Selasa, Ogos 15, 2006

Catatan Tertangguh

2 Ogos 2006

Saya memenuhi undangan Encik Razak, Pegawai Yayasan Pahang untuk melihat dan membincangkan perihal empat blok Asrama Indera Mahkota yang masih dalam proses baik pulih. Saya, Mayna(Unit Perumahan dan Kebajikan) dan Achu (Bendahari). Kami berpeluang mendaki keempat-empat blok melihat sendiri baik pulih yang sedang dijalankan. Selesai pertemuan yang berakhir sore itu Encik Razak ittifak mengatur perjumpaan dengan anak Pahang pada 5 Ogos 2006 bertujuan memberi sedikit taklimat. Malangnya tanpa saya ketahui antara peranturan yang direncanakan Encik Razak adalah 'Larangan Memakai Niqab di Perkarangan Asrama Indera Mahkota'. Benarkah ini yang bakal terlaksana??? Saya diterpa gusar. Bimbang kesan jangka panjang bakal memudaratkan generasi mendatang. Tuhan, bantulah saya...

4 Ogos 2006

Saya berkejar pulang ke Alex demi menghadiri hari keluarga, lantaran saya dipertanggungjawabkan menerajui slot BICARAWARA SASTERA esok hari. Penat musafir tetap memaksa saya melakukan sedikit persediaan. Beberapa kertas kerja masih belum di'print out'. Saya harus ke cc untuk mendapatkan sedikit maklumat dari pemakalah yang bakal membentang esok hari. Panelis yang bakal dibariskan datangnya dari Kaherah, Saudara Ariff Fadhillah Amiruddin dan Saudara Ahmad Ubaidillah Alias. Masing-masing akan menyentuh aspek persuratan melayu dan peripenting penulisan melalui mandala dakwah serta sikap, jati diri dan karismatik seorang penulis muslim. Seterusnya bakal penulis akan dibimbing melalui denai untuk dikenalkan kepada genre cerpen, esei dan karikatur oleh Saudara Ahmad Ubaidillah Alias. Berganding dengan penulis tersohor dan 'orang lama' sedikit menggugah emosi dan keyakinan saya. Pecahkan tembok 'nervous' tak semudah memecahkan ais yang kadang kala ia akan cair ditenung suria tanpa perlu mencurah tenaga. Sebenarnya program sebegini adalah siri-siri memberi kefahaman dan satu asakan kepada penulis muda agar bangkit dan menjadikan penulisan sebagai agenda dakwah yang usah diremehkan.

قاَلَ الشَّيْخُ عَلِيُّ بْنُ حَسَنِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ عَبْدِ الْحَمِيدِ فِي كِتَابِهِ "رُؤْيَةٍ وَاقِعِيَّةٍ فِي الْمَنَاهِجِ الدَّعْوِيَّةِ"، اَلنَّاشِرُ دَارُ الْمَنَارِ بِالرِّيَاضِ، ص 3:{{أَمُوتُ وَيَبْقَى كُلُّ مَا كَتَبْتُهُ *** فَيَالَيْتَ مَنْ يَقْرَأُ كِتَابِي دَعا لِيَا، لَعَلَّ إِلاَهِي أَنْ يَمُنَّ بِلُطْفِهِ *** وَيَرْحَمَ تَقْصِيرِي وَسُوءَ فَعَالِياَ.}}"Aku akan mati dan yang kekal (hanyalah) semua yang pernah saya tuliskan *** Maka alangkah (baiknya) sesiapa yang membaca tulisan saya ini mendoakan buat saya. Semoga Tuhanku akan menganugerahkanku dengan belas-kasihanNya *** Juga merahmati (mengampunkan segala) cacat-celaku dan pelbagai keburukan perbuatanku."

(Maaf ya Ustaz Ariff, copy dari kertas kerja ustaz.)

12 Ogos 2006

Menghadiri Program Injeksi Mandiri Efektif Jentera PMRAM 06 di atas platform Timb. Pengarah MPP, di bawah Unit Penerbitan dan Penerangan. Saya begitu senang dengan program IMEJ 06 yang dibawa dengan mesra dan separa santai. Komitmen yang diberikan oleh Badan Pengurus PMRAM dan HEWI PMRAM begitu tinggi dan tidak berbelah bagi sehingga membuatkan saya mengalirkan air mata. Seakan meresap semangat dan perjuangan amal islami melalui ikatan ukhuwah dan ruhiyyah. Menjelang petang saya jatuh gering. Saya dibenarkan berehat beberapa ketika di Pejabat siswi KPIPM. Ah, esok saya akan berbengkel di Dewan Tok Kenali di Rumah Kelantan Baru...laratkah? Penat berprogram seharian membawa saya ke alam mimpi usai Isya' tanpa sempat memeriksa manuskrip cerpen peserta yang bakal dibengkelkan esok hari...maaf ya penganjur. Saya masih gagah cuma adakala stamina yang dhaif...

13 Ogos 2006

Saya bangkit awal terus memeriksa manuskrip yang masih berbaki. Menggosok jubah berwarna maroon dan tudung pink. Sengaja saya kenakan warna tersebut lantaran pink adalah warna dan aura kekutan saya. Saya ingin mendapatkan kekuatan dalaman melalui aura warna dan mencari keyakinan di celah-celah gementar yang bersilih ganti. Gering semalam masih terasa...dek kerana janji, dek kerana amanah, dek kerana perjuangan saya kuatkan diri, pasakan niat sekemasnya. Saya akan hadiri program ini! Berseorangan menaiki teksi dari Abas el-Akad sedikit membimbangkan mengenangkan keselamatan di tahap sifar. Lalu saya putuskan untuk berjalan kaki ke Hayyu Sabiek. Sedang molek sampai di depan rumah Kelantan majlis perasmian akan dilancarkan. Saya sedikit lega, walaupun tersilap mengambil lorong dan hampir tersesat Tuhan membantu saya mencari lokasi program. Terima kasih kepada penganjur di atas layanan yang baik. Saya begitu terharu dapat bersua dengan Firdawati Derahman, teman dan Timb. Pengarah KERIS sesi lepas. Dia masih seperti dulu, ceria, ramah dan merai...Jazakallahu Khairan! LPP dan UPP KPKM, maafkan segala kekurangan dan kelemahan saya. Begitu juga buat rafiq sealir perjuangan SASTERAWAN TENTERA, Saudara Mohd Zaki Mohd Noor dan Saudara Ahmad Ubaidillah Alias. Kalian banyak membantu dan mengenalkan saya erti optimis, Jazakallahu Khairan!

14 Ogos 2006

Saya mendaki rumah Johor untuk memimpin barisan pelakon pentomen pada Malam Aspirasi Kesenian Islam (MANIS) sempena Sambutan Ulangtahun ke-50 HEWI PMRAM.

1515, SEJARAH YANG DIGELAPKAN

Olahan: Faizatul Herda bt Mohd Azaman

Karya asal: Faisal Tehrani(1515, Novel ini telah memenangi tempat pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002)

Prolog

Nama hamba Nyemah Mulya. Usia lima belas tahun. Puas hamba menanti detik cucunda baligh demi menyerah tugas yang tertangguh sejak 500 tahun lampau. Niat nenda hanya satu cucunda, berkerjasama merubah sejarah. Nenda usai mengkhatami The Complete History of Malaysia karangan cucunda. Juga sebuah lagi kajian sejarah yang menjadikan cucunda sejarawati tersohor dalam usia mentah berjudul “Nyemah Mulya: Srikandi Perang Melaka 1511.”

Berdasarkan satu lagi teks sejarah yang ditulis oleh Margarita Teixeira, nenda dapati nama Nyemah Mulya memberi kesan besar dalam sejarah Melaka. Namun sayang, Melaka tetap jatuh ke tangan Portugis. Nyemah, nenda difahamkan telah ditawan dan diperhambakan di Lisbon oleh Raja Manuel sebelum dijual kepada Mario Rabal, budiman berbangsa Sepanyol.
Nenda mahu merubahnya dan hanya cucunda sebagai sejarawati dapat membantu nenda untuk membetulkan semula jurusan sejarah yang memang salah ini. Nenda mahu ia sama sekali berbeza. Sama sekali tertulis sesuatu yang lain. Sesuatu yang menguntungkan bangsa dan agama kita. Nenda tidak dapat menerima Nusantara terpecah-pecah menjadi mancanegara. Nusantara adalah tanah dan air, tanah air!


Nenda mahu semuanya dibetulkan. Nenda menuntut ia dibaiki. Cucunda hidup dalam masa hadapan. Cucunda tahu setiap muslihat Portugis yang zalim itu. Cucunda memahami secara rinci makar dan helah yang menjerumuskan Melaka ke dalam penjajahan ratusan tahun yang mengaibkan, kata orang tua-tua cucunda: Tanah lembah kandungan air, kayu bengkok titian kera!(sesuatu keadaan boleh menyebabkan terjadi keadaan yang lain). Di situlah kekuatan nenda, Nyemah Mulya dan kita berdua. Cucunda dan nenda bergabung tenaga-merubah sejarah. Kita akan menulis semula keaiban ini menjadi satu kegemilangan. Mahukah cucunda memberanikan diri menukar semua ini?

Babak Satu

Saya bangkit dari tidur awal pagi. Bingung. Teringatkan mimpi tadi. Usai solat subuh saya termenung. Menung yang panjang. Saya bermimpi pada waktu sepatutnya saya bertahajud. Nyemah Mulya, itu nama saya dan nama nenek. Kata mama, sengaja dikalungkan nama Nyemah Mulya kepada saya lantaran saya menyalin genetik dari sisi mama, hujung rambut hingga hujung kaki. Paras saya menyerupai nenek ketika zaman remajanya. Langsung tiada beza! Habis siapa pula yang datang dalam mimpi saya tadi? Adakah Nyemah Mulya srikandi Melaka adalah leluhur saya? Adakah? Alangkah! Saya nekad pulang ke kampung bertanya sendiri pada nenek. Adakah Tun Nyemah Mulya srikandi Melaka asalan saya? Adakah nenek pernah didatangi mimpi yang serupa? Kebingungan saya terus bergumpal umpama tompokan mega yang memberat dan berarak. Nenek harus saya temui!

Babak keseterusnya...jumpa di MANIS nanti ya!

5 ulasan:

A. Ubaidillah Alias berkata...

Begini, saya sangat peka soal masa. Tentu saudari masih ingat waktu program INTEL INSIDE di rumah Melaka. Siapa yang datang paling awal untuk slot bicarawara? Tak silap, saya datang tepat2 pada waktu seperti yang anda minta. Dan sendirian menunggu dua panelis lagi sampai.

Di alex pula. Saya fikir bicarawara bermula lambat kerana kelewatan peserta. Rupanya saya yang disalahkan dalam hal ni. Saya menunggu di pintu dewan bersama ustaz arif sekitar jam 1.55 pm. Bukan 1.40pm.

Saya juga pelik, kenapa ustazah lambat memberi kami masuk. Rupanya, mereka menunggu saya muncul. Padahal saya sudah lama muncul di pintu bersama ustaz Arif.

Saya tidak tahu siapa yang mengatakan saya datang lambat. Bagi saya, ini suatu catatan yang agak memburukkan reputasi saya. Saya harap, faizah dapat membaiki catatan ini.

Syukran.

Unknown berkata...

Interaksi roh menukil minda menjadi jitu oleh keupayaan mendeklamasikan dendangan barakah agar semangat tidak mudah tergugah.
Senag dan seperti penegasan saya di awal catitan, seperti wujud keserasian bila di sini saya singgahi.

Faizah Azaman berkata...

puan, moga keserasian ini akan menunaskan wehdatul fikr dan amal. jemput lah datang lagi. maaf lewat memberi respon. moga sentiasa qarib pada Pengatur Alam

Faizah Azaman berkata...

saudara ubai, bertenang ya. halusi tulisan saya...bukan utk menghukum tetapi sekadar tulisan yang tidak lebih dari naratif. Jangan marah-marah (",)

A. Ubaidillah Alias berkata...

Betul kata anda, saya yang tersalah memahami. Apapun, saya berharap naratif yang menyalahi dengan fakta itu dibetulkan. Saya tidak mahu anda menjadi seorang penyampai yang tersalah fakta.

Manakah yang lebih baik, saya menegur atau saya diamkan? Manakah yang lebih baik, dibiarkan atau diperbetulkan?

wassalam.