Ahad, Julai 01, 2012

Catatan Menjelang Persiapan Umrah dan Majlis Pernikahan

Tahun 2012 bersamaan 1433H terlalu banyak kejutan. Rezeki dan 'bushra' bersilih ganti. Dalam ripuh  menunaikan tugas pejabat yang menimbun, naziran dan aturan program yang tidak pernah reda, dijemput oleh al-Khaliq menjadi tetamu-Nya. Ia rezeki yang tidak ternilai.

Dalam tuntutan kerja-kerja yang selalu mendesak, kurang dua bulan genap persiapan pernikahan perlu dibereskan. Saya memilih yang ringkas, minimalis, elegan dan manis. Seperti biasa, persiapan goodies bag saya masih memilih untuk berDIY walaupun perkataan sibuk berkitar-kitar di sekeliling saya. Minggu ini paling kritikal. Persediaan saat kembara Qudus dan persiapan mendirikan 'rumah dan tangga'.

Kepada teman-teman yang mengenali saya, mohon maaf di atas segala hak-hak yang tidak tertunai, sebarang keterlanjuran dan kekasaran yang dilakukan. Saya yakin ia terjadi spontan tanpa sengaja atau saja kerana saya kaya dengan sifat kelemahan seorang hamba. Doakan kembara suci saya mabrur di sisi Rabbul Izzati. Kepada si dia, maafkan dan doakan saya selalu. Saya, perempuan yang paling sa'adah dan sakinah apabila dilamar kamu!


Khamis, Mac 22, 2012

Ketua Baik VS Ketua Adil


Barangkali saya bukanlah ketua yang baik lantaran saya hanya seorang perempuan  tradisionalis yang kadang-kadang berfikir secara konvensional. Tetapi saya melihat sikap ketua lelaki yang lebih gemar menjadi 'bos' pujaan dan popular berbanding menjadi seorang bos yang saksama mengagih tugas dan tanggungjawab. Benar, saya baru berkhidmat sebagai pegawai awam, tetapi saya mempunyai pengalaman lima tahun bekerja dalam sektor swasta dan awam. Saya bukan 'jahil' dan 'kosong' dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan. Di manapun saya berkhidmat, secara prinsip masih terarah dan bergantung kepada arahan ketua. 

Saya memilih menjadi seorang ketua yang adil berbanding menjadi ketua popular hanya kerana kebaikan ketua yang memberi kerja kepada pekerja yang rajin dan pandai membuat kerja. Saya, tetap dengan pendirian saya untuk mengagihkan kerja kepada orang yang dipertanggungjawabkan dan memang berkapasiti untuk melaksanakan tugas tersebut walaupun dia tidak kompeten. Pegawai awam harus ada inisiatif memajukan karier dan kemahiran untuk 'menyarung jersi' kompeten. Tiada alasan pandai atau tidak, mahir atau tidak. Jika anda memohon sesuatu jawatan, anda pasti bersedia untuk melaksanakan tugas hakiki anda, bukan hanya goyang kaki ke pejabat kemudian melabel orang lain tiada kerja.

Saya, cintakan karier saya! Kerana amanah ini akan dipersoal di akhirat nanti. Mahu jadi popular atau saksama?

Ahad, Januari 29, 2012

Dikir Zikir

Sumber: Utusan Online 14 Januari 2012.
Rakaman Dikir Zikir


Ketika masih menuntut di Kuliyah Banat Bil Iskandariah, Universiti al-Azhar, setiap kali muncul ulang tahun kelahiran Habibuna, Muhammad SAW saya akan jemput tetangga yang terdiri dari rakan sekampus untuk mengalunkan qasidah memuji Baginda Rasulullah SAW. Saat itu terasa dekatnya kami dengan baginda. Sehingga suatu saat kami 'lagha' menonton siaran TV yang berunsurkan hiburan atau bermain game di komputer, meletus dari bibir kami, seandainya saat itu Rasulullah SAW datang ke rumah menziarah kami dan bertanyakan bagaimana kami menghabiskan masa sepanjang cuti musim panas???

Dikir Zikir yang bersiaran setiap Sabtu jam 9.00 malam di saluran TV Al Hijrah cukup menyentuh. Aktiviti Dikir, Zikir dan Tazkirah memancing kami untuk menghadap kaca TV sepanjang tayangan. Penampilan Ustaz Ghazali Ibrahim dan munsyid tanahair memberi impak berbeza dengan rancangan seni suara dan dakwah sebelumnya. Qasidah, burdah dan nasyid yang dipilih dengan seni kata melayu untuk kefahaman khalayak amat membantu dan mendidik. Justeru, hati yang dilunakkan dengan seni akan mudah dilentur untuk dituang dengan kebaikan dan didikan islamis. 


Selamat menyambut maulidul rasul. Ayuh, teladani cara hidup Habibur Rahman SAW!

Rabu, Januari 25, 2012

Lucy yang Saya Kasih...



Pemergian Lucy benar-benar mengesankan saya. Baru sehari melahirkan tiga ekor anak kucing yang comel-comel, Lucy tinggalkan kami buat selama-lamanya. Lucy bermati-matian mempertahankan anak kecilnya dari dikerjakan anjing liar di kawasan rumah inap kami. Lucy mengalami pendarahan dalaman setelah dihempas anjing liar. Najisnya terkeluar tanpa secalit luka. Seharian saya sugul dan muram. Zohor tadi saya memohon kepada Allah agar Lucy ditempatkan bersama para anbia, orang-orang soleh dan syuhada. Kasih saya kepada kucing kerana sunnah nabi mengajarkannya. Kasih saya kepada Lucy sepertinya dia sebahagian daripada keluarga kami. Saya mengambil Lucy dari besan abah ketika Lucy masih muda benar, masih menyusu. Susuk tubuhnya langsing, bermata biru cair dan bentuk muka yang comel.

Kata mama, malam tadi Lucy mengiau-ngiau saat kereta masuk di tempat parkir. Ikut masuk ke bilik mama dan berbaring-baring di atas tilam. Mama hanya memerhati tingkah aneh ibu muda itu. Susuk tubuhnya agak lain, seperti kucing yang baru melahirkan. Kemudian Lucy berlari dan mengiau-ngiau di depan pintu seperti mahu menunjukkan bayi kecilnya kepada mama. Mama sangat gembira terus menghantar teks pesanan ringkas kepada saya. Mama risau almari pakaian menjadi tempat tinggal Lucy anak beranak dan meletakkan kain batik lama di laman rumah yang agak terpencil sementara menunggu siang. Sebetulnya malam tadi semua kepenatan kerana perjalanan musafir yang panjang.

Jam 3.00 pagi mama mendengar salakan anjing di dalam pagar rumah. Abah menjenguk melalui jendela kamar. Kelihatan kelibat beberapa ekor anjing. Rupa-rupanya anjing itu baru saja membunuh Lucy yang bermati-matian mempertahankan anak kecilnya dari dimakan anjing. Anjing-anjing liar itu lari lintang-pukang setelah menggigit dan melempar Lucy sehingga mengorbankan ibu muda itu.

Saya sangat kecewa apabila ada individu yang mendakwa wanita yang berkahwin lambat yang kononnya obses kepada kucing. Justeru, kucing adalah terapi, binatang yang disayangi sahabat dan Rasulullah SAW. Lucy, moga rohmu dicucuri rahmat. Ya Rabb, berikan kekuatan kepada kami sekeluarga memelihara tiga ekor anak kucing yang kehilangan ibunya, Lucy.

Ahad, Januari 15, 2012

Hijau Kehidupan



Hijau; Membugar cinta,
Tuhan; Berikan mentari itu,
Pepokok; Teduhi aku...

Selasa, Januari 03, 2012

Tahun Baru dan Tonsilitis




Pagi ini terasa payah untuk menelan liur dan bercakap. Terasa bengkak di tekak dan berkahak. Awal tahun, banyak kerja-kerja yang perlu dikemaskini. Awal tahun, boleh terlupa minum air hanya kerana hujan mendominasi atmosfera sehingga terlupa erti dahaga. Cara konvensional untuk merawat tonsilitis dengan ubat anti-keradangan seperti ibuprofen atau antibiotik. Suhu badan sudah rasa pijar...dan kertas kerja penting tahun ini menunggu untuk disudahkan...

Gara-gara tonsilitis, saya tak mahu bercakap hari ini!