Tahun Baru
2005 berengsot pergi 2006 hadir mengganti. Tercari-cari kekuatan diri demi memerkasa kembali keagaman peribadi. Usia saya pasti meningkat setakah lagi. Dahulu saya cuak jika usia menginjak 20-an. Kini saya sudah berada diambang sukuan abad!
Tahun baru satu simbol tajdid usia, imej, peningkatan material dan kerjaya. Juga azam baru. Ya, azam baru tahun ini sama seperti tahun-tahun sudah. Target lima tahun akan datang masih sama seperti yang saya lakarkan ketika saya berusia 19 tahun, 3M. Aha, 3M!
1.M.A
2.Merce
3.Mr.Right
Urm, prioritinya tentu sekali angka dua teratas, kerana kedua-duanya memerlukan kerahan tenaga saya, zahir dan batin, fizikal dan mental berbanding yang terakhir saya hanya menyerahkan kepada Al-Wadud Pemilik Cinta Autentik!
Berserah dan menyerah, itu bukan pokok pangkalnya. Saya percaya ianya akan terjadi dengan tiba-tiba. Kadang-kadang tanpa saya dan anda sedari. Lalu biarkan dulu saya katakan "ianya datang diundang atau tidak diundang."
Saya tidak boleh berlama-lama dengan topik ini, bimbang diprovokasi kelak.
Aidiladha
Keluarga saya bercadang hendak berpindah sebelum Aidiladha bertandang. Terpaksa menangguhnya sementara menanti kak long pulang ke tanahair. Aidiladha tahun ini abah korbankan sekali lagi untuk Bella, si Bongsu. Kata abah, usia solat Jumaat lepas imam umumkan ada satu bahagian kosong, tuntas abah terpanggil untuk memudahkan urusan mereka.
Wah, pastinya meriah sambutan Aidiladha tahun ini. Ma pasti sibuk di dapur menyediakan rempah dan rencah menyediakan rendang. GG tak menang tangan menggosok jubah putih abah, Ala dan Ayiem untuk dipakai ketika solat sunat Aidiladha. Usai maghrib abah akan panggil semua anak-anakanya bertakbir sehingga menjelang Isya'. Ah, terujanya untuk pulang berhari raya.
Saya? Seperti biasa. Baju raya tak berganti. Persiapan serba sederhana. Saya masih berbaki satu kertas selepas Aidiladha. Sungguh, saya berhajat mengerjakan fardhu haji musim ini. Namun, tak ada rezeki barangkali. Saya dan adik ber'imtiyhan' di musim haji. Lalu hambatan ini tak mampu dielak. tengoklah dulu macam mana, kalau-kalau ada rancangan lain...
Ucapan selamat Hari Raya Aidiladha buat Ma dan abah tercinta, adik-beradik tersayang, pensyarah, guru-guru, sahabat-sahabat di Mesir, Jerman dan Malaysia, team ADABUNA, KELAP PMRAM, barisan pimpinan AJKT BKMIP 05/06, ahli BKMIP yang diingati selalu. Maaf Zahir dan Batin. Aidiladha momentum tadhiyyah!
12.09pm
04012006
Memori Usang
Lakaran Bait:
Bila teringat
Bayanganmu datang menyinggah
Nubariku kian tergugah
Daun cintaku satu persatu luruh
Yang dulu tunjang pepokoknya teguh
Bila teringat
Aku metah merana
Sebolehnya dirimu kulupa
Betapa sengsara jiwa raga
Apakan daya aku insan kecewa
Bila teringat
Aku tidak keruan
Lenaku diceroboh rencam imbasan
Berkitar latar visual kenangan
Kupendam kutelan keseorangan
Bila teringat
Seseringnya aku berdoa
Agar dirinya pantas kualpa
Perit nian gering kurasa
Ingin mendakap dia yang tiada
Bila teringat
Gesit aku beristighfar
memohon ampun dari Al-Ghafar
Moha panji keampunan tegar berkibar
Lalu cintaku tidak lagi terkapar
8.51am
04012006
(Dedikasi buat 'dia' yang tidak ingin ditemui hingga nyawa telah pergi, Mac 2001-Mei 2004)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan