Rabu, April 14, 2010

Laluan Separa April...



MERDEKAKAN CINTA NIRMALA (2006-2009)
Saya mengenang saat keruntuhan yang hanya tinggal puing-puing sebagai tugu kenangan. Saya terlalu sebak untuk mengingati kepedihan dari kejatuhan yang telah menghumban raga saya ke lurah yang maha dalam. Saya terjatuh, tersembam dan terjebak ke dalam lubang yang dipenuhi onak dan cerucuk besi yang bergerigis dan tajam-tajam. Ia saat yang terlalu getir untuk dikenang, apa lagi untuk disimpan di celah-celah lipatan memori yang kian usang. Saya bersyukur kerana masih bisa meneruskan hidup yang penuh ranjau dan berliku pula. Saya menangis, lemah, sakit dan sepi sekali. Seolah-olah amalan ritual tidak memberikan apa-apa efek. Saya ketawa dan gembira bersama teman-teman. Ia hanya palsu, hipokrit dan make up demi menutup segala kemurungan yang telah menjadi selubung raga saya sejak bertahun. Ia benar-benar menyakitkan! Saya mahu kembali normal. Mahu membiarkan puing-puing itu terbang dan terapung pergi dari hidup saya. Saya inginkan hak yang pernah diragut oleh ‘penyamun’ yang membawa musibah besar dalam hidup. Saya mohon dimerdekakan! Merdekakan cinta nirmala yang telah diganyang sehingga mengotorkan warnanya!


WACANA INTELEK
Menghadiri acara sebegini kadang-kala menjengkelkan saya. Kalau sudah namanya wacana; perbincangan atau pertukaran idea secara lisan maka ia perlukan perbincangan yang benar-benar berautoriti dan mantap sebagai wacana intelek yang bukan sekadar gah pada namanya tetapi lompang pada isinya! Ikon Muslim Masa Kini menjadi pilihan penilai. Saya teruja kerana saya tidak mahu lagi membiarkan orang Islam terus alpa membiarkan anak-anak mereka lena diulit dakapan mesra artis-artis yang kononnya dilabelkan sebagai Ikon Muslim Masa Kini. Saya melontarkan pandangan dengan menjadikan genius sasterawan, agamawan, ilmuan, angkasawan muslim sebagai ikon peribadi anak-anak muda. Saya juga menyarankan ibu bapa dan anak muda membaca karya besar FT, 1511H [KOMBAT] yang mengangkat citra Muhammad al-Amin sebagai Ikon Remaja Muslim Masa Kini. Saya juga menyuguhkan bagaimana Luqman al-Hakeem memilih ibu yang baik dan mendidik ibu itu 10 tahun sebelum melahirkan anaknya. Ikon yang paling dekat bagi anak-anak adalah ibu bapa mereka. Hampir ke semua hujah saya disangkal oleh peserta Wacana Intelek! Mereka lebih bersetuju seorang ikon adalah individu yang disenangi dan mereka mestilah artis kerana ia adalah realistik dan mengikut arus sekarang. Saya menjadi hairan, sebenarnya saya berwacana bersama para intelek atau sebaliknya?

Tiada ulasan: