Ahad, Februari 26, 2006

Sekitar Peristiwa Penghujung Februari

21 Februari 2006

Ahli HEWI BKMIP sekitar 60 bersama 6 orang musyrif memulakan ekspidisi tepat jam 9 pagi ke perkampungan Qanatir menaiki feri. Perjalanan selama 1jam 30minit diisi dengan acara perasmian (yang dirasmikan oleh saya sendiri) dan pembentangan kertas kerja yang menepati tema MUKHAYYAM 'ARABI, Al-Lughatul 'Arabiah Ilmul Lughah At-Tatbiqi. Kertas kerja disampaikan oleh Saudara Fitri Nurul Ain adalah pelajar tahun 2 Jurusan Bahasa Arab yang menyandang Anugerah Mahasisiwi Cemerlang tahun sudah dengan merangkul keputusan terbaik, Jayyid Jiddan.

Saya sungguh terkesan dengan gaya penyampaian Fitri! Dia menguasai Bahasa Arab Fushah tanpa dipengaruhi walau sepatah perkataan dari Bahasa Arab Ammi! Ya, berkomunikasi dalam Bahasa Arab agak mudah (tanpa terikat dengan nahu dan sorof), sedikit sukar jika bertutur dengan menggunakan tatabahasa yang tepat. Disamping mewah perbendaharaan kata, ia mestilah kaya dan pelbagai ragam mengikut wazan. Sesetengah individu tertentu mahir bercakap dengan banyak perkataan di atas pelbagai wazan sedangkan di dalam otaknya menyimpan sedikit sahaja perbendaharaan kata.

Fitri menggesa para audien agar melakukan sedikit perubahan melalui anjakan paradigma.Ya! Keluar dari tempurung yang melindung! Ada beberapa modul yang disuguh sebelum sesi penerangan secara ringkas dan sendat. Kami diminta melukis 9 buah bulatan(yang dilukis dalam 3 baris dan 3 lajur), meletakkan 4 garisan tanpa putus yang melalui di atas 9 bulatan (modul budak KISAS) bermakna garisan akan terkeluar untuk mengenai 9 bulatan tersebut, itulah simile anjakan paradigma individu yang mahu memulakan langkah untuk bertutur di dalam Bahasa Arab. Kemudian kami diminta untuk membayangkan sebuah peti ais, seorang siswi diminta untuk masuk ke dalam peti ais tersebut kemudian cuba mengangakat peti ais itu dari dalam. Bagaimana? Anda dapat gambarkan yang anda berada di dalam peti ais kemudian berusaha mengangkat peti ais tersebut dari dalam? Secara logik dan bijak, anda hendaklah keluar dair peti ais tersebut dan barulah ianya dapat diangkat. Kata sakti adalah KELUAR.

Kami diterangkan struktur asas dalam nahu untuk memudahkan kami bertutur dengan baik. Melalui rangsangan yang disuguhkan memancing kosentrasi dan respon positif para audien. Saya juga tertegun dan terpegun!

Sampai di Qanatir kami meneruskan acara warming up, solat, makan, sukaneka, regu, dan acara bebas. Ketika berada di Qanatir para pesrta dikehendaki bertutur dalam Bahasa Arab sehinggakan ketika menyokong kumpulan masing-masing dalam acara sukaneka [lari ikat kaki, bawa bola ping pong dalam sudu, acara makan zabadi(yogurt), jeruk zaitun, telur rebus, dan tomato(semuanya hidangan berkhasiat untuk pelajar), dan tiup gula-gula dalam tepung.]

Azan asar berbaki 45 minit. Semua acara kami lunaskan tepat pada waktunya. Kini kami ingin menikmati acara bebas. Apa lagi jika tidak menyewa kuda, kerata kuda, motosikal dan basikal untuk pusing-pusing sekitar Qanatir! Saya tak akan lupa pengalaman pertama menunggang kuda. Kuda betina yang saya tunggang bernama ZIHAB/emas, berwarna kuning cair dan sangat agresif! Sesekali bikin saya tidak keruan dengan keletahnya yang sukar untuk dikawal. Saat dia bernakal-nakal saya bacakan selawat dan menggosok lehernya. Ketika menunggang Zihab, saya merasakan seolahnya kami adalah pasukan berkuda di zaman baginda Rasulullah. Bukankah baginda pernah berpesan agar diajarkan kepada anak-anak kita berenang, memanah dan menunggang kuda. Abah, anak abah dah pandai tunggang kuda!

Kami bersolat asar jam 4.00ptg dalam feri. Acara kemuncak adalah kuiz dan kotak beracun. Seterusnya acara penutup. Sepanjang perjalanan pemandangan amat mengasyikkan. Feri kami menyongsang arus Nil yang deras. Tak terbayang dasar nil yang mambiru. Saya sempat mengambil gambar sepanjang sungai Nil dan ketika mentari dirangkul senja melalui kamera telefon bimbit. Kesibukkan menjadikan saya teralpa untuk membeli filem. Alternatifnya mujur ada. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! Sungguh Nil punyai pesona tersendiri. Saya teruja 'mengaruk' atau 'berendam' dalam Nil jika berpeluang!

Perjalanan pulang dari Qanatir saya terima sms dari kak long. Khabarnya urusan perpindahan kami sekeluarga ke Taman Tualang Indah beres, alhamdulillah! Dan kak long diterima mengajar di Sekolah Menengah Agama Al-Wosto (Sekolah lama kami).

22 Februari 2006

Saya teruja menggarap idea baru berkitar pada isu etnik kurdi minoriti di Turki, Syiria, Iraq, Iran dan Armenia. Saya ingin singkap mengapa peta dunia lakaran imperialis bersilang-siur, bengkang-bengkok? Apakah pelan jangka panjang yang memaksa mereka menjadikan etnik kurdi minoriti di lima buah negara tersebut??? Doakan pendedahan saya ini berhasil membuka mata remaja! Letah-letai semalam masih berbaki, kaki dan lengan saya diterpa lenguh. Malam ini saya akan mengerjakan cerpen ini. Saya ingin mengenalkan kepada anda siapa ulama dan pimpinan agung berketurunan kurdi. Ya, malam nanti. Insya-Allah!

25 Februari 2006

Saya usai menyiapkan KERDIPAN NAJAM TIMUR. Terus-terang, saya tidak mampu hanyut bersama plot yang dicipta. Entahlah! Saya sering kepenatan akhir-akhir ini. Saya tidak terfikir untuk menghantarnya kemana-mana penerbitan buat masa ini, lantaran ia dalam proses 'peram'. Sengaja saya paparkan di sini untuk bacaan umum. Saya mahukan komentar anda. Ya, anda!

'Kalau kamu merasa penat dalam melakukan kebaikan, kepenatan itu akan hilang. Kebaikan akan kekal. Namun, andai kamu merasa seronok melakukan kejahatan, keseronokan akan hilang. Akan kekal kejahatan...'

Esok adalah ulangtahun kelahiran saya yang ke-24. Bermakna saya sudah diambang akhir remaja sebelum menginjak usia sukuan abad! Saya mencongak prestasi dan potensi diri di celah takah umur yang melebihi jemari kedua belah tangan. Semacam sifar! Saya kewalahan seketika. Ah, ubatnya saya perlu bercakap-cakap dengan ma dan abah. Esok saya nak berpuasa sempena hari kelahiran saya. Saya nak ungkapkan penghargaan teristimewa untuk ma dan abah. Betapa bernilai segunung kasih yang terbenam berlian berharga di dasarnya. Matlamat saya masih sama. Dulu, kini dan selamanya..."Syabun nasya'a fi ibadatillah..." Sebagaimana yang disebut Habibu Ar-Rahman dalam hadisnya.

Anda tahu, sekuntum lagu yang disematkan di gegendang oleh ma ketika saya melangkau pra-mumayyiz masih segar dalam ujana ingatan hingga kini...

'Bintang kecil
Di langit yang biru
Amat indah
Menghias angkasa
Ingin aku
Terbang dan menari
Jauh tinggi
Di tempat kau berada'

Waktu itu saya begitu ghairah untuk menari-nari dan terbang ke bintang. Ingin sekali saya petik bebintang kejora untuk saya sisipkan ke sanggul ma. Biar wajah ma sentiasa memancar dan berseri imbasan andang najam dan pancaran kasih sayangnya yang mewah. Biar alam diselubung cahaya cerlang gemilang. Biar isi alam kagum dengan puspawarna yang membias.

Teringat waktu-waktu yang saya habiskan bersama abah ketika kanak-kanak. Saya gemari tembikai merah/timun cina. Abah akan potongkan tembikai dan tunggu hingga saya habis makan. Kemudian dia akan meladeni kerenah saya sehingga saya katakan, "Abah, angah dah tak mau."


Lakaran bait:

Pesan abah,
Puteriku
Sekuntum mawar harum
Jangan diurung kumbang asing
Warna yang garang
Jangan dibiar menyilau pandang
Kelopak memekar
Usah luruh sebelum ketikanya

Pesan mama
Buah hatiku
Turuti resam semalu
Menguncup pantang disentuh
Ertinya malu perhiasan termahal
Berduri perisai peribadi
Tanda harga diri tiada galang ganti
Cengkaman akar di muka bumi
Terikatnya hati pada Pemilik Abadi
Menguncup tatkala disambar si guntur senja
Malam bukan mandala berpeleseran

Manusia yang hidup untuk dirinya sendiri usianya amat pendek, bermula dari dia dilahirkan hingga kematiannya menyapa. Namun jika hidupnya untuk berjuang, usianya panjang, bermula dari diciptakan Adam a.s dan berakhir tatkala dimusnahkan alam- Sayyid Qutb-

Ahad, Februari 19, 2006

Catatan Tertangguh

2 Februari 2006

Saya mendapat jemputan ke walimatul 'arus 5 pasangan di Rumah Kelantan Baru(RKB) KPKM bersama seorang pengiring. Salah seorang dari pasangan itu, Firdawati Derahman Timb. Pengarah Urusan Buletin KERIS (Kelab Karyawan Islam Kelantan). Gembira bertemunya yang kini sudah bertukar status. Nyata dia masih happy go lucky seperti selalu. Manis sungguh dia di hari bahagia. Saya bisikkan di cupingnya, "Selamat Pengantin Baru. Moga kekal hingga ke Syurga." Lalu dia mengukir ibtisam dan berujar, "Awak orang pertama ungkapkan ucapan sebegini." Kami bersalaman menggengam jemari. Erat! Ya, pengalaman berurusan dengan Firda ketika menjadi kolumnis tetap Buletin KERIS cukup menyenangkan. Dia seorang yang bersahaja dan kelakar. Tak pelik, kami jarang bersua tapi andai berjumpa seperti kenalan lama! Memesrai dunia penulisan di Mesir membenihkan ukhuwwah yang luar biasa antara kami. Bukan sahaja akidah yang bersimpul, bahkan hadaf, idea dan kebersamaan kami menjadikan angkatan penulis Mesir punya keampuhan! Harapnya.

5 Februari 2006

Saya perlu hadiri undangan mesyuarat Unit Khas UPP HEWI PMRAM. Uhh, saya terpaksa mengumpul semula memori yang berteraburan dan merangka elok-elok setiap responsif sidang komuniti ADABUNA, lebih-lebih lagi isu penubuhan Majlis Penulis PMRAM(MPP)

MPP adalah organisasi baru yang direncanakan oleh PMRAM bagi memantau setiap program yang diselenggarakan sepenuhnya oleh komiti MPP. MPP bakal menganjurkan Kem latihan Penulis (KELAP) yang menawarkan pelbagai aktiviti penulisan antaranya:-
-Seminar dan pembentangan kertas kerja penulisan kreatif dan non-kreatif
-Bengkel penulisan, forum dan talk show
-Sayembara penulisan kreatif dan non-kreatif
-Small gathering
-Bertindak sebagai penyunting rasmi bagi Suara Kampus dan mana-mana novel mahupun antologi yang diterbitkan di Mesir.
-Mengadakan Hari Penulis
-Projek Rekacipta weblog dsb
-Menerbitkan buletin secara berkala kepada ahli PMRAM khasnya ahli MPP.

MPP akan menyerapkan peserta KELAP ke ADABUNA Yahoogroup yang menghimpunkan penulis mapan seperti moderator ADABUNA Mohd Nazmi Yaakob, Zaid Akhtar, Amiza Khusyri, Almarjan Yusuff, Ahmad Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad agar interaksi maya menjadi katalis kepada bakal penulis juga penulis muda. Disamping itu MPP sedayanya menerbitkan buletin berkala untuk bacaan bakal penulis sinambungan dari Buletin Ada Apa Dengan KERIS sebagai buletin rasmi MPP.

Anda ingin menjadi penulis? Mulakan saja di mana-mana!

6 Februari 2006

Ketua Unit Penerbitan dan Penerangan BKMIP, Nadia minta saya siapkan ucapan alu-aluan sebagai pembuka tirai Suara Kampus Edisi Pahang, sekadar kalam sekapur sireh seulas pinang. Bila saya bisa siapkan? Dalam sisipan al-Mumtahanah saya diminta memegang kolum 'Rencam Wanita Akhir Zaman'. Bila pula saya akan lunaskan?

Ya, sudah tiba masanya saya memotivasikan diri sendiri. Miliki hamasah yang jitu seperti Saidina Ja'far b. Abi Talib r.a yang syahid di Mu'tah. Semangat dan hamasah yang memekat dalam jiwa dan imannya menjadikan beliau gagah perkasa menjulang panji walaupun sesudah kudung tangan dan kaki bahana dilibastebas pedang musuh! SEMANGAT yang dipertaruhkan hasil dari taqarub kepada Allah yang sangat tinggi, akhirnya beliau diganjari SYAHID!

Moral- SEMANGAT mampu mengatasi suntuk masa, letah-letai, juga hambatan yang rencam dan pelbagai. Terima kasih Sifo Amiza. Anda banyak mengingatkan saya!

7 Februari 2006

Saya sungguh-sungguh terusik. Memikirkan masa depan penulisan saya. Bukan, saya tidak berniat untuk berhenti seketika. Cuma adakala majal idea bertandang, saya tak berkesempatan langsung untuk keluar dari 'kamar sepi' membawa pena dan cebisan kertas sambil berkitar-kitar seputar bandar Abas al-Aqad mengutib idea dan falsafah baru. Beberapa cerpen tersadai dalam Floopy A mahupun Floopy Mind!

Kadang-kadang anda menyangka saya sudah putus asa kerana saya masih belum 'lulus' dan tidak cukup handal menembus tembok editor. Putus asa moga dijauhkan. Mungkin kekecewaan sekadar terkepung di kuala hati. Untuk apa saya menulis? Siapa yang akan menilai gagasan dan tema yang saya angkat dalam setiap karya yang dipaparkan? Biarkan...masa dan keadaan akan menjawabnya.

8 Februari 2006

Saya diminta hadir ke mesyuarat Suara Kampus Edisi Gabungan(SEGA) bil-5. Saya belum pernah berkerja untuk SEGA setakat ini. Peluang yang diberi tidak saya sia-siakan. Saya diminta menjadi pembaca pruf. Berkerja dengan Ketua Editor, saudara Mohd Ariff Fadhillah dan Timbalannya saudara Ida Idayu dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga mencipta satu kelaian dalam mandala pengurusan yang cermat dan penelitian yang telus. Saya menghadiri mesyuarat tersebut bersama YIET yang mewakili DPM Tanta. Untuk kali pertama saya menekuni kertas kerja cadangan SEGA bil-5 yang sangat sempurna dari sudut perancangan, bidang tugas dan gerak kerja. Sukma kami memutik kagum dari benih semangat yang ditabur. Moga keikhlasan, kesabaran dan kesungguhan menjadi tunjang dalam katalis sidang editorial dan pelaksana.

12 Februari 2006

Saya dan YIET menghantar kak long ke airport. Malam ini malam terakhir kami berkumpul dan bertemu mata. Keadaan kesihatan saya agak kritikal sehingga kehibaan saat itu seolah terpinggir beberapa bentar. Menjelang tiga tahun saya tinggal bersama kak long sejak menghuni daerah Assofirah Beach, tambahan kami teman serahim. Banyak perkara saya pelajari darinya. Saling membakar semangat menuntut ilmu antara kami bahkan berkongsi kecenderungan dalam penulisan. Kak long bertanggungjawab menghela saya ke gapura penulisan ketika saya di tahun satu pengajian sesi 2002/2003 yang dibimbing oleh Saudara Mohd Nazmi Yaakob, Ahmad Tarmizi Ismail, Almarjan Yusuff dan Masrati Muhammad. Sungguh! Saya akan merasai kehilangan sepertimana saya lalui ketika kak long tinggalkan saya saat permusafiran ilmunya satu masa dulu. Bayangkan, segala perkara kami lakukan bersama, setiap keputusan kami capai sekata, tiap langkah kami jejak bersama, amukan amarah saling reda-meredakan, gembira derita dikunyah ditelan, tiba-tiba segalanya sirna dan berlalu. Anda tidak merasakan itu adalah kehilangan yang paling besar dalam hidup??? Malah!

Lakaran bait:-

Mentari bangkit mengeliat
Berguguran kemilau dedaun sinar
Aku dipagut keterharuan
Bibit kecewa kian mengental
Rasional kupintal bagaikan diurai

Angin timur bertiup kering
Aku melamun-lamun sendiri
Berkhayal duduk memunggah
Bongkah-bongkah memori silam yang klasik
Dan mimpi-mimpi puspawarna
Di zaman keharuman usia remajaku

Kehidupan umpama kanvas
Terpalit warna pelbagai citra
Kuladeni kronologi diari
Babak kehidpan yang dipentaskan
Bergentayangan
Berpilin-pilin tiap jihat

Pernah aku diterpa remuk rengsa
Benteng akalku punah digegar samudera lara
Aku meraba aur di tebing
Kandaku muncul tanpa kupanggil
Menyeka deraian derita biar tangisku lekas reda.

* Cik Ima, thank's for ur concern! I'm so appreciated that...



19 Februari 2006

Makluman kepada ahli HEWI BKMIP sekitar Kaherah dan Muhafazah (Mansourah dan Iskandariah)

Insya-Allah Unit Dakwah, Unit Pengetahuan dan Pendidikan, dan Unit Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI BKMIP akan mengadakan program MUKHAYYAM A'RABI bertemakan ' Al-Lughatul 'Arabiah Ilmul Lughah At-Tatbiqi' bertempat di Qanatir pada 21 Februari 2006 bersamaan 22 Muharram 1427H, hari Selasa. Pendaftaran sebanyak Pound Egypt 30 (tambang, makan, dan sisipan). Anda semua dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan ujana ilmu. Perjalanan program secara ditil boleh dirujuk kepada Pengarah Program, Tg. Ainul Farha Tg. Abd Rahman.

Antara objektif program yang disasarkan:-

-Mengeratkan ikatan ukhuwah dikalangan ahli HEWI BKMIP
-Memartabatkan Bahasa Arab dan galakan untuk berkomunikasi di dalam bahasa ini.
-Menambah perbendaharaan kata Bahasa Syurga dikalangan ahli
-Mencungkil dan menggilap bakat baru menerusi acara ilmiah dan sukan
-Menyemai semangat sayang dan cintakan BKMIP

- Proses pertama bagi bacaan pruf SEGA bermula hari ini.


Lakaran bait:

SELAMAT HARI LAHIR

(Syabun nasya'a fi ibadatillah/Pemuda pemudi yang membesar dalam beribadah kepada Allah)

Menyingsing tabir alam
Pagi nirmala bertatah suria cerlang
Ambalan langit nilakandi terbentang
Ropolan awan berarak malas-malas
Aku terkelintar memerhati sekeliling
Hari apakah ini?

Duha
Derai kokok jantan bersahutan
Ragam warna jalur kehidupan
Menganyam bilah pagi berseri
Senyuman itu enggan layu
Walau kerap diburu celaru

Aku
Kerap tewas merabakkan aspirasi
Masih setia mengental niat
Memunggah sesal menghumban lara
Biar jiwaku malar perkasa

Teman
Kalian ibarat andang
Sering mengocak tasik khayalan
Menghela aku melepasi dimensi maya
Biar aku berpijak dipaksi nyata

Selamat hari lahir diucapkan
Tanda penghargaan tidak berkurangan
Ingatilah pesanku ini
Amra jangan disangka kedondong
Prinsipmu jangan dituruti kiambang
Amal soleh bahtera penyelamat
Sedang dunia sang samudera ganas

Berteguhlah
Bertaqwalah
Walau dimana kalian berada
Meskipun keruh kondisi jiwa
Biarpun nanar memamah minda
Ia akan lesap, luput dan sirna
Bak kabut dilanggar kawanan angin TAQWA

- Dedikasi-
Selamat Hari lahir buat teman-teman yang menyambutnya pada bulan Februari, Mayna 5/2, Cik Ukashah 20/2, Zaki 24/2. Domo arigatou!

Khamis, Februari 16, 2006

Iron Lady. Saya Gemar Memesrai Rutin Wanita yang Punya Puluhan Kerjaya

"baca BH today. 3 anak dara saya masuk paper.hehehe." sms dari kak Nisah Haron.
saya reply,"tahniah! belum cukup umur dah laku! acik tumpang gembira!
Kak Nisah reply semula "alahai tumpang sibuk dlm gambar je. boleh baca dalam BH online juga."


Apa anda rasa setelah membaca artikel di bawah???


Keibubapaan:

Cabaran ibu bekerja
Oleh Fadzlena Jafar


Nisah Haron buktikan tanggungjawab sebagai peguam, penulis dan ibu kepada tiga anakDALAM dunia penulisan, nama Nisah Haron (gambar) cukup dikenali. Karya hebatnya seperti Mencari Locus Standi, Farris Putera yang Hilang dan Puisi untuk Esdyzuar serta beberapa cerpen yang sering tersiar di majalah dan akhbar berjaya menempatkan penulis berbakat ini sebaris dengan penulis sezamannya. Malah, karya beliau sering kali mengungguli pertandingan sastera yang diadakan. Tetapi apa yang menarik mengenai wanita yang berusia 33 tahun itu, beliau juga seorang peguam cara yang mengendalikan pelbagai kes membabitkan perundangan syarie dan sivil. Tidak hairanlah, beliau banyak menghasilkan artikel perundangan yang membincangkan pelbagai isu semasa.Kini, khabarnya Nisah sