Khamis, Julai 19, 2007

Bahibbak Masr!


Sekeping gambar bisa menceritakan segala-galanya. Sekeping gambar menyimpan segala yang tersurat mahu pun yang tersirat. Gambar yang kaku bisa berkata-kata melalui latar dan kedudukan. Gambar diambil untuk merakam saat manis dan hangat yang gesit diputar jejarum halus waktu. Terkadang menatap sekeping gambar membuatkan kenangan lama terpilin-pilin dan bergentayangan di ruang mata, sekali sekala memori lama seakan terpanggil menggeliat dan mengembang sehingga kita tersenyum sendirian seolah turut sama hanyut pada latar gambar yang kita seluruhi dengan indera mata. Ia hidup! Gambar saya dan Yiet ini diambil enam bulan lepas pada 29 Disember 2006, Cairo Airport. Sebenarnya saya sangat rindukan kediaman anak-anak Pahang di Abas el-Akkad, kedai biskut berinti kurma tempat kami memilih kudapan petang dan stesyen metro yang sering saya gunakan untuk ke markaz HEWI PMRAM di Hayyu Sabie’ ketika menghadiri muzakarah berkelompok, mesyuarat MPP dan urus setia IKHLAS 06.

Makin membuak-buak rindu saya kepada daerah musafir ilmu, Iskandariah. Kata orang tempat jatuh lagikan di kenang, inikan pula tempat bermanja. Teringat saya ketika pagi bergegas ke kuliah menunggu van hingga ke Mandarah Beach. Kemudian ambil pula van ke Mallahah, di situlah terletaknya Kuliah Banat, Jamiah Al-Azhar Bil-Iskandariah. Tahun empat hanya perlu mengambil 12 subjek berbanding tahun-tahun sebelumnya 13. Sebelah petang saya akan bercepat-cepat ke rumah Fazlina dan Fizah untuk menghadiri muzakarah. Alhamdulillah anggota diskusi kami lulus dengan cemerlang, malah Fizah dianugerah pangkat Jayyid Jiddan! Saya tumpang bangga sebagai kakaknya. Tahun akhir paling ripuh bagi saya, menyandang jawatan di dalam kepimpinan HEWI BKAN, timb. Pengarah MPP, kolumnis Buletin KERIS, penulis jemputan SKEI, penulis skrip drama pentas sempena IKHLAS 06 program mega HEWI PMRAM. Tetapi menulis tidak bisa saya kesampingkan. Ia seperti jiwa dan nafas. Saya masih inginkan kelangsungan menulis dan menulis dapat diteruskan. Hasrat saya untuk memiliki ‘notebook’ sendiri diizinkan Tuhan. Segalanya terserah saya. Mahu atau tidak. Rajin atau malas.

Oh, ya. Bulan Julai petanda inab dan banati bergugus-gugus segar di tepi jalan. Tembikai dan honeydew meranum dan merah menyala. Musim panas yang menyegarkan. Juadah kegemaran saya di musim panas ialah pudding raja yang diubah menjadi pudding buah. Saat ini kelas-kelas pengajian meriah di rumah-rumah negeri sekitar Kaherah. Pelbagai kitab didiskusikan, sama ada thurath mahupun semasa. Budaya menadah kitab masih segar di sana. Jika ingin mengubah selera kadang-kadang saya bersama Yiet ke Mat’am Hadramout di Abbas el-Akkad. Di sana menawarkan Nasi Mandy kambing atau ayam berbeza katogori sedia dengan kuah tomato dan ulam bawang besar dan lada segar. Aduhai Mesir…Bahibbak Masr!


Saya usai membeli Detektif Indigo 2, karya Faisal Tehrani dan Tengelamnya Kapal Van Der Wijck, karya HAMKA. Entah alasan apa hendak saya berikan yang saya masih tidak berkesempatan menghirup keenakkan kedua-dua karya besar itu hingga akhir. Kekangan waktu. Benar, saya tidak bohong. Sejak saya melangkah ke menara gading sebagai pelajar rutin hidup saya berubah sama sekali. Saya tidak betah tinggal di bandar besar dan secanggih Kuala Lumpur. Apatah lagi Akademi Pengajian Islam terletak agak ke dalam, pengangkutan juga bermasalah. Saya kerap melejet dari Dewan Tunku Cancelor hingga ke Akademi Pengajian Islam. Ia amat memenatkan. Tambahan cuaca di Kuala Lumpur terlalu hangat dan kadang-kadang hujan datang mencurah-curah. Wah, semakin banyak alasan saya. Sebenarnya saya yang tidak meluangkan waktu.
*Ditulis pada 10 Julai 2007

Tiada ulasan: