Ahad, Disember 16, 2007

Salam Tadhiyyah


Selamat menyambut Eidul Adha buat keluarga tersayang, teman-teman di Malaysia, Singapore, Alexandria dan Cairo. Tidak dilupakan buat semua umat Nabi Muhammad s.a.w seluruhnya. Kehidupan ini satu tadhiyyah.

Oleh Hamzah Fansuri

Aho segala kita anak Adam

Jangan lupa akan Syahi Alam

Pada bahr al-dhunub jangan terkaram

Supaya ‘asyiq siang dan malam


‘Asyiq itu jangan bercawang

Meninggalkan dunia jangan kepalang

Suluh Muhammad yogya kau pasang

Pada Rabb al-‘alamin saupaya kau datang


Syari’at Muhammad terlalu ‘amiq

Cahayanya terang di Bait al-‘Atiq

Tandanya ghalib lagi sempurna tariq

Banyaklah kafir menjadi rafiq


Bait al-‘Atiq itulah bernama ka’bah

Ibadat di dalamnya tiada berhelah

Tempatnya ma’lum di Tanah Mekah

Akan kiblat Islam menyembah Allah.


dipetik dari :

SATU ASPEK DARI SUMBANGAN HAMZAH FANSURI DALAM PERSURATAN MELAYU

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY



Oh, Tuhan! Sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang saya lalui. Saya tertanya-tanya apakah yang saya lalui hanyalah sekadar fatamorgana atau reality yang boleh digapai. Saya menghabiskan 2 minggu di Kolej semusim cuti semester. Meminjam buku-buku yang tarikh pemulangannya 31/12/07. Aduhai, saya ingin meminjam buku-buku ini lebih lama. Ingin berkongsi pembacaan buku-buku ini dengan adik-adik di rumah. Saya agak teruja membongkar hasil kajian orientalis yang ‘agak baik’, John L. Esposito yang berjudul Ancaman Islam: Mitos atau Realiti? Sekular Ekstrim dan Fatwa: Antara Ketelitian dan Kecerobohan karya Dr, Yusuf al-Qaradhawi, Dialog Islam Kristian Jilid 2 karya Ahmad Deedat dan sebuah disertasi yang telah dibukukan yang bertajuk Badiuzzaman Said Nursi: Sejarah Perjuangan dan Pemikiran tulisan Mohamad Zaidin b. Mat.


Anekdot [Kecindan Musim Cuti]

Sedang mencuci dapur tiba-tiba seekor anak katak melekap di dinding. Mungkin pedih kesan dari cecair pencuci lantai yang dicampurkan peluntur. Saya terkejut dan menjerit sekuatnya. Maaf la, sejak pulang dari Mesir saya sudah lama tidak melihat katak (sebenarnya katak adalah binatang yang paling saya geli). Abah yang sedang menonton berita di TV terkejut dan berlari ke dapur. "Kenapa?" Soalnya dengan muka terkejut. "Katak, abah!" Saya menjawab geli bergaul takut. "Alah, katak pun takut?" Sampuk mama dari belakang. "Abah, tolonglah halau, gelilah!". Abah masih berdiri di situ. Mama tergelak, "Angah nak suruh abah halau katak? Dia pun sama takut katak." Ketawa kami pecah. Alahai, abah. Saya fikir saya seorang penakut, rupanya kuah tumpah ke mana lagi kalau bukan ke nasi....

Tiada ulasan: