Isnin, Disember 10, 2007

Jelajah Kota Singa



Kami turun dari bas di jalan Sultan jam sudah menginjak jam 9.00 malam, hati saya berbunga-bunga riang. Malam pertama menghirup udara Kota Singa sangat menyenangkan. Ungkapan pertama yang meletus dari bibir saya, “Dinginnya malam di Singapore!”

Menunggu teksi sekitar 15minit membuatkan Efa tidak senang duduk. “Sini payah dapat teksi, jom kita naik MRT nak? Tapi jauh sikit kita kena jalan. Tak apa ke?”. Nah, hajat kami ke sini memang untuk berjalan, apa salahnya. Kata sepakat di antara saya dan Aminah dicapai. Kami bertiga menuju ke Stesyen MRT Bugis, melalui jalan Pahang dan menembusi lorong-lorong bersih (bersih dari sampah-sarap dan mat pek@pencopek) dan khali dari ‘aroma longkang’ seperti di Chow Kit. Kami melintasi Masjid Sultan yang bermandikan cahaya neon. Setahu saya masjid ini dibina pada tahun 1928. Uniknya masjid ini dengan kubah bersadur emas. Kami keluar dari Arab Street dan melejet terus ke MRT Bugis. Sebelum menaiki lif Efa sempat berpesan, “Nanti sebelum kalian balik kita singgah ke Bugis Village, di sana souvenir murah-murah.” Saya hanya tersenyum. Bagaimana dikatakan murah jika $1 bersamaan RM2.30??? Aduhai, musafir dengan poket yang kempis berapa sangat $43=RM100 dapat ditukar dengan barang-barang yang unik di kota serba cangih ini?

Sampai di Bedok kami menaiki teksi menuju ke kediaman Efa di Bedok North. Sampai di rumah Efa jam sudah melompat ke angka 10.30malam. Kami disambut hangat oleh mak cik Salmah. Usai mandi dan solat jamak ta’khir kami dihidangkan nasi panas dengan sup sayur dan tauhu telur dijodohkan dengan sambal udang. Enaknya hidangan malam!

Esok, jadual kami ke Pulau Sentosa. Efa berhajat mengajak kami menonton ‘Song of the Sea. “Seronok, angah boleh tengok air menari-nari dengan efek laser yang dramatic!” Efa nampak bersungguh. Sebelum menuju ke Pulau Sentosa, kami ke Tanjung Pagar. Ke stesyen keretapi KTM Tanjung Pagar sebenarnya. Perancangan kami untuk pulang menaik bas tergendala. Tiket bas hari Jumaat habis. Peliknya sekarang bukan musim cuti, kami terpaksa bergegas balik ke Kuala Lumpur bagi menyudahkan persiapan akhir menjelang peperiksaan pada hari Khamis 15/11 nanti. Menaiki kereta api adalah alternative terakhir.


Dari Tanjung Pagar kami berhenti di Vivo City dan mengambil bas dengan bayaran $3 terus ke Pulau Sentosa. Saya dan Efa sempat dapatkan peta pulau keriangan itu di kaunter pertanyaan sebelum menaiki bas. Saya sangat ghairah melawati Kota ini, ingin melalui tempat-tempat yang pernah dilalui oleh abah dan mama. Seronok jika cerita kami dapat dikongsi bersama. Kalaulah ma dan abah ada bersama, alangkah!


Sampai di Pulau Sentosa destinasi kami yang pertama di The Merlion. Seronok menggambari dengan ditemani latar singa berbadan ikan yang gah dengan ketinggian 37meter. Dari level 9 dalam perut singa yang berdiri bangga itu anda boleh saksikan panorama Singapore yang mengasyikkan. Bayarannya sekitar $8 untuk dewasa. Maaf, di sini saya terpaksa berkira. Setiap nombor yang menunjukkan harga akan saya darabkan dengan 2.3, bayangkan angkanya? Besarkan? Jadi, untuk menaiki menara Singa berbadan ikan adalah diluar kemampuan saya. Apa lagi aktivitinya jika tidak bergambar di sekitar The Merlion yang lengkap dengan kolam buatan yang cantik dan bertangga dengan bukitan yang dilengkapi escalator untuk sampai ke puncak Images of Singpore. Kami tidak melepaskan peluang melihat latar kota singapura dari puncak bukit.

Menjelang malam kami menaiki Sentosa Express ke lokasi Song of the Sea…alahai, bayaran sudah dikenakan sebanyak $6 bagi dewasa yang sebelum ini adalah percuma! Saya mengetap bibir. Tak ada rezeki agaknya. Cuma kami sempat meninjau-ninjau dari luar tarian air yang diiringi leser. Sudah tidak berpeluang menyaksikan Song of the Sea kami berpakat menaiki bas mengelilingi Siloso Beach. Terhibur juga rasanya menikmati udara pantai malam-malam begini.

Uniknya panorama air berirama ini!


Penat juga mengelilingi Pulau Sentosa, kami pulang dengan menaiki Sentosa Express terus ke Vivo City. Aktivitinya adalah makan. Mencari food court di aras bawah sekali. Sekali lagi saya takjub dengan kebersihannya. Saya memesan mee hon rebus dengan bebola ikan berharga $3.50 (darabkan saja dengan 2.3 buat saya berfikir 2,3 kali untuk makan, berkira betul!)



Vivo City mempunyai reka bentuk yang sangat pelik, gabungan nature dan moden dengan rekaan terbuka berbumbungkan langit. Anda akan melihat taman di atas banggunan. Dengarnya Vivo City hasil idea kretif arkitek Jepun yang berwibawa, Toyo Ito. Jom jalan-jalan!


Panorama Vivo City dari tingkat atas

Jam sudah melewati angka 11.00 malam kami pulang dengan menaiki bas double decker. Saya tertidur hingga sampai di stesyen pertukaran bas. Letah-letai menjelajah Pulau Sentosa hampir seharian. Dalam cepu fikiran saya, esok mahu ke mana? Pak cik Ahmad di Tempinis masih belum dihubungi. Saya harus segera bertemunya. Kekangan masa pasti akan menekan kami.

Hati-hati. Lantai kaca ini membuatkan saya teruja untuk menggambarinya.

Pagi-pagi lagi saya sudah menghubungi pak cik Ahmad, menyatakan hasrat menziarahi beliau usai Asar nanti lagipun kami harus berkejar ke Changi Airport selepas maghrib. Kata Efa, Ust. Hafiz nak belanja kami makan western food di sana. Hampir zohor kami ke rumah nenek Efa di Tempinis. Seronok sekali mengenali mak long yang berbudi, mak usu yang sporting dan acik yang ramah. Saya meladeni nenek Efa yang sudah uzur tapi sangat gagah melawan sakitnya. Senang melayani kerenahnya yang sangat suka apabila diurut. Sesekali saya menyeka air mata yang mengalir, sesekali tergelak dengan keletah nenek yang adakala melucukan.

Jam 5.30petang kami melejet sekitar tempinis mencari blok 80, kediman pak cik Ahmad. Dada saya dibelah debar. Ada sedikit gemuruh diselang seli percikan terharu. Ketika daun pintu diselak, anak lelaki pak cik Ahmad yang menyambut. Kemudian saya melihat kelibat acik Rossita yang ramah dan hangat menyambut kami. Kami berbual-berbual seperti sudah lama tidak bersua. Sungguh, sejak 25 tahun yang dulu kami tidak berjumpa. Kali terakhir pertumuan kami ketika ziarah pak cik Ahmad sebelum abah kembali ke tanah air, kira-kira usia saya 6@8bulan. Waktu itu saya sempat difoto dalam dukungan pak cik Ahmad dan acik Rossita. Alangkah sempurnanya pertemuan ini jika ma dan abah turut serta. Sebelum pulang saya dihadiahi tudung bidang 60 berwarna krim dan coklat. Aneh, pak cik Ahmad dan acik Rossita tahu citarasa saya. Begitu juga tudung bulat untuk mama dan kain pelikat untuk abah, dari warna kegemaran kami.

Hampir maghrib kami minta diri untuk ke Simei sebentar. Menyinggah ke rumah kak Norli dan solat maghrib di sana. Perjalanan kami terus bersambung ke Changi Airport. Lantaran Singapore negara yang agak kecil jadi lapangan terbangnya mempunyai multi fungsi. Jangan pelik jika remajanya sering berkunjung ke Airport untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran di sini. Apatah lagi sebagai taman hiburan, pusat membeli-belah, lokasi rekreasi dan food courtnya yang banyak pilihan menu. Ust. Hafiz yang tinggal di Chua Chu Kang menghubungi, katanya hujan lebat dan beliau terkandas. Aduhai, kempunan western food pula malam ini.


Esok hari terakhir di Kota Singa. Saya ingin ke Gaylang meninjau-ninjau kasut dan jubah. Kemudian ingin ke Bugis Village membeli souvenir buat keluarga dan teman-teman akrab.

Sengaja saya tinggalkan 'Map' Bugis Village di sini. Victoria street tempat abah selalu window shopping waktu bujangan dulu. Sentimental value....

Bunga ini untuk pengunjung yang membaca entri terbaru. Moral dari jelajah Kota Singa saya teringatkan kata-kata Syeikh Muhammad Abduh yang lebih kurang begini:

"Aku belajar Islam di negara Islam dan menjumpai Islam di negara bukan Islam"

Tiada ulasan: