Selasa, April 28, 2009

Seputar KLIBF 09

Ini sahaja buku-buku yang sempat saya beli sepanjang KLIBF 09. Mujur Ust Riduan Mohd Nor (booth kami berjiran) bermurah hati memberi buku Gaza Menangis dengan pembelian t-shirt HAMAS dan diskaun menarik untuk buku Dari Beirut Ke Jerusalem. Majalah Solusi keluaran Mei masih belum ada di pasaran. Manakala buku Peribahasa Nilai-Nilai Murni KBSR dan Pendidikan Sejarah; Falsafah, Teori dan Amalan adalah buku lelong Utusan Publication, ia koleksi termahal saya.


Untungnya! Dapat autograf dari pengarangnya...Mujurlah pengarang bersama Ust Aris sudah biasa berkunjung ke rumah. Bila-bila boleh minta autografnya pula.

Oh, tiga buah novel ini saya beli di Ujana Ilmu milik Nisah Haron. Masih menunggu giliran untuk dicicip. Seingat saya ia dibeli penghujung Mac. Sri Rahayu, saya terpesona dengan Merdekakan Cinta Ratna. Kali ini Warisnya Kalbu benar-benar mengujakan. Saasatul Ibaad garapan FT, pengarang ini sangat mempengaruhi citra penulisan saya. Menjadi Bintang turut memaut impian. Amiza, hayat kepengarangannya sentiasa berdenyut kencang. Saya sukakan saat dia menggempur semangat teman-teman ADABUNA, lembut, jujur, terang dan menusuk. Itulah kekuatannya.

Aha...sepanjang 27 tahun, inilah kali pertama saya membeli majalah ini. Murah...paper bag dan dua buah majalah expired date RM4. Saya minat paper bag karikatur Jessica dan Sahak...

Oh, ini buku-buku yang saya borong sepanjang bulan April...Koleksi Majalah e-Sastera yang saya dapatkan dari Pn. Ilya. Seronoknya dikelilingi buku. Teringin pula memiliki meja bacaan yang lengkap dengan lampu meja. Waktu membaca tiada batasan lagi...

Di booth Anbakri Publika; Saya bersama Sastri (Jururawat Peribadi ibu Pak Menteri Zahid Hamidi) yang saya kenali ketika bertugas di Kampung Baru Medical Centre.

Ratu Hidyah; teman bicara hati dan sastera islami Indonesia. Adinda yang saya kasihi, juga bertugas sebagai jururawat peribadi ibu Pak Menteri

Disampingmu; Replika Tuan Guru diapit saya dan GG. Nampak macam 'real' kan? Bukan selalu-selalu saya dapat bertentang mata dengan adinda yang menadah kitab di Bangi, apatah lagi di musim peperiksaan.

Rabu, April 22, 2009

Merantau, Kembara, Musafir...


Saya nak merantau. Saya nak cari pengalaman dan berburu idea di celah-celah runtuhan moral dan rimba melulu. Saya nak cari jati diri yang pernah tercicir entah ke mana sejak tiga tahun dulu. Saya dah tak sabar. Kalau nak ikutkan hati, sekarang juga saya sedia untuk mengembara. Biarlah laut segara yang jadi halangan atau gurun sahara yang memijar. Biar kulit saya dipanggang mentari sampai cair, biar tubuh saya diganyang badai menggila. Saya tak akan berundur. Saya nak pergi, saya mesti pergi. Bukan saya tak sayang ma dan abah, hingga rela berjauhan. Tapi, berjauhan juga mengeratkan. Berjauhan bisa mendekatkan. Sejak akhir-akhir ini saya selalu di sapa penyakit. Sah! Penawarnya akan dijumpai kalau saya merantau mencari akar azimat. Saya nak cari herba-herba yang menyembuhkan gering yang dihidap sekian lama. Derita ini kian merosakkan ketahanan tubuh saya. Ke mana harus saya tuju? Di mana titik permulaan kembara saya?

Entahlah...saya pun tak tahu. Yang saya pasti dan saya tahu, saya mesti memulakan kembara yang jauh dan panjang. Kata orang, bila sudah merantau...melewati hingga ke hujung dunia. Mendekati garisan di negeri abadi. Saya teringin nak ke negeri itu. Ada yang kata, siapa yang sampai ke sana tak mungkin dapat berpatah balik. Biarlah, saya nak teruskan langkah. Bukan berpatah ke tempat saya mulakan nanti.

Oh, rupa-rupanya hidup ini adalah kembara. Setiap hari saya jumpai sesuatu. Kadang-kala saya tak mampu menangani dengan baik, kadang-kadang saya tiris menyaring yang molek. Tapi, dalam hidup juga perlu merantau, kembara membawa diri. Moga-moga ketentuan Tuhan menaungi langkah kembara wanita lemah yang ingin mencabar kekebalan jiwa dan hatinya. Ke mana saya selepas ini? Sesiapa boleh beri cadangan destinasi yang menarik sehingga membuatkan saya tertarik ke sana...

Diam-diam, Lambat-lambat, Jauh-jauh, Lama-lama...



Diam-diam bergetar suara
Lambat-lambat terkelu juga
Dalam hati berdetak rasa
Lambat-lambat tahu juga


Jauh-jauh menampi padi
Kemboja luruh di tepi kali
Bila kita dah jauh hati
Tuan di depan kita tak sudi


Lama-lama menanti tuan
Jenuh berdiri menyemai budi
Kalau rupawan menjadi ukuran
Biar sendiri sampai ke mati

Jumaat, April 03, 2009

Konsert Amal MANIS ke-5 di UKM, Mengujakan...!

Bertemakan Keamanan Sejagat; menyemai benih mengikat kasih telah menghimpunkan kami di UKM, terima kasih kepada adinda Muhammad Hazwan yang sudi menerima undangan saya dan GG...(ingatkan nak belanja angah makan malam)
FarEast kini dianggotai Nabil Ahmad...teringat ketika bermesyuarat memilih tarikh untuk Takwim BKAN yang dipengerusikan olehnya ketika memegang jawatan sebagai S/U Agong PMRAM dulu.

Devotees; Vokal dan persembahan yang baik-baik saja...

Nice; Anggotanya memang nice...

Reunited; Inteam kembali berlima untuk album baru. Vokal dan persembahan semakin matang dan mantap.

Penyeri Majlis...dari kiri; GG, Cik Sri yang berseri, Acik Sala dan penampilan istimewa, Rabiatul Adawiyah...

Jumaat, Mac 13, 2009

Ulangtahun Kelahiran?

Suka? Walaupun bunga ini sesuai diberikan kepada pesakit di wad bersalin, saya tetap terima sebagai hadiah hari lahir (",)
Yong Tau Fu ala Singapore; resipinya minta dengan Ma. Sempat masak sebelum ke pejabat

Saya melayan keinginan teman-teman serumah yang ingin meraikan ulangtahun kelahiran
Kek Coklat Moist; tiada angka kelahiran ya?


Terima kasih kepada ma, abah, adinda, kanda dan teman-teman yang mengirimkan sms, emel, hadiah dan seumpamanya. Teman lama, Becah di Alex yang tak pernah lupa tarikh ulangtahun saya. Oh, tidak lupa kepada sifo Zul yang paling awal berikan hadiah dan ucapan kelahiran. Paling syahdu, ucapan dari Amiza Khusyri di ADABUNA yahoogroup:-
Salam.
Saja nak ucap Selamat Ulangtahun Kelahiran kepada Faezah Herda. Dah lama tak baca karyanya di media. Dia salah seorang penulis Mesir yang berbakat. Terutama dari aspek bahasa dan latar.Bangun Faezah, jangan malas! :)
Amiza.

Dek kerana sering mengasak saya, akhirnya saya putuskan untuk menulis cerpen baharu yang bertajuk DAN PUING-PUING BERHAMBURAN. Maaf Amiza, saya hanya serahkan kerja separuh jalan kepada anda. Saya akan sambung kisahnya. Klimaks dan perleraian sedang diaturkan. Domo arigatou!
Soundtrack OST Ayat-Ayat Cinta ini menyentuh ya... saya tinggalkan untuk anda.
Semua resah hati manusiamu
Untuk membagi kisah atas nama cinta
Derai air mata di setiap sujudmu
Seperti tak pernah cukup untuk menjagaku
Jangan butakan hati menjadi cinta yang semu, cinta yang semu...

Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di sela doa dalam malam-malam yang sunyi
Ampun yang engkau pinta dalam semua keraguan yang telah meliputi jiwamu
Semoga akan membawa cintamu
Pada diriku dalam jalan dan redha-Nya
Jangan butakan hati menjadi cinta yang semu, oh cinta yang semu

Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di tengah terik matahari dan dinginnya malam
Kau panjatkan ayat-ayat cinta pada-Nya
Melindungi dan menjaga kisah cinta kita