Khamis, Ogos 16, 2007

Sesekali Pawana Menderu...

15/8/2007 Rabu

PANTUN BUDI UNTUK YANG BAIK BUDI
(Dedikasi istimewa buat Kanda Wan Zulaini Wan Hassan)

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Sungguh melati senang dipetik,
Harumnya masyhur seluruh alam;
Sungguhpun budi hanya sedikit,
Langit dan bumi ada di dalam.

Di antara padi dengan selasih,
Yang mana satu tuan lurutkan;
Di antara budi dengan kasih,
Yang mana satu tuan turutkan.

· Dipetik dari NOVEL BERSIRI MAJALAH ANIQAH . LENTERA MUSTIKA. Oleh : Nisah Haji Haron
Terima kasih kepada Kak Nie dan keluarga yang banyak membantu. Saya menerima tawaran mengajar muslimat di Surau Taman Selayang Utama dengan bantuannya. Saya tidak sekali-kali mengharapkan imbuhan bahkan balasan material. Justeru saya sekadar penerus mata rantai perjuangan. Menerangkan Islam dan memberi kefahaman kepada masyarakat tentang Islam adalah kewajiban sebagai seorang muslimah. Pesan Nabi junjungan, ”Sampaikan dariku walaupun satu ayat.” Aduhai roda kehidupan, berputar ligat sehingga saya tidak bisa menilik masa depan saya dicelah-celah putarannya.

Hakikatnya saya belum ada pengalaman terjun ke dalam masyarakat. Saya hanya diberi peluang membentang kertas kerja, panel motivasi, moderator dan pengerusi umum bersama khalayak mahasiswi sahaja. Jadi peluang yang menyapa saya terima dengan berlapang dada. Ini juga satu pendidikan dan pelajaran baru dalam hidup saya. Sebelum ini segala perkara yang berkaitan dengan ’ilmu kalam’*Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi mentakrifkan ’ilmu kalam’ sebagai ’ilmu cakap-cakap’(sekadar istilah kecindan) saya pelajari bermula dari sifar. Tuntas ’ilmu cakap-cakap’ ini perlu saya lebarkan jaringan khalayaknya khusus kepada masyarakat. Lagi pun apa yang didedahkan kepada saya selama ini melalui keterlibatan di dalam organisai adalah latihan untuk menghadapi realiti masyarakat. Kenapa harus saya ’bersembunyi’?

Tadi saya menerima kunjungan Kak Nie, puteri bongsunya Rabiatul Adawiyah dan Eka, anak saudara Kak Nie. Katanya insya-Allah saya akan dijemput di stesyen LRT Taman Melati minggu keempat nanti. Sebetulnya giliran saya mengajar di surau berkenaan minggu keempat setiap bulan. Kak Nie, ribuan terima kasih untuk buah tangan dari umrah, tasbih wangi dari Mekah dan cincin nikel yang unique, sentimental value! Benarlah sabda Baginda Rasulullah SAW, ”Apabila kamu saling memberi hadiah kamu akan saling berkasih sayang.”

Comelnya si cilik Rabiatul Adawiyah. Bijak bicaranya dan genius. Bila lagi agaknya acik Faizah boleh melihat keletahnya yang lincah dan petah. Kalamnya yang mencuit hati saya ketika dia berbaring di atas katil di kamar saya, ”Bantal ni nampak cantik sangat. Bolahlah bagi adik ya.” Saya tergelak mendengar bicara jujur anak kecil itu. ”Nanti acik buat yang lain. Itu mama acik kasi. Kalau adik nama angah bolehlah acik kasi.” Sebetulnya ma saya jahitkan bantal kecil itu sebagai hadiah sebelum berangkat ke Mesir penghujung tahun 2002. Pada bantal comel itu dijahit huruf A.N.G.A.H. Walau ke mana saya pergi tak pernah lagi saya tinggalkan bantal itu. Nampaknya saya kena belajar dengan ma macam mana nak jahit bantal yang sepertinya. Alahai, Rabiatul Adawiyah!

Apa Sudah Jadi Dengan ’Student Power’???

Alkisahnya, bersempena dengan majlis interaksi pelajar baru di Kolej Kediaman 1* berlangsung satu acara pelik dan jelik sekitar bulan lepas. Apa yang memelikkan dan menjelekkan apabila dianjurkan slot STUPID DEBATE. Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah gerangannya STUPID DEBATE? Antara tajuk yang didebatkan dalam slot STUPID DEBATE ialah:-

*Seks Selepas Makan vs Seks Sebelum Makan
*Lelaki Berbulu Dada Lebih Hebat dari Lelaki yang Tidak Berbulu Dada

Astaghfirullah al-Azim. Apakah mahasiswa kian terbuka bersama langit globalisasi yang tidak ada sempadan? Apakah dunia yang kian mengecil seperti sebuah kampung menyebabkan penduduknya berfikiran sempit, kuno, kotor dan lesu? Kalau inilah interaksi rasmi yang dianjurkan, bagaimana pula dengan interaksi tidak rasmi di sini? Apakah lebih ’parah’ perdebatannya? Adakah perkara yang ’tertutup’ seperti ini harus dibuka dan diwacanakan semata-mata memenuhi tuntutan syahwat nafsu rendah???

Sebetulnya saya menjejak tapak kaki ’Student Power’ yang pernah teguh di Universiti Perdana ini. Saya tidak menemuinya. Mungkin telah dihilangkan oleh hujan renyai-renyai yang kerap turun di langit Kuala Lumpur. Di mana suara mahasiswa yang lantang mempertahan hak, petah berwacana, daya intelektual yang tinggi membincangkan isu global, peka setiap rinci isu agama, politik, ekonomi dan sosial? Di mana? Adakah semuanya enak melayan nafsu ke pesta STUPID DEBATE dengan isu yang panas dan ’hangat’??? Usah dijunjung karat hedonisme sedang agama dan budaya dibiar berkecai. Nah, di mana letaknya tinggalan tapak kaki ’STUDENT POWER’ di sini?*Faizah masih mencari-cari

Tiada ulasan: