Selasa, September 15, 2009

Kisah Teman...



Ilis Sarah adalah sahabat sekerja saya. Tempoh lima bulan mengenalinya membuatkan hati saya subur dan lunak. Dia punya segala-galanya yang diinginkan oleh seorang sahabat; perhatian, pendengar yang baik, responsif, lemah-lembut, timbang rasa, tolak ansur, bersahaja, saling menasihati. Pendek kata, kerongsang seorang sahabat layak di sematkan di dadanya. Agar kemilau permata zamrud menjadikan alam ini indah dan ukhuwah itu berkah. Saya telah menghantar notis berhenti minggu lepas, selepas berlaku suatu insiden. Namun, sehingga hari ini saya tidak mampu mengkhabarkan kepada Ili, ’Ini adalah saat akhir kita bersama, entah bila lagi kita akan bersua.’ Ili datang ke pejabat dengan ceria memberi salam sambil memanggil nama saya seperti di dalam iklan beras Faezah.... Selepas ini, tidak ada orang yang akan menghantar salam dan memanggil saya sebegitu. Hari ini, Ili pakai tudung 'Bienda' yang puspawarna. Sahabat saya ini nampak begitu cantik. Bakal ibu yang sangat cermat bersiap. ”Ini, hadiah hari raya!” Ceria Ili menghulur kotak kecil wangian. ”L’eauParKenzo! Ili, terima kasih!” Saya teruja dan gembira sekali. Hari ini saya batalkan niat untuk menyatakan berkenaan notis berhenti sebulan yang telah saya majukan minggu sudah. Teman-teman serumah mendesak saya memberitahu Ili. ”Akak, kasilah tahu kak Ili. Kasihan kalau dia lambat tahu.” Athirah dan Sala memujuk saya. ”Tak boleh, aku tak nak Ili sedih.” Sebenarnya sayalah yang paling sedih. Meninggalkan daerah ini, house-mate, usrah rumah kami, usrah muslimat Seksyen 7, Kak Ja (Tauke Nasi Biryani yang pemurah), Suhaimi dan isteri yang baik hati, Ummu Hani yang selalu saya ketemu di tempat parkir.


Sebetulnya saya tidak tahu akan berhijrah ke mana. Nekad berhenti kerja belum saya panjangkan kepada ma dan abah di kampung. Hanya kepada Ayiem saya khabarkan berita ini. Nantilah, saya tidak mahu menyusahkan anda semua dengan berkongsi duka ini. Cuma saya sangat selesa setelah membuat keputusan ini. Serasa ini adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Dada saya lapang, fikiran saya tenang, jiwa saya tenteram dan hati saya girang. Seperti terlepas dari kurungan. Ya Allah, moga peristiwa yang berlaku di bulan Ramadan al-Mubarak ini memberikan impak yang positif dalam hidup saya. Kepada anda semua (ya, ANDA!) saya mohon maaf zahir dan batin di atas segala keterlanjuran sikap atau tutur kata selama anda mengenali saya. Kini, saya bahagia...tetapi berduka meninggalkan kenangan di sini. Moga kita ketemu lagi. Doakan saya baik-baik saja. Kullu ’am waentum bikher!


p/s: Ili, saya akan rindukan Momo!

Tiada ulasan: