2 Februari 2006
Saya mendapat jemputan ke walimatul 'arus 5 pasangan di Rumah Kelantan Baru(RKB) KPKM bersama seorang pengiring. Salah seorang dari pasangan itu, Firdawati Derahman Timb. Pengarah Urusan Buletin KERIS (Kelab Karyawan Islam Kelantan). Gembira bertemunya yang kini sudah bertukar status. Nyata dia masih happy go lucky seperti selalu. Manis sungguh dia di hari bahagia. Saya bisikkan di cupingnya, "Selamat Pengantin Baru. Moga kekal hingga ke Syurga." Lalu dia mengukir ibtisam dan berujar, "Awak orang pertama ungkapkan ucapan sebegini." Kami bersalaman menggengam jemari. Erat! Ya, pengalaman berurusan dengan Firda ketika menjadi kolumnis tetap Buletin KERIS cukup menyenangkan. Dia seorang yang bersahaja dan kelakar. Tak pelik, kami jarang bersua tapi andai berjumpa seperti kenalan lama! Memesrai dunia penulisan di Mesir membenihkan ukhuwwah yang luar biasa antara kami. Bukan sahaja akidah yang bersimpul, bahkan hadaf, idea dan kebersamaan kami menjadikan angkatan penulis Mesir punya keampuhan! Harapnya.
5 Februari 2006
Saya perlu hadiri undangan mesyuarat Unit Khas UPP HEWI PMRAM. Uhh, saya terpaksa mengumpul semula memori yang berteraburan dan merangka elok-elok setiap responsif sidang komuniti ADABUNA, lebih-lebih lagi isu penubuhan Majlis Penulis PMRAM(MPP)
MPP adalah organisasi baru yang direncanakan oleh PMRAM bagi memantau setiap program yang diselenggarakan sepenuhnya oleh komiti MPP. MPP bakal menganjurkan Kem latihan Penulis (KELAP) yang menawarkan pelbagai aktiviti penulisan antaranya:-
-Seminar dan pembentangan kertas kerja penulisan kreatif dan non-kreatif
-Bengkel penulisan, forum dan talk show
-Sayembara penulisan kreatif dan non-kreatif
-Small gathering
-Bertindak sebagai penyunting rasmi bagi Suara Kampus dan mana-mana novel mahupun antologi yang diterbitkan di Mesir.
-Mengadakan Hari Penulis
-Projek Rekacipta weblog dsb
-Menerbitkan buletin secara berkala kepada ahli PMRAM khasnya ahli MPP.
MPP akan menyerapkan peserta KELAP ke ADABUNA Yahoogroup yang menghimpunkan penulis mapan seperti moderator ADABUNA Mohd Nazmi Yaakob, Zaid Akhtar, Amiza Khusyri, Almarjan Yusuff, Ahmad Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad agar interaksi maya menjadi katalis kepada bakal penulis juga penulis muda. Disamping itu MPP sedayanya menerbitkan buletin berkala untuk bacaan bakal penulis sinambungan dari Buletin Ada Apa Dengan KERIS sebagai buletin rasmi MPP.
Anda ingin menjadi penulis? Mulakan saja di mana-mana!
6 Februari 2006
Ketua Unit Penerbitan dan Penerangan BKMIP, Nadia minta saya siapkan ucapan alu-aluan sebagai pembuka tirai Suara Kampus Edisi Pahang, sekadar kalam sekapur sireh seulas pinang. Bila saya bisa siapkan? Dalam sisipan al-Mumtahanah saya diminta memegang kolum 'Rencam Wanita Akhir Zaman'. Bila pula saya akan lunaskan?
Ya, sudah tiba masanya saya memotivasikan diri sendiri. Miliki hamasah yang jitu seperti Saidina Ja'far b. Abi Talib r.a yang syahid di Mu'tah. Semangat dan hamasah yang memekat dalam jiwa dan imannya menjadikan beliau gagah perkasa menjulang panji walaupun sesudah kudung tangan dan kaki bahana dilibastebas pedang musuh! SEMANGAT yang dipertaruhkan hasil dari taqarub kepada Allah yang sangat tinggi, akhirnya beliau diganjari SYAHID!
Moral- SEMANGAT mampu mengatasi suntuk masa, letah-letai, juga hambatan yang rencam dan pelbagai. Terima kasih Sifo Amiza. Anda banyak mengingatkan saya!
7 Februari 2006
Saya sungguh-sungguh terusik. Memikirkan masa depan penulisan saya. Bukan, saya tidak berniat untuk berhenti seketika. Cuma adakala majal idea bertandang, saya tak berkesempatan langsung untuk keluar dari 'kamar sepi' membawa pena dan cebisan kertas sambil berkitar-kitar seputar bandar Abas al-Aqad mengutib idea dan falsafah baru. Beberapa cerpen tersadai dalam Floopy A mahupun Floopy Mind!
Kadang-kadang anda menyangka saya sudah putus asa kerana saya masih belum 'lulus' dan tidak cukup handal menembus tembok editor. Putus asa moga dijauhkan. Mungkin kekecewaan sekadar terkepung di kuala hati. Untuk apa saya menulis? Siapa yang akan menilai gagasan dan tema yang saya angkat dalam setiap karya yang dipaparkan? Biarkan...masa dan keadaan akan menjawabnya.
8 Februari 2006
Saya diminta hadir ke mesyuarat Suara Kampus Edisi Gabungan(SEGA) bil-5. Saya belum pernah berkerja untuk SEGA setakat ini. Peluang yang diberi tidak saya sia-siakan. Saya diminta menjadi pembaca pruf. Berkerja dengan Ketua Editor, saudara Mohd Ariff Fadhillah dan Timbalannya saudara Ida Idayu dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga mencipta satu kelaian dalam mandala pengurusan yang cermat dan penelitian yang telus. Saya menghadiri mesyuarat tersebut bersama YIET yang mewakili DPM Tanta. Untuk kali pertama saya menekuni kertas kerja cadangan SEGA bil-5 yang sangat sempurna dari sudut perancangan, bidang tugas dan gerak kerja. Sukma kami memutik kagum dari benih semangat yang ditabur. Moga keikhlasan, kesabaran dan kesungguhan menjadi tunjang dalam katalis sidang editorial dan pelaksana.
12 Februari 2006
Saya dan YIET menghantar kak long ke airport. Malam ini malam terakhir kami berkumpul dan bertemu mata. Keadaan kesihatan saya agak kritikal sehingga kehibaan saat itu seolah terpinggir beberapa bentar. Menjelang tiga tahun saya tinggal bersama kak long sejak menghuni daerah Assofirah Beach, tambahan kami teman serahim. Banyak perkara saya pelajari darinya. Saling membakar semangat menuntut ilmu antara kami bahkan berkongsi kecenderungan dalam penulisan. Kak long bertanggungjawab menghela saya ke gapura penulisan ketika saya di tahun satu pengajian sesi 2002/2003 yang dibimbing oleh Saudara Mohd Nazmi Yaakob, Ahmad Tarmizi Ismail, Almarjan Yusuff dan Masrati Muhammad. Sungguh! Saya akan merasai kehilangan sepertimana saya lalui ketika kak long tinggalkan saya saat permusafiran ilmunya satu masa dulu. Bayangkan, segala perkara kami lakukan bersama, setiap keputusan kami capai sekata, tiap langkah kami jejak bersama, amukan amarah saling reda-meredakan, gembira derita dikunyah ditelan, tiba-tiba segalanya sirna dan berlalu. Anda tidak merasakan itu adalah kehilangan yang paling besar dalam hidup??? Malah!
Lakaran bait:-
Mentari bangkit mengeliat
Berguguran kemilau dedaun sinar
Aku dipagut keterharuan
Bibit kecewa kian mengental
Rasional kupintal bagaikan diurai
Angin timur bertiup kering
Aku melamun-lamun sendiri
Berkhayal duduk memunggah
Bongkah-bongkah memori silam yang klasik
Dan mimpi-mimpi puspawarna
Di zaman keharuman usia remajaku
Kehidupan umpama kanvas
Terpalit warna pelbagai citra
Kuladeni kronologi diari
Babak kehidpan yang dipentaskan
Bergentayangan
Berpilin-pilin tiap jihat
Pernah aku diterpa remuk rengsa
Benteng akalku punah digegar samudera lara
Aku meraba aur di tebing
Kandaku muncul tanpa kupanggil
Menyeka deraian derita biar tangisku lekas reda.
* Cik Ima, thank's for ur concern! I'm so appreciated that...
19 Februari 2006
Makluman kepada ahli HEWI BKMIP sekitar Kaherah dan Muhafazah (Mansourah dan Iskandariah)
Insya-Allah Unit Dakwah, Unit Pengetahuan dan Pendidikan, dan Unit Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI BKMIP akan mengadakan program MUKHAYYAM A'RABI bertemakan ' Al-Lughatul 'Arabiah Ilmul Lughah At-Tatbiqi' bertempat di Qanatir pada 21 Februari 2006 bersamaan 22 Muharram 1427H, hari Selasa. Pendaftaran sebanyak Pound Egypt 30 (tambang, makan, dan sisipan). Anda semua dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan ujana ilmu. Perjalanan program secara ditil boleh dirujuk kepada Pengarah Program, Tg. Ainul Farha Tg. Abd Rahman.
Antara objektif program yang disasarkan:-
-Mengeratkan ikatan ukhuwah dikalangan ahli HEWI BKMIP
-Memartabatkan Bahasa Arab dan galakan untuk berkomunikasi di dalam bahasa ini.
-Menambah perbendaharaan kata Bahasa Syurga dikalangan ahli
-Mencungkil dan menggilap bakat baru menerusi acara ilmiah dan sukan
-Menyemai semangat sayang dan cintakan BKMIP
- Proses pertama bagi bacaan pruf SEGA bermula hari ini.
Lakaran bait:
SELAMAT HARI LAHIR
(Syabun nasya'a fi ibadatillah/Pemuda pemudi yang membesar dalam beribadah kepada Allah)
Menyingsing tabir alam
Pagi nirmala bertatah suria cerlang
Ambalan langit nilakandi terbentang
Ropolan awan berarak malas-malas
Aku terkelintar memerhati sekeliling
Hari apakah ini?
Duha
Derai kokok jantan bersahutan
Ragam warna jalur kehidupan
Menganyam bilah pagi berseri
Senyuman itu enggan layu
Walau kerap diburu celaru
Aku
Kerap tewas merabakkan aspirasi
Masih setia mengental niat
Memunggah sesal menghumban lara
Biar jiwaku malar perkasa
Teman
Kalian ibarat andang
Sering mengocak tasik khayalan
Menghela aku melepasi dimensi maya
Biar aku berpijak dipaksi nyata
Selamat hari lahir diucapkan
Tanda penghargaan tidak berkurangan
Ingatilah pesanku ini
Amra jangan disangka kedondong
Prinsipmu jangan dituruti kiambang
Amal soleh bahtera penyelamat
Sedang dunia sang samudera ganas
Berteguhlah
Bertaqwalah
Walau dimana kalian berada
Meskipun keruh kondisi jiwa
Biarpun nanar memamah minda
Ia akan lesap, luput dan sirna
Bak kabut dilanggar kawanan angin TAQWA
- Dedikasi-
Selamat Hari lahir buat teman-teman yang menyambutnya pada bulan Februari, Mayna 5/2, Cik Ukashah 20/2, Zaki 24/2. Domo arigatou!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan