Jumaat, Jun 30, 2006
Dia yang Tercinta II
Suci nyamur pagi
Suci lagi hati ini
Luka tak berparut
Berdarah tak mengalir
Terhempas tak berderai
Tergantung tak bertali
Sekuntum hati yang mekar
Kelopaknya disiat dirabak
Warnanya kelam memudar
Tiada embun mengguyur
Tiada suria menyapa
Tiada kumbang melirik
anekdot i
+Mengapa?
-Hati ini terdera
+Angkara siapa?
-Si dia yang gila
+Gila isim?
-Tak, gila cinta!
+Lalu?
-Tidak upaya merawat
+Biarkan saja?
-Ya. Kerana aku jua gila
anekdot ii
+Keluar!
-Dari mana?
+Dari kepompong derita
-Kenapa?
+Aku tak sanggup lihat kau terusan begini
-Aku bahagia begitu
+Bohong!-Sungguh!
+Kau dustai diri sendiri!
-Biarkan. Itu pilihan aku
+Kau cinta dia!-Mungkin...
+Bebaskan dia!
-Tidak. Dia sentiasa ekori aku.
+Ilusi!
-(Diam) Dia cinta pertama. Bagaimana aku bisa bebaskan?
+Biar aku cantas talinya
-Jangan!
+Berapa ramai wanita derita di luar sana angkara cinta pertama!
-Kami rela
+Sampai bila?
-Sampai mati!
anekdot iii
+Masih ingat dia walaupun makan dek tahun?
-Yang pertama mana boleh lupa
+Sulit benarkah nak lupakan dia?
-Kenangan dan pengajaran (Tersenyum-masakan boleh lupa?)
+Teladan. Begitu?
-Ya. Teladan yang paling bermakna
+Kenapa putus di tengah jalan? Ada orang ketiga?
-Tuhan menghalangnya...
+Dari apa?
-Dari lelaki berhati daun kayu sepertinya. (Sambil mengenyitkan mata kanan)
(Maaf ya. Entri usai peperiksaan bertemakan cinta. Saya penat bercinta dengan kitab. Di sini saya luahkan sekadar kecindan yang santai-Tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah pergi)
Lakaran Bait Dalam Jambangan Kenangan
Dia
Telah kumerdekakan
Dari sangkar hatiku
Kerna hatinya
Bak daun kayu dihembus bayu
Sering berbolak-balik
Teroleng-oleng di lautan kasih
Aku derita sendirian
Bak bintang khali cahaya
Bak siang bercerai malam
Awan larat korneaku tiris
Dadaku berombak pilu
Derap langkah kegontaian
Ibarat berdiri menanti rebah
Dia
Sesungguhnya
Tidak bisa aku merdekakan
Dari lubuk kalbu paling dalam
Segala tentangnya tersidai rapi
Di bidai cinta sejati
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Di bibir bukan hakiki
Nubari merana bukan kepalang
Merdekakan cinta ini!
Aku sengsara tidak terperi
Hentikan mainan perasaan
Pandulah akal dengan iman
Dia tidak betah aku merdekakan
Kerna cintaku khalis bukan omongan
7.23pmJumaat 16 Jun 2006
(from the bottom of my heart)
Sentuhan Hadis Nabawi
Dari Abu Hurairah r.a berkata. Dari Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:"Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah s.w.t di bawah naungan-Nya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah, pemimpin yang adil, pemuda dan pemudi yang membesar di dalam beribadah kepada Allah semasa hayatnya, seseorang yang hatinya sentiasa berpaut pada masjid iaitu sangat mencintainya dan selalu mendirikan solat jemaah, dua orang yang yang saling mengasihi kerana Allah iaitu keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupa paras yang elok untuk melakukan kejahatan tetapi dia menolak dengan menjawab: 'Aku takut kepada Allah', seseorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakan seolah-olah tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan, dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalirkan air mata."-SodakarRasulullah s.a.w
Pengajaran Hadis :
1)Imam yang adil- Menghukum dengan kebenaran dan keadilan bahkan tidak menzalimi dan melebihi dalam menghukum seseorang dengan seseorang yang lain walaupun orang itu paling hampir dengannya dan paling disayangi (berat sebelah)
-Orang yang berkuasa tidak akan berkuasa hinggalah menjadi keawajipan keatasnya untuk menegur orang.
-Orang yang tidak berkuasa, berkuasa pada perkara yang menjadi kewajipan keatasnya untuk menegur orang yang menzaliminya atau yang tidak berlaku adil kepadanya.Kata Abu Bakar As-Siddiq:"Wahai manusia, aku telah dilantik menjadi ketua ke atas kamu dan aku bukanlah sebaik-baik manusia diantara kamu. Sekiranya aku benar, lindungilah aku dan sekiranya aku salah, betulkanlah aku. Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. sekiranya aku melakukan dosa pada Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah taatiku."
2) Pemuda dan pemudi yang membesar dengan kuat dan berkuasa untuk mengarahkan dirinya mentaati Allah. Mereka yang inginkan kebaikkan dan mengamalkannya.
3) Seseorang yang hatinya berpaut pada masjid. Maka apabila hati terpaut pada masjid dan mengimarahkannya dengan berzikir kepada Allah dan memperbanyakkan menziarahi untuk solat, i'tikaf dan mempelajari hal keadaan orang muslimin.
4) Dua orang yang slaing berkasih sayang kerana Allah. Persaudaraan kerana iman tanpa ada hubungan kekeluargaan dan kerabat. Bercita-cita supaya sahabatnya mendapat kebaikkan sepertimana dia bercita-cita dirinya mendapat kebaikkan.
5) Pemuda yang tetap akidahnya, keimanan yang ikhlas, yakin bahawa Allah sentiasa bersama-samanya walau di mana sahaja. Takut kepada Allah dalam keadaan gelap dan terang, zahir dan batin, sejajar dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w "Barangsiapa yang boleh menjaga dua bahunya dan dua pahanya maka akan diberikannya syurga."
6) Seseorang yang memberi sedekah ikhlas kerana Allah, dia menjauhkan daripada pandangan orang dan pendengaran orang.
7) Seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi. Semua mata di hari kiamat akan menangis melainkan mata yang menangis kerana takutkan Allah, mata yang berjaga malam untuk pertahankan jalan Allah dan mata yang pejam daripada perkara-perkara yang haram.
(Dedikasi untuk anda yang bernama PEMUDA/PEMUDI)
Isnin, Jun 12, 2006
Sasterawan Tentera
Tersentuh dengan pesanan Amiza..."Teruskan, bina semangat dengan karya pertama itu."
Amiza Khusyri adalah sahabat penulisan yang saya segani. Sering meniupkan semangat kepada angkatan penulis muda Mesir. Optimis akan kebangkitan penulis timur tengah yang disiftakan sebagai SASTERAWAN TENTERA. Aspirasinya adalah inspirasi kami. Saya benar terusik ketika menerima pemberian Amiza, Antologi Cerpen Salju Jabal Musa. Dimuka depannya tertulis...'Faezah, kita adalah sasterawan tentera!'
Sasterawan tentera bukan satria sembarangan, perkakasnya mesti dilengkapi kesatrian ruhiyyah dan tujuan yang jelas lagi jitu. Penulisan adalah medan, pena adalah senjata. Nah, apa lagi palukan gong, alunkan serunai! Satria ini akan berpencak dengan langkah waspada. Kilasnya bukan memangkah yang tempang, tidak menepis yang sendeng. Bahkan tarian silat ini untuk mempertahankan agama bukan menyerang selela-lela. Mendidik yang lemah berjiwa kebal, melerai gari yang membelenggu bangsa. Bangkitlah syabab! Bina kembali daulah yang telah rebah. Jalannya hanya satu. Kembali kepada Allah, Berpegang kepada sunah Rasul. Menulis itu satu amanah, yang bakal dipersoal. Semakin besar mesej yang dikandung karya semakin tinggi nilainya di sisi agama.
SASTERAWAN TENTERA
Dia
Optimis pada diri
Aspirasinya laksana jihad
Menyarung jubah taqwa
Melilit serban zuhud
Menyisip pena dicelah jemari
Guna memangkah yang batil
Demi menjulang yang haq
Dia
Sumur mindanya jernih memancar
Bak kali di dasarnya emas
Sukmanya mengental keampuhan
Bertiangkan kalam Tuhan
Berambalkan Sunah Rasul
Berjidarkan ithar sahabat
Dia
Gagasan fikir teras Rabbani
Temanya menyingkap hijab si celik
Laras bahasa memburas mendidik
Alur cerita sifar erotik
Niatnya telus lagi muluk
Kembalikan manusia hidup berTuhan
Mengamalkan sunah Nabi suruhan
Berjuang menegak daulah yang punah
Dijarah imperialis bertopeng sakinah
Dia
Sasterawan tentera utusan Tuhan
Medannya jihad bukan mainan
Menggalas misi membawa panji
Dijulang tinggi pesan Nabi
"Man Qaala la illaha illallah
Fahua ad-dai'e."
Dia menulis kerana Tuhan
Bukan mengejar kebendaan
Bukan melorek imiginasi ciptaan
Cinta khalis dipertaruhkan
Menghela ummah menyembah Tuhan
Kembali mencintai sunnah junjungan
Bumantara bersipongang kalimah tauhid
Daulah Islam agam bangkit.
1.44pm
9/6/06
Jumaat