Khamis, Disember 08, 2005

Dedikasi Untuk Abah

Serasa begitu rindu pada abah dan ma. Malam tadi bercerita sakan dengan kak long memoir ceria bersama keluarga. Berlarutan hingga pagi tadi masih dengan topik dan isu yang sama-MA dan ABAH serta kenangan saya dan kak long ketika di alam mumayyiz. Cerpen ini adalah percubaan latar tempatan yang pertama dilakar. Sengaja abadikan di dalam weblog. Saya ingin khabarkan saya sudah rindu pada keluarga yang jauh beribu batu (tetapi sentiasa dekat meniti di bibir kala berdoa dinihari)
Abah dan ma sudah makankah pagi ini?
Bangun tahajudkah kalian berdua sepertiga malam semalam?
Penatkah berkerja? Lenguh-lenguh sendi sudah reda?
Rindukah kalian berdua pada anak-anakmu di perantauan?
Apa doa kalian subuh tadi?
Bersyukurkah kalian untuk rezeki yang Tuhan kurniakan melalaui utusan-Nya Malaikat Rahmat?
Jadilah hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. Itulah kesyukuran disaat keluarga kita diuji.
Cerpen

CICIT HAJI IBRAHEM

Oleh Faizatul Herda Bt Mohd Azaman

"Ma, abah di mana?"

"Kubur. Hari sudah tinggi, barangkali abah singgah ke 'bagei'." Tangan mama cermat membungkus pulut panggang berinti serunding daging.

Ibrahem berkira-kira mahu mencari abah di 'bagei'. Sejak berpindah ke kampung abah sering menziarah kubur tok ayah dan moyang. Seminggu dua Ibrahem rajin meneman. Sebulan dua abah pergi sendiri. Usai solat subuh di 'balaisah' Ibrahem terus pulang. Minta temankan mama ke pasar, itu arahan abah. Ibrahem cuak kalau-kalau abah tersadung akar di tepi 'bagei' atau sakit lututnya kembali menyengat.

Ibrahem menyarung selipar jepun dan berjalan cepat-cepat. Biar sempat jumpa abah di 'bagei’. Paling tidak bertembung ketika abah sedang meniti batas-batas sawah sambil berjalan malas-malas menuju ke rumah. Abah, kalaulah Tuhan izinkan Ibrahem hidup seratus kali, Ibrahem mahu lahir dari baka abah. Baka seorang lelaki dari keturunan wali.

Ibrahem mengambil jalan pintas. Menyusup di celah-celah rumah kayu yang bersambung dengan anjung. Sesekali terdengar suara Mak Su Zara menyapa ceria, Pak Muda Kama ramah bertanya kabar. Peluh memercik di dahi mengalir di pelipis lalu menitik pada baju melayu teluk belanga berona coklat tua. Mujur dia mengenakan baju nipis dari kain kapas di sebelah dalam, sekurang-kurangnya peluh jantan yang terbit sekitar abdomen dan lurah-lurah tubuh terserap.
Indera lihatnya tunak menangkap tampang abah dalam kawasan kuburan. Satu-satunya kubur yang berbumbung dan bertiang. Itulah kubur moyang Ibrahem, seorang wali. Haji Ibrahem pernah menuntut di Tanah Suci sebelum kembali semula ke tanahair. Seorang pria yang sangat alim dalam cabang ilmu Fiqh, Tauhid, Nahu dan Sorof. Sehingga dia memberikan kuliah pengajian di pondok-pondok ramai pula yang datang menawarkan anak gadis untuk diperisterikan. Haji Ibrahem dikhabarkan abah seorang yang zuhud dan keramat. Setiap yang terdetik di hati, terkabul permintaannya bahkan mustajab doanya. Saban hari beribu-ribu zikir dilunaskan.

"Abah dah habis berdoa dan bertawasul?" Ibrahem memegang bahu abah. Diramas-ramas bahu lelaki yang paling dicintai itu dengan lembut.

Abah mengelih sambil meratai wajah Ibrahem dengan tenang. Mengangguk. Lelaki berkulit putih polos kemerah-merahan itu bangkit membetulkan kain pelikat tenun. Berjalan lambat-lambat keluar dari pagar tanah perkuburan kampung Tok Bok, Machang. Ibrahem mengekori.

"Ibrahem, abah selalu-selalu mengingati moyangmu bila memandang kamu."

"Sebab saya cicit Haji Ibrahem…" Sambil Ibrahem menghela tangan abah. Bergandingan menghayun langkah ke simpang kiri. Simpang ke 'bagei'.

"Juga kerana kamu sudah menyempurnakan sebahagian dari hasrat moyangmu yang tak mampu abah langsaikan." Nada abah lembut dan sayu.

"Hasrat moyang juga hasrat abah. Saya sedayanya melangsaikan hasrat kalian berdua demi ad-Din yang saya junjung." Ibrahem cuba mengendur suasana agar tali ketegangan tidak menjerut sesiapa.

"Abah sebenarnya lemas dalam kerinduan yang teramat pada kampung ini. Setiap langkahan ada sejarah yang pernah abah lakarkan. Usia kecil abah, zaman remaja. Segalanya abah tinggalkan dan terpaksa mengikut nenekmu ke Singapura selepas kematian tok ayah." Abah mengedip-ngedipkan matanya beberapa kali. Persis melihat visual memoir silamnya di atas monitor kaca digital.

"Sekarang abah sedang keluarkan bongkah-bongkah memori silam dan menyusunnya baik-baik. Begitu?"

"Sejarah, Ibrahem. Sejarah adalah tinggalan dan bukti paling baik dan ideal. Abah cuba koreksi diri dengan merujuk sejarah diri sendiri. Tanpa sejarah tidak akan ada hari ini." Abah membuang pandangan jauh ke kaki bukit. Dari bukit itu mengalir air panas. Air penawar untuk segala penyakit kulit. Abah pernah khabarkan yang bukit itu anak gunung berapi, diperutnya ada lahar yang mendidih.

"Abah, kak ngah berhajat benar bawa abah kembali semula ke sini. Adakah kerana dia arif sejarah hidup abah?"

"Angah…dia selalu cuba menjiwai roh anak jati Kelantan. Walaupun kalian adik-beradik berdarah luwes Kelantan-Pahang tapi angah faham benar. Jauh di dasar fuad, dia tahu abah memang kepingin kembali ke sini. Kamu lihat, usai pengajian dia sibuk mengumpul wang."
Langkah abah terhenti. Sudah sampai di 'bagei’ rupanya. Ibrahem mendekati gigi air.
Membiarkan jemari kakinya dicium orakan kecil ‘bagei’. Segar dan menyenangkan. Ibrahem mengangguk akur. Kak Ngah yang beriya-iya mahu abah pulang ke Kelantan. Kak Ngah juga sanggup melaburkan semua wang simpanan untuk membina rumah di pinggir kampung Tok Bok. Hanya kerana mencari roh anak jati Kelantan??? Kak Ngah memang begitu. Selalu-selalu cuba memenuhi impian keluarga. Atau Kak Ngah juga masih mencari roh warisan Haji Ibrahem?

"Masih ingat 'bagei'? Alunan air dan gamitan-gamitan batang padi yang kian menunduk bila berisi?" Abah melabuhkan punggung kental di atas batang pokok mati. Ibrahem menurut perbuatan abah.

"Sentiasa. Abah selalu bawa kami mandi di sini bila pulang berhari raya. Di sini abah ajar kami berenang. Dan di sini juga along dan angah membasuh kain bila nenek marah-marah kalau guna air banyak di rumahnya. Kadang-kadang dia ingatkan kami yang rumahnya bukan kilang." Abah tersenyum kelat bila Ibrahem mengingatkannya pada seorang ibu yang wajib dipatuhi jua ditaati sekalipun keadilan luntur dari hati wanita itu.

"Tok ayah kamu seorang penggawa. Sangat akrab dengan pegawai Inggeris sebelum merdeka. Setiap kali tanah baru dibuka pasti diperuntukkan berpuluh ekar untuk tok Penggawa. Kamu bayangkan tanah tok ayah kamu bermula dari kampung Tok Bok masuk ke Kampung Joh berakhir di pinggir kolam air panas Kampung Rengas di kaki bukit sana." Abah menundingkan jari telunjuknya ke arah kaki bukit. Saujana mata memaut puluhan relung padi menguning.

"Dulu nenek pernah cakap, harta tok ayah banyak. Sampai semput membaca geran tanah." Sengaja Ibrahem mengulangi kalam neneknya. Sebetulnya dia sedikit jelek dengan sikap neneknya yang pilih kasih. Menyayangi cucu yang berbaka Kelantan tulen. Lalu yang lain terpinggir.

"Memang banyak. Hatta di tempat kamu pijak ini adalah tanah tok ayah kamu. Tapi kini, tanah ini dan ‘bagei’ ini dijual pada Pak Su Wei dan Mek Yah." Abah teguk liur. Anak mata coklat terangnya menembusi dasar bagei yang mengalir di antara dua batas. Jernih.

"Dulu nenek kamu kata tanah ini untuk abah, setahun dua selepas itu abah dengar sudah dijual. Duitnya nenek bahagi-bahagikan pada dua orang lagi adik beradik abah. Hak abah ternafi. Abah tak kisah sangat. Lagipun ini bukan sekali dua nenek kamu jual tanah yang dijanjikan untuk abah." Ibrahem tenung raut wajah abah. Dalam-dalam. Tiada riak kecewa walau secalit. Bibir abah tak henti-henti berzikir. Bersuara halus. Tenggelam timbul.

Silir-semilir angin bukit sesekali memukul wajah. Air ‘bagei’ sesekali beriak bila angin ramah mengusap permukaannya. Abah adalah anak kesayangan nenek pada zaman remajanya. Abah rela kahwin hujung usia 20-an kerana mahu nenek pilihkan menantu yang nenek berkenan sahaja. Abah sanggup tanggung anak saudara yang ramai bila nenek ambil mereka untuk tinggal bersama. Abah sudah belajar-belajar menjadi ayah sebelum berkahwin. Tapi bila abah ambil keputusan terima pelawaan mertuannya tinggal di Pahang, nenek akur dalam paksa. Memecak berselindungkan rela.

Sejak itu sebarang tindakan nenek luar makluman abah. Berpuluh ekar tanah dijual dan imbuhannya ditaburkan pada Pak Long dan Pak Su. Nenek berani menjual tanah yang abah beli dengan duitnya. Ya, tanah itu nama nenek. Nenek mahu tanah itu, abah sanggup bayar tanpa mengharap apa-apa. Nenek janji tanah itu akan diwariskan pada abah. Abah tahu. Abah diam. Cuma abah terkilan, abang dan adik bongsunya tak pernah keluarkan wang walau sesen bila nenek minta untuk beli tanah sedang mereka hidup senang lenang. Rumah banglo di pinggir Bandar Kota Bharu. Abah apa yang ada? Cuma tujuh orang anak. Semuanya dihantar belajar ke sekolah agama.

Dulu Mak Su Jei ada khabarkan pada abah peristiwa pelik ketika di Pejabat Tanah. Berbelas kali nenek cop ibu jarinya setiap kali itulah bunga pada ibu jarinya tidak timbul. Dakwat berwarna biru di atas dokumen geran tanah sahaja yang kelihatan. Nenek marah. Dia sanggup tunggu sampai petang hingga garis-garis bunga ibu jarinya tertera pada dokumen itu.
Angin bukit tiba-tiba bertiup garang. Waktu duha yang tadi tenang sudah terasa pijar dipanah mentari pagi. Mata hablur Ibrahem sesekali mencuri pandang ke dalam relung sawah yang berselut sesekali berkocak kuat kemudian berorak tenang. Ada puyu mengodek sisik, ada keli menanduk tebing, ada haruan makan anak.

"Kamu jangan runsing. Abah sudah puas hidup senang ketika kecil. Ketika usia empat tahun abah sudah naik motokar dikala anak kampung masih berkaki ayam. Umur lima tahun sudah petah berbahasa Inggeris sedang rakan sebaya yang lain hanya kenal ‘bagei’ dan pepokok getah. Tapi kini abah mahu kamu ambil iktibar, jadikan landasan hidup. Jangan terbabas. Nabi Muhammad berpesan ‘…aku tidak bimbang jika umatku diuji dengan kepayahan yang getir, tapi aku cukup khuwatir jika umatku diuji dengan kesenangan.’ Adakah mereka akan berpijak di jalan kebenaran dan selalu mengingati hanya Allah yang Maha Besar?" Abah meratai tampang Ibrahem. Anak mata Ibrahem mengesaninya.

"Abah, saya tidak takut bahkan tidak bimbang. Cuma saya belajar dan saya akui bahawa sungguh iman sepejal besi, setinggi gunung, seluas lautan tak akan dapat diwarisi kecuali Allah berikan kepada hamba-Nya yang beruntung dan terpilih."

"Kamu masih dendam pada nenek?" Ah, serasa sulit menjawabnya. Menggeleng .

"Abah, saya bersyukur diuji begini. Mengajar kita erti redha, sabar dan syukur. Kalau disingkap segalanya datang dari Allah. Tapi tiada siapa dapat mengubah sejarah dan susurgalur keturunan kita. Tanpa sejarah tidak akan ada hari ini. Tanpa moyang, saya juga tidak akan lahir ke bumi. Tanpa Islam tidak mungkin saya dapat menerima segalanya adalah tarbiah dan takdir." Ibrahem mengisar duduk. Serasa begitu lama dalam posisi yang sama.

"Ibrahem, abah bangga dengan kamu. Sempurnakan hajat abah, tok ayah dan moyangmu. Sampai di Madinah Munawwarah rajin-rajin i'tikaf di Masjid Nabawi. Ziarah maqam dan bertawasul dengan baginda. Abah masih menaruh keyakinan keturunan yang baik campak ke laut menjadi pulau, lempar ke darat menjadi gunung. Bereskan pengajianmu dengan amanah." Genggaman jemari abah hangat bersama nyalaan harapan.

"Abah, demi Tuhan. Saya bangga menjadi cicit Tok Haji Ibrahem…."
Glosari:-
‘bagei’- anak sungai/tali air di sawah
'balaisah'-surau

Tiada ulasan: