Isnin, Disember 07, 2009


Ada sesuatu yang mengganggu saya lewat sepekan yang lalu. Emosi saya buncah. Entahlah…saya kecewa dengan aktiviti kepengarangan saya yang tiada peningkatan. Masih di takah yang sama. Saya hanya merasa terkilan. Saya menulis kerana saya menyedari kelemahan diri. Saya tidak petah berpidato seperti teman-teman seuniversiti. Saya sentiasa mencabar diri memecahkan ais pesimis, takut, gemuruh, gagap dan seribu satu kelemahan yang saya bilang saban muhasabah.

Saya menulis kerana minat tanpa mengesani berbakat atau tidak. Saya memutuskan untuk serius menulis ketika menuntut di universiti setelah saya memilih medium dakwah bil maqal sebagai opsyen dan sangat kordial dengan jiwa saya. Teman saya sangat bijak berpidato, dia telah memaksa saya memilih medium dakwah yang bisa saya salurkan kemampuan untuk memastikan seruan itu sampai. ‘Kalau tidak mampu berpidato dengan baik, menulislah!’ Ujar teman baik saya ini. Awalnya saya agak tersinggung kerana dia tidak segan-silu menyingkap kelemahan saya. Apabila saya pulang ke rumah dan menyelak lapis makna yang positif, saya telah menyimpulkan sesuatu.

Saya pelajari dan mesrai dunia kepengarangan. Bergaul sesama komuniti penulis muda dan calon penulis ketika di universiti. Saya selesa. Kami bertemu, ada kala berkhilaf dan bercanggah. Ia adalah ruang yang kondusif dan menyamankan pucuk-pucuk penulis. Karya kami bernafaskan islami, berwacana dan berisi. Kami gelarkan angkatan kami Sasterawan Tentera. Kami saling kuat menguatkan. Umpama binaan yang agam. Mandiri dan kukuh.

Hayat kepengarangan saya seakan terputus tatkala saya pulang ke tanah air. Saya disibukkan dengan urusan peribadi sehingga sesuatu yang patut saya utamakan terpinggir. Saya sangat menyesal. Tetapi untuk apa saya sesalkan perihal lepas. Sekurang-kurangnya, saya sudah bangkit dan perlahan-lahan kembali mengatur langkah.

Saya kerancuan. Teknik penulisan saya bersepah. Entah dari mana saya kutip teknik yang aneh...RUANG KECIL, ISINYA SARAT MELIMPAH. Itu bukan ciri cerpen yang seimbang. Saya mula keliru, menangis seperti orang yang sesat mencari jalan pulang. Selubung kecewa menyeluruhi kalbu saya. Berhari-hari saya meratapi diri yang ‘sesat’. Tiada kompas yang bisa menunjuki arah. Saya masih sesat. Subuh yang hening membuatkan saya tersentuh. Saya memohon dari Yang Maha Seni memujuk hati yang hiba. ‘Tuhan, saya bukan hamba-Mu yang petah bicara, fasih berkata-kata. Saya tidak mampu menguasai teknik dakwah bil maqal yang menjadi senjata ‘Sasterawan Tentera’. Berikan kefahaman kepada saya Ya Rahim. Agar saya mampu melunaskan tugasan dakwah. ‘

Menulis novel. Saya perlukan kekuatan dan bahan yang matang. Molek juga disisipkan wacana. Beberapa waktu kebelakangan ini serasa berada di dua alam. Saya merangka watak dan perwatakan, alur cerita, latar masa dan tempat, gagasan, ilmu bantu, wacana dan moral semestinya. Sesekali saya hanyut. Suatu fenomena yang menguja. Saya ingin mengangkat latar di kepulauan Sulu dan alam Melayu. Ada sesuatu yang ingin saya paparkan dalam projek sulung nanti, selain menyiapkan disertasi berkisar kajian ke atas Fatwa Pengharaman Yoga.

*kredit gambar: Dr. Mawar

4 ulasan:

Zuhaida Haji Zainon berkata...

wah! angah dah maju setapak ke dunia novelye. tahniah..!jgn selalu sedih.jiwa penulis kan mmg selalu memberontak bila yg ingin diluahkan dlm karya x tersampai...

ibnuaqeel89 berkata...

salam alaik kak,

Teruskan usaha menulis!

Kalau dah siap novel sulung tu, akan saya jadi insan pertama yang memilikinya..haha (kalau boleh la)

-daerah dakwah tidak hanya terbatas melalui kefasihan berpidato. saya setuju tu..-

Syarifah Salha Syed Ahmad berkata...

Sabarlah dik. Masih belum terlewat untuk terus melangkah selagi punya kesedaran. Ayong dulu begitu. Bahkan hingga kini aktiviti menulis tidak serancak dulu. Tetapi kita masih berpelung berdikit-dikit. Biar tidak rancak asalkan hasilnya berkualiti dan paling penting terus istiqamah meskipun sedikit yang terhasil.

Faizah Azaman berkata...

Zuhaida@Zue- Baru berjinak-jinak. Sedih kan rencah hidup dik...sesiapa dan bila-bila pun kita akan rasa...

K.Muhami@IbnuAqeel89-alaikasalam ya akhuya sughaiyyar! Trm ksh. novel pun xnampak lagi dik. Hanya ada garis-garis yang tidak menyambung!

SSSA@Ayung- Sabar yang perlu bertindak. Sudah terlalu lama saya berdiam. kesibukan yg saya cipta. entahkan ada entahkan tidak. Saya inginkan manfaat dari kemudahan yang saya miliki terisi, seperti komputer riba yang selalu menunggu jemari saya menyapa.