Agak asing menghuni satu blok dan berkongsi tandas dan prasarana lain dengan non-muslim. Saya kekok memulakan kehidupan yang jauh dari kebiasaan dari yang saya alami sebelum ini. Dalam keasingan ini Tuhan menemukn saya dengan mak cik Sara dan mak cik Tun. Mereka berdua adalah staff di Kolej Kediaman Kelima. Saya terharu apabila dilayan seperti anak sendiri. Sakit pening saya ada seorang perempuan bertaraf ibu menziarah, menjamah dan mengambil berat. Saya merasai kehangatan sayang dan kasih seorang ibu walaupun saya berjauhan dengan ma. Ala menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbit. Katanya, ma tanyakan bila saya senang dan boleh balik ke Temerloh? Ada projek makan durian. Aduhai kasih ibu, saya di sini sangat rindukan kampung halaman. Sebelum zohor tadi saya tertidur, bermimpikan adik-beradik saya. Malam semalam saya berjaga hingga jam dua pagi membaiki tugasan yang diberikan pensyarah. Sudah saya katakan, saya terlalu banyak ketinggalan terutama dalam metodologi penyelidikan yang sangat pesat dan menjadi rutin pelajar ijazah dasar mahupun ijazah tinggi di tanahair. Maka, kelemahan ini terpaksa saya tampal tindih dengan mencuba, bertanya dan bertindak.
Sejak akhir-akhir ini saya disuguhkan dengan pelbagai lembaran baru dalam kehidupan. Saya mencampuri adik-adik di Balai Islam yang polos dan santun. Berhadapan teman dari negara tetangga yang memahami teori hukum dengan sangat baik, namun apabila menganut fahaman liberal, praktikal hukum dikesampingkan bahkan tidak menunaikan solat! Ya, bagi mereka memisahkan diantara pemikiran dan agama adalah satu titik kebijaksanaan yang terpuji. Saya agak keliru apabila pelajar dari negara tetangga, Indonesia khususnya mengemukakan tajuk disertasi yang bakal ditulis bersifat liberal dan faminisme dianggap anak ini pintar oleh pensyarah. Saya dikejutkan dengan satu kajian ilmiah seorang teman dari Indonesia yang menyokong tindakan Aminah Wadud menjadi imam solat Jumaat di Amerika, ”Aminah Wadud itu berteori dan praktik, saya bangga dengannya, bahkan mahu mengikut jejaknya. Mana tahu nanti saya bisa jadi imam pula. Saya juga mahu jadi dosen sepertinya!” ujarnya bangga. Masya-Allah!
Kuliah yang saya hadiri semakin hari semakin mendebarkan. Apakah perkara baru yang akan saya jumpa dan pelajari hari ini? Apakah perdebatan kontroversi yang bakal saya dengari dan apakah saya ada kekuatan untuk menyangkalnya melalui penyelidikan sebagai jawapan? Pengajian sarjana tinggi tidak semudah yang saya sangkakan. Walaupun semester ini saya hanya mengambil empat subjek ia sudah cukup membuat saya merasa seperti mengambil tujuh subjek seminggu! Tuhan, pimpinlah saya. Jangan tinggalkan saya. Ameen!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan