Rabu, Januari 25, 2012

Lucy yang Saya Kasih...



Pemergian Lucy benar-benar mengesankan saya. Baru sehari melahirkan tiga ekor anak kucing yang comel-comel, Lucy tinggalkan kami buat selama-lamanya. Lucy bermati-matian mempertahankan anak kecilnya dari dikerjakan anjing liar di kawasan rumah inap kami. Lucy mengalami pendarahan dalaman setelah dihempas anjing liar. Najisnya terkeluar tanpa secalit luka. Seharian saya sugul dan muram. Zohor tadi saya memohon kepada Allah agar Lucy ditempatkan bersama para anbia, orang-orang soleh dan syuhada. Kasih saya kepada kucing kerana sunnah nabi mengajarkannya. Kasih saya kepada Lucy sepertinya dia sebahagian daripada keluarga kami. Saya mengambil Lucy dari besan abah ketika Lucy masih muda benar, masih menyusu. Susuk tubuhnya langsing, bermata biru cair dan bentuk muka yang comel.

Kata mama, malam tadi Lucy mengiau-ngiau saat kereta masuk di tempat parkir. Ikut masuk ke bilik mama dan berbaring-baring di atas tilam. Mama hanya memerhati tingkah aneh ibu muda itu. Susuk tubuhnya agak lain, seperti kucing yang baru melahirkan. Kemudian Lucy berlari dan mengiau-ngiau di depan pintu seperti mahu menunjukkan bayi kecilnya kepada mama. Mama sangat gembira terus menghantar teks pesanan ringkas kepada saya. Mama risau almari pakaian menjadi tempat tinggal Lucy anak beranak dan meletakkan kain batik lama di laman rumah yang agak terpencil sementara menunggu siang. Sebetulnya malam tadi semua kepenatan kerana perjalanan musafir yang panjang.

Jam 3.00 pagi mama mendengar salakan anjing di dalam pagar rumah. Abah menjenguk melalui jendela kamar. Kelihatan kelibat beberapa ekor anjing. Rupa-rupanya anjing itu baru saja membunuh Lucy yang bermati-matian mempertahankan anak kecilnya dari dimakan anjing. Anjing-anjing liar itu lari lintang-pukang setelah menggigit dan melempar Lucy sehingga mengorbankan ibu muda itu.

Saya sangat kecewa apabila ada individu yang mendakwa wanita yang berkahwin lambat yang kononnya obses kepada kucing. Justeru, kucing adalah terapi, binatang yang disayangi sahabat dan Rasulullah SAW. Lucy, moga rohmu dicucuri rahmat. Ya Rabb, berikan kekuatan kepada kami sekeluarga memelihara tiga ekor anak kucing yang kehilangan ibunya, Lucy.

Tiada ulasan: