di sekitar muhafazah terdekat saya urusi sendiri. Rencam dan pelbagai peristiwa pahit, manis, masin, masam, dan pedas saya telan. Sungguh! Bahkan saya terpaksa melayan kerenah birokrasi, maklumkan kepada Pengerusi setiap DPM siapa saya dan tujuan saya menghubungi. Kemudian baharulah diberi keizinan menghubungi Unit Pendidikan dan Pengetahuan DPM tersebut. Itu belum dicampuri kerenah tenaga pengajar. Telefon genggam saya kerap menjerit mohon dilayan aduan dan kerenah tenaga pengajar:-

-Tolong baiki pemanas air
-Kami puasa, hantar makanan cepat sikit
-Pagi, tolong masak makanan berat kami cepat lapar
-Tak tahu jalan ke lokasi mengajar
-Juadah yang disediakan banyak sangat
-Juadah yang disediakan tak cukup
-Juadah yang disediakan sedap sangat
-Dan komentar seperti di dalam blog Saudara Ubaid

Kami ikutkan kerana tenaga pengajar adalah tetamu yang dirai, dimuliakan dan didoakan. Dalam ramai-ramai pengajar yang dijemput secara peribadi saya perhatikan hanya Ustaz Ariff Fadhilah mudah diurusi. Katanya, "Pesan pada pelajar 4 Ususluddin yang mengaji dengan ana, makan pagi hanya roti disapu muroba/jem sudah memada."

Saya benar-benar terharu, dalam ramai-ramai yang beraneka kerenah masih ada yang mengerti rutin siswi. Bukan itu sahaja pelajar 4 Usuluddin sampaikan kepada saya hidangan yang diberi dipulangkan bekas keesokkan harinya dengan sisipan ilmu (kitab kecil atau kad yang tertulis Hadis dan potongan ayat Quran-tazkirah)

*Faizah kata:- Saya hanya masak seminggu sekali (",)

Aha, kedamaian di sini bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada kecemerlangan. Walau tenang bagai air di kali jika sifar 'biah solehah', ibtila' Allah sedia menyapa.
Baldatun toyyibatun waRabbun Ghafur.

30 April 2006

Kami menyambut seorang lagi alybayt baru dari Malaysia berstatus 'Puan Muda'. Ibu mertuanya mengirimkan ketupat daun palas. Aduhai, syahdunya! Teringat pada mak di kampung. Bila kami sekeluarga pulang berhari raya, mak akan keluarkan raga dari bawah katil. katanya, "Ketupat ni kena susuk, nanti anak Chu Mat habiskan." Lemaknya ketupat daun palas mak. Yang manis diisi kacang yang masin dibiar kosong. Ujar mak dia tak makan ketupat masin, juadah tersebut dibikin khas untuk cucunya dari Pahang. Saya jamah keduanya! Satu lagi juadah tradisional yang selalu mak tinggalkan untuk kami, tapai! Enaknya tapai dalam daun getah! Cukup raginya, berladung airnya...Saya bagi mak 5 bintang untuk ketupat daun palas dan tapai(",)
TAK KAN MELAYU HILANG DI DUNIA?
Saya suka membaca maklumat pada ubat gigi kalau berada di bilik air. membelek-belek ingredients, pesanan syarikat contohnya begini:-'Water is valuable.Turn off the water tap while brushing your teeth' dan apa-apa yang berasakan aksara. Pagi tadi saya ke bilik air ada ubat gigi dari Malaysia FRESH and WHITE atas sink dengan beruang putih sebagai mascot. "Ish, Bahasa Cina??? Tak fahamlah!" saya palingkan ke belakang. "Ah, English??? Mana pergi Bahasa Melayu? Dah layu ke?"
Jika Bahasa Inggeris bahasa pertama, Bahasa Cina bahasa kedua. Bahasa Melayu bahasa keberapa? Apa bahasa ibunda sudah lenyap kimah komersial? Siapa nak jawab? Pak menteri? Munsyi Dewan? DBP? Melayu asing di tanah sendiri...pilunya!

Tiada ulasan: