Isnin, Januari 18, 2010


Rak buku lama yang lapang dan tidak terurus (saat ini ripuh sebagai editor)

 
Rak buku yang makin mengecil kapasitinya hanya menempatkan buku-buku yang sedang digunakan dan kerap dibaca. Masih ada dua kotak buku yang tidak dapat ditempatkan di rak yang terhad ini

Soalan 1- Sejak bila bekerja sebagai pegawai kerani Pusat Khidmat Masyarakat dan apakah ini hasrat awal Cik Faizah?

Jawapan: Saya memulakan tugas sebagai Pegawai Kerani pada 2 November 2009. Sebetulnya ia adalah ketentuan. Setelah meninggalkan kerjaya sebagai Editor yang saya cintai di sebuah syarikat penerbitan, saya mengintai peluang untuk bekerja dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang kordial dengan jiwa dan fikrah saya.

Dengan bantuan seorang teman yang telah mengesyorkan saya memajukan resume ke pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer. Alhamdulillah, dimurahkan rezeki keluarga saya. Permohonan saya diterima sebulan kemudian. Jika ditanya, apakah ini hasrat saya sedari awal? Tanpa silu saya mengakuinya.

Soalan 2- Sebagai lulusan Mesir, apakah minat ini sudah bercambah ketika belajar di sana?

Jawapan: Saya mula berorganisasi sejak menginjakkan kaki ke universiti. Memegang portfolio sebagai Naib Pengerusi HEWI, Badan Kebajikan Mahasiswa/I Islam Pahang (BKMIP) sesi 05/06 mengenalkan saya kepada tarbiah dan tanzim dalam kepimpinan. Kepimpinan bukan suatu penghormatan tetapi tanggungjawab yang wajib digalas. Menjadi pemimpin mengajarkan saya erti telus, adil, berkebajikan, bijak, jujur, amanah dan berwibawa. Apabila bergelar pimpinan, saya dihidangkan dengan pelbagai perkara yang menuntut keputusan yang seimbang berdasarkan mesyuarat, amar makruf nahi munkar, memugar biah solehah dan seumpamanya.

Kepuasan sebagai pemimpin apabila mampu menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada sesiapa yang memerlukan. Sifat keinsanan seperti simpati dan empati semakin subur. Saya teruja berkhidmat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer walaupun tiada ADUN, hanya dipantau dan dinaungi Y.B Ir. Iskandar Abdul Samad sebagai Y.B angkat, kami mampu menjadi penghubung di antara rakyat dan kerajaan negeri dengan gagasan ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.

Soalan 3-  Kata orang politik itu kotor, bagaimana boleh terlibat di sini?

Jawapan: Politik kotor bagi tangan-tangan kotor yang menerajui politik. Sebagaimana pisau, jika digunakan untuk memotong buah dan sayur ia mendatangkan manfaat, jika digunakan untuk melakukan jenayah bunuh misalnya, apakah salah Allah memberikan ilham kepada manusia menciptakan pisau?

Soalan 4- Kenapa berpandangan demikian?

Jawapan- Politik adalah proses pembentukan dan pembahagian tugas atau tanggungjawab dalam masyarakat yang melibatkan proses membuat keputusan, kebajikan, tanggungjawab sosial, ekonomi dan seumpamanya. Rasulullah SAW telah menggunakan istilah politik (siyasah) dalam sabda baginda : "Sesungguhnya Bani Israel, kebajikan mereka diuruskan oleh para nabi. Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantikannya. Tidak ada nabi sesudahku, namun akan ada ramai para khalifah." (HR. Bukhari dan Muslim).

Jelas, politik atau siyasah diistilahkan pada awalnya ‘menguruskan kebajikan masyarakat’. Berkecimpung dalam politik bererti mengawasi kondisi kaum muslimin secara saksama, adil dan berkebajikan. Masyarakat perlu memahami bidang tugas pemimpin dalam kerangka pengurusan kebajikan kaum muslimin, hak menasihati pemimpin yang mengabaikan rakyatnya, serta dibolehkan memerangi pemimpin yang melakukan kekufuran yang nyata. Secara mudahnya, Politik Islam adalah pengurusan holistik perihal seluruh umat Muslim. Ia bukan tugas orang kenamaan, tetapi tugas seorang hamba.


Soalan 5- Pandangan keluarga dan kawan-kawan sebab selalunya balik Mesir terlibat mengajar…

Jawapan- Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat, demikian sabda Rasulullah. Mengajar bukan tugas ustaz dan ustazah sahaja sebab nabi berpesan, ‘barangsiapa mengucapkan kalimah La Ilaha illallah, maka dia adalah pendakwah atau penyampai’. Jadi, tugas mengajar ini wajib bagi semua umat Islam yang mengaku Islam. Tidak timbul soal mengajar dikhususkan kepada graduan lepasan Mesir sahaja. Ia tugas bersama. Jika ditanya mengapa lulusan Mesir lebih tertumpu kepada profesyen keguruan atau seumpamanya, disebabkan matlamat tertinggi al-Azhar adalah menghamilkan golongan ulama yang berkebolehan sebagai umara’, atau setidaknya graduan al-Azhar mampu berdakwah bil hal jika tidak mampu menjadi umara’.

Keluarga dan teman-teman adalah pendorong laluan sebagai pendakwah. Saya berpengalaman mengajar di surau dan sekolah. Barangkali mengajar adalah kerjaya yang selesa bagi graduan Pengajian Islam seperti saya, tetapi sejujurnya saya lebih selesa lari dari lingkaran konvensi dengan menceburi bidang penulisan dan penyuntingan. Malah, saya mempunyai asas yang baik dalam pembikinan reka letak dan aplikasi blog. Ramai teman-teman bertanya mengapa saya tidak memilih kerjaya sebagai guru JQaF, saya punya alasan tersendiri untuk tidak menyertai mereka. Apa pun persepsi mereka, saya menanggapi dengan positif.

Soalan 6- Apa tugas khusus Cik Faizah di pejabat PKM DUN Taman Templer?

Jawapan-Saya bertugas sebagai Pegawai Kerani yang menyusun dan mengendalikan sistem fail, juga sebagai mas’ulah Portal Ibu Tunggal, bertindak sebagai kaunselor remaja, pengendali blog PKM DUN Taman Templer, Sidang Redaksi Buletin PKM DUN Taman Templer dan pengisi kelas agama anjuran Pusat Khidmat Masyarakat.


Soalan 7- Sebagai penulis kreatif, bagaimana bahagikan masa?

Jawapan-Sebagai penulis kreatif yang secara peribadinya saya bukanlah pengarang prolifik, memberi peluang untuk saya berhibernasi dan meneliti kelemahan saya yang bertampal tindih di sana sini. Terutama dalam teknik penulisan saya yang dilihat sesetengah pengarang sebagai karya eksperimental. Saya gemarkan teknik cerpen babakan persis novel. Sebagai pengarang baru, saya perlu menulis mengikut teknik konvensional sebagaimana pengarang muda yang lain. Tuntutan belajar dan tugas kadangkala mengekang tugas mengarang. Justeru, saya terpaksa membeli waktu untuk diisi dengan aktiviti membaca novel, antologi cerpen, menghadiri program atau bengkel sastera, menulis serangkap dua pantun dan puisi selain buku-buku akademik yang menjadi ‘menu’ harian.


Soalan 8- Sudah pasti banyak idea boleh digarap setelah bergaul dengan masyarakat…

Jawapan-Sudah tentu, kadangkala saya hanyut seketika bersama penderitaan dan masalah masyarakat yang melingkari kehidupan seharian saya. Saya sukakan kondisi ini. Setidak-tidaknya saya boleh menghamilkan idea sebelum menuangkannya di atas kertas polos.


Soalan 9- Jika sesuatu isu itu berlaku, bagaimana kaedah terbaik untuk dialirkan ke karya sastera?

Jawapan- Sastera bersifat tajam dan keras, walaupun kesantunan bahasa menjadi latar karya. Biasanya masyarakat pertengahan seperti saya memendam pelbagai isu untuk dihamburkan. Sama ada isu kemiskinan, kekeluargaan, politik, peribadi, sosial, ekonomi, global atau sebagainya. Cerpen saya berjudul ‘Penyapu’ turut melontarkan gagasan berkisar kritikan sosial. Biasanya saya akan mula memahami kondisi, persoalan dan kesakitan. Saya boleh menjadi sesiapa sahaja untuk menguasai ‘mood’ ini. Saya turut berkepit dengan Tesaurus dan Kamus Dewan untuk mempelbagaikan kosa kata. Kemudian awan-awan idea yang saya ciptakan akan menghujankan aksara di atas papan kekunci komputer riba. Ia pengalaman yang menyeronokkan. Saya rasa lebih insan apabila menulis tentang insan.


Soalan 10- Harapan Cik Faizah terhadap pemain politik negara, apa pula harapan kepada rakyat seluruhnya di dalam membentuk situasi politik baharu?

Jawapan- Harapan saya kepada politikus Melayu Muslim, tetaplah dengan tali Allah. Membangun Daulah Islamiyah adalah wajib, sebarang usaha ke arah itu adalah wajib. Thabat, tenang dan takwa bekerja ke arah itu. Kemenangan sudah terlalu karib, tinggal lagi persediaan kita untuk mengisinya. Wanita dan harta hanyalah ujian sebagai tapisan Allah mengasingkan politikus islamik atau sebaliknya. Hak rakyat perlu dikembalikan. Rakyat perlu bijak menganalisis setiap maklumat yang diperoleh, bukan hanya mengunyah dan menelan bulat-bulat fitnah terhadap Islam dan kepimpinan Muslim. Ketaatan kepada pemimpin yang mengangkat Islam sebagai perlembagaan turut menjamin kestabilan hidup duniawi dan ukhrawi. Gelombang politik mutakhir ini cukup memberangsangkan. Saya kira, persaingan politik yang sihat mampu membentuk situasi dan persepsi politik baharu.

Terima kasih kerana sudi menjawab persoalan yang dikemukakan. Moga Cik Faizah terus sukses. Insya-Allah

Salam Takzim.

*Dipetik daripada SIASAH Bil 0180, 27 Dis 09-2 Jan 10

5 ulasan:

helang timur berkata...

angah..gambar yg bawah tu latest edition kah? hahahaha. =p

cantek! nanti nak pegi jalan2 lah umah angah. heheh.

alQasam berkata...

MashALLAH,

semakin maju angah sekarang ye...:)
Kenapa berhenti kerja hari tu.
Apapun sy sentiasa doakan angah.

saaaaaaayang angah sangat.

Semoga berkah, inayah serta maghfirah sentiasa melimpahi hidup angah dalam proses memberi dan berkhidmat.

p/s:master macam mana?

Faizah Azaman berkata...

Sumayyah,

Maju ke depan harapnya ;-). klu nak cerita pasal berhenti kerja...paaaaaaaaaannjang ceritanya.

Proposal dah dimajukan, tunggu utk diskusi proposal dan perbentangannya nanti. angah memang bercadang nak berguru ngan sumayyah utk disertasi ni. tajuknya juga mengujakan, Yoga!

nurfieda berkata...

salam angah herda..pkb?ingat lagi tak fida adik kak izan gosnon..?tahniah,suke bace blog akk..banyaknyer kalimah-kalimah baru yang saye belajar dari blog akk nie..selamat maju jaya..!

Faizah Azaman berkata...

Wassalam Fida. Alhamdulillah, sihat seizin-Nya. Masakan tak ingat, kak izan kan taa'khi akak dlm usrah bersama kak Pah (Zaujah Penasihat PMRAM)

Terima kasih sudi tinggalkan jejak. Blog, ruang untuk berbagi rasa, moga ada manfaatnya!