Ahad, Februari 26, 2006

Sekitar Peristiwa Penghujung Februari

21 Februari 2006

Ahli HEWI BKMIP sekitar 60 bersama 6 orang musyrif memulakan ekspidisi tepat jam 9 pagi ke perkampungan Qanatir menaiki feri. Perjalanan selama 1jam 30minit diisi dengan acara perasmian (yang dirasmikan oleh saya sendiri) dan pembentangan kertas kerja yang menepati tema MUKHAYYAM 'ARABI, Al-Lughatul 'Arabiah Ilmul Lughah At-Tatbiqi. Kertas kerja disampaikan oleh Saudara Fitri Nurul Ain adalah pelajar tahun 2 Jurusan Bahasa Arab yang menyandang Anugerah Mahasisiwi Cemerlang tahun sudah dengan merangkul keputusan terbaik, Jayyid Jiddan.

Saya sungguh terkesan dengan gaya penyampaian Fitri! Dia menguasai Bahasa Arab Fushah tanpa dipengaruhi walau sepatah perkataan dari Bahasa Arab Ammi! Ya, berkomunikasi dalam Bahasa Arab agak mudah (tanpa terikat dengan nahu dan sorof), sedikit sukar jika bertutur dengan menggunakan tatabahasa yang tepat. Disamping mewah perbendaharaan kata, ia mestilah kaya dan pelbagai ragam mengikut wazan. Sesetengah individu tertentu mahir bercakap dengan banyak perkataan di atas pelbagai wazan sedangkan di dalam otaknya menyimpan sedikit sahaja perbendaharaan kata.

Fitri menggesa para audien agar melakukan sedikit perubahan melalui anjakan paradigma.Ya! Keluar dari tempurung yang melindung! Ada beberapa modul yang disuguh sebelum sesi penerangan secara ringkas dan sendat. Kami diminta melukis 9 buah bulatan(yang dilukis dalam 3 baris dan 3 lajur), meletakkan 4 garisan tanpa putus yang melalui di atas 9 bulatan (modul budak KISAS) bermakna garisan akan terkeluar untuk mengenai 9 bulatan tersebut, itulah simile anjakan paradigma individu yang mahu memulakan langkah untuk bertutur di dalam Bahasa Arab. Kemudian kami diminta untuk membayangkan sebuah peti ais, seorang siswi diminta untuk masuk ke dalam peti ais tersebut kemudian cuba mengangakat peti ais itu dari dalam. Bagaimana? Anda dapat gambarkan yang anda berada di dalam peti ais kemudian berusaha mengangkat peti ais tersebut dari dalam? Secara logik dan bijak, anda hendaklah keluar dair peti ais tersebut dan barulah ianya dapat diangkat. Kata sakti adalah KELUAR.

Kami diterangkan struktur asas dalam nahu untuk memudahkan kami bertutur dengan baik. Melalui rangsangan yang disuguhkan memancing kosentrasi dan respon positif para audien. Saya juga tertegun dan terpegun!

Sampai di Qanatir kami meneruskan acara warming up, solat, makan, sukaneka, regu, dan acara bebas. Ketika berada di Qanatir para pesrta dikehendaki bertutur dalam Bahasa Arab sehinggakan ketika menyokong kumpulan masing-masing dalam acara sukaneka [lari ikat kaki, bawa bola ping pong dalam sudu, acara makan zabadi(yogurt), jeruk zaitun, telur rebus, dan tomato(semuanya hidangan berkhasiat untuk pelajar), dan tiup gula-gula dalam tepung.]

Azan asar berbaki 45 minit. Semua acara kami lunaskan tepat pada waktunya. Kini kami ingin menikmati acara bebas. Apa lagi jika tidak menyewa kuda, kerata kuda, motosikal dan basikal untuk pusing-pusing sekitar Qanatir! Saya tak akan lupa pengalaman pertama menunggang kuda. Kuda betina yang saya tunggang bernama ZIHAB/emas, berwarna kuning cair dan sangat agresif! Sesekali bikin saya tidak keruan dengan keletahnya yang sukar untuk dikawal. Saat dia bernakal-nakal saya bacakan selawat dan menggosok lehernya. Ketika menunggang Zihab, saya merasakan seolahnya kami adalah pasukan berkuda di zaman baginda Rasulullah. Bukankah baginda pernah berpesan agar diajarkan kepada anak-anak kita berenang, memanah dan menunggang kuda. Abah, anak abah dah pandai tunggang kuda!

Kami bersolat asar jam 4.00ptg dalam feri. Acara kemuncak adalah kuiz dan kotak beracun. Seterusnya acara penutup. Sepanjang perjalanan pemandangan amat mengasyikkan. Feri kami menyongsang arus Nil yang deras. Tak terbayang dasar nil yang mambiru. Saya sempat mengambil gambar sepanjang sungai Nil dan ketika mentari dirangkul senja melalui kamera telefon bimbit. Kesibukkan menjadikan saya teralpa untuk membeli filem. Alternatifnya mujur ada. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! Sungguh Nil punyai pesona tersendiri. Saya teruja 'mengaruk' atau 'berendam' dalam Nil jika berpeluang!

Perjalanan pulang dari Qanatir saya terima sms dari kak long. Khabarnya urusan perpindahan kami sekeluarga ke Taman Tualang Indah beres, alhamdulillah! Dan kak long diterima mengajar di Sekolah Menengah Agama Al-Wosto (Sekolah lama kami).

22 Februari 2006

Saya teruja menggarap idea baru berkitar pada isu etnik kurdi minoriti di Turki, Syiria, Iraq, Iran dan Armenia. Saya ingin singkap mengapa peta dunia lakaran imperialis bersilang-siur, bengkang-bengkok? Apakah pelan jangka panjang yang memaksa mereka menjadikan etnik kurdi minoriti di lima buah negara tersebut??? Doakan pendedahan saya ini berhasil membuka mata remaja! Letah-letai semalam masih berbaki, kaki dan lengan saya diterpa lenguh. Malam ini saya akan mengerjakan cerpen ini. Saya ingin mengenalkan kepada anda siapa ulama dan pimpinan agung berketurunan kurdi. Ya, malam nanti. Insya-Allah!

25 Februari 2006

Saya usai menyiapkan KERDIPAN NAJAM TIMUR. Terus-terang, saya tidak mampu hanyut bersama plot yang dicipta. Entahlah! Saya sering kepenatan akhir-akhir ini. Saya tidak terfikir untuk menghantarnya kemana-mana penerbitan buat masa ini, lantaran ia dalam proses 'peram'. Sengaja saya paparkan di sini untuk bacaan umum. Saya mahukan komentar anda. Ya, anda!

'Kalau kamu merasa penat dalam melakukan kebaikan, kepenatan itu akan hilang. Kebaikan akan kekal. Namun, andai kamu merasa seronok melakukan kejahatan, keseronokan akan hilang. Akan kekal kejahatan...'

Esok adalah ulangtahun kelahiran saya yang ke-24. Bermakna saya sudah diambang akhir remaja sebelum menginjak usia sukuan abad! Saya mencongak prestasi dan potensi diri di celah takah umur yang melebihi jemari kedua belah tangan. Semacam sifar! Saya kewalahan seketika. Ah, ubatnya saya perlu bercakap-cakap dengan ma dan abah. Esok saya nak berpuasa sempena hari kelahiran saya. Saya nak ungkapkan penghargaan teristimewa untuk ma dan abah. Betapa bernilai segunung kasih yang terbenam berlian berharga di dasarnya. Matlamat saya masih sama. Dulu, kini dan selamanya..."Syabun nasya'a fi ibadatillah..." Sebagaimana yang disebut Habibu Ar-Rahman dalam hadisnya.

Anda tahu, sekuntum lagu yang disematkan di gegendang oleh ma ketika saya melangkau pra-mumayyiz masih segar dalam ujana ingatan hingga kini...

'Bintang kecil
Di langit yang biru
Amat indah
Menghias angkasa
Ingin aku
Terbang dan menari
Jauh tinggi
Di tempat kau berada'

Waktu itu saya begitu ghairah untuk menari-nari dan terbang ke bintang. Ingin sekali saya petik bebintang kejora untuk saya sisipkan ke sanggul ma. Biar wajah ma sentiasa memancar dan berseri imbasan andang najam dan pancaran kasih sayangnya yang mewah. Biar alam diselubung cahaya cerlang gemilang. Biar isi alam kagum dengan puspawarna yang membias.

Teringat waktu-waktu yang saya habiskan bersama abah ketika kanak-kanak. Saya gemari tembikai merah/timun cina. Abah akan potongkan tembikai dan tunggu hingga saya habis makan. Kemudian dia akan meladeni kerenah saya sehingga saya katakan, "Abah, angah dah tak mau."


Lakaran bait:

Pesan abah,
Puteriku
Sekuntum mawar harum
Jangan diurung kumbang asing
Warna yang garang
Jangan dibiar menyilau pandang
Kelopak memekar
Usah luruh sebelum ketikanya

Pesan mama
Buah hatiku
Turuti resam semalu
Menguncup pantang disentuh
Ertinya malu perhiasan termahal
Berduri perisai peribadi
Tanda harga diri tiada galang ganti
Cengkaman akar di muka bumi
Terikatnya hati pada Pemilik Abadi
Menguncup tatkala disambar si guntur senja
Malam bukan mandala berpeleseran

Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri usianya amat pendek, bermula dari dia dilahirkan hingga kematiannya menyapa. Namun jika hidupnya untuk berjuang, usianya panjang, bermula dari diciptakan Adam a.s dan berakhir tatkala dimusnahkan alam- Sayyid Qutb-

Tiada ulasan: