Selasa, Oktober 31, 2006

Mengapa Saya Menulis?



Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman

"Kita lari, kita ubah, kita cari yang baru, kita gila-gila sedikit! Itu pemikiran kreatif. Jadi, dalam kesusasteraan, hal ini cukup penting kerana sastera adalah hasil kreativiti. Jadi maksud ubah itu ialah mencari idea yang belum dibuat lagi."
-Jaafar Abd Rahim

Saya mula menulis ketika dibangku sekolah. Menulis kerana jawapan peperiksaan mahukan jawapan berbentuk esei, menulis kerana meluah gelodak jiwa, menulis kerana membebaskan tekanan, menulis kerana rangsangan gen yang saya warisi di sisi abah dan mama. Lantaran itu saya menulis. Saya pernah menaruh impian di dalam peti nubari apabila dewasa nanti saya ingin menjadi wartawan atau sejarawan. Akrab dan memesrai leluhur, budaya, sejarah, keunikkan adat melayu dan segalanya tentang melayu yang berakarkan Islam.

Saya sangat meminati subjek Bahasa Melayu dan Sejarah. Sedang rakan-rakan merungut tatkala perlu menghafal fakta, itu sangat menyesakkan mereka. Seingat saya ketika ditingkatan enam hanya ada seorang 'pencabar' bagi kertas Sejarah Tamadun dan Sejarah Malaysia, kini beliau sedang menghabiskan pengajian dalam jurusan Syariah dan Kehakiman di KUIM. Kedudukan saya 'kurang selesa' ketika itu. Pada saya sejarah bukan sahaja perlu dibaca, dikaji dan diteliti tetapi ia perlu dipelajari. Manakan ada sekarang tanpa ruang masa terdahulu, manakan ada kita tanpa leluhur, manakan ada tamadun tanpa sejarah yang menciptanya. Keintiman ini tidak bisa direnggangkan, jangan sekali dinafikan.

Ketika menjejak institusi pengajian yang pada mulanya sebuah masjid sejak berkurun bagai tidak pernah lelah menbidani intelektual islamik pada sesi 2002/2003, saya dikenalkan teman serahim seminar penulisan di delta Nil dan kubangnya di Rumah Negeri Sembilan. Bergelumang dengan kertas kerja pelbagai genre, mendampingi para moderator yang mesra, tampil menguja peserta dengan daya pemujukan yang tinggi melalui keberkesanan 'eye contact' dan 'body language' cukup meyakinkan dan menyentuh khalayak Serasa saya terpanggil, seolah-olah ada kuasa raksaksa dari dalam diri menunjal-nunjal dinding naluri. Masanya sudah tiba! Saya sebetulnya harus membuat pilihan dari sekian banyak cabang. Nah! saya tekad menyiapkan sebuah cerpen menjulang tema perjuangan bernafas cinta semuluk 'Cinta Kala Gegar Jakarta' milik Zaid Akhtar atau karya sejarah sarat adengan perang penuh tragis disolek dengan cermat kisah cinta si dara penjajah terhadap pendekar Bugis dalam 'Syahid Raja Api' garapan Faisal Tehrani. Tapi bagaimana?

Saya mulakan lenggok tarian pena. Entahkan inang, entahkan zapin, entahkan kuda kepang, entahkan joget. Saya teruskan jua tarian biar terkadang sumbang lenggoknya. Pengalaman pertama mencipta karya adalah pengalaman termahal. Saya mula mengenal jatidiri dan peribadi seorang penulis yang kreatif. Menyitir kata Sasterawan Negara A. Samad Said, "Biasanya insan seni amat berhati-hati, sentiasa menghalusi, sentiasa menilai, rajin berwaras dan bersabar mengeram sesuatu sebelum mencernanya menjadi karya seni. Seniman adalah petani seni yang berfikir, disamping cepat tersentuh oleh sesuatu angin peristiwa atau rebut pengalaman."

Saya ingin mengajak kalian menyelak lembaran mukjizat, kitab suci al-Quran termaktub dasar umum fenomena budaya berfikir dan kepenciptaan. Dalam Kitab Agung ini aqal atau akal telah disebut sebanyak 123 kali, ilmu sebanyak 832 kali, begitu juga dengan fakkara atau fakir. Jika disemak tiga dari 99 Asma ul-Husna dapat diaplikasikan pada kreativiti iaitu Maha Pencipta (al-Khaliq), Maha Membentuk (al-Mussawir), Maha Mengadakan (al-Mubdi). Saya sangat mengagumi kekreatifan Rasulullah melalui sirah baginda diangkat sebagai tokoh guna menyelesaikan masalah yang ditampilakan oleh Tuhan dalam pelbagai situasi yang menghimpat mahupun meruncing.

Realitinya menjadi penulis bermakna perlu menggalas tanggung jawab yang besar. Menulis sebenarnya merupakan satu profesion yang mulia. 'Sasterawan adalah propagandis zamannya' kata Allahyarham Tun Abd Razak; 'Penulis bertindak sebagai conscience atau batin sesuatu bangsa', kata Dr Kassim Ahmad; 'Penulis adalah pembentuk dan pemimpin zamannya', kata Tun Syed Nasir Ismail pula. Menurut Datuk Hassan Ahmad pula, penulis ialah ornag yang cinta akan idea, Tan Sri Hamzah Abu Samah mengatakan penulis ialah pengkritik masyarakat, sementara Dr. Nordin Selat mendakwa bahawa penulis bertindak sebagai tenaga penggerak intelek. Tun Dr. Mahathir Mohammad sendiri telah melontarkan pandangannya tentang masyarakat penulis:

Pada zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting, dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting yang menggerakkan dan mempengaruhi sistem ini. Dengan perkataan lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat, secara langsung atau tidak langsung, dikuasai oleh para intelek dan penulis.

Di dalam buku The Art and Science of Creativity karangan George F. Kneller telah mengalurkan 11 sifat dominan individu kreatif:-
1- Kecerdikan (intelligence)
2- Kewaspadaan, kesedaran atau sensitive (awareness)
3- Lancar dari segi berfikir dan berkomunikasi (fluency)
4- Mudah dilentur atau mudah berubah (flexibility)
5- Asli iaitu dari saegi idea, memancarkan sikap dan kaedah bertindak balas (originality)
6- Mempunyai daya penambahan sesuatu supaya menjadi lebih baik dan pelbagai guna (elaboration)
7- Gemar mempersoalkan sesuatu atau tetap meragui selagi belum pasti akan kebenaran sesuatu (sceptism)
8- Tabah, tekun, 'degil' dalam masa yang lama dan konsisten (persistence)
9- Mempunyai humor yang tinggi iaitu kebolehan memberi reaksi secara spontan, dan menjadikan kaedah ini sebagai penyalur perasaan yang berkesan (humor)
10- Tidak mahu sama dengan orang lain, tidak mahu patuh pada kebiasaan, tidak gemar budaya yang mengikat (noncomformity)
11- Mempunyai keyakinan diri (self-confidence)


John W. Haefele menyifatkan sikap lazim bagi seorang penulis di dalam bukunya Creativity and Innovation seperti berikut:-

1- Spontan dan mempunyai perasaan atau minat yang kuat pada sesuatu
2- Degil dan sombong
3- Asli
4- Suka meneroka aktiviti baru
5- Mudah terkesan, mudah radang
6- Mempunyai kuasa memaksa
7- Cenderung memaksa
8- Mempunyai perwatakan yang kompleks
9- Mudah simpati

Manakala Ainon Muhammad dan Abdullah Hassan pula melabelkan individu kreatif di dalam buku mereka, Teknik Berfikir: Konsep dan Proses sebanyak 14 ciri:-

1- Mereka mempunyai jiwa merdeka, tidak suka dikongkong, tidak suka terikut-ikut dan tidak peduli pada kritikan orang
2- Mereka tidak dahaga pada pengiktirafan, pujian atau ganjaran orang lain. Mereka mampu memuji dan mengkritik diri sendiri
3- Mereka berani membuat keputusan dan sedia bertanggungjawab pada risiko keputusan itu. Mereka tidak suka pada undian dalam mesyuarat atau akur pada tekanan luar.
4- mereka bersikap terbuka dan sedia menerima kenyataan bahawa adakalanya mereka tidak rasional. Oleh itu, mereka bersikap toleransi terhadap kritikan orang lain
5- Peribadi mereka stabil. Mereka tidak akan berubah hanya kerana ditekan oleh kuasa luar
6- Meminati seni dan berjiwa halus
7- Berperangai dominant dan tegas, tidak suka menjadi pengikut dan kecewa apabila orang tidak mengikut pemikirannya.
8- Jiwanya lebih kompleks, sukar difahami oleh orang lain
9- Mudah menerima hakikat kelemahan dan kekurangan dirinya. Oleh itu dia mudah mengaku apabila tersilap
10- Lebih panjang akal, tidak mahu menerima jawapan 'tidak' dan akan terus berusaha
11- Berani dan suka mencuba perkara yang baharu yang tinggi risikonya
12- Berjiwa radikal, berani mencabar perkara pokok dan tidak takut menongkah arus
13- Dapat mengawal diri sendiri
14- Berkemungkinan menjadi pendiam/introvert, banyak bercakap dan berhujah dengan diri sendiri

Penulis mahupun calon penulis harus menjadi seorang perenung, pemikir dan ahli falsafah yang memerhatikan setiap rinci kehidupan. Menjadi seorang melayu tulen, menanam jatidiri orang melayu dan semangat kebangkitan melayu dengan penuh hemah dan berbudi bahasa berantarakan sastera. Jadilah penulis yang geram dengan kebobrokan dan kebejatan akal budi bangsa. Jadi pengarang yang degil, cari isu baru dan bahan baru dengan meletakkan roh dalam karya ketika mengarang. Gempur semangat menulis usah tunggu idea datang. Perisapkan diri menjadi penulis yang berani menjangkau idea yang keluar dari lingkar konvensi. Tinta penulis ditimbang dengan darah para syuhada', apa lagi yang dinanti? Salam mangsi sastera!

3 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum Faezah,

Menyambar meragut degup tatkala menyedari hidangan ilmu tersaji untuk disantap. Alhamdulilah, Faezah amat berinsprasi untuk menentukan tujuan tulisan ini mendapat perhatian.
Penulis seibarat dengan penguasa. Miliki kuasa hati yang memberi dan menerima bisa serentak masa.
Bayangan kreatif mengilhamkan sepadu penyatuan bicara-bicara yang mengganding makna, layaknya meransang insan untuk sama berjaya.
Antara menulis dengan membaca saya lebih suka membaca... upaya berkongsi pandangan untuk melihat dan merasa-rasa apakah antara penulis dengan pembaca berjaya membina keserasian untuk meningkatkan makna sebuah rasa.
Membaca juga adalah proses pembelajaran yang memberi imbuhan kematangan.Berjasa sungguh para penulis yang meneroka minda agar qalbu bernyawa.Umpama guru yang menyinar cahaya buat menerangi kelam pekat budi dan sikap.
Tidak semua insan sama kebolehannya. Seorang musafir bila telah lama berkelana akan akhirnya pulang ke pangkuan keuarga.
Ibarat yang pintar gemarnya berkhidmat kepada Allah yang membawa taat.Isi tanggung jawab adalah memenuhi harapan pada yang memberi kepercayaan.Kerap kerana masalah tanpa mengurus punca, manusia bertingkah sikap.
Bagaimana sikap penulis untuk memahami pentingnya peranan masalah, untuk mengembangkan sikap insan agar terkibar luhur kerana kekeliruan juga berpunca dari penulis.Nukilan penanya teradun dari jiwa yang sarat mengadun sumbang tatkala duka mengisi setiap ruang namun oleh ganjaran atau idea perjuangan, penulis juga yang terssar arah... impak kepada massa menjurus kedinginan akal untuk berfungsi, membeku qalbu diam membisu lantaran hawa mungkin jaga nafsu...kita diundang untuk hadir ke bumi ini dengan bekalan kewajipan agar mentaati Pencipta.
Lalu bagaimanakah sifat-sifat yang perlu ada untuk identiti seorang penulis yang berbudaya moral? Apakah hanya semarak api cinta sahaja yang merintis satu perjuangan buat seorang penulis...
Maaf saya juga tiada jawapan atau gambarannya sebab saya bukan penulis...
Jumpa lagi...maaf zahir batin.
Terima Kasih.

Faizah Azaman berkata...

aduh, rindu sekali saya menatap bait2 kata yg menenang jiwa, mendamai rasa. serasa hati ini berbicara dengan bonda. penulis itu penyedar,perubah,pemimpian jalur pemikiran demi satu anjakan membina daulah dan peribadi muslim yg mukmin. namum kita ketandusan penulis yg berjiwa besar seperti muhamad al-fatih membuka istanbul dan solehuddin al-ayubi membuka palestin...penulis perlu menyentuh nurani, menggegar kotak fikir, memarak hamasah. penulis perlu bercitra mulia dan berakhlak luhur. penulis adalah sasterawan tentera...

mohamad kholid berkata...

susah hendak dikatakan kenapa seseorang itu menulis. pada saya ia gejolak rasa yang perlu dihambur - agar dinikmati dan mungkin juga kerana lidah saya pada hujung jari...