Isnin, Julai 30, 2007

Senior yang Junior



27 Julai 2007, saya melejet usai duha ke main library. Hangat cuaca khatulistiwa membuatkan saya berpeluh berjalan kaki dari Kolej Kediaman Kelima melalui Institut Pengajian Siswazah, Kolej Kediaman Kedua Belas, jalan potong ke PASUM, terus mendaki bukit melalui tepian Dewan Tunku Cancelor, mampir ke PERDANASISWA dan melintas ke Perpustakaan. Saya sudah mengenal banggunan di sekitar UM. Sekitar lima jam saya habiskan mencari buku rujukan, membuat sedikit pembacaan dan fotokopi bahan untuk literature review subjek Pengajian Syariah dan Orientalis yang diajar Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abd Rahim. Saya harus selesaikan tajuk ini dengan sempurna. Tajuknya, ’Apakah rasionalnya diperkenalkan genre Oksidentalism dalam bidang pengajian Islam’. Ops, jangan tanya saya apa rasionalnya. Pengkajian saya masih diperingkat awal. Malangnya istilah oksidentalism TIDAK ADA dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Adapun, untuk makluman awal oksidentalisme adalah antonim bagi orientalisme. Aduhai, risaunya saya. Masakan tidak, saya pembentang pertama bagi tajuk tersebut dan kelas kami hanya ada empat orang pelajar. Sepasang pelajar dari negara tetangga paling intim, Indonesia. Seorang dari Burma dan pelajar tunggal dari Malaysia adalah saya. Pulang dari perpustakaan jam hampir empat sore, saya singgah di gerai buku DBP yang dibuka di laman PERDANASISWA. Dengan wang saku bulanan hanya berbaki dua keping not 50 saya gunakan untuk membeli Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu terbitan 2005 yang saya idam-idamkan sejak tiga tahun lalu dan sebuah khazanah nostalgia tinggalan Dr. Othman Puteh, Panduan Menulis Cerpen terbitan 2002. Oh ya, selain membaca novel dan antologi cerpen di waktu senggang saya juga gemar membaca Kamus Dewan atau Tesaurus. Adik-adik penulis, amalkan petua ini. Membaca kamus atau tesaurus bisa mencambahkan spora idea dan koleksi perbendaharaan kata. Cubalah!


29 Jun 2007, Jumaat-29 Julai 2007, Ahad.

Alhamdulillah, genap sepurnama saya menghayun langkah, menelaah madah, menghadiri kuliah, mengenal aliran pemikiran ahli akademik yang rencam dan pelbagai, mencari sebuah jawapan setelah setahun menanti. Sebulan bagaikan tidak terasa jarum masa berputar ligat. Makin ke hadapan tidak mengundur. Saya kelelahan, letah-letai terkejar-kejar. Banyak yang ketinggalan. Secara umum, pengajian peringkat sarjana menjurus kepada penyelidikan dan penggunaan pemikiran melalui hipotesis dan natijah tepat berdasarkan pengkajian mendalam dan konsisten. Method yang berbeza jika dibanding pengajian yang saya perolehi ketika di timur tengah yang lebih tertumpu kepada kaedah ’talaqi’. Aduhai, pascasiswazah!

Sesal dan Penyesalan...


Penyesalan? Adakah kita harus merasa sesal di atas tindakan kurang bijak yang pernah diambil? Apakah dalam sumur hidup kita akan melakukan kesilapan yang besar? Bagaimana kita harus lakukan untuk menjernihkan kembali keadaan yang pernah keruh disebabkan tangan kita sendiri? Apakah ada ruang untuk kita membaiki keadaan? Adakah kita akan meraih kembali kepercayaan keluarga? Moga penyesalan itu tidak akan berulang, bahkan mematangkan pertimbangan dalam tindakan. Aduhai orang dewasa!

Jarak Paling Dekat Apabila Berjauhan, dan Semakin Jauh Apabila Semakin Dekat.

Kesetiaan tidak ada kayu ukur. Tetapi ia bisa dinilai dengan mata hati, perubahan semasa, komunikasi, tindakan dan perhatian. Indera keenam sangat peka sehingga bisa merasai satu rasa paling seni. Di saat ini pandangan mata hati akan bersatu dengan indera seni yang lain. Nah, natijah penilaian seni ini amat memilukan andai kesetiaan sudah pecah berkecai. Benarlah, penilaian hati harus diambil kira. Bila hati berkata-kata jangan sesekali diabaikan. Disebalik bisikan halus itu terkandung kebenaran yang tidak dapat disangkal pada masa akan datang. Bijaklah dalam bertindak, halusi situasi dan rasional dalam keputusan. Itula kebijaksanaan seorang SRIKANDI

Khamis, Julai 19, 2007

Bahibbak Masr!


Sekeping gambar bisa menceritakan segala-galanya. Sekeping gambar menyimpan segala yang tersurat mahu pun yang tersirat. Gambar yang kaku bisa berkata-kata melalui latar dan kedudukan. Gambar diambil untuk merakam saat manis dan hangat yang gesit diputar jejarum halus waktu. Terkadang menatap sekeping gambar membuatkan kenangan lama terpilin-pilin dan bergentayangan di ruang mata, sekali sekala memori lama seakan terpanggil menggeliat dan mengembang sehingga kita tersenyum sendirian seolah turut sama hanyut pada latar gambar yang kita seluruhi dengan indera mata. Ia hidup! Gambar saya dan Yiet ini diambil enam bulan lepas pada 29 Disember 2006, Cairo Airport. Sebenarnya saya sangat rindukan kediaman anak-anak Pahang di Abas el-Akkad, kedai biskut berinti kurma tempat kami memilih kudapan petang dan stesyen metro yang sering saya gunakan untuk ke markaz HEWI PMRAM di Hayyu Sabie’ ketika menghadiri muzakarah berkelompok, mesyuarat MPP dan urus setia IKHLAS 06.

Makin membuak-buak rindu saya kepada daerah musafir ilmu, Iskandariah. Kata orang tempat jatuh lagikan di kenang, inikan pula tempat bermanja. Teringat saya ketika pagi bergegas ke kuliah menunggu van hingga ke Mandarah Beach. Kemudian ambil pula van ke Mallahah, di situlah terletaknya Kuliah Banat, Jamiah Al-Azhar Bil-Iskandariah. Tahun empat hanya perlu mengambil 12 subjek berbanding tahun-tahun sebelumnya 13. Sebelah petang saya akan bercepat-cepat ke rumah Fazlina dan Fizah untuk menghadiri muzakarah. Alhamdulillah anggota diskusi kami lulus dengan cemerlang, malah Fizah dianugerah pangkat Jayyid Jiddan! Saya tumpang bangga sebagai kakaknya. Tahun akhir paling ripuh bagi saya, menyandang jawatan di dalam kepimpinan HEWI BKAN, timb. Pengarah MPP, kolumnis Buletin KERIS, penulis jemputan SKEI, penulis skrip drama pentas sempena IKHLAS 06 program mega HEWI PMRAM. Tetapi menulis tidak bisa saya kesampingkan. Ia seperti jiwa dan nafas. Saya masih inginkan kelangsungan menulis dan menulis dapat diteruskan. Hasrat saya untuk memiliki ‘notebook’ sendiri diizinkan Tuhan. Segalanya terserah saya. Mahu atau tidak. Rajin atau malas.

Oh, ya. Bulan Julai petanda inab dan banati bergugus-gugus segar di tepi jalan. Tembikai dan honeydew meranum dan merah menyala. Musim panas yang menyegarkan. Juadah kegemaran saya di musim panas ialah pudding raja yang diubah menjadi pudding buah. Saat ini kelas-kelas pengajian meriah di rumah-rumah negeri sekitar Kaherah. Pelbagai kitab didiskusikan, sama ada thurath mahupun semasa. Budaya menadah kitab masih segar di sana. Jika ingin mengubah selera kadang-kadang saya bersama Yiet ke Mat’am Hadramout di Abbas el-Akkad. Di sana menawarkan Nasi Mandy kambing atau ayam berbeza katogori sedia dengan kuah tomato dan ulam bawang besar dan lada segar. Aduhai Mesir…Bahibbak Masr!


Saya usai membeli Detektif Indigo 2, karya Faisal Tehrani dan Tengelamnya Kapal Van Der Wijck, karya HAMKA. Entah alasan apa hendak saya berikan yang saya masih tidak berkesempatan menghirup keenakkan kedua-dua karya besar itu hingga akhir. Kekangan waktu. Benar, saya tidak bohong. Sejak saya melangkah ke menara gading sebagai pelajar rutin hidup saya berubah sama sekali. Saya tidak betah tinggal di bandar besar dan secanggih Kuala Lumpur. Apatah lagi Akademi Pengajian Islam terletak agak ke dalam, pengangkutan juga bermasalah. Saya kerap melejet dari Dewan Tunku Cancelor hingga ke Akademi Pengajian Islam. Ia amat memenatkan. Tambahan cuaca di Kuala Lumpur terlalu hangat dan kadang-kadang hujan datang mencurah-curah. Wah, semakin banyak alasan saya. Sebenarnya saya yang tidak meluangkan waktu.
*Ditulis pada 10 Julai 2007

Selasa, Julai 17, 2007

Kembali Bersendiri...


DAN APABILA…

Apabila kita memberi adakah kita memiliki?
Apabila kita memiliki adakah ia kekal abadi?
Apabila kita didustai apakah kita memaafi?
Apabila kita bersendiri apakah ada yang menemani?

Apabila kita berjanji wajarkah kita memungkiri?
Apabila kita disakiti apakah kita diubati?
Apabila kita disayangi adakah yang membenci?
Apabila kita menghormati adakah kita dikeji?

Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman
19 Jun 2007 (9.04 pm)

PAKAIKAN AKU…

Pakaikan aku jilbab yang molek,
Agar aku bisa menutup yang jelek,
Pakaikan aku jubah kasih suci,
Agar bisaku kulentur hati yang mati,

Pakaikan aku cincin delima,
Agar jemariku diasuh menderma,
Pakaikan aku kasut baldu,
Agar kakiku menuju jalan yang satu,

Pakaikan aku mahkota tabah,
Agar kesabaranku tidak digugah,
Suapkan aku manisan madu,
Agar kalamku bagaikan lagu mendayu.

Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman
19 Jun 2007 (9.19pm)

RAMADHAN YANG TERAKHIR

Ahlan ya Ramadhan,
Hilal mengintai malu,
Mega berarak dipujuk bayu,
Langit terbuka ditaburi kejora

Ahlan ya Ramadhan,
Panas membahang peluh mengecur,
Amarah dan syahwat gelisah terpenjara,
Iblis tersungkur longlai nestapa,

Ahlan ya Ramadhan,
Sujud aku dinihari pagi,
Syukur bertemu lagi di tahun ini,
Nekad kubenam mentarbiah diri,

Ahlan ya Ramadhan,
Madrasah usang melestari amal,
Danau sukma jernih kemilau,
Moga bertahan menemu ajal,

Ahlan ya Ramadhan,
Sudah terpahat jodoh dan maut,
Pertemuan berganti perpisahan dinanti,
Sakarat disambut penghujung maghfirah,

Ahlan ya Ramadhan,
Destinasi ini menuju lokasi,
Musafir lalu menuju mukim,
Ramadhan ini rupanya yang terakhir….

Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman
19/06/2007 (10.14pm)

MENGHAPUS JEJAKMU…

Menghapus jejakmu,
Yang dulu pernah engkau tinggalkan,
Yang dulu penah engkau ukirkan nama kita,
Yang dulu pernah engkau taburi janji setia,

Menghapus jejakmu,
Yang dulu pernah engkau ucapkan,
Yang dulu pernah engkau angankan,
Yang dulu pernah engkau harapkan,

Menghapus jejakmu,
Dari benak dan jiwa,
Dari pojok nubari paling dalam,
Dari ruang rasa paling seni,

Menghapus jejakmu,
Itu yang aku lakukan,
Itu yang aku citakan,
Itu yang aku usahakan,

Menghapus jejakmu,
Kerana nafasku mendesah sesak,
Payah kuusir rasaku padamu,
Yang tercinta hanyalah kamu,

Menghapus jejakmu,
Kuredahi belantara kepayahan,
Kurenangi tasik kepiluan,
Kulalui denai kekusutan,

Menghapus jejakmu,
Kerana kau bukan untukku,
Aku jua bukan untukmu,
Pemilik Abadi penentu hakiki

Oleh Faizatul Herda bt Mohd Azaman
20 jun 2007 (9.41pm)


Saya sudah lama tidak menulis. Saya kira sejak pulang ke tanah air pada 30/12/2006 hingga kini saya gagal menukangi sebarang karya. Puisi di atas terlalu lemah dan sekadar coretan rasa yang cuba diapungkan di lembaran ini. Tiada sebarang makna tersurat mahupun tersirat. Jujurnya, saya tidak menyenangi laras bahasa yang semakin lemah dan kebuntuan perbendaharaan kata yang baharu. Ini semua gara-gara saya ‘mendiamkan diri’ dari menulis. Saya seolahnya kekok mengetuk papan kekunci. Serasa idea payah benar untuk dicurah. Serasa berkarat!

Sungguh, saya tidak punya masa untuk bersendiri, melakar plot, membina watak dan perwatakan, mencipta rangsangan, dan membuat sedikit kajian mengenai latar dan ilmu bantu. Saya mendesah lega apabila diizin Tuhan memasuki alam ‘pelajar’ semula. Lebih-lebih lagi pengajian ini saya ikuti sepenuh masa. Saya berkira-kira yang saya punya masa untuk bersendiri. Sebenarnya saya berhajat untuk mencari kerja sambilan di mana-mana syarikat penerbitan. Saya ingin membina pengalaman walaupun pengajian sarjana saya tidak berkaitan dengan sastera yang saya cintai. Ada sesiapa bisa membantu?