Ahad, April 30, 2006

Catatan Penghujung April

SEPINTAS LALU
28 April 2006

Jumaat jam sudah bertukar, bermakna awal sejam dari biasa. Mesir lewat 5 jam dari Malaysia di musim panas berbanding 6 jam di musim sejuk. Saya menelefon Ayiem yang khabarnya pulang bercuti awal 4 hari dari temannya yang lain. Bimbang dan pelik merabung dalam hati. Belajar bernakal-nakal ke? Rupanya Ayiem dijemput ke Majlis Kecemerlangan Pelajar Peringkat Negeri Pahang di Pekan Bandar DiRaja.

Oh, saya teruja melayari entri mantan Ketua Moderator KELAP PMRAM sesi 2004, Saudara A. Ubaidillah Alias setelah dia meninggalkan pesanan di cbox pink. Lalu saya ingin menitipkan respon di sini jauh sekali bikin provokasi. Ia tidak lebih dari sebuah luahan dari warga kota klasik(petutlah 2-3 hari ni asyik tersedak makan tepung pelita, rupanya anak dara saya dikata-pantun dua kerat)

Tahun sudah saya memegang jawatan sebagai Pengarah Badan Kaji Tindak Iskandariah atau akronimnya BAKTI. BAKTI adalah sub-org dari Unit Pendidikan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah. Anda tahu, antara bidang tugas paling mencabar ialah mencari tenaga pengajar. Tak semudah yang disangka. Mujur DPMI taakhi KPKM yang juga punya Biro Kelas dan Bimbingan yang diterajui oleh pengarahnya Ustaz Ariff Fadhillah yang sudi membantu kami mendapatkan tenaga pengajar dari Kaherah. Adapaun di sekitar muhafazah terdekat saya urusi sendiri. Rencam dan pelbagai peristiwa pahit, manis, masin, masam, dan pedas saya telan. Sungguh! Bahkan saya terpaksa melayan kerenah birokrasi, maklumkan kepada Pengerusi setiap DPM siapa saya dan tujuan saya menghubungi. Kemudian baharulah diberi keizinan menghubungi Unit Pendidikan dan Pengetahuan DPM tersebut. Itu belum dicampuri kerenah tenaga pengajar. Telefon genggam saya kerap menjerit mohon dilayan aduan dan kerenah tenaga pengajar:-

-Tolong baiki pemanas air
-Kami puasa, hantar makanan cepat sikit
-Pagi, tolong masak makanan berat kami cepat lapar
-Tak tahu jalan ke lokasi mengajar
-Juadah yang disediakan banyak sangat
-Juadah yang disediakan tak cukup
-Juadah yang disediakan sedap sangat
-Dan komentar seperti di dalam blog Saudara Ubaid

Kami ikutkan kerana tenaga pengajar adalah tetamu yang dirai, dimuliakan dan didoakan. Dalam ramai-ramai pengajar yang dijemput secara peribadi saya perhatikan hanya Ustaz Ariff Fadhilah mudah diurusi. Katanya, "Pesan pada pelajar 4 Ususluddin yang mengaji dengan ana, makan pagi hanya roti disapu muroba/jem sudah memada."

Saya benar-benar terharu, dalam ramai-ramai yang beraneka kerenah masih ada yang mengerti rutin siswi. Bukan itu sahaja pelajar 4 Usuluddin sampaikan kepada saya hidangan yang diberi dipulangkan bekas keesokkan harinya dengan sisipan ilmu (kitab kecil atau kad yang tertulis Hadis dan potongan ayat Quran-tazkirah)

*Faizah kata:- Saya hanya masak seminggu sekali (",)

Aha, kedamaian di sini bukanlah faktor utama yang menyumbang kepada kecemerlangan. Walau tenang bagai air di kali jika sifar 'biah solehah', ibtila' Allah sedia menyapa.
Baldatun toyyibatun waRabbun Ghafur.

30 April 2006

Kami menyambut seorang lagi alybayt baru dari Malaysia berstatus 'Puan Muda'. Ibu mertuanya mengirimkan ketupat daun palas. Aduhai, syahdunya! Teringat pada mak di kampung. Bila kami sekeluarga pulang berhari raya, mak akan keluarkan raga dari bawah katil. katanya, "Ketupat ni kena susuk, nanti anak Chu Mat habiskan." Lemaknya ketupat daun palas mak. Yang manis diisi kacang yang masin dibiar kosong. Ujar mak dia tak makan ketupat masin, juadah tersebut dibikin khas untuk cucunya dari Pahang. Saya jamah keduanya! Satu lagi juadah tradisional yang selalu mak tinggalkan untuk kami, tapai! Enaknya tapai dalam daun getah! Cukup raginya, berladung airnya...Saya bagi mak 5 bintang untuk ketupat daun palas dan tapai(",)
TAK KAN MELAYU HILANG DI DUNIA?
Saya suka membaca maklumat pada ubat gigi kalau berada di bilik air. membelek-belek ingredients, pesanan syarikat contohnya begini:-'Water is valuable.Turn off the water tap while brushing your teeth' dan apa-apa yang berasakan aksara. Pagi tadi saya ke bilik air ada ubat gigi dari Malaysia FRESH and WHITE atas sink dengan beruang putih sebagai mascot. "Ish, Bahasa Cina??? Tak fahamlah!" saya palingkan ke belakang. "Ah, English??? Mana pergi Bahasa Melayu? Dah layu ke?"
Jika Bahasa Inggeris bahasa pertama, Bahasa Cina bahasa kedua. Bahasa Melayu bahasa keberapa? Apa bahasa ibunda sudah lenyap kimah komersial? Siapa nak jawab? Pak menteri? Munsyi Dewan? DBP? Melayu asing di tanah sendiri...pilunya!

Rabu, April 26, 2006

Haiku dan 'Pink'

Tajuk:Fitnah Mawar
Memerah mawar
Bayu lembut menyapa
Awas tindakmu
Tajuk:Musim Panas
Panas berarak
Putik kurma menguning
Hilang dahaga
Tajuk:Muhammad, Al-Amin
Kafilah unta
Merenangi sahara
Modal amanah
Tajuk:Iqra'
Laut selebu
Airnya pasang surut
Selami ilmu
Sengaja meninggalkan haiku di sini. Ia bukanlah percubaan pertama. Saya pernah menggilai haiku satu ketika dulu. Saya ingati formula asas dan unsurnya, cuma sangat lemah menggarapnya.
Formula: 5,7,5 suku kata
Contoh:
5-Me/me/rah /ma/war
7-Ba/yu/ lem/ but/ me/nya/pa
5-A/was/ tin/dak/mu
Tema dan unsurnya: Alam dan keindahan
Jika anda teruja dan ingin memesrai langsung mendampingi haiku kunjungi e-Sastera.com dan layari ujana haiku yang diselenggarakan oleh Saudara Lela-Hiro san. Anda boleh berinteraksi, membaca kertas kerja, menghantar haiku untuk dikomen dan dibimbing.
Haiku menenangkan. Merangsang sel-sel otak anda. Mencabar keupayaan menaakul dan kepekaan anda melalui interaksi secara langsung dengan alam ciptaan ar-Rahman. Selamat menggembara!
'Pink' atau 'Pinky'
Oh ya, bagi anda yang berwarna 'Pink', jangan lupa warna kita akan bertebaran di bumi sekitar jam 12 tengah malam hingga 1 pagi setiap hari! Waktu yang bisa menyuntik kekuatan dan keampuhan. Gunakan untuk bertaqarrub lebih intim dengan si DIA dan ilmu.
Ingat! Ketekunan, kesungguhan dan keyakinan kita bisa mencapai maqam MAKRIFAT

Isnin, April 24, 2006

Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa

22 April 2006

Prof. Dr Hamid Ahmad Hamad, lecturer subjek Hadis Hukum memberikan silibus khas kepada pelajar asing. Dia sangat prihatin dan menyayangi kami. Buktinya dia pernah menghadiahkan tudung kepada semua pelajar Malaysia di Al-Azhar University cawangan Iskandariah dan memberikan nasi daging sempena Ramadan al-Mubarak dua tahun sudah. Beliau mengajar subjek yang sama sejak saya di tahun satu. Alhamdulillah madahnya subjek skor kelas kami. Ujarnya, "Pelajar Malaysia sangat bagus. Apa yang diajar itu yang diamalkan. Kalian memartabatkan ilmu dengan mengamalkan apa yang diajar dan disentuh dalam Al-Quran dan As-sunah. Tidak seperti pelajarku daripada bangsaku. Mereka belajar untuk melepasi exam, tengok cara mereka berpakaian dan bersolek/tabaruj. Tidak seperti kalian membawa pulang apa yang dikutip di sini. Aha, ketika aku mengajar siswa di Al-Azhar University Cawangan Damanhur, salah seorang siswa Malaysia datang kepadaku, katanya 'Doktor, bantulah siswi di Iskandariah mereka adalah sahabat-sahabatku.' Lalu aku lebih teruja membantu kalian! Waspada! Silibus ini bukan untuk pelajar arab."

Moga Allah mengampunkan segala dosa Pensyarah kami. Dilembutkan hati mereka ketika menanda kertas jawapan kami dan diikhlaskan hati mereka mengajarkan kami ilmu demi melahirkan pejuang Islam yang tulen . Ameen!

23 April 2006
Saya dan Yiet ke Pejabat Pos Sidi Bish Tram. mengambil kiriman dari wani yang menetap di Katanning, Australia. Barang yang dipos melewati sepurnama lamanya. Aduhai, sudah lama tak menikmati coklat import. Wani poskan coklat Kit Kat Temptations Hazelnuts Praline, Cadbury Caramel and Grape Jelly Filled Fine Milk Chocolate Eggs(sempena Easter) dan Ferrero Rocher dari 'Aussie'. Seingat saya kali pertama mengulum dan menguyah coklat import yang dibawa pak lang sewaktu mengabiskan pengajian sarjananya dalam bidang kejuruteraan Elektrik di UK sekitar awal tahun 90-an. Kali terakhir menikmatinya saat menerima kunjungan Dr Elle(adik Medic) ketika semusim imtiyhan tahun sudah. Dr Elle membawa Garoto Avellanas Hazelnuts dari Brazil. Mewahnya adunan ciklat susu dan ulas-ulas kacang hazelnya.
Sekalung ucapan terima kasih buat Wani di atas tanda ingatannya yang berpanjangan buat kami berdua di sini. Allah saja bisa membalas budi baik kalian sekeluarga. sampaikan salam buat umi, abi dan adik-adik. Hug and kisses!

Ahad, April 16, 2006

Kala Rindu Gegar Nubari...

6 April 2006

UPP Alex minta saya beri pengisian ringkas kepada Ahli Kelab Tunas Karya. Katanya ahli seramai 8 orang [walau yang datang hanya 5 orang]. Kuantiti tak penting. Sekalipun seorang yang hadir saya tetap bersemangat memuntahkan isi yang mendap di dasar sumur minda dan dada. Pengarahnya, NurunNaim Ahmad Tabrani/srimersing.blogdrive.com. memulakan sesi dengan menyampaikan pengenalan asas menulis esei dan artikel ilmiah. Penyampaian beliau tertumpu sepenuhnya kepada pembikinan penulisan non-kreatif. Melalui idea terancang dan tersusun saya begitu tertarik dengan fakta sejarah yang diungkapkan bermula dari kepentingan pena dan sejarah penulisan di zaman kuno hingga termoden. Peserta yang hadir menumpukan sepenuhnya perhatian dan kosentrasi. Benar-benar teruja!

Dan saya sedayanya menangani kertas kerja yang ditukangi sebulan sudah, penulisan kreatif dengan mengaulkan proses kreativiti cerpen yang pernah saya hamilkan. Saya mahu menggesa mereka merasakan penulisan adalah satu JIHAD. Saya mahu libatkan mereka dalam perjuangan yang tidak bernoktah kecuali berakhirnya alam ini. Mengenalkan mereka kepada Pencipta melalui mandala penulisan. Biar menyubur iman mereka.

Dari 5 orang yang hadir hanya 2 daripadanya cenderung ke arah genre kreatif, Saudara Mazlina Abu dan saudara Zainab Harun. Itu sudah memada, andai istiqamah! Lega! Saya sudah mencongak siapakah pewaris Tun Nyemah Mulya versi moden yang bakal memimpin armada sasterawan tentera!

8April2006

Saya kirimkan sms untuk abah:-'Abah jangan kerja kuat sangat. Ma kata abah makin kurus. Kesihatan mesti jaga. Angah selalu doa Allah berkati dan murahkan rezki kita'

Kiriman saya tidak berbalas. Agaknya abah terkesan dengan nada dan ritma aksaranya. Saya rindu nian pada abah. Semalam saya hubungi ma. Abah dah pun nyenyak kepenatan berkerja seharian bingkas bangkit dari pembaringan bila Bella katakan saya di talian. Saya terharu dengan sikap abah. Biar penat, biar letah letai tubuh kurusnya, anak-anak adalah prioriti!

Saya tatap gambar yang diambil pada Aidilfitri tahun ini. Tubuh lampai abah kurus dengan sepasang matanya berkunang-kunang digenangi air. Abah, tabah dan sabar. Tak ada galang ganti!

Lakaran bait:

Abah
Tanganmu memimpinku
Melepasi gapura kehidupan
Mengajarku hidup berTuhan
Mengenal asal kehidupan

Abah
Jemarimu pernah mengikat rambutku
Usapanmu mewah belas kasihan
Sari nasihatmu kujadikan pedoman
Seampuh azimat sepanjang jalan

Abah
Pernah aku gundah gulana
Keyakinan kau tunjangkan
Tuhan kita Maha Adil
Lenang tenang kembali bertandang

Abah
Pernah aku ditikam fitnah
Bahana khianat tetangga
Aku kau pertahan
Biar nyawa jadi gadaian
Biar maruah jadi taruhan
Yang hak terus dicanang
Yang batil mati dicincang

Abah
Jiwamu tekal semangatmu ampuh
Berona derita berencam liku
Kau terjahi lautan api
Kau renangi ganas hububan pawana gunung
Tak akan lemas sekalipun hanyut

Abah
Aku pewarismu
Akan kulunaskan segala hasratmu
Akan kulaksanakan apa hajatmu
Akan kutunaikan segala impianmu
Akan kusarung selendang srikandi
Di iktiraf langit dan bumi

Jumaat, April 07, 2006

Maulidul Habibur Rahman

Sabda Rasulullah SAW:-
"Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga aku ini lebih dicintai dari ibubapanya dan anak-anaknya."

Lakaran bait:

HabiburRahman
Ayahandamu lelaki jujur
Parasnya sempurna laksana Yusuf al-Hasan
Pekertinya luhur saujana laut selebu
Budi bicara indah mempesona

HabiburRahman
Dalam rahsia ayahandamu diintai
Perawan yahudi menyimpul muslihat
Yakin mengental dipertahan
Tilikannya ayahandamu usul seorang Nabi akhir zaman
Angannya kepingin menjadi ladang benih nubuwwah

HabiburRahman
Datukmu bijak laksana cendekiawan
Waspada langkah anak terunanya
Dihidu hangit rencana jahat
Dipatah mudah dengan sepakat
Si sunti Aminah jadi pilihan

HabiburRahman
Cerlang gemilang hari pernikahan
Pasangan bangsawan kota ternama
Tetaplah sudah kata dikota
Lalu nasabmu Tuhan pelihara
Nabi akhir zaman leluhur arab

HabiburRahman
Ayahandamu diterpa hairan
Perawan yahudi tercabut seri
Lentok menggoda seakan mati
Adakah rahsia yang tersembunyi?
Lalu bertanya tanpa silu
"Mengapa diriku tidak diburu selalu?"
Jawabnya mudah sang pria Bani Hasyim
"Tanda kenabian sudah beralih kepada temanmu"
Benar nian kata yahudi
Aminah kini hamilkan orang baru


HabiburRahman
Kucoretkan kisahmu
Tanda aku mencintaimu
Kerna kau satunya lelaki teragung
Wajib kukasihi sebelum suamiku
Biar 14 kurun jadi jurangnya
Dirimu sekalipun tidak ku alpa
Akan kudidik umatmu kelak
Menjejak qudwahmu pemimpin terulung

0736am
April 7 2006
Jumaat

Khamis, April 06, 2006

Dalam Mengenang Bung Karim

Saya usai selak-selak Majalah MASSA bil 308, 8-14 September 2001. Saya tercuit dek kolum MELAYAR BUKU, bertajuk MENGENANG KEMBALI SUMBANGAN ALLAHYARHAM BUNG KARIM. Sumbangan Allahyarham yang begitu besar akhirnya memaksa penulis tersohor, Talib Samat untuk menyelenggarakan sebuah buku bertajuk Biografi A. Karim Haji Abdullah, Budayawan dan Pengkhazanah Persuratan Melayu: Satu dalam seribu. Buku setebal 787 halaman berkisar tentang biografi Allahyarham, artikel-artikel, pandangan sarjana dan tokoh mengenai Bung Karim, ulasan pengkritik dan penulis terhadap hasil-hasil selenggaraan Allahyarham dan senarai karya-karya yang dihasilkan. Aduh, mengapa saya tak pernah tahu Allahyarham Bung Karim anak kelahiran Temerloh(daerah kelahiran saya?) Bung Karim juga berkelulusan dalam bidang sains perpustakaan. Dan pernah berkhidmat di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1961 selama setahun. Allahyarham pergi dengan meninggalkan manuskrip yang belum sempat diterbitkan seperti, 'Sasterawan Negara Keris Mas; Dari Tanggapan Tokoh dan Sarjana, Pemimpin Kecil dari Kuala Lumpur-Semantan, Antologi Cerpen Penulis-Penulis Pahang, dan Mengenang Asri. "Dunianya adalah dunia buku, mengumpul dan menyimpan buku, menyelenggara dokumen sastera dan lebih dari itu. Kecintaannya pada buku amat luar biasa". Itulah diskripsi ringkas ketokohan Haji Abdul Karim Haji Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Bung Karim yang telah pulang ke rahmatullah pada 5 Februari 2001.