Sabtu, Ogos 26, 2006

Jenayah Murtad vs Reputasi Keadilan Malaysia

KES MURTAD LINA JOY: ANTARA ISU YANG WAJIB DIBERI PERHATIAN OLEH AZHARIAH

Daripada Ibn Mas`ud dan `Aisyah, Nabi s.a.w. bersabda: Tidak halal darah seseorang muslim selain daripada tiga sebab: berzina selepas menjadi muhsan, membunuh orang lain tanpa hak dan mengasingkan diri dari jemaah serta meninggalkan agama (murtad). (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dll)

Kes Lina Joy (Azlina Jailani) yang dibicarakan di mahkamah pada 12 Julai 2006 baru-baru ini kembali menghangatkan isu murtad di Malaysia dan sekaligus membenarkan kenyataan Mufti Perak yang mendedahkan terdapat kira-kira 100,000 orang Islam di Negara ini berdasarkan kajian yang telah dilakukan golongan profesional.

SIAPA LINA JOY?


Lina Joy atau nama sebenar beliau, Azlina bt. Jailani pernah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Februari 1997 untuk ditukar kepada Azlina Lelani tetapi ditolak sebab beralasan telah tukar agama Kristian. Permohonan kedua untuk tukar kepada Lina Joy pada 1999 tanpa menyatakan sebab pertukaran kepada agama Kristian telah diluluskan, dengan Kad Pengenalan Baru tertera perkataan Agama Islam. Ayah beliau bernama Jailani bin Shariff dan ibu bernama Kalthum binti Omar, keduanya beragama Islam dan mengamalkan hidup sebagai Muslim.

Beliau yang berwajah typical Malay, berbangsa Melayu keturunan Jawa, berumur 43 tahun telah mengisytiharkan tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990, mempunyai sijil Baptis yang dikeluarkan pada 11 Mei 1998 dan pada tahun 2000 menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian serta meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut bagi mengesahkan perkahwinan beliau.
Beliau telah beberapa kali dipanggil dan dinasihatkan oleh Majlis Agama berkenaan kemurtadan beliau, tetapi beliau mempertahankan yang pilihan keluar dari Islam adalah kehendak sendiri dan telah dimaklumkan pada kedua ibu bapa. Beliau bekerja di ProQuest di Taipan, Subang Jaya dan menetap di Taman Dato Tan Yeiw Lai, Kuala Lumpur.


FAKTA KES

Selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau membuat permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan sebab di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beragama Islam meskipun beliau berjaya menukar nama dalam Kad Pengenalan kepada Lina Joy.

Walau bagaimanapun, beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2000. Namun, permohonan tersebut tidak berjaya disebabkan tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah yang membenarkan pengakuan beliau keluar Islam. Bagaimanapun, Sri Ram salah seorang hakim mahkamah Tinggi menolak keputusan yang dikeluarkan oleh JPN dan bersedia untuk mengubah keputusan tersebut.

Mahkamah Syariah mengguna pakai undang-undang Islam yang tidak mengbenarkan (MENGHARAM- KAN) seseorang Muslim keluar dari Islam (Murtad) dan Sijil Tukar Agama (Murtad) seperti yang dikehendaki oleh JPN tidak dapat dikeluarkan.

Permohonan bermula di Mahkamah Tinggi tahun 2000, seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 dan keduanya mengiktiraf bahawa kes adalah dalam kuasa Mahkamah Syariah untuk membenarkan beliau keluar dari Islam dan membolehkan dibuang perkataan Islam di dalam Kad Pengenalan.

Setelah semuanya tidak berjaya, peguambela, Dato Dr Cyrus Das, juga bekas Presiden Majlis Peguam, berjaya mendapat kebenaran untuk kes dibawa kepada Mahkamah Persekutuan. Kes didengar oleh tiga Hakim ( dua Muslim dan seorang non-muslim iaitu Ketua Hakim Tun Fairiz, Dato Alauddin dan Dato Richard) pada dasarnya berpendirian yang sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan HINGGALAH Majlis Peguam yang diketuai oleh Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan beberapa yang lain, yang hanya menjadi barisan peguam pemerhati beserta banyak lagi NGO yang menyokong Lina Joy meminta untuk memberi hujah dan bersuara dan DIBENARKAN oleh mahkamah yang terlibat.


Itu adalah permulaan kes ini dibesarkan yang mana tidak pernah dalam sejarah perundangan negara peguam pemerhati dibenarkan berhujah di dalam Mahkamah. Hujah yang dibawa oleh barisan peguam pemerhati yang diketuai oleh Majlis Peguam tersebut melarikan isu utama kes berkenaan daripada hak dan kuasa Mahkamah Syariah TETAPI memberi hujah bahawa Lina Joy adalah berhak untuk mempraktikkan kepercayaannya dan dilindungi oleh perlembagaan sebagai hak individu seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini menjadi pencetus gagasan peguam Muslim Malaysia bangkit melancarkan 'jihad undang-undang' demi mempertahankan akidah dan kedaulatan Islam yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Seluruh dewan mesyuarat Mahkamah Syariah 'tegang dan panas' apabila disimbah 'petrol' semangat Islam yang meluap-luapkan api perjuangan semua hadirin yang terdiri daripada peguam, pensyarah universiti dan juga pelajar undang-undang untuk bertindak agresif mempertahankan undang-undang Islam dan kedaulatannya.

Rentetan itu, peguam-peguam muslim sepakat menubuhkan jawatankuasa bertindak dikenali sebagai 'Peguam Pembela Islam' (PPI) yang dipandu oleh Saudara Zainur Zakaria serta dibantu oleh lebih kurang 15 anggota badan bertindak pada perjumpaan khas yang diadakan di Kuala Lumpur. Asas perjuangan badan bertindak ini adalah mempertahankan kedaulatan Islam setelah 'kacau-bilau' yang dicetuskan oleh beberapa gerakan termasuk IFC (yang mempunyai agenda mengenepikan Islam) untuk 'mengganggu' peruntukan yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Suatu website diwujudkan segera untuk menjadi rujukan kepada kita mengenai fakta terbaru kes ini iaitu www.peguampembelaislam.com, www.peguampembelaislam.org atau
www.myislamnetwork.net.

Sama-sama kita peka pada perkembangan terbaru kes ini kerana ia sedikit sebanyak menggambarkan masa hadapan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara kita. Sahabiah Azhariah, Allah tidak akan tanya apa hasil dari apa yang kita lakukan, tetapi Allah akan tanya kita apa yang kita lakukan bagi memastikan tanggungjawab fardhu ain untuk menegakkan Islam di muka bumi dilaksanakan. Oleh yang demikian, beberapa pelan tindakan alternatif ke arah pemantapan akidah umat Islam sejagat harus dirangka segera agar kita tidak 'kebingungan' dalam menangani isu sebegini khususnya di tanahair kelak. Fikir & bertindak.


Dipetik dari: Suara HEWI OGOS 2006

Tiada ulasan: