6 April 2006
UPP Alex minta saya beri pengisian ringkas kepada Ahli Kelab Tunas Karya. Katanya ahli seramai 8 orang [walau yang datang hanya 5 orang]. Kuantiti tak penting. Sekalipun seorang yang hadir saya tetap bersemangat memuntahkan isi yang mendap di dasar sumur minda dan dada. Pengarahnya, NurunNaim Ahmad Tabrani/srimersing.blogdrive.com. memulakan sesi dengan menyampaikan pengenalan asas menulis esei dan artikel ilmiah. Penyampaian beliau tertumpu sepenuhnya kepada pembikinan penulisan non-kreatif. Melalui idea terancang dan tersusun saya begitu tertarik dengan fakta sejarah yang diungkapkan bermula dari kepentingan pena dan sejarah penulisan di zaman kuno hingga termoden. Peserta yang hadir menumpukan sepenuhnya perhatian dan kosentrasi. Benar-benar teruja!
Dan saya sedayanya menangani kertas kerja yang ditukangi sebulan sudah, penulisan kreatif dengan mengaulkan proses kreativiti cerpen yang pernah saya hamilkan. Saya mahu menggesa mereka merasakan penulisan adalah satu JIHAD. Saya mahu libatkan mereka dalam perjuangan yang tidak bernoktah kecuali berakhirnya alam ini. Mengenalkan mereka kepada Pencipta melalui mandala penulisan. Biar menyubur iman mereka.
Dari 5 orang yang hadir hanya 2 daripadanya cenderung ke arah genre kreatif, Saudara Mazlina Abu dan saudara Zainab Harun. Itu sudah memada, andai istiqamah! Lega! Saya sudah mencongak siapakah pewaris Tun Nyemah Mulya versi moden yang bakal memimpin armada sasterawan tentera!
8April2006
Saya kirimkan sms untuk abah:-'Abah jangan kerja kuat sangat. Ma kata abah makin kurus. Kesihatan mesti jaga. Angah selalu doa Allah berkati dan murahkan rezki kita'
Kiriman saya tidak berbalas. Agaknya abah terkesan dengan nada dan ritma aksaranya. Saya rindu nian pada abah. Semalam saya hubungi ma. Abah dah pun nyenyak kepenatan berkerja seharian bingkas bangkit dari pembaringan bila Bella katakan saya di talian. Saya terharu dengan sikap abah. Biar penat, biar letah letai tubuh kurusnya, anak-anak adalah prioriti!
Saya tatap gambar yang diambil pada Aidilfitri tahun ini. Tubuh lampai abah kurus dengan sepasang matanya berkunang-kunang digenangi air. Abah, tabah dan sabar. Tak ada galang ganti!
Lakaran bait:
Abah
Tanganmu memimpinku
Melepasi gapura kehidupan
Mengajarku hidup berTuhan
Mengenal asal kehidupan
Abah
Jemarimu pernah mengikat rambutku
Usapanmu mewah belas kasihan
Sari nasihatmu kujadikan pedoman
Seampuh azimat sepanjang jalan
Abah
Pernah aku gundah gulana
Keyakinan kau tunjangkan
Tuhan kita Maha Adil
Lenang tenang kembali bertandang
Abah
Pernah aku ditikam fitnah
Bahana khianat tetangga
Aku kau pertahan
Biar nyawa jadi gadaian
Biar maruah jadi taruhan
Yang hak terus dicanang
Yang batil mati dicincang
Abah
Jiwamu tekal semangatmu ampuh
Berona derita berencam liku
Kau terjahi lautan api
Kau renangi ganas hububan pawana gunung
Tak akan lemas sekalipun hanyut
Abah
Aku pewarismu
Akan kulunaskan segala hasratmu
Akan kulaksanakan apa hajatmu
Akan kutunaikan segala impianmu
Akan kusarung selendang srikandi
Di iktiraf langit dan bumi
2 ulasan:
:) Tersentuh hati seorang anak membaca sms anda. Moga kita semua dimurahkan rezeki. Amin ya rab!!
:) sifo ubai, terharu dengan kunjungan anda!saya anak yg nakal!
Catat Ulasan