Rabu, April 14, 2010

Laluan Separa April...



MERDEKAKAN CINTA NIRMALA (2006-2009)
Saya mengenang saat keruntuhan yang hanya tinggal puing-puing sebagai tugu kenangan. Saya terlalu sebak untuk mengingati kepedihan dari kejatuhan yang telah menghumban raga saya ke lurah yang maha dalam. Saya terjatuh, tersembam dan terjebak ke dalam lubang yang dipenuhi onak dan cerucuk besi yang bergerigis dan tajam-tajam. Ia saat yang terlalu getir untuk dikenang, apa lagi untuk disimpan di celah-celah lipatan memori yang kian usang. Saya bersyukur kerana masih bisa meneruskan hidup yang penuh ranjau dan berliku pula. Saya menangis, lemah, sakit dan sepi sekali. Seolah-olah amalan ritual tidak memberikan apa-apa efek. Saya ketawa dan gembira bersama teman-teman. Ia hanya palsu, hipokrit dan make up demi menutup segala kemurungan yang telah menjadi selubung raga saya sejak bertahun. Ia benar-benar menyakitkan! Saya mahu kembali normal. Mahu membiarkan puing-puing itu terbang dan terapung pergi dari hidup saya. Saya inginkan hak yang pernah diragut oleh ‘penyamun’ yang membawa musibah besar dalam hidup. Saya mohon dimerdekakan! Merdekakan cinta nirmala yang telah diganyang sehingga mengotorkan warnanya!


WACANA INTELEK
Menghadiri acara sebegini kadang-kala menjengkelkan saya. Kalau sudah namanya wacana; perbincangan atau pertukaran idea secara lisan maka ia perlukan perbincangan yang benar-benar berautoriti dan mantap sebagai wacana intelek yang bukan sekadar gah pada namanya tetapi lompang pada isinya! Ikon Muslim Masa Kini menjadi pilihan penilai. Saya teruja kerana saya tidak mahu lagi membiarkan orang Islam terus alpa membiarkan anak-anak mereka lena diulit dakapan mesra artis-artis yang kononnya dilabelkan sebagai Ikon Muslim Masa Kini. Saya melontarkan pandangan dengan menjadikan genius sasterawan, agamawan, ilmuan, angkasawan muslim sebagai ikon peribadi anak-anak muda. Saya juga menyarankan ibu bapa dan anak muda membaca karya besar FT, 1511H [KOMBAT] yang mengangkat citra Muhammad al-Amin sebagai Ikon Remaja Muslim Masa Kini. Saya juga menyuguhkan bagaimana Luqman al-Hakeem memilih ibu yang baik dan mendidik ibu itu 10 tahun sebelum melahirkan anaknya. Ikon yang paling dekat bagi anak-anak adalah ibu bapa mereka. Hampir ke semua hujah saya disangkal oleh peserta Wacana Intelek! Mereka lebih bersetuju seorang ikon adalah individu yang disenangi dan mereka mestilah artis kerana ia adalah realistik dan mengikut arus sekarang. Saya menjadi hairan, sebenarnya saya berwacana bersama para intelek atau sebaliknya?

Isnin, Mac 29, 2010

Yang Merimaskan Faizah...

Saya selalu dihidangkan soalan yang kurang selesa menelinganya. Saya bukan seorang yang rigid sehingga tidak boleh ditujah dengan rencam soalan. Tetapi, soalan ini sudah terlalu kerap ditanya, selalu benar menghinggapi cuping telingga, mengalir ke celah trakea dan tersangkut di tangkai hati. Sungguh! Saya sudah rimas, muak dan cemus. Mulanya saya tidak merasa begitu, saya fikir ramainya orang yang mengambil berat tentang perkembangan terkini diri saya. Tetapi, lama-kelamaan saya mula rasa kurang senang, sensitif, sangsi apabila saban waktu ditujah dengan soalan begitu. Kadang-kala saya tertanya-tanya, apakah masih ada manfaat jika saya masih bersahabat dengan teman-teman sepengajian yang sudah berumah tangga? Selalunya, saya kurang berinteraksi dengan isteri-isteri mereka. Saya kurang selesa seandainya mereka bertanya kepada saya soalan yang berbaur sangsi. Dan, saya pula hanya mengutip informasi, manfaat, tunjuk ajar dan hikmah yang mahal daripada golongan senior yang saya hormati (mereka adalah mentor), hanya itu.

Saya juga seorang yang selektif, saya bukan sembarangan mencapai dan tangkap muat sahaja. Saya ada hala tuju dan misi tersendiri. Dan ia bersifat jangka masa yang amat panjang; sehingga ke negeri abadi. Memilih pasangan bukan semudah memilih bawang atau kentang di pasar, bukan juga semudah memesan makanan segera dari kaunter. Ia melibatkan pelaburan dan saham abadi. Yang setiap incinya dinilai oleh Al-Wadud. Bertanyalah soalan yang bermanfaat kepada anda atau kepada saya. Di sisi saya, soalan yang berkaitan peribadi saya bukanlah perkara yang menyeronokkan untuk dipersoalkan, ia hak asasi. Hak Yang Abadi. Bertanyalah kepada Pemilik saya jika ia berkaiatan dengan aturan-Nya. Anda pasti akan mendapat jawapan yang tepat dan baik.

Jika anda hanya ingin bertanya, bilakah jodoh orang akan sampai? Rasanya lebih baik anda bertanya kepada diri sendiri, bilakan nyawa anda akan diambil? Kerana jawapan kedua-dua soalan itu adalah sama, WAllahu a’lam

Khamis, Mac 18, 2010

Kasih Saya Tertuang di Dalam Sukma Si Mungil Wafa'



Pada ketinggian 26,000 kaki, saya melihat awan-gemawan bagai bulu biri-biri putih yang dipintal menjadi hamparan. Di atas hamparan putih bersih itu, saya melihat anakanda saya Wafa' sedang mengukir senyum dan girang bermain. Comel sekali Wafa' menyarung gaun smooking di dada berwarna merah jambu. Pantang diagah dan diacah...Wafa' pasti tersenyum dan terburai tawa manjanya. Saya masih teringat dakapan hangat Wafa' ketika kantuk mula mengucup matanya berhias bulu lebat yang melentik. Dirangkul leher saya dekat sekali dengan dadanya. Jantung kami berdegup seri, senada. 

 

Saya begitu hiba meninggalkan Wafa' di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Ya, saya menangis. Menangis ketika merangkulnya dalam dakapan saya, menangis seusai melepasi Balai Berlepas, masih menangis ketika menunggu giliran penerbangan. Beberapa 'pose' istimewa Wafa' akan menjadi penawar saya di kala 'sakit' merindukan sosok mungil yang comel itu. Wafa', betapa khalah mencintaimu nak. Butir mata Wafa' yang cerlang bak bintang timur membuatkan saya tidak sabar bangun pagi...tapi, hari ini saya bangkit berbumbungkan langit KL, bukan lagi langit KB yang memayungi kami selama tiga hari.




Sampai di KL Central...mata saya yang lesu itu sempat memaut gaun kecil dan comel. Gaun itu seperti pernah singgah dan bergentayangan di depan mata ketika saya terapung pada ketinggian 26,000 kaki. Gaun itu seakan pernah dikenakan Wafa' dalam angan saya dicelah awan-awan yang berbusa dan beralun besar. Saya melihat tanda harga, mengelih gaun merah jambu sambil membelek wang dicelah-celah kertas (baca: sampah) yang memenuhi purse compartment.

Wafa', khalah akan datang lagi menjengukmu, nak! Akan datang!

Khamis, Mac 04, 2010

Lelaki Baik VS Lelaki Beradab



Lelaki baik adalah lelaki yang semestinya baik, bijak, bercakap perkara yang penting sahaja, lemah-lembut. Tetapi belum tentu lelaki baik ini adalah lelaki beradab. Saya pernah ditanya berkenaan perihal seorang lelaki yang memang terkenal dengan baiknya dia (ketika itu, lelaki ini bakal menikahi anak saudara si penanya). Jawapan yang boleh saya berikan adalah “Dia budak baik.” Malangnya setahun kemudian saya didatangi lagi oleh penanya tadi. “Kau kata si fulan itu budak baik, kami bertandang ke rumahnya langsung tidak di layan, hanya melayan tetamu yang dikenali sahaja, jika saudara yang tidak dikenalinya tidak dilayannya, keluar bekerja langsung tidak bersalaman atau memaklumkan yang dia akan keluar bekerja mengikut syif kepada tetamu di dalam rumahnya”. Jawapan saya, “Belum tentu lelaki yang baik itu beradab.” Saya pernah berjumpa lelaki kedua yang dilabelkan orang sebagai lelaki yang baik ini, langsung tidak ada adab isti’zan (adab meminta izin untuk masuk/keluar rumah. Malah, sangat ego untuk menghulurkan tangan kepada bapa dan ibu mertua sebelum keluar dari rumah. Jika ditanya kepada teman si fulan ini, tiada siapa yang memperkatakan keburukannya. Semua perihalnya yang muluk-muluk belaka diceritakan. Saya semakin hairan, kerana lelaki sukar untuk dididik berbanding wanita.  Malah, lelaki yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Islam ini tidak melayan ayahnya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran. Saya semakin hairan dengan lelaki begini. Kalau hanya rupa yang jernih, lemah-lembut tetapi belum tentu beradab dan bertanggung jawab…lelaki ini tidak layak dilabel LELAKI BAIK, cukuplah mereka ini diletakkan di dalam kategori LELAKI dalam kotak JANTINA

Jumaat, Februari 19, 2010

Weltanschauung-Shahnon Ahmad


Dibeli pada 1 Januari 2009 di jualan gudang DAWAMA. Ia sangat mengujakan sehingga saya mendapat potongan harga -RM20.00 daripada harga asal. Shahnon adalah Sasterawan Negara yang paling menyentuh alur kepengarangan saya. Selain dinobatkan sebagai SN pada tahun kelahiran saya, 1982 beliau turut memiliki identiti bahasa yang agam, murni, telus dan tajam. Pun, saya mengagumi pengarang ulung sepanjang zaman yang telah melalui denai kehidupan yang panjang dan berliku. Al-Fatihah untuk SN Shahnon Ahmad yang saya kagumi. Moga beliau sentiasa dalam keadaan sihat, thabat mengarang, diberkati hayatnya dengan karya-karya awet demi memandaikan bangsa.