Khamis, April 06, 2006

Dalam Mengenang Bung Karim

Saya usai selak-selak Majalah MASSA bil 308, 8-14 September 2001. Saya tercuit dek kolum MELAYAR BUKU, bertajuk MENGENANG KEMBALI SUMBANGAN ALLAHYARHAM BUNG KARIM. Sumbangan Allahyarham yang begitu besar akhirnya memaksa penulis tersohor, Talib Samat untuk menyelenggarakan sebuah buku bertajuk Biografi A. Karim Haji Abdullah, Budayawan dan Pengkhazanah Persuratan Melayu: Satu dalam seribu. Buku setebal 787 halaman berkisar tentang biografi Allahyarham, artikel-artikel, pandangan sarjana dan tokoh mengenai Bung Karim, ulasan pengkritik dan penulis terhadap hasil-hasil selenggaraan Allahyarham dan senarai karya-karya yang dihasilkan. Aduh, mengapa saya tak pernah tahu Allahyarham Bung Karim anak kelahiran Temerloh(daerah kelahiran saya?) Bung Karim juga berkelulusan dalam bidang sains perpustakaan. Dan pernah berkhidmat di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1961 selama setahun. Allahyarham pergi dengan meninggalkan manuskrip yang belum sempat diterbitkan seperti, 'Sasterawan Negara Keris Mas; Dari Tanggapan Tokoh dan Sarjana, Pemimpin Kecil dari Kuala Lumpur-Semantan, Antologi Cerpen Penulis-Penulis Pahang, dan Mengenang Asri. "Dunianya adalah dunia buku, mengumpul dan menyimpan buku, menyelenggara dokumen sastera dan lebih dari itu. Kecintaannya pada buku amat luar biasa". Itulah diskripsi ringkas ketokohan Haji Abdul Karim Haji Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Bung Karim yang telah pulang ke rahmatullah pada 5 Februari 2001.

Tiada ulasan: