Khamis, Ogos 31, 2006

Pementasan 1515, Sejarah Yang Digelapkan

26 Ogos 2006

Sempena IKHLAS Hewi PMRAM 2006 yang berlansung dari 22 ogos hingga 27 ogos.

1515, SEJARAH YANG DIGELAPKAN

Olahan Faizatul Herda Mohd Azaman

Karya asal Faisal Tehrani (adaptasi dari novel 1515 pemenang tempat pertama HKSU 2004)

PERMULAAN PENTOMEN

Anak sembilang di tapak tangan
Di masak lemak buah bidara
Buat semua srikandi perawan
Assalamualaikum pembuka bicara

Dari Dewan Ibnu Sina kami mempersembah akan julung-julung kalinya sebuah epik sejarah, pantoman yang berjudul 1515 SEJARAH YANG DIGELAPKAN

Pengakhiran Pantoman


Hai...HEWIku menyaksilah dikau
Menjadi pemangkin yang bersemangat jitu
Agar kami bisa berdiri, tegak dan segak
Bagaikan…Srikandi Islami

Bermohon sembah sembah berhajat
Hajat berasal kayangan puri
Kami puteri gagah berani
Di pencak MANIS kami beraksi

Selesai sudah pantoman kami
Silap dan salah harap dimaafi
Tun Nyemah Mulya hanya ilusi
Berkongsi Ibrah intanbih nafsi

Seikhlas hati kami memberi
Kaherah, Mansurah dan Iskandari
Sebelum kami mengundur diri
Dengarlah pantun penghibur hati

PANTUN PENUTUP


Pergi kembara ke negeri Sailan,
Merantau berzaman mencari harta,
Sejarah bangsa dilupa jangan,
Jadi pedoman di hari muka.

Terbilang sudah Srikandi Nyemah,
Bijak berhelah hadapi perang,
Perpaduan bangsa tak pernah goyah,
Maju langkah tuju kegemilangan.

Matahari timbul pagi mencerah,
Langit sarat awan gemawan,
Bangsa timur kuat dan gagah,
Tamadun barat bukan tandingan.

Panji hitam jadi pilihan,
Biar berkibar penuh megah,
Akidah Islam jadi pegangan,
Pelosok dunia di bawah perintah.

Mahu berguru di puncak Opir,
Di ajar Pak Imam bunganya silat,
Luasakn ilmu tajam berfikir,
Barulah Islam dapat didaulat.

Pantun Siasah oleh Faisal Tehrani, Dewan Sastera 2004

Akhirnya pentomen 1515 selamat dipentaskan...saya lega. Menarik nafas dalam-dalam. Lenang mula terbit dari letusan nafas terakhir yang halus dalam desah nafas yang panjang. Saya diminta menyiapkan skrip tersebut pada penghujung April, sedang saya ripuh dalam selut pengajian yang pekat dan arus kuliah yang deras. Mana mungkin saya bisa menyiapkan sepantas mungkin dengan kekurangan alat(komputer) sedang saya berharap gagasan dan tema yang besar, ingin disuguhkan kepada siswi al-Azhar. Saya berfikir panjang. Saban waktu dan detik. Entah mengapa saya benar-benar teruja dengan karya besar, Faisal Tehrani 1515. Saya akan garapkan dan bawa 1515 ke Mesir. Itu janji saya. Kepada Faisal Tehrani saya mohon keizinan untuk diadaptasi karyanya ke pementasan. Alhamdulillah, segalanya baik seperti yang dipohon kepada-Nya.

Akhir Julai saya mula menukangi 1515 ke format skrip. Agak sukar...novel yang tebal saya perlu rumuskan kepada 10 halaman untuk skrip pementasan yang menelan masa 45 minit. Saya tekuni dan lumati 1515 berkali-kali sehingga memaksa saya berhalusinasi bersama Adi Fimiyum dan Tun Nyemah Mulya. Usai penyiapkan skrip, saya majukan kepada panel penilai skrip pentomen Ihtifal Khamsin Sanah HEWI PMRAM. Berlaku sedikit pembetulan dan perubahan dan akhirnya diluluskan. Sampai di tangan pengarah masih perlukan suntingan agar diskripsi dialog tidak berjela. Saat itu banyak muhasabah yang saya terima. Antaranya:-

*Karya yang berat, tidak sesuai dengan khalayak azhariah
*Bahasa terlau gramatis dan standard
*Wujudkah Tun Nyemah Mulya? Adakah Mendapat keizinan penulis asal novel 1515?

Alhamdulillah, saya dapat menerangkan kepada para pendokong pentomen mengapa saya bikin skrip dengan mengadaptasi novel seberat 1515, saya ingin membuat satu revolusi dalam pementasan sastera di Mesir khususnya melibatkan siswi al-Azhar. Sampai kapan kita hanya mementaskan pentomen dengan skrip 'ala kadar' dan tangkap muat atau boleh dikategorikan skrip yang tidak kuat dan gagasan yang samar.

Bahasa dalam setiap baris dialog saya pelihara dari dijangkiti bahasa slanga. Saya cukup bertegas pada laras bahasa. Itu yang selayaknya kita layani bahasa ibunda kita, Bahasa Melayu.

Nyemah Mulya, tidak wujud dan ia tidak mustahil wujud. Saya masih menyimpan kepercayaan yang Malaka pernah menakluk Portugal. Ya, bahkan saya sudah mendapat keizinan dari Faisal Tehrani untuk adaptasi novelnya ke skrip sempena Ihtifal Khamsin Sanah HEWI PMRAM (IKHLAS)

Saya tidak menghadiri Malam Aspirasi Kesenian Islam (MANIS) lantaran saya perlu menyudahkan satu subjek yang perlu diulangi September nanti. Saya terima sms dari Saudara Zainab, katanya:-

Kanda, mohon maaf dipohon, tak sedar kanda menghubungi dinda. Audien seronok dan tetamu puji, katanya kita mampu bawa karya sebegini seperti pementasan di Malaysia dan tak nampak kekurangan lantaran terharu kita boleh lakukan dan tahniah.

Saya tidaklah mencedok keseluruhan kisah Nyemah Mulya, tetapi saya kekalkan makar, muslihat, helah peperangan dan tarbiah ruhiyyah dalam jiwa pemuda bahkan pemudi. Setiap babak saya bawakan rencam problemtika muda mudi alaf baru, sedang Tun Nyemah yang datang dari kurun ke 16 melihat kebangkitan dan kejatuhan bangsa Melayu. Beliau juga saya temukan dengan cicitnya seorang sejarawati, bernama Nyemah Mulya. Nantilah, ada kelapangan saya akan paparkan skripnya di sini. Terima kasih kepada HEWI PMRAM sesi 05/06 yang memberikan kepercayaan kepada saya, dinda-dinda angkatan perang yang berjaya menawan Portugal, Puan Pengarah, Siswa Johor yang membantu menyiapkan visual sebagai 'Background Effect ', dan penulis asal novel ini, Faisal Tehrani. Saya sangat hargai anda semua! Hanya Allah yang layak menilai usaha dan material yang anda sumbangkan. Salam Merdeka!!!

5 ulasan:

zaidakhtar berkata...

Tahniah.
Adaptasi bukan kerja mudah.

thanaif berkata...

Alhamdulillah, hanya menerusi penulisan sahaja sudah dapat di terjah bagaimana indahnya pementasan yg dibawa.
Revolusi menggerakkan kemahuan diri
batin dan zahir iman berakar umbi,
bukan semata sekadar budaya untuk seni tetapi mencari makna mukmin sejati yg taatnya bukan pd diri tidak juga semata suku sendiri, lebih utama utk berada dalam redha Ilahi.
Sejenak mahu berkongsi rasa, kebebasan kita, wanita, di era kini benar-benar akan berjayakah jika kita sentiasa tunduk menyerah pada kehendak massa juga relevan masa ? Mari buktikan mukminah juga bertanggungjawab memelihara & membina tamaddun. Tahniah ya.

Faizah Azaman berkata...

ustaz zaid, terima kasih atas kunjungan...serasa BAYU MADITERANEAN segar menghembus...:-)

Faizah Azaman berkata...

puan, terima kasih atas sokongan. lama tak bertanya khabar. saya terpaksa duduki peperiksaan satu subjek september ini.doakan!

Karl Hiunzm berkata...

Hai, saya suka membaca blog untuk menambah ilmu dan maklumat. Setiap hari sekurang-kurangnya saya lawat 20 blog. Blog anda adalah antara yang paling menarik untuk hari ni. Keep up the good work!

Terlanjur saya di sini, tahukah anda apa yang BOLEH MENJADIKAN ANDA KAYA. Sistem Menjana Wang Secara Automatik. Pendaftaran Percuma. Peluang kerja dari rumah di sini.