Selasa, Disember 27, 2005

Semusim Imtihan

17/12/05
Hujan Disember
Lakaran bait:
Pagi ini diguyur hujan Disember
Mengingatkan aku pada dia
Pada hangat cintanya
Pada bicaranya yang meresahkan
Bikin kolam hatiku berkocak girang
Siangku memuja purnama mengambang
Malamku menyanjung mentari cerlang
Hujan Disember turun mencurah
Menyerak haruman rerumput
Hatiku patah berdarah
Naluriku berkitar sebal
Mengenangkan cinta yang tergendala
Puas aku berlara
Jasad makin laih
Kudrat kian melarat
Hujan Disember bawa khabaran
Angin berpuput mesra
Lavender dan ylang-ylang mengibarkan aromanya
Kolam hati yang beriak kembali lenang
Terlihat susuk lencun dalam renyai Disember
Mendepangkan dada
Bola matanya berkata-kata
Bicara keramat kalam azimat
Yang tidak mungkin diartikulasikan
8.02am
17 Disember 2005
(Hujan pagi mukadimah musim dingin)
22/12/05
Jam 6.30am (waktu Mesir) saya terima sms dari adik. Result PMR diumumkan. Alhamdulillah! Dia najah kabir, 9A. Saya sudah tidak keruan, mereka perlu saya hubungi untuk sama-sama berkongsi kesyukuran. Ahmad Ibrahem, adik saya yang baru berusia 14 tahun. Ya, saya tidak tersilap menaip. Dia memang berusia 14 tahun ketika menjadi calon PMR tahun ini. Dia generasi PTS terakhir. Lalu usianya muda. Ahmad Ibrahem, adik saya yang berkongsi minat dengan saya dalam penulisan. Dia pernah bersama saya menghadiri bengkel penulisan anjuran PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) selian dan diselenggarakan Pn Nisah Haron dan Hjh. Mahaya Yasin. Mungkin, sastera sedikit paradoks dengan minatnya dalam Subjek Sains dan English. Malah, dia bakal memilih aliran Sains untuk pengajian di tingkatan 4 nanti. Moga dia bakal menjadi penulis dari aliran Sains. Banyak misteri dalam sains yang tak tersingkap dek penulis konvensi. Itu harapan saya. Moga dia terus mengorak langkah dan mencipta kejayaan. Tahniah Ayeim!
24/12/05
Sms yang saya layangkan untuk Fazlina.
"Fazlina, saya takut sangat. Saya tak tau kenapa saya jadi macam ni?Tak pernah rasa rungsing sebegini. Rasa macam nak menangis sepanjang hari. Macam tak ada kekuatan untuk imtiyhan. Saya takut..."
15 minit kemudian Fazlina datang. Saya benar-benar menangis. Terharu, sedih, gembira, perasaan cacamerba. Tak bisa untuk diartikulasikan. Sungguh! Berjauhan dari keluarga sahabat menjadi ganti. katanya bimbang saya tak keruan, lalu saya wajib diziarahi. Untuknya saya hidangkan minuman panas (barley bakar) dan sandwich lancheon daging lada hitam dengan hirisan timun, tomato dan sos buatan sendiri. Berkali-kali dia ingatkan kehadirannya untuk berziarah bukan untuk menikmati juadah. Sukar untuk mendapat sahabat setelusnya. Moga Tuhan mengurniakan untuk kami kejayaan bagi tahun akhir. Ah, mana ada pengajian yang menawarkan ilmu yang ringkas dan mudah? Saya perlu bertenang.
27/12/05
29 /12/05 saya akan menghadapi peperiksaan subjek Tafsir Ayat Ahkam. Lalu saya teruja menarikan jemari untuk srikandi yang termaktub namanya sebagai wanita yang didengar Tuhan kalamnya, Khaulah bintu Tha'labah
Lakaran bait:
Khaulah bintu Tha'labah
Aduhai wanita
Bermata hazel cerlang
Irisnya berlingkar coklat terang
Keningnya lebat melintang
Bibirnya memerah lagi penuh
Pipinya berurat garis tetua
Aduhai wanita
Solatmu sasa dan tegap
Didirikan hanya untuk Tuhanmu
Hati yang putih dihamparkan
Harapnya lunak pada hidayah
Aduhai wanita
Ketika Aus menyuluh tubuhmu
Matanya galak
Kalbunya berbicara
Keinginannya membara
Sedang engkau tegar
Awas lidah tidak bertulang
Meluncur kata tiada penghalang
"Engkau bagiku seperti ibuku dari belakang"
Aduhai Khaulah
Pedih nian nubari isteri
Saat dizihar suami di sisi
Hukum jahiliyah sukar dimengerti
Zihar bererti haram kepada semua lelaki
Perasan merana gundah gulana
Kepada Rasul mengadu rasa
Apakah duduk sebenar perkara
Wahyu Tuhan pengubat sengsara
Jika Aus kembali kafarah dikira
Aduhai wanita
Pengaduan Khaulah didengar Tuhan
Turunnya ayat hukum sebagai sandaran
Betapa imannya kental dan mapan
Tulus hatinya menjadi ikutan
Para mukminat di akhir zaman

2 ulasan:

SYARIFAH SALHA SYED AHMAD berkata...

Alfun mabruk angah! Sudah ada blog. Semoga ini sebagai wadah untuk terus tekal menulis.

mohd zaki berkata...

Sabar. Dan Jangan Putus Asa.