Sabtu, Ogos 19, 2006

Let Bygones Be Bygones

15 Ogos 2006

Saya ripuh bersama rancaknya latihan pentomen juga persedian teks perasmian Ihtifal Khamsin Sanah, Hal Ehwal Wanita Islam Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (IKHLAS 06). Segalanya perlu saya siapkan segera dan membuat sedikit pantauan dan perbincangan dengan pengarah pentomen, Ustazah Darussilah Nordin. Dalam kepayahan dan kesempitan ruang masa membataskan saya memikirkan masalah yang berpilin-pilin sekitar saya. Entah, adakah saya yang tidak berperasaan atau perasaan itu terpaksa saya ketepikan beberapa bentar lantaran tugas dan tanggungjawab yang terpikul. Adakalanya saya terfikir elemen negosiasi yang perlu disarung oleh setiap mereka yang bergelar pimpinan dalam persatuan, pejabat, organisasi, keluarga waima diri sendiri bisakah terlucut kala emosi menguasai diri? Saya tak tahu apa jawapannya. Sungguh! Saya tak tahu. Cuma yang saya pegang, setiap kesilapan usah diulang, lalu saya perlu memohon maaf agar hati yang pernah terguris kembali tenang dan sembuh. Sekali lagi saya dilanggar rasa keliru. Mengapa? Andai maaf itu satu mainan di bibir yang langsung tiada erti pada si penutur. Maaf yang tidak memaafkan. Memohon maaf yang menjadi 'kewajipan' kepada setiap pesalah dan jika ingin ulangi kesilapan tersebut, dipersilakan. Memaafkan tetapi menyimpan di dalam hati bila mana ingin dihambur akan digali hingga ke kerak bumi.


Andai situasi ini yang saya depani, saya akan melepaskan keluhan yang berat sambil menyebut dengan gembira kepada diri sendiri (baca:-buat-buat gembira)..."Let bygones be bygones, it's gonna be ok." Saya tak suka berdendam. Itu bukan sifat saya, andai anda pernah mengguris, saya mudah memaafkan tetapi 'mungkin' saya akan mengingati nama anda hingga hujung nyawa. Ops! bukan untuk membalas dendam tetapi automatis nama anda akan tersimpan di dalam 'recycle bin' milik memori ingatan saya. Ya, bagi yang mengenal saya, mungkin ada yang mencebik sambil mengatakan..."Faizah ni degil, garang, suka memaksa dan menghukum...." Ya, itu persepsi anda yang mungkin mengandungi kebenaran. Cuma simpanlah sedikit baik sangka, mungkin Faizah dikurniakan sikap memaafkan, tidak suka mengungkit, dan lembut hati. Atau lebih tepat, sifat yang tidak ada pada diri anda, sifat manusiawi. Owh, ayat disebelah adalah ayat andaian yang bukan hakikat. Saya tidak berniat masuk lif tekan sendiri, paling kurang pak cik jaga tak ada yang makan gaji buta, ya. Kebijaksanaan dalam berkomunikasi simbolis kebijaksanaan mengawal emosi yang tidak dipagari sempadannya, tidak terbatas luasnnya, tidak terjangkau jauhnya. Saya tidaklah terlalu 'bijak' berkomunikasi tetapi saya sedang mendidik diri ke arah bijaksana komunikasi (bukan bijaksini, tiru ayat kak Nisah) melalui kawalan emosi yang baik. Ya, adakala saya tergelincir. Itu adat. Jika dibanding orang yang sudah biasa mengawal emosi (kononnya) mencari nahas dengan menggelincirkan diri sedangkan mereka ini melalui lebuhraya pintar komunikasi (kononnya).

Owh, cukup dulu sampai di sini, untuk maaf yang tidak memaafkan. Saya tidak untung juga rugi. Cuma, saya nak ingatkan usah di sibukkan masalah anda kepada orang yang memang sibuk. Andai ada yang ingin diperkata, sebutkan saja. Saya tidak punya masa untuk perkara begitu. Jika anda tidak mengerti maksud 'maaf' cari definisinya sebelum anda menuturnya. Maaf adalah perkataan 'sakti' guna penawar paling mujarab untuk organ sekecil HATI. Amat malang jika anda tidak mengerti...amat malang...


19 Ogos 2006

Hari ini hari ulangtahun kelahiran adinda saya yang ke-15 tahun, Ahmad Ibrahem. Dia sempat mengirimkan sms buat saya, katanya baru-baru ini sempat menyertai Bengkel Sastera dan bertemu Sasterawan Negara, A. Samad Said. Tahniah dari saya untuknya kerana memenangi Sketsa Kerjaya Peringkat Kebangsaan. Dengarnya Bengkel Penulisan di KISAS bersama penulis tersohor, Faisal Tehrani ditangguh. Ada getar kesal di hujung bicara aksara adinda saya. Wah, seronok berbengkel mengalahkan saya. Kadang-kala terbit rasa teruja kerana kami berkongsi minat yang sama walau aliran berbeza. Berbual dengannya seperti mendampingi rakan sebaya saya. Mungkin faktor kami hanya berkawan dengan adik beradik dan dia terpaksa bersaing dengan kami selaku abang dan kakak, menjadikan dia lekas matang berbanding usia. Moga-moga dinda saya terus sukses dalam pelajaran, pekerti dan minatnya.

Dinda,
Andai disuling laut segara
Jernih lagi hati kanda
Andai diukur puncak kencana
Melangit tinggi kasih kanda
Andai dinilai emas permata
Mahal nian persaudaraan kita

3 ulasan:

A. Ubaidillah Alias berkata...

Saya faham entry kali ini. Jelas dan terang. Ia memang ditujukan pada saya. Apapun, masalah di sini bukan pada soal meminta 'Maaf' tetapi pada catatan 5 ogos yang ter-salah fakta itu.

Jika anda menulis hal berkaitan orang lain(bukan soal saya sahaja), harus hati-hati. Sila jaga reputasi orang ramai dan maruahnya. Kerana orang membaca catatan anda. Dalam hal ini, saya cuba menegur catatan salah yang melibatkan diri saya. Tapi, setelah ditegur...catatan tidak berubah. Kenapa ye?

Faizah, saya tidak tahu sudah berapa ramai hal orang lain yang anda tulis. Cuma, bagi saya anda tidak hati-hati. Saya tidak tahu anda perasan atau tidak catatan yang ditulis itu kadang2 buat orang rasa segan dan malu. Saya syorkan anda berhenti menulis pasal orang. Tulislah tentang kerja dan idea baru. Itu lebih baik.

Satu lagi. Saya tidak tahu apa sebabnya catatan itu tidak diubah selepas ditegur. Mungkin kerana anda masih marah pada saya? Bukankah anda sendiri kata 'let bygones be bygones'. Tapi kenapa catatan tak diubah, agaknya masih marah kot. (Memang pun)

Saya menganggap selagi catatan itu tidak diubah, maka selagi itu anda bukan seperti yang anda kata. Let bygones be bygones? (Kononnya)

Oh ya. Kali ini anda sendiri mengakui bahawa anda degil, garang dan suka memaksa. Jadi, saya berkeyakinan tinggi bahawa anda tidak akan mengubah lagi catatan yang menyalahi fakta itu.

Saya rasa ada baiknya saya berhenti menegur anda, kerana anda juga sudah beranggapan bahawa saya ini konon-konon sahaja. Adalah susah bila orang menganggap teguran sebagai gangguan.

Dengan ini saya mengakui bahawa saya banyak mengganggu anda. Maafkan saya.

Wassalam.

Faizah Azaman berkata...

terima kasih kerna anda melebelkan diri anda 'pengganggu'. saya tak sampai hati mengatakannya...meskipun ia betul(agaknya)anyway...let bygones be bygones ;-)

A. Ubaidillah Alias berkata...

:)