Seteguh Kasih-Nya, Di Perantauan
10 Zulhijjah 1426H
Gema takbir di pagi raya
Kuteringat kampung halaman...
Aku di perantauan, tak terdaya menahan sebak...
Subuh ini diguyur hujan musim dingin. Takbir sahut menyahut usai subuh hingga menjelang muqaddimah duha. Mujur hujan berhenti seketika, lalu upacara solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan sempurna di Masjid Jurutera Uthman Muhammad Uthman. Sesekali pawana mengelus dedaunan, berguguran dan melayang-layang di ribaan. Indera lihat saya tunak memfokus kanak-kanak perempuan mengagihkan belon percuma kepada jemaah kanak-kanak dan sisipan zikir pagi dan petang (ma'thurat) kepada jemaah dewasa.
Kanak-kanak perempuan itu memakai topi yang digubah daripada kad manila tertulis 'Solat pada awal waktu', 'Boikot barangan yahudi dan proksinya adalah jihad', 'Berbuat baiklah kepada ibu bapa' sempena kempen biah solehah yang diuar-uarkan oleh Ikhwan Muslimin sejak beberapa dekat. Juga kelihatan kanak-kanak lelaki memakai kad manila berbentuk hati yang terlukis padanya Masjidil Aqsa. Ah, Aidiladha kali ini sarat cetusan pengorbanan dan penghijrahan. Betapa hamasah menjalar tiap urat dan pembuluh darah.
Bertakbirlah! Bertasbihlah! Diharamkan kepada kamu berpuasa pada hari ini. Hari ini adalah hari untuk berjamu hidangan, menikmati minuman enak dan mengingati Allah. Takbir! ('Iza'atul Quran)
Terima kasih kepada anda yang menghubungi saya di pagi raya. Ingatan anda saya hargai! Kullu am waentum bikhair!
Imarah yang saya diami mengadakan rumah terbuka dari pagi hingga petang, langsung tak berpeluang berziarah. Bertali-arus teman dan taulan bertamu. Lantaran itu saya gunakan waktu malam untuk mengunjungi teman. Urusan musyrif usah gusar, beres!
Sedang bersiap-siap, sengaja saya melontarkan soalan menguji sekadar kecindan kepada alybayt , soalannya berbunyi: Adakah zirafah dan gajah halal dimakan dagingnya? Alasan? Pelbagai jawapan yang disuguhkan kepada saya antaranya: "Zirafah haram dimakan kerana berleher jinjang", "Gajah tak boleh dimakan kerana ia pengidap diebetis." Alangkah!
Zirafah dan gajah haiwan yang tidak disebutkan di dalam dalil yang jelas, sama ada di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah mengenai pengharaman memakan dagingnya. Namun ulama' bersepakat meletakkan daging zirafah HALAL dimakan. Sedangkan daging gajah HARAM dimakan walaupun HALAL disentuh.
[Mengenai korban pula, terdapatkah di mana-mana daerah yang penduduknya melakukan korban zirafah, sedangkan ia hampir pupus dan di bawah penjagaan WHO]
Cik Nurul (alybayt, orang Kedah) mencelah: "Kami pelik orang duk kata gajah tak tau yang dia besaq. Awat, dia tak tengok kawan-kawan dia ka? Gelak tawa menjadi bahasa dalam kamar saya beberapa bentar. Lantas saya menokok "Ha'ah nah, dia tak tengok girlfriend dia ka?"
Aduhai!
Kegembiraan Yang Bertandang
11 Zulhijjah 1426H
Jam 5.06 pm, saya dikejutkan sms daripada adik di Malaysia: "Along, angah :) tengok aku senyum ni, mesti korang pun suka dan gembira. Hehehe... Penyimpan mohor-mohor besar Tuan Haji Muhammad Azaman mengisytiharkan, Ahmad Ibrahem ditawarkan ke KISAS-Klang!"
Tuhan sayang nian padamu dik. Jangan lupa sujud syukur!
Jam 8.08 am, Raisah KPKM (Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir) menghubungi saya untuk menjemput kerumah terbuka anak-anak Kelantan di Hayyu Sabie', Nasr City, Cairo. Aduhai Kak Zah, saya di Alex. Jemputlah pemangku saya Mayna. Tak ada rezki nak merasa juadah raya orang Kelantan. Sempat Kak Zah bercanda: "Kalau sempat, datanglah rumah terbuka kami." Sungguh, saya punya satu paper lagi usai Aidiladha.
Salam Aidiladha saya ucapkan kepada barisan pimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM, Ruasa' dan Raisat BKAN serta Pengerusi DPM seluruh muhafazah. Kullu 'Am Waentum Bikheir!
Sungguh Kami Tidak Keruan!
15 Zulhijjah 1426H
Sekian lama, malah sepanjang tiga minggu sudah hamam (bilik air) kami tiada berlampu. Mentolnya terbakar hingga mengancam nyawa wayar yang menghubungkan suis. Lalu kami memanggil bijak pandai wyering berhampiran rumah untuk melihat-lihat akan ragam lampu yang banyak kerenah. Kebetulan dia datang setelah maghrib menghantar sore pulang. Maka zulmatlah hamam.
Namun pakar sudah ada, kami alu-alukan dia melihat 'pesakit' yang sedang tenat. Mujur ada housemate yang sudi menerangkan ruang kecil hamam yang pekat ditelan suasana senja dengan menggunakan mini lampu picit. Terasa maghrib kian ingin permisi. Kami cuba mengingatkan doktor lampu itu, agar menyambung kerjanya usai memenuhi temujanji dengan Pencipta.
Tiba-tiba sesuatu yang tidak terduga memakai situasi. Dia setuju, tetapi dia tidak turun dari rumah kami untuk solat. Kami memintanya solat di masjid berdekatan atau di mana yang dirasakan boleh. Tahu apa jawapannya? "Takpelah, kamu solat lah. Aku tidak sembahyang?" Kami memakai wajah prejudis. Adakah pemuda di hadapan kami ini bukan muslim? Mungkin diksi itu yang berlari di perdu persoalan akal alybayt yang lain. Tanpa kawalan, retina kami cuba menangkap tapak nadinya kalau-kalau tercalit salib di sana. Dia seakan tercium ketidakkeruan kami lalu mengaku yang dia adalah muslim. Walau kelegaan sedikit terlukis di rongga hati, kami masih menaruh prasangka yang tidak terjawab oleh komunikasi yang terbatas.
Bukan tidak mahu memanjangkan persoalan, cuma kami mengambil sikap baik sangka agar tidak berlaku andaian yang kurang sopan bertamu. Mana tahu jika banyak soal akan menimbulkan berang shabab (pemuda) itu. Biarlah dahulu, mungkin maksudnya tidak mahu bersembahyang di rumah kami. Mungkin.
Hampir dua jam masih belum usai. Semakin banyak yang dibaiki, kian mencanak pula kerosakan terhambur. Lalu dia mohon menyambung keesokannya. Selepas zohor, janjinya. Ba'da solah, tekannya. Kami melepas lega yang ketat dengan pengakuannya mula-mula tadi. Jadi takut bila bertemu dengan muslim yang hanya pada nama. Tidak mengesankan amal dan tindakan. Bukankah firman Allah swt: 'Sesungguhnya solat itu menegah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan