Isnin, November 27, 2006

Konserto Terakhir -Abdullah Husain

Genre-Karya Klasik Moden

Klasiknya sebuah karya diukur dengan zaman atau masa. Lebih daripada itu; persoalan, fikiran, ketukangan, dan mutulah yang terutama menetukan klasik tidaknya karya itu. Karya Klasik Moden wadah karya sastera yang utuh, mapan, berusia sekurang-kurangnya 15 tahun. Karya Klasik ialah karya besar, justeru penting sekali didokumentasi untuk tujuan bacaan dan kajian, juga sebagai kenang-kenangan.

KONSERTO TERAKHIR

Cerita darah
Cerita darjat
Birunya darah
Pongahnya darjat
Cinta lagu dan irama
Lagu jasad tegar
Irama nurani sunyi
Cerita Cinta
Cerita luka
Cerita Konsero Terakhir
Sebuah Intermeso di pentas hidup-Editor

Hilmi-Watak utama, anak kandung Datuk Johori yang disembunyikan identitinya oleh Pak Karim. Datuk Johari pernah mengahwini ibu Hilmi kemudian menceraikannya keesokkan harinya. Lalu bekas isteri Datuk Johari dibela nasibnya oleh Pak Karim sedang dia sarat mengandungkan Hilmi.

Hayati-Sepupu Hilmi. Anak tunggal Datuk Johari dan Datin Salmah. tunangan Mohsin, anak saudara Datin Salmah. Menyintai Hilmi.

Datuk Johari-Sepupu Pak Karim dan bekas suami kepada isteri Pak Karim. Bapa kandung Hilmi yang disembunyikan.Meninggalkan kampung dan menjadi orang besar di bandar dan mengahwini Datin Salmah setelah menceraikan ibu Hilmi. 'Pak cik' yang menyimpan sedikit simpati terhadap Hilmi.

Pak Karim-Lelaki yang membela nasib janda muda yang diceraikan lantaran miskin. Sepupu yang berbudi luhur dan sudah berusia. Miskin dan tinggal di kampung. Penjaga Hilmi dan bertindak seperti 'ayah kandung'.

Datin Salmah-Wanita dari keluarga berada. Mengahwini Johari atas nasihat ibunya. Bongkak, sombong, pemarah dan angkuh. Aktiviti harian 'morning coffee' bersama isteri kenamaan lain-bergosip dan berbual kosong.

Dr Nathan-Jiran Datuk Johari. Peramah dan pemurah. Majikan Mamat, sahabat baik Hilmi.

Pak Amat-Bekas penyelam mutiara di Darwin, Australia. Mengahwini wanita Inggeris dan kematian anak lelaki sebaya Hilmi. Pemandu Datuk Johari. Memahami Hilmi.

Pak Bakar-Bapa Mertua, kawan dan guru muzik Hilmi. Bersikap terbuka, penyayang dan optimis pada bakat yang dimiliki Hilmi.

Ibu Azizah-Isteri Pak Bakar yang setia dan patuh

Azizah-Anak gadis Pak Bakar, meminati Hilmi dalam diam. Bahkan berani memesrai Hilmi ketika ibu bapanya tiada di rumah. Menjadi isteri Hilmi yang sah dan mendapat seorang cahaya mata bernama Hakim.

KONSERTO TERAKHIR bertempo agak sederhana. Termuat 14 bab dengan 285 halaman. Kisah meruntun hati dan mencabar norma-norma manusiawi. Kisah manusia yang tercabut rasa empati dan simpati, kisah keluarga sedaging darah yang khali ritma saudara, kisah teman berhati luhur menandingi pertalian sedaging darah.

Hilmi pria kampung, disuruh Pak Karim merantau ke bandar demi mencari pak longnya. Fikir Hilmi bapa saudaranya nanti akan membuka jalan mudah baginya mendapatkan kerja dengan kelulusan darjah empat sekolah melayu. Sedang Pak Karim mengirimkan Hilmi demi menyentuh naluri seorang bapa bila mana anak kandungnya tinggal sebumbung.

Disangkakan panas sampai ke petang rupanya gerimis di tengah hari. Kehadiran Hilmi disambut dengan hambar dan sarat kebimbangan. Bimbang identiti Datuk Johari akan terbongkar, gusar reputasi keluarga Datin Salmah akan tercalar, risau Hilmi mendapat layanan setaraf sedang dia bukan sedarjat lalu Hilmi diberikan tempat berteduh setaraf orang gaji dan pemandu dan ditugaskan sebagai tukang kebun di rumah 'bapa'nya sendiri. Bermulalah kisah menyayat hati apabila Hilmi diperlakukan seperti perkerja lain bukan seperti sedaging darah.

Hilmi gembira dengan tugasan itu. Halaman yang tidak terjaga bertukar menjadi taman berwarna-warni dengan haruman puspawarna. Dalam masa yang sama bakat dan kerajinan Hilmi diintai tetangga Datuk Johari, Dr Nathan.

Datin Salmah semahunya ingin merahsiakan identiti Hilmi daripada pengetahuan saudara, teman-teman juga tetangganya. Dia enggan menerima kenyataan bahawa Hilmi sedarah sedaging dengan suaminya dan darah itu mengalir di dalam tubuh anak gadisnya, Hayati! Terusan Hilmi dilayan kasar dan biadab.

Watak Hilmi cukup menyentuh atma saya. Wajahnya beriak tenang, sabar, peramah, tidak meninggalkan solat, rajin, patuh dan setia. Saya teringatkan pesan seorang rakan penulis ada memesan,..."jika anda menukangi karya, terutama cerpen atau novel masukkan kimah ad-din contohnya solat, zikir, puasa dan sebagainya. Dengan cara ini bisa menyentuh khalayak pembaca dan mengajak secara halus. Ini tugas kita, jika tidak kita menyentuhnya siapa lagi?"

KONSERTO TERAKHIR air tangan Sasterawan Negara, Abdullah Husain. Karya klasik moden yang evergreen!

2 ulasan:

Gsvyner (Yusz The Ultimate King) berkata...

saya nak tanya ada x awak memiliki sebarang maklumat tentang cerita ini iaitu dari surat khabar dll yang bukan dari novel ini.

Faizah Azaman berkata...

setakat ini tiada. tapi kalau google mungkin banyak maklumat yang boleh digali.