Jumaat, Januari 20, 2006

Selamat Hari lahir dan Catatan Di Celah Ripuh Urusan dan Tugas

SELAMAT HARI LAHIR
(Dedikasi istimewa buat adinda Ahmad Fadzilah Mohd Azaman)
Lakaran bait:

Adindaku,
Tanggal 21 Januari mengibarkan jurainya
Engkau kini seorang fata
Punya mata berkunang-kunang
Relung dadamu merah menyala
Keizzahan hamasah
Kepekaan intuisi

Adindaku,
Kandamu ini laksana jentayu menantikan hujan
Kepingin meraikan hari manismu bersama
Malangnya maujud penghalang
Benua dan pikulan jadi pemisah
Kita ini pengutip ilmu dan hikmah

Adindaku,
Tidak pernah kualpa saban dinihari
Sisipan untaian doa
Moga dianugerahkan buatmu
Ingatan yang kuat dan tajam
Bukan dangkal dan majal
Dada yang lapang dan lega
Tidak sesak dan loba
Hati yang terang bak aurora
Bukan zulmat bak siang tak bersuria
Lidah yang petah lagi lancar
Tidak sinis dan melukacederakan
Kefahaman dan kefaqehan bak auliya'
Bukan pengertian layu diburu celaru

Demi menjaga Kalam Tuhan
Moga dikurniakan buatmu...
Hauri bermata hablur, hijau kebiruan...

20 Januari 200611.44am

Teringin

Saya kepingin menikmati lemak dan manisnya kuih tepung bungkus. Malangnya di sini payah ketemu daun pisang. Lagi pun saya tidak arif cara menyediakan makanan tradisional tersebut. Anda pernah dilanda rasa teringin menikmati juadah tempatan sedang anda berada di tempat yang tidak memungkinkan anda menikmatinya?

Saya teringin mengunjungi Madinah dan Makkah. Anda pasti maklum untuk mengerjakan haji perlu daftar dan 7 tahun kemudian nama akan naik sebagai calon jemaah haji. Bukan itu saja anda perlukan hampir sepuluh ribu ringgit untuk belanja tambang. Setiap tahun kuotanya rigid. Bila anda semua merencana untuk mengerjakan haji, setelah begitu banyak hambatan setiap kali melepasi tempoh tertentu? Saya lebih teruja untuk ke sana setelah melumati novel Faisal Tehrani, 1511H [KOMBAT]

Saya teringin nian membikin karya dalam keadaan tenang dan selesa. Saya tidak mahu menulis dicelah-celah kesibukkan dan keripuhan. Ianya mengundang ketidaksempurnaan. Malah saya seolahnya tidak hanyut bersama watak dan alur cerita yang saya cipta. Bahkan saya angankan memiliki lap top sendiri. Saya sentiasa merasa ingin menulis sesuatu setiap ketika hinggakan ketika menjawab peperiksaan! Saya tidak izinkan idea yang berpilin-pilin itu pergi...

Banyak lagi yang saya inginkan...maklum saja saya menulis di celah-celah keripuhan dan tugas, terbatas. Malah.

Rabu, Januari 18, 2006

Tugas Saya Pun Bermula...


When Allah drops needle & pin along ur path of life, don't step away, instead pick it up & collect them ´, they were design to teach u to be strong n wise.
19 Januari 2006, saya perlu bergegas ke Kaherah. Program Hari Keluarga BKMIP pada 21 Januari 2006 dan mesyuarat bersama En Jazmi, Pegawai Atase Yayasan Pahang pada 23 Januari 2006. YDP BKMIP minta hadir. Entah apa lagi agenda yang bakal menanti selepas ini...
Saya sudah mula melumati kitab untuk sem depan. Semungkinnya saya ingin hadami bidang syariah sedalam mampu. Feqh Syafie membincangkan silibus di tahun empat bab hudud dan jihad. Begitu juga Feqh Perbandingan masih berkisar pada tajuk yang sama.
Anda pernah merasa sukar untuk memikul pelbagai tanggungjawab yang memerlukan anda memakai wajah berbeza???
Lalu biar saya katakan...saya sedang cuba melakukannya.

Isnin, Januari 16, 2006

Amukan Pengorbanan

Seteguh Kasih-Nya, Di Perantauan
10 Zulhijjah 1426H

Gema takbir di pagi raya
Kuteringat kampung halaman...
Aku di perantauan, tak terdaya menahan sebak...

Subuh ini diguyur hujan musim dingin. Takbir sahut menyahut usai subuh hingga menjelang muqaddimah duha. Mujur hujan berhenti seketika, lalu upacara solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan sempurna di Masjid Jurutera Uthman Muhammad Uthman. Sesekali pawana mengelus dedaunan, berguguran dan melayang-layang di ribaan. Indera lihat saya tunak memfokus kanak-kanak perempuan mengagihkan belon percuma kepada jemaah kanak-kanak dan sisipan zikir pagi dan petang (ma'thurat) kepada jemaah dewasa.

Kanak-kanak perempuan itu memakai topi yang digubah daripada kad manila tertulis 'Solat pada awal waktu', 'Boikot barangan yahudi dan proksinya adalah jihad', 'Berbuat baiklah kepada ibu bapa' sempena kempen biah solehah yang diuar-uarkan oleh Ikhwan Muslimin sejak beberapa dekat. Juga kelihatan kanak-kanak lelaki memakai kad manila berbentuk hati yang terlukis padanya Masjidil Aqsa. Ah, Aidiladha kali ini sarat cetusan pengorbanan dan penghijrahan. Betapa hamasah menjalar tiap urat dan pembuluh darah.

Bertakbirlah! Bertasbihlah! Diharamkan kepada kamu berpuasa pada hari ini. Hari ini adalah hari untuk berjamu hidangan, menikmati minuman enak dan mengingati Allah. Takbir! ('Iza'atul Quran)

Terima kasih kepada anda yang menghubungi saya di pagi raya. Ingatan anda saya hargai! Kullu am waentum bikhair!

Imarah yang saya diami mengadakan rumah terbuka dari pagi hingga petang, langsung tak berpeluang berziarah. Bertali-arus teman dan taulan bertamu. Lantaran itu saya gunakan waktu malam untuk mengunjungi teman. Urusan musyrif usah gusar, beres!

Sedang bersiap-siap, sengaja saya melontarkan soalan menguji sekadar kecindan kepada alybayt , soalannya berbunyi: Adakah zirafah dan gajah halal dimakan dagingnya? Alasan? Pelbagai jawapan yang disuguhkan kepada saya antaranya: "Zirafah haram dimakan kerana berleher jinjang", "Gajah tak boleh dimakan kerana ia pengidap diebetis." Alangkah!

Zirafah dan gajah haiwan yang tidak disebutkan di dalam dalil yang jelas, sama ada di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah mengenai pengharaman memakan dagingnya. Namun ulama' bersepakat meletakkan daging zirafah HALAL dimakan. Sedangkan daging gajah HARAM dimakan walaupun HALAL disentuh.

[Mengenai korban pula, terdapatkah di mana-mana daerah yang penduduknya melakukan korban zirafah, sedangkan ia hampir pupus dan di bawah penjagaan WHO]

Cik Nurul (alybayt, orang Kedah) mencelah: "Kami pelik orang duk kata gajah tak tau yang dia besaq. Awat, dia tak tengok kawan-kawan dia ka? Gelak tawa menjadi bahasa dalam kamar saya beberapa bentar. Lantas saya menokok "Ha'ah nah, dia tak tengok girlfriend dia ka?"
Aduhai!

Kegembiraan Yang Bertandang

11 Zulhijjah 1426H

Jam 5.06 pm, saya dikejutkan sms daripada adik di Malaysia: "Along, angah :) tengok aku senyum ni, mesti korang pun suka dan gembira. Hehehe... Penyimpan mohor-mohor besar Tuan Haji Muhammad Azaman mengisytiharkan, Ahmad Ibrahem ditawarkan ke KISAS-Klang!"
Tuhan sayang nian padamu dik. Jangan lupa sujud syukur!

Jam 8.08 am, Raisah KPKM (Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir) menghubungi saya untuk menjemput kerumah terbuka anak-anak Kelantan di Hayyu Sabie', Nasr City, Cairo. Aduhai Kak Zah, saya di Alex. Jemputlah pemangku saya Mayna. Tak ada rezki nak merasa juadah raya orang Kelantan. Sempat Kak Zah bercanda: "Kalau sempat, datanglah rumah terbuka kami." Sungguh, saya punya satu paper lagi usai Aidiladha.

Salam Aidiladha saya ucapkan kepada barisan pimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM, Ruasa' dan Raisat BKAN serta Pengerusi DPM seluruh muhafazah. Kullu 'Am Waentum Bikheir!
Sungguh Kami Tidak Keruan!

15 Zulhijjah 1426H

Sekian lama, malah sepanjang tiga minggu sudah hamam (bilik air) kami tiada berlampu. Mentolnya terbakar hingga mengancam nyawa wayar yang menghubungkan suis. Lalu kami memanggil bijak pandai wyering berhampiran rumah untuk melihat-lihat akan ragam lampu yang banyak kerenah. Kebetulan dia datang setelah maghrib menghantar sore pulang. Maka zulmatlah hamam.
Namun pakar sudah ada, kami alu-alukan dia melihat 'pesakit' yang sedang tenat. Mujur ada housemate yang sudi menerangkan ruang kecil hamam yang pekat ditelan suasana senja dengan menggunakan mini lampu picit. Terasa maghrib kian ingin permisi. Kami cuba mengingatkan doktor lampu itu, agar menyambung kerjanya usai memenuhi temujanji dengan Pencipta.
Tiba-tiba sesuatu yang tidak terduga memakai situasi. Dia setuju, tetapi dia tidak turun dari rumah kami untuk solat. Kami memintanya solat di masjid berdekatan atau di mana yang dirasakan boleh. Tahu apa jawapannya? "Takpelah, kamu solat lah. Aku tidak sembahyang?" Kami memakai wajah prejudis. Adakah pemuda di hadapan kami ini bukan muslim? Mungkin diksi itu yang berlari di perdu persoalan akal alybayt yang lain. Tanpa kawalan, retina kami cuba menangkap tapak nadinya kalau-kalau tercalit salib di sana. Dia seakan tercium ketidakkeruan kami lalu mengaku yang dia adalah muslim. Walau kelegaan sedikit terlukis di rongga hati, kami masih menaruh prasangka yang tidak terjawab oleh komunikasi yang terbatas.
Bukan tidak mahu memanjangkan persoalan, cuma kami mengambil sikap baik sangka agar tidak berlaku andaian yang kurang sopan bertamu. Mana tahu jika banyak soal akan menimbulkan berang shabab (pemuda) itu. Biarlah dahulu, mungkin maksudnya tidak mahu bersembahyang di rumah kami. Mungkin.
Hampir dua jam masih belum usai. Semakin banyak yang dibaiki, kian mencanak pula kerosakan terhambur. Lalu dia mohon menyambung keesokannya. Selepas zohor, janjinya. Ba'da solah, tekannya. Kami melepas lega yang ketat dengan pengakuannya mula-mula tadi. Jadi takut bila bertemu dengan muslim yang hanya pada nama. Tidak mengesankan amal dan tindakan. Bukankah firman Allah swt: 'Sesungguhnya solat itu menegah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.'

Khamis, Januari 05, 2006

Tahun Baru, Aidiladha, dan Memoir Usang

Tahun Baru
2005 berengsot pergi 2006 hadir mengganti. Tercari-cari kekuatan diri demi memerkasa kembali keagaman peribadi. Usia saya pasti meningkat setakah lagi. Dahulu saya cuak jika usia menginjak 20-an. Kini saya sudah berada diambang sukuan abad!
Tahun baru satu simbol tajdid usia, imej, peningkatan material dan kerjaya. Juga azam baru. Ya, azam baru tahun ini sama seperti tahun-tahun sudah. Target lima tahun akan datang masih sama seperti yang saya lakarkan ketika saya berusia 19 tahun, 3M. Aha, 3M!
1.M.A
2.Merce
3.Mr.Right
Urm, prioritinya tentu sekali angka dua teratas, kerana kedua-duanya memerlukan kerahan tenaga saya, zahir dan batin, fizikal dan mental berbanding yang terakhir saya hanya menyerahkan kepada Al-Wadud Pemilik Cinta Autentik!
Berserah dan menyerah, itu bukan pokok pangkalnya. Saya percaya ianya akan terjadi dengan tiba-tiba. Kadang-kadang tanpa saya dan anda sedari. Lalu biarkan dulu saya katakan "ianya datang diundang atau tidak diundang."
Saya tidak boleh berlama-lama dengan topik ini, bimbang diprovokasi kelak.
Aidiladha
Keluarga saya bercadang hendak berpindah sebelum Aidiladha bertandang. Terpaksa menangguhnya sementara menanti kak long pulang ke tanahair. Aidiladha tahun ini abah korbankan sekali lagi untuk Bella, si Bongsu. Kata abah, usia solat Jumaat lepas imam umumkan ada satu bahagian kosong, tuntas abah terpanggil untuk memudahkan urusan mereka.
Wah, pastinya meriah sambutan Aidiladha tahun ini. Ma pasti sibuk di dapur menyediakan rempah dan rencah menyediakan rendang. GG tak menang tangan menggosok jubah putih abah, Ala dan Ayiem untuk dipakai ketika solat sunat Aidiladha. Usai maghrib abah akan panggil semua anak-anakanya bertakbir sehingga menjelang Isya'. Ah, terujanya untuk pulang berhari raya.
Saya? Seperti biasa. Baju raya tak berganti. Persiapan serba sederhana. Saya masih berbaki satu kertas selepas Aidiladha. Sungguh, saya berhajat mengerjakan fardhu haji musim ini. Namun, tak ada rezeki barangkali. Saya dan adik ber'imtiyhan' di musim haji. Lalu hambatan ini tak mampu dielak. tengoklah dulu macam mana, kalau-kalau ada rancangan lain...
Ucapan selamat Hari Raya Aidiladha buat Ma dan abah tercinta, adik-beradik tersayang, pensyarah, guru-guru, sahabat-sahabat di Mesir, Jerman dan Malaysia, team ADABUNA, KELAP PMRAM, barisan pimpinan AJKT BKMIP 05/06, ahli BKMIP yang diingati selalu. Maaf Zahir dan Batin. Aidiladha momentum tadhiyyah!
12.09pm
04012006
Memori Usang
Lakaran Bait:
Bila teringat
Bayanganmu datang menyinggah
Nubariku kian tergugah
Daun cintaku satu persatu luruh
Yang dulu tunjang pepokoknya teguh
Bila teringat
Aku metah merana
Sebolehnya dirimu kulupa
Betapa sengsara jiwa raga
Apakan daya aku insan kecewa
Bila teringat
Aku tidak keruan
Lenaku diceroboh rencam imbasan
Berkitar latar visual kenangan
Kupendam kutelan keseorangan
Bila teringat
Seseringnya aku berdoa
Agar dirinya pantas kualpa
Perit nian gering kurasa
Ingin mendakap dia yang tiada
Bila teringat
Gesit aku beristighfar
memohon ampun dari Al-Ghafar
Moha panji keampunan tegar berkibar
Lalu cintaku tidak lagi terkapar
8.51am
04012006
(Dedikasi buat 'dia' yang tidak ingin ditemui hingga nyawa telah pergi, Mac 2001-Mei 2004)