Gambar:Abah dan Ala diambil pada Aidilfitri tahun sudah
Sms kepada Amiza Khusyri:-
Sifo, sihat hari ni? Cerpen saya KUNANG-KUNANG LENTERA tersiar di DAF keluaran Jun. Umr, berapa percent less untuk 2 novel Faisal tu? Kan dah janji ada less klu karya tersiar.
Balasan daripada Amiza Khusyri:-
Mabruk. Saya yakin pada bakat Faezah. Saya pun bermula di DAF. Diskaun 20% untuk kedua-dua buku. Klu tersiar lagi 4cerpen, saya bagi free. Cepat, selagi tawaran masih ada :-)
Betapa Amiza menyakini bakat saya. Sedang saya terbata-bata keresahan mencari sekelumit jatidiri dan mandiri. Seharusnya saya bersikap optimis sepertinya. Diskaun 20% untuk dua novel Faisal Tehrani yang dipesan tahun sudah, ADVENCER SI PENIUP NEY dan DETEKTIF INDIGO bermakna RM 36 ditolak RM 7.20= RM 28.80
Proses kreatif pembikinan Kunang-Kunang Lentera agak unik saya kira. Sekitar November tahun sudah saya melayari laman web Harun Yahya dan membaca tentang Pembatalan Darwinisme. Saya simpan artikel tersebut di dalam komputer di pejabat HEWI BKMIP dalam folder KBH. Bila kelapangan saya mebacanya dan ia disifatkan sebagai arikel berat dan ilmiah. Agak sukar memahami falsafah Darwinisme. Saya teruja untuk menulisnya dan mengkreatifkan agar ia bisa dibaca oleh khalayak tanpa mengira tahap akademik. Dari situ bermulalah pengkajian saya serba sedikit dan mengumpulan bahan untuk latar tempat yang sesuai. Kemana harus saya bawa watak ini? Perancis. Mengapa? Ntah saya pun tak pasti.
Keinginan saya menukangi cerpen ini bertitik tolak juga dari pengalaman silam, seingat saya ketika itu saya berusia 7 tahun. Setiap petang saya suka berziarah ke rumah aki dan wan yang tingal berdekatan rumah kami. Kami berdua ke sana ingin berbual dengan aki dan menyimpan sedikit harapan moga-moga aki ke pasar malam membawa kami bersama. Sudut yang menjadi kegemaran kami ialah di pojok almari buku yang termuat Ensiklopedia dalam bahasa Inggeris. Lantaran susunan aksaranya agak asing pada lidah saya ketika itu lalu saya tidak makruf apakah tajuknya yang sebenar. Keseronokan menyelak halaman berwarna dengan pelbagai grafik dan koleksi gambar menggoda ghairah akal kami apabila melihat grafik evolusi asal kejadian manusia dari seeokor beruk/monyet/haiwan. Wah, buku ini amat menarik bagi saya. Cuma, berlaku paradoks maklumat dalam folder minda saya apabila sebelum ini ma pernah berkisah asal manusia dari Nabi Adam alaihi salam manusia berakal yang bukan haiwan. Ia benar-benar menguja dengan teka-teki penuh misteri.
Lantas pada ma saya bertanya ketika ma usai solat asar seingat saya. Ujar ma, orang kafir nak nafikan kewujudan nabi. Lalu utusan Allah, mereka nafikan dengan berbagai cara termasuk me'monyet'kan leluhur sendiri. Alangkah!
Kepada kak long juga saya maklumkan berita gembira ini. Puas rasanya dapat berkongsi dengan keluarga. Seronok? Bersyukur, mudah-mudahan tema dan gagasan yang digalas bisa menyentuh khalayak. Kata kak long, abah terharu metah serasa saya adalah pewaris yang menyambung minatnya dalam sastera.
Tersentuh dengan pesanan Amiza..."Teruskan, bina semangat dengan karya pertama itu."
Amiza Khusyri adalah sahabat penulisan yang saya segani. Sering meniupkan semangat kepada angkatan penulis muda Mesir. Optimis akan kebangkitan penulis timur tengah yang disiftakan sebagai SASTERAWAN TENTERA. Aspirasinya adalah inspirasi kami. Saya benar terusik ketika menerima pemberian Amiza, Antologi Cerpen Salju Jabal Musa. Dimuka depannya tertulis...'Faezah, kita adalah sasterawan tentera!'
Sasterawan tentera bukan satria sembarangan, perkakasnya mesti dilengkapi kesatrian ruhiyyah dan tujuan yang jelas lagi jitu. Penulisan adalah medan, pena adalah senjata. Nah, apa lagi palukan gong, alunkan serunai! Satria ini akan berpencak dengan langkah waspada. Kilasnya bukan memangkah yang tempang, tidak menepis yang sendeng. Bahkan tarian silat ini untuk mempertahankan agama bukan menyerang selela-lela. Mendidik yang lemah berjiwa kebal, melerai gari yang membelenggu bangsa. Bangkitlah syabab! Bina kembali daulah yang telah rebah. Jalannya hanya satu. Kembali kepada Allah, Berpegang kepada sunah Rasul. Menulis itu satu amanah, yang bakal dipersoal. Semakin besar mesej yang dikandung karya semakin tinggi nilainya di sisi agama.
SASTERAWAN TENTERA
Dia
Optimis pada diri
Aspirasinya laksana jihad
Menyarung jubah taqwa
Melilit serban zuhud
Menyisip pena dicelah jemari
Guna memangkah yang batil
Demi menjulang yang haq
Dia
Sumur mindanya jernih memancar
Bak kali di dasarnya emas
Sukmanya mengental keampuhan
Bertiangkan kalam Tuhan
Berambalkan Sunah Rasul
Berjidarkan ithar sahabat
Dia
Gagasan fikir teras Rabbani
Temanya menyingkap hijab si celik
Laras bahasa memburas mendidik
Alur cerita sifar erotik
Niatnya telus lagi muluk
Kembalikan manusia hidup berTuhan
Mengamalkan sunah Nabi suruhan
Berjuang menegak daulah yang punah
Dijarah imperialis bertopeng sakinah
Dia
Sasterawan tentera utusan Tuhan
Medannya jihad bukan mainan
Menggalas misi membawa panji
Dijulang tinggi pesan Nabi
"Man Qaala la illaha illallah
Fahua ad-dai'e."
Dia menulis kerana Tuhan
Bukan mengejar kebendaan
Bukan melorek imiginasi ciptaan
Cinta khalis dipertaruhkan
Menghela ummah menyembah Tuhan
Kembali mencintai sunnah junjungan
Bumantara bersipongang kalimah tauhid
Daulah Islam agam bangkit.
1.44pm
9/6/06
Jumaat
1 ulasan:
Tahniah. Maaflah kalau terlambat ucap. Tiada maklumat
Catat Ulasan