Selasa, Februari 13, 2007

Saat Kembali...

Saat kembali mendakap dalam hangat kasih tanah air. Begitu menghibakan. Saya berhenti agak lama dari berkarya dan dunia kepengarangan. Namun cerpen saya yang bertajuk Mencari Entiti Malahayati tersiar di dada Dewan Budaya Febuari 2007 agak merangsang minda dan jejari untuk mengetuk papan kekunci. Sebetulnya saya dalam pencarian. Pencarian erti hidup dan meneliti arus kehidupan yang sedang saya renangi. Saya sedayanya menyuntik akal agar berputar ligat memburu idea dan kelenturan bahasa demi memastikan hayat kepengarangan yang saya minati masih bernafas.

Terima kasih kepada kanda Nisah Haron dan saudara Amiza Khusyri yang peka dengan penulisan saya dan sering mengingatkan saya pada perkara yang sering saya lupakan, konsisten.

Saya rindui untuk menulis bait-bait kata di atas lantai merah jambu ini...



Isnin, November 27, 2006

Akhirnya...


Akhirnya...penantian saya selama 2 bulan seminggu berakhir. Keputusan akhir bagi pengulangan 2 subjek ke bawah bagi Universiti al-Azhar as-Syarif cawangan Iskandariah telah diumumkan secara tidak rasmi dan boleh disemak di pejabat syu'un wafidat, melalui Ustaz Nadhir atau Ustaz Moustafa.

Akhirnya...penantian mereka yang ingin melihat saya kecundang juga berakhir dan terjawab.

Akhirnya...Allah telah mengangkat doa ma, abah dan adik beradik saya mengatasi doa mereka yang berniat serong terhadap saya.

Akhirnya...usaha dan kepayahan saya telah diganjari-Nya. Moga Allah memberkati kejayaan ini. Bahkan saya mampu memberi sumbangan kepada agama, keluarga, nusa dan bangsa.

Akhirnya...saya bakal meninggalkan bumi Anbiya' setelah bermukim sejak empat tahun lalu dan menghabiskan usia hampir setengah dekat di negeri orang. Meninggalkan bumi yang mengajarkan saya kepada sebuah perjuangan, mencintai ilmu, mengenalkan saya kepada mengejar redha Tuhan dengan penuh kesabaran, ketabahan dan konsisten.

Akhirnya...tarbiah dari bumi Nabi Musa yang melahirkan jutaan ulama tersohor telah melahirkan seorang SAYA dari rahimnya. Syukur pada-Mu Rabbi!

Akhirnya...saya kembali sujud syukur kepada Yang Satu menyatakan rasa penghargaan tidak terhingga di atas nikmat-Nya yang tidak pernah bertepi, jutaan angka infiniti, juga bermohon pintu pengampunan tidak tertutup untuk diri ini. Ameen ya Rabbi!

Konserto Terakhir -Abdullah Husain

Genre-Karya Klasik Moden

Klasiknya sebuah karya diukur dengan zaman atau masa. Lebih daripada itu; persoalan, fikiran, ketukangan, dan mutulah yang terutama menetukan klasik tidaknya karya itu. Karya Klasik Moden wadah karya sastera yang utuh, mapan, berusia sekurang-kurangnya 15 tahun. Karya Klasik ialah karya besar, justeru penting sekali didokumentasi untuk tujuan bacaan dan kajian, juga sebagai kenang-kenangan.

KONSERTO TERAKHIR

Cerita darah
Cerita darjat
Birunya darah
Pongahnya darjat
Cinta lagu dan irama
Lagu jasad tegar
Irama nurani sunyi
Cerita Cinta
Cerita luka
Cerita Konsero Terakhir
Sebuah Intermeso di pentas hidup-Editor

Hilmi-Watak utama, anak kandung Datuk Johori yang disembunyikan identitinya oleh Pak Karim. Datuk Johari pernah mengahwini ibu Hilmi kemudian menceraikannya keesokkan harinya. Lalu bekas isteri Datuk Johari dibela nasibnya oleh Pak Karim sedang dia sarat mengandungkan Hilmi.

Hayati-Sepupu Hilmi. Anak tunggal Datuk Johari dan Datin Salmah. tunangan Mohsin, anak saudara Datin Salmah. Menyintai Hilmi.

Datuk Johari-Sepupu Pak Karim dan bekas suami kepada isteri Pak Karim. Bapa kandung Hilmi yang disembunyikan.Meninggalkan kampung dan menjadi orang besar di bandar dan mengahwini Datin Salmah setelah menceraikan ibu Hilmi. 'Pak cik' yang menyimpan sedikit simpati terhadap Hilmi.

Pak Karim-Lelaki yang membela nasib janda muda yang diceraikan lantaran miskin. Sepupu yang berbudi luhur dan sudah berusia. Miskin dan tinggal di kampung. Penjaga Hilmi dan bertindak seperti 'ayah kandung'.

Datin Salmah-Wanita dari keluarga berada. Mengahwini Johari atas nasihat ibunya. Bongkak, sombong, pemarah dan angkuh. Aktiviti harian 'morning coffee' bersama isteri kenamaan lain-bergosip dan berbual kosong.

Dr Nathan-Jiran Datuk Johari. Peramah dan pemurah. Majikan Mamat, sahabat baik Hilmi.

Pak Amat-Bekas penyelam mutiara di Darwin, Australia. Mengahwini wanita Inggeris dan kematian anak lelaki sebaya Hilmi. Pemandu Datuk Johari. Memahami Hilmi.

Pak Bakar-Bapa Mertua, kawan dan guru muzik Hilmi. Bersikap terbuka, penyayang dan optimis pada bakat yang dimiliki Hilmi.

Ibu Azizah-Isteri Pak Bakar yang setia dan patuh

Azizah-Anak gadis Pak Bakar, meminati Hilmi dalam diam. Bahkan berani memesrai Hilmi ketika ibu bapanya tiada di rumah. Menjadi isteri Hilmi yang sah dan mendapat seorang cahaya mata bernama Hakim.

KONSERTO TERAKHIR bertempo agak sederhana. Termuat 14 bab dengan 285 halaman. Kisah meruntun hati dan mencabar norma-norma manusiawi. Kisah manusia yang tercabut rasa empati dan simpati, kisah keluarga sedaging darah yang khali ritma saudara, kisah teman berhati luhur menandingi pertalian sedaging darah.

Hilmi pria kampung, disuruh Pak Karim merantau ke bandar demi mencari pak longnya. Fikir Hilmi bapa saudaranya nanti akan membuka jalan mudah baginya mendapatkan kerja dengan kelulusan darjah empat sekolah melayu. Sedang Pak Karim mengirimkan Hilmi demi menyentuh naluri seorang bapa bila mana anak kandungnya tinggal sebumbung.

Disangkakan panas sampai ke petang rupanya gerimis di tengah hari. Kehadiran Hilmi disambut dengan hambar dan sarat kebimbangan. Bimbang identiti Datuk Johari akan terbongkar, gusar reputasi keluarga Datin Salmah akan tercalar, risau Hilmi mendapat layanan setaraf sedang dia bukan sedarjat lalu Hilmi diberikan tempat berteduh setaraf orang gaji dan pemandu dan ditugaskan sebagai tukang kebun di rumah 'bapa'nya sendiri. Bermulalah kisah menyayat hati apabila Hilmi diperlakukan seperti perkerja lain bukan seperti sedaging darah.

Hilmi gembira dengan tugasan itu. Halaman yang tidak terjaga bertukar menjadi taman berwarna-warni dengan haruman puspawarna. Dalam masa yang sama bakat dan kerajinan Hilmi diintai tetangga Datuk Johari, Dr Nathan.

Datin Salmah semahunya ingin merahsiakan identiti Hilmi daripada pengetahuan saudara, teman-teman juga tetangganya. Dia enggan menerima kenyataan bahawa Hilmi sedarah sedaging dengan suaminya dan darah itu mengalir di dalam tubuh anak gadisnya, Hayati! Terusan Hilmi dilayan kasar dan biadab.

Watak Hilmi cukup menyentuh atma saya. Wajahnya beriak tenang, sabar, peramah, tidak meninggalkan solat, rajin, patuh dan setia. Saya teringatkan pesan seorang rakan penulis ada memesan,..."jika anda menukangi karya, terutama cerpen atau novel masukkan kimah ad-din contohnya solat, zikir, puasa dan sebagainya. Dengan cara ini bisa menyentuh khalayak pembaca dan mengajak secara halus. Ini tugas kita, jika tidak kita menyentuhnya siapa lagi?"

KONSERTO TERAKHIR air tangan Sasterawan Negara, Abdullah Husain. Karya klasik moden yang evergreen!

Sabtu, November 11, 2006

Perkampungan Penulis Muda di KISAS



CARTA ORGANISASI AJK PELAKSANA PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA
KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH, 2006

EX-OFFICIO
MUHAMAMAD RAFI B. MD. YUSOF
PENGARAH
MUHAMMAD ZULHILMI B. JAMALUDDIN
TIMB. PENGARAH
NUR NAJWA NAJIHAH BT.SHAARI
EXCO PROTOKOL
AHMAD IBRAHEM B. MOHD. AZAMAN

TIMB. EXCO PROTOKOL
HIDAYAH AMINAH
EXCO PENERBITAN
MUHAMMAD IRFAN B. ABDUL RAHMAN
TIMB. EXCO PENERBITAN
UMIZATUL KHALIESAH BT. SAMIAN
EXCO SIJIL
MUHAMMAD SYAHMI B. BAHRUDDIN
TIMB. EXCO SIJIL
SITI KHADIJAH BT. ABU BAKAR
EXCO JAMUAN
MUAHMMAD NOR FAHMI B. NORDIN
TIMB EXCO JAMUAN
SITI NOR ZAKIAH BT. MOHD. ZAINUDDIN
EXCO BAHAN DAN EDARAN
AHMAD SIRHAN B. ABDUL GHAZALI
TIMB. EXCO BAHAN DAN EDARAN
UMAIRAH BT. NORAZMAN
URUSETIA
M. YUSUF B. SHAMSUDDIN
AFUZA ABDULLAH BIN IDIRIS
ABDULLAH AZZAM B. ABDUL RASYID
M. IRHAMUDDIN B. IBRAHIM
NUR DHAMIRAH BT. ZULKARNAIN
HANI AFIFA BT. HANIF
NUR ANISA BT. IBRAHIM GANI
NUR ZARINA BT. MOHD. SHA’RIN
NOR AFIQAH BT. NORDIN

Tentatif Program Perkampungan Penulis Muda

Isnin
13/11/2006
3.30 petang: Upacara perasmian
- En. Abdul Ghafar b. Mahmud
Ketua Penolong Pengarah Sektor SBP
4.00 petang: Teknik penulisan Cerpen
- En. Mohd. Faizal b. Musa (Faisal Tehrani)
6.00 petang: Rehat, solat dan pengurusan diri
8.00 malam: Samb. Teknik Penulisan Cerpen
-En. Mohd. Faizal b. Musa (Faisal Tehrani)
11.00 malam Tidur

Selasa
14/11/2006
3.30 petang: Prolog bersama Faisal Tehrani (Novel)
6.00 petang: Rehat, solat dan pengurusan diri
8.00 malam: Samb. Prolog Bersama Faisal Tehrani (Novel)
11.00 malam: Tidur

Rabu
15/11/2006

3.30 petang: Bengkel Bicara Karya- Drama bersama Faisal Tehrani
6.00 petang: Rehat, solat dan pengurusan diri
8.00 malam: Samb. Bengkel Bicara Karya-Drama bersama Faisal Tehrani
11.00 malam: Tidur


Khamis
16/11/2006
3.30 petang: Motivasi dan Tips Penulisan Puisi Bermakna
- En. Ahmad Sarju
6.00 petang: Rehat, solat dan pengurusan diri
8.00 malam: Pengurusan Penerbitan Karya
- Pn. Izzah bt. Abdul Aziz
11.00 malam: Bersurai


Aduhai, cemburu saya melihat tentatif adinda saya yang bakal berprogram pada Isnin nanti. Saya di sini sudah lama tidak memesrai bayu sastera. Payah benar rasanya jika tidak memiliki komputer sendiri. Ketika sesi lepas saya senang mengguna komputer di pejabat HEWI BKMIP bagi melunas idea yang menyapa tika ripuh dengan tugas di dalam organisasi. Moga ini noktah bidayah adinda saya dan teman-temannya mengorak langkah sebagai penulis, SASTERAWAN TENTERA...Syabun nasya'a fi ibadatillah!

*Selamat pengantin baru diucapkan kepada kekanda Syarifah Salha Syed Ahmad dan pasangannya Saudara Mohd Zakir pada 12 Nov 2006. Moga bahagia hingga ke negeri Firdaus! Saya menanti TUNAS CIPTA OKT yang ayung janjikan!




Selasa, Oktober 31, 2006

Mengapa Saya Menulis?



Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman

"Kita lari, kita ubah, kita cari yang baru, kita gila-gila sedikit! Itu pemikiran kreatif. Jadi, dalam kesusasteraan, hal ini cukup penting kerana sastera adalah hasil kreativiti. Jadi maksud ubah itu ialah mencari idea yang belum dibuat lagi."
-Jaafar Abd Rahim

Saya mula menulis ketika dibangku sekolah. Menulis kerana jawapan peperiksaan mahukan jawapan berbentuk esei, menulis kerana meluah gelodak jiwa, menulis kerana membebaskan tekanan, menulis kerana rangsangan gen yang saya warisi di sisi abah dan mama. Lantaran itu saya menulis. Saya pernah menaruh impian di dalam peti nubari apabila dewasa nanti saya ingin menjadi wartawan atau sejarawan. Akrab dan memesrai leluhur, budaya, sejarah, keunikkan adat melayu dan segalanya tentang melayu yang berakarkan Islam.

Saya sangat meminati subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Sedang rakan-rakan merungut tatkala perlu menghafal fakta, itu sangat menyesakkan mereka. Seingat saya ketika ditingkatan enam hanya ada seorang 'pencabar' bagi kertas Sejarah Tamadun dan Sejarah Malaysia, kini beliau sedang menghabiskan pengajian dalam jurusan Syariah dan Kehakiman di KUIM. Kedudukan saya 'kurang selesa' ketika itu. Pada saya sejarah bukan sahaja perlu dibaca, dikaji dan diteliti tetapi ia perlu dipelajari. Manakan ada sekarang tanpa ruang masa terdahulu, manakan ada kita tanpa leluhur, manakan ada tamadun tanpa sejarah yang menciptanya. Keintiman ini tidak bisa direnggangkan, jangan sekali dinafikan.

Ketika menjejak institusi pengajian yang pada mulanya sebuah masjid sejak berkurun bagai tidak pernah lelah menbidani intelektual islamik pada sesi 2002/2003, saya dikenalkan teman serahim seminar penulisan di delta Nil dan kubangnya di Rumah Negeri Sembilan. Bergelumang dengan kertas kerja pelbagai genre, mendampingi para moderator yang mesra, tampil menguja peserta dengan daya pemujukan yang tinggi melalui keberkesanan 'eye contact' dan 'body language' cukup meyakinkan dan menyentuh khalayak Serasa saya terpanggil, seolah-olah ada kuasa raksaksa dari dalam diri menunjal-nunjal dinding naluri. Masanya sudah tiba! Saya sebetulnya harus membuat pilihan dari sekian banyak cabang. Nah! saya tekad menyiapkan sebuah cerpen menjulang tema perjuangan bernafas cinta semuluk 'Cinta Kala Gegar Jakarta' milik Zaid Akhtar atau karya sejarah sarat adengan perang penuh tragis disolek dengan cermat kisah cinta si dara penjajah terhadap pendekar Bugis dalam 'Syahid Raja Api' garapan Faisal Tehrani. Tapi bagaimana?

Saya mulakan lenggok tarian pena. Entahkan inang, entahkan zapin, entahkan kuda kepang, entahkan joget. Saya teruskan jua tarian biar terkadang sumbang lenggoknya. Pengalaman pertama mencipta karya adalah pengalaman termahal. Saya mula mengenal jatidiri dan peribadi seorang penulis yang kreatif. Menyitir kata Sasterawan Negara A. Samad Said, "Biasanya insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni. Seniman adalah petani seni yang berfikir, disamping cepat tersentuh oleh sesuatu angin peristiwa atau rebut pengalaman."

Saya ingin mengajak kalian menyelak lembaran mukjizat, kitab suci al-Quran termaktub dasar umum fenomena budaya berfikir dan kepenciptaan. Dalam Kitab Agung ini aqal atau akal telah disebut sebanyak 123 kali, ilmu sebanyak 832 kali, begitu juga dengan fakkara atau fakir. Jika disemak tiga dari 99 Asma ul-Husna dapat diaplikasikan pada kreativiti iaitu Maha Pencipta (al-Khaliq), Maha Membentuk (al-Mussawir), Maha Mengadakan (al-Mubdi). Saya sangat mengagumi kekreatifan Rasulullah melalui sirah baginda diangkat sebagai tokoh guna menyelesaikan masalah yang ditampilakan oleh Tuhan dalam pelbagai situasi yang menghimpat mahupun meruncing.

Realitinya menjadi penulis bermakna perlu menggalas tanggung jawab yang besar. Menulis sebenarnya merupakan satu profesion yang mulia. 'Sasterawan adalah propagandis zamannya' kata Allahyarham Tun Abd Razak; 'Penulis bertindak sebagai conscience atau batin sesuatu bangsa', kata Dr Kassim Ahmad; 'Penulis adalah pembentuk dan pemimpin zamannya', kata Tun Syed Nasir Ismail pula. Menurut Datuk Hassan Ahmad pula, penulis ialah ornag yang cinta akan idea, Tan Sri Hamzah Abu Samah mengatakan penulis ialah pengkritik masyarakat, sementara Dr. Nordin Selat mendakwa bahawa penulis bertindak sebagai tenaga penggerak intelek. Tun Dr. Mahathir Mohammad sendiri telah melontarkan pandangannya tentang masyarakat penulis:

Pada zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting, dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting yang menggerakkan dan mempengaruhi sistem ini. Dengan perkataan lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat, secara langsung atau tidak langsung, dikuasai oleh para intelek dan penulis.

Di dalam buku The Art and Science of Creativity karangan George F. Kneller telah mengalurkan 11 sifat dominan individu kreatif:-
1- Kecerdikan (intelligence)
2- Kewaspadaan, kesedaran atau sensitive (awareness)
3- Lancar dari segi berfikir dan berkomunikasi (fluency)
4- Mudah dilentur atau mudah berubah (flexibility)
5- Asli iaitu dari saegi idea, memancarkan sikap dan kaedah bertindak balas (originality)
6- Mempunyai daya penambahan sesuatu supaya menjadi lebih baik dan pelbagai guna (elaboration)
7- Gemar mempersoalkan sesuatu atau tetap meragui selagi belum pasti akan kebenaran sesuatu (sceptism)
8- Tabah, tekun, 'degil' dalam masa yang lama dan konsisten (persistence)
9- Mempunyai humor yang tinggi iaitu kebolehan memberi reaksi secara spontan, dan menjadikan kaedah ini sebagai penyalur perasaan yang berkesan (humor)
10- Tidak mahu sama dengan orang lain, tidak mahu patuh pada kebiasaan, tidak gemar budaya yang mengikat (noncomformity)
11- Mempunyai keyakinan diri (self-confidence)


John W. Haefele menyifatkan sikap lazim bagi seorang penulis di dalam bukunya Creativity and Innovation seperti berikut:-

1- Spontan dan mempunyai perasaan atau minat yang kuat pada sesuatu
2- Degil dan sombong
3- Asli
4- Suka meneroka aktiviti baru
5- Mudah terkesan, mudah radang
6- Mempunyai kuasa memaksa
7- Cenderung memaksa
8- Mempunyai perwatakan yang kompleks
9- Mudah simpati

Manakala Ainon Muhammad dan Abdullah Hassan pula melabelkan individu kreatif di dalam buku mereka, Teknik Berfikir: Konsep dan Proses sebanyak 14 ciri:-

1- Mereka mempunyai jiwa merdeka, tidak suka dikongkong, tidak suka terikut-ikut dan tidak peduli pada kritikan orang
2- Mereka tidak dahaga pada pengiktirafan, pujian atau ganjaran orang lain. Mereka mampu memuji dan mengkritik diri sendiri
3- Mereka berani membuat keputusan dan sedia bertanggungjawab pada risiko keputusan itu. Mereka tidak suka pada undian dalam mesyuarat atau akur pada tekanan luar.
4- mereka bersikap terbuka dan sedia menerima kenyataan bahawa adakalanya mereka tidak rasional. Oleh itu, mereka bersikap toleransi terhadap kritikan orang lain
5- Peribadi mereka stabil. Mereka tidak akan berubah hanya kerana ditekan oleh kuasa luar
6- Meminati seni dan berjiwa halus
7- Berperangai dominant dan tegas, tidak suka menjadi pengikut dan kecewa apabila orang tidak mengikut pemikirannya.
8- Jiwanya lebih kompleks, sukar difahami oleh orang lain
9- Mudah menerima hakikat kelemahan dan kekurangan dirinya. Oleh itu dia mudah mengaku apabila tersilap
10- Lebih panjang akal, tidak mahu menerima jawapan 'tidak' dan akan terus berusaha
11- Berani dan suka mencuba perkara yang baharu yang tinggi risikonya
12- Berjiwa radikal, berani mencabar perkara pokok dan tidak takut menongkah arus
13- Dapat mengawal diri sendiri
14- Berkemungkinan menjadi pendiam/introvert, banyak bercakap dan berhujah dengan diri sendiri

Penulis mahupun calon penulis harus menjadi seorang perenung, pemikir dan ahli falsafah yang memerhatikan setiap rinci kehidupan. Menjadi seorang melayu tulen, menanam jatidiri orang melayu dan semangat kebangkitan melayu dengan penuh hemah dan berbudi bahasa berantarakan sastera. Jadilah penulis yang geram dengan kebobrokan dan kebejatan akal budi bangsa. Jadi pengarang yang degil, cari isu baru dan bahan baru dengan meletakkan roh dalam karya ketika mengarang. Gempur semangat menulis usah tunggu idea datang. Perisapkan diri menjadi penulis yang berani menjangkau idea yang keluar dari lingkar konvensi. Tinta penulis ditimbang dengan darah para syuhada', apa lagi yang dinanti? Salam mangsi sastera!