Isnin, Ogos 13, 2007

Dari Universiti Tertua di Dunia ke Universiti Tertua di Malaysia.


9/8/07

Hari ini saya hadiri kuliah Kaedah Penyelidikan Lanjutan bersama Cik Nor Aini Ali di DK3. Sampai di AI saya terus ke Blok A membawa teman ke kedai fotokopi. Saya tergoda meninjau buku-buku baru yang dijual di gerai-gerai buku terbitan Telaga Biru, PTS, Karya Bestari dan lain-lain. Indera mata saya tiba-tiba memaut nama penulis ’Pahrol Mohd Juoi’. Aduh, sudah lama saya tidak melanggan Anis sejak saya beralih langganan ke Dewan Sastera. Mengimbau kenangan sewaktu musafir ilmu di kota Iskandariah, saya melanggan Anis selama dua tahun. Pastinya kolum KEMUDI HATI menyentuh nubari saya. Terlalu! Saya umpama orang dahaga dihidang air ketika melumati penulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Tanpa memikir panjang buku TENTANG CINTA- Jika tepat masa, ketika, keadaan dan siapa, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingnya oleh Pahrol Mohd Juoi terus saya bayar harganya. Apakah saya mahu membaca buku tentang cinta dalam hiruk-pikuk tugasan dan lambakan bahan rujukan yang perlu diladeni? Ah, pedulikan! Saya ingin mudik bersama penulisan ini, menggali falsafah dan cetusan idea yang cukup dihalusi oleh penulisnya. Buku ini prioritinya tidak saya aulakan. Lagipun ia tidak bersifat akademik dan sekadar kudapan rohani yang santai. Saya teringat pesan seorang teman tentang cinta, ”Jika Tuhan takdirkan kekasih kita beronar dalam cinta, lalu kita berpisah kerananya, bersyukurlah kerana Tuhan telah selamatkan kita dari orang yang sepertinya.” Saya tersenyum sendirian mengingatkan kalam itu. Ah, sekadar sembang-sembang. Esok saya harus bentangkan tugasan di kelas Pengajian Syariah dan Orientalisme.


Saya ingin memetik dari buku Pahrol Mohd Juoi:-

”Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa, tipa-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripad kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke lubang kubur. Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan dia terbaring seorang diri. Tak seorang pun turut masuk ke kubur dan menghiburkannya di dalam kubur. Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri”

-Imam Al-Ghazali

Di sini juga saya tertarik meninggalkan qasidah penyair sufi, Jalaluddin Rumi berjudul Kepada Sahabat Sejati:-

Oh bulan, muncullah dari langit hati,
Dan ubahlah malam kami menjadi siang,
Agar tak ada musafir malam yang akan mengatakan,
”Malam ini bukan malam yang terang bulan”
Semoga hatiku tak peduli akan di mana Yang Tercinta,
Sekiranya hatiku tak bergetar bagai hati air raksa kerana cinta kepada-Nya.

Pelerai Kepedihan

Kau yang sepanjang malam hingga fajar berseru Ya Rabbi,
Kerahiman Tuhan telah mendengar Ya Rabbi itu dan telah tiba,
Oh, kepedihan yang telah menjadi renta,
Gembiralah kerana pelerai kepedihan telah tiba,
Oh, kuncilah yang terkatup rapat, terbukalah!
Kerana anak kunci telah tiba.


Aduhai adinda saya Ummu Hani, anak cikgu Abu yang sering saya nikmati karyanya di media perdana, sama ada di Anis, Utusan juga e-sastera. Hampir sebulan sekuliah bersama, hari ini baru bertentang mata, mengenggam jemari, berbalas khabaran. Akhirnya gadis kecil molek ini saya temui. Sempat menanyakan kalau-kalau saya bisa menghantar cerpen atau artikel ke Editor Anis, Pn. Jalilah. Lusa saya akan ke SIRI SEMINAR TOKOH TAJDID-Al-Ghazali, Tokoh Mujaddid Agung, di Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIA, Gombak bersama teman-teman sefakulti. Ini bakal menjadi pengalaman pertama saya menaiki LRT Putra dari Stesyen Universiti-Terminal Putra


10/8/07

Jam tiga petang saya harus segera ke AI, Ayahanda Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi mengamanahkan saya datang awal untuk memastikan kelas sudah dipasang air-cond dan memasang segala suis LCD dan komputer. Dada saya dibelah gemuruh. Bisakah saya mengupas dengan baik literature review dari jurnal Pemikir yang ditulis oleh Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON) Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang berjudul Oksidentalisme: Pengertian dan Hala Tuju. Lantaran ini pengalaman pertama.


Asalanya kami bercadang buat-buat tak tahu yang minggu ini salah seorang dari kami menjadi pembentang. Masya-Allah, Prof. kami ingat giliran minggu.”Amboi, Faizah buat muka tak tau. Minggu ni gilaran dia janji nak bentang.” Saya dengan langkah ’agak yakin’ (Yakin+Pesimis) terus memasukkan ’pendrive’ dan membuka file Tugasan Presentasi. Komen pertama yang dilontarkan oleh Prof. Madya Dr. Rahimin, ”Bagus, cantik. Pandai juga kamu ni.” (Dalam dielek Kelantan yang agak pekat)


Kepada teman-teman, saya bekalkan salinan ringkasan dari tajuk pembentangan sebagai rujukan. Seperti biasa, dalam literature review perlu ada elemen-elemen penting iaitu, tema review, kehujahan dan kepentingannya, elemen negatif dan kritikan penulis berdasarkan kajian lepas yang dibuat. Kenyataan saya tentang elemen negetif yang terdapat didalam pengkajian oksidentalisme berbunyi begini:


”Sedangkan Oksidentalisme paling baik dilihat sebagai usaha positif bangsa Asia dan Afrika memahami buruk baik fenomena Barat. Sebagaimana jika dirujuk hasil penulisan Asaf Hussain melalui karyanya, Orientalism, Islam and Islamist yang mengkritik Barat dan kesan Orientalisme yang langsung tidak mendatangkan impak positif dengan menyuguhkan tokoh-tokoh Orientalis ekstremist yang anti-Islam. Sedangkan genre orientalisme banyak membuka ruang berjidal, merangsang penyelidikan serius dan medan dakwah halimunan apabila lahir dari golongan Orientalis ini mualaf yang mengenal Islam melalui disertasi dan bidang penyelidikan yang mendalam. Bidang pengkajian dan penyelidikan ini tidak seimbang sekiranya berlaku ketidakadilan dalam menyampaikan kebenaran dan hasil kajian ilmiah. Sewajarnya subjek Oksidentalisme berasaskan disiplin ilmu yang dikhalikan dari sikap perbalahan dan kebencian agar maklumat yang diperolehi dan disampaikan adil dan tidak merosakkan akal budi khalayak akademik mahupun masyarakat.



Namun satu implikasi yang sangat merisaukan penulis ialah ketaksuban atau kecondongan pemikiran para Oksidentalis terhadap aspek pemikiran, kebudayaan, psikologi, cara hidup, spiritual, nilai dan seumpamanya. Contohnya aliran pemikiran liberal telah meresap masuk ke dalam agama sehingga Islam telah dilabel sebagai Islam Liberal bahkan punya pengikut yang ramai dari kalangan ahli akademik. Keadaan ini memerlukan tatacara yang dihalusi agar pengkajian Oksidentalisme tidak tersasar dari objektif dan matlamat. Amat cocok sekiranya pengajian ini diambil secara pakej dengan Pengajian Islam. Secara tidak langsung, Oksidentalis tidak memisahkan akal dengan agama yang menjadi penyuluh berfikir.”

Alhamdulillah Prof. menyenangi istilah saya terhadap genre orientalisme sebagai ’medan dakwah halimunan’. Beliau kelihatan berpuas hati sebelum meninggalkan kami ’senyap-senyap’ untuk menghadiri program di sebuah hotel di bandaraya Kuala Lumpur. Saya membentangkan sambil berasa was-was kalau-kalau sebentar lagi Prof. akan masuk untuk memberi komentar dan persoalan secara mengejut. Rupanya dia sudah berada di hotel berkenaan. Syukur saya membentang seolah-olah seperti pembentangan tersebut bersama penyelia, perbincangan kami sekelas hidup walaupun kelas kami hanya mencatat kehadiran tiga orang, serang pelajar dari Burma tidak dapat hadir. Moga perbincangan kami mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Ar-Rahman.


Sebenarnya saya berkira-kira ingin menulis tajuk disertasi nanti ’Undang-undang Islam di Tanah Melayu menurut M.B Hooker’. Saya sempat bertanya pendapat Prof. Madya Dr. Che Zarrina Sa’ari dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam mengenai tajuk disertasi saya itu. Antara komen beliau:-

”Oh, Hooker tu pensyarah di University of Kent di Canterbury. Dan dia pernah menolak disertasi Ph.D Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi, alasannya Prof. Datuk bertegas dengan idea Hooker yang tidak dimuatkan ke dalam disertasinya. Jadi disertasi Prof. Datuk dapat lulus taraf Master saja. Sekarang Hooker tinggal di Australia ikut isterinya.”

Nah, saya akan mengkaji latar seorang orientalis yang nampaknya anti islam, tidak seperti pasangan orientalis yang kini sudah memeluk Islam, William C.Chittick menemu ketenangan hakiki didalam disertasinya Sastera Sufi dan isterinya Sachiko Murata yang menjumpai Petunjuk Hakiki melalui disertasinya mengenai Nikah Mut’ah. Mereka berdua antara contoh golongan orientalis berpaksikan disiplin ilmu yang sekadar bertindak sebagai medium untuk menjalinkan hubungan dengan kuasa barat. Nyata objektif dasar mereka bukan bermula bahana ledakan api dendam sejak zaman perang salib hingga era perang dingin.


Adapun ucapan tahniah adalah ungkapan keramat dari seorang guru kepada pelajarnya. Terima kasih ayahanda Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd Rahim di atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan. Moga Allah memberikan ganjaran kebaikkan di dunia dan akhirat! Ameen.

11/8/07

Saya bersama Effa dan Lyn bertolak ke UIA Gombak menaiki Putra LRT jam 8.40. kami bertiga antara peserta yang terlewat tetapi masih dikira beruntung kerana pembentangan kertas kerja belum bermula. Kami agak keletaian berkejar-kejar dari UM ke UIA Gombak. Sesi pertama dimulakan dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk Al-Ghazali dan Pembaharuan Pemikiran dan Amalan Tasawuf, oleh Ustaz Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dari ISTAC UIA. Posisi yang agak terbelakang menyebabkan konsentrasi kami agak kacau. Saya terfikir, ’nantilah, sesi kedua saya ingin maju mencari tempat kosong agak kehadapan.’ Usai sesi pertama kami dihidangkan kudapan pagi. Saya sempat berkenalan dengan pelajar Master Fiqh dan Usul dari UIA, katanya dia bekas graduan Universiti Al-Azhar. Kelihatannya masih muda lela, masakan dia senior saya, tambahan pula dia pelajar sejak tahun satu hingga tahun empat. Hati saya terdetik, adakah ini Sumayyah? Graduan termuda dari Jamiah al-Azhar, cawangan Mansurah. ”Umur berapa?” Soal saya beramah. ”Rahsia.” Diiring senyum dihujung bicaranya. ”Dulu saya belajar di Mansurah...”. ”Ini Sumayyah?!” Saya memotong kalamnya. ”Macam mana akak tahu nama saya? Saya tak kenal akak pun.” Saya katakan, mana ada siswi termuda di Al-Azhar yang mengambil sijil Sarjana Muda diusia 14 tahun sepertinya. Dia tersenyum. Manis seperti lautan gula. Sumayyah semakin matang dan agak kurus. Katanya terlalu sibuk dengan belajar. Subjek bagi coursework ijazah tinggi di UIA 10 semuanya berbanding kami di UM hanya 8. Sumayyah kini sedang menyiapkan thesisinya. Saya tak menyangka akan bertemu dengannya di sini. Saya fikir dia akan saya temui di UM sebagai senior. Nyata telahan saya hampir tepat tapi tersilap pada lokasi pengajian. Sepanjang seminar banyak yang kami bualkan ketika rehat. Banyak perkara yang saya pelajari dari Sumayyah. Nyata dia anak yang genius, ramah, lemah-lembut dan rahmah.


”Angah mohon j-QAF?”
”Mohon. Lulus MteST, temuduga tak pergi. Angah pun dalam dilema dik. Antara tuntutan kos hidup yang agak menghimpit lantaran kami adik beradik semuanya masih belajar. Kondisi abah yang agak berumur. Kerja kuat pasti tidak sesuai untuknya.”
”Oh, macam tu ke? Tapi, angah janganlah Mohon j-QAF. Muslimah sangat kurang yang jadi ahli akademik. Kita kurang benar tenaga pakar.
”Disebabkan niat angah nak jadi pakar dalam Usul Feqh angah gagahkan walaupun pengajian di sini faktor kewangan selalu benar menghimpit. Angah perlukan kerja supaya tak bebankan keluarga.”

Itu diantara cebisan dialog saya dan Sumayyah. Program seharian semalam bukan sahaja memberikan saya input berharga malah menganugerahkan saya ukhuwwah yang hangat dan utuh. Saya seolahnya tidak mahu pulang dan meninggalkan Sumayyah. Dia terlalu istimewa untuk didampingi. Tutur bicaranya berkitar pada ilmu turath dan semasa. Padanya kedua-dua unsur tersebut saling berkait dan tidak boleh dipisahkan atas dasar senioriti atau invalid. Dia mempelawa saya untuk menyertai aktiviti ilmu yang sering disertainya di sekitar Kuala Lumpur. Hati saya berbunga setuju. Moga kami ditemukan lagi di dalam taman syurga para penuntut ilmu. Selamat tinggal Sumayyah, UIA, para sarjana dan pengalaman untuk hari ini.

Salam Isra’ dan Mikraj...

Petikan Bait Syair daripada Imam Al-Bushiri:-

Digulungnya bumi dalam perjalanannya
Lapisan langit habis didakinya
Di suatu malam yang sangat berkatnya
Nabi pilihan menunggang Buraqnya

Buraq mendaki membawa Nabi
Hampir ke tempat dijunjung tinggi
Ke kemuncak Kemuliaan yang sangat dicintai
Tiada seorang pun yang sampai ke sana lagi

Nabi tergesa-gesa membicarakan kaumnya
Tanda kesyukuran atas kurniaan Tuhannya
Mencabar keraguan setiap peragunya
Tetap pendirian meskipun ribut menentangnya


12/8/07

Saya ingin menghabiskan pembacaan buku karangan Sachiko Murata bertajuk Gemerlap Cahaya Sufi dari China. Buku ini terjemahan dalam bahasa Indonesia. Ada beberapa para yang perlu diulang pembacaannya bagi menguatkan kefahaman tentang teks ini. Moga dimudahkan Allah.


Solat asar tadi diiringi perasaan yang berbaur sehingga kolam mata saya pecah. Sedih dan syahdu petang ini. Saya merasakan seperti ditinggalkan. Sunyi yang tersangat sunyi! Aduhai nubari, mengapa hari ini terasa benar kocakkannya. Saya fikir saya sudah cukup sasa menghadapi segalanya....

4 ulasan:

abu muhammad walid ilias berkata...

assalamualaikum
tertarik hati baca citer pasal al azhar n UM.really terkenagkan zikrayat masa kat mesir dulu. apa pun semoga berjaya dalam pengajian masters anda. semoga apa yang anda lakukan membawa khalayak pembaca kepadaNYA. walaupun anda masih tidak mencecah langit, namun gapailah awan dahulu,tiba masanya anda akan memikul gunung. semoga berjaya...

Faizah Azaman berkata...

Alaikumsalam. terima kasih kepada sdr. yang sudi berziarah.Khirij Azhar juga? saya masih banyak kelemahan dan kekurangan. Mudah2 blog daif ini bisa menjadi medium dan memberi sumbangan kecil.semoga berjaya juga buat anda.

abu muhammad walid ilias berkata...

wsalam. yer, saya lepasan azhar kaherah 1997-2001. saya masih bertatih dalam dunia penulisan. masa belajar dulu tak begitu memberi tumpuan kepada penulisan kreatif n santai, lebih kepada penulisan ilmiah. skang baru saya sedar penulisan cara santai, kreatif dan bersahaja tetapi bermaklumat seperti saudari n bloggers azhari lain buat sesuatu yang sememangnya menyeronokkan dan bermanfaat. teruskan usaha saudari, nanti claim balik usaha dakwah yang saudari buat menerusi medium ini di hadapanNYA. saya sentiasa mendoakan anda dan bloggers lain. semoga berjaya

Faizah Azaman berkata...

Terima kasih diatas sokongan. jarang-jarang ada pemerhati telus memberi kritikan kepada blogger dari lingkaran timur tengah, saya amat menghargainya! Selamat datang ke gapura penulisan sastera Islam. Penulisan kreatif membuka ruang kp sdr menyertai angkatan 'Sasterawan Tentera' yg mengangkat mata pena sebagai senjata...Moga berhasil!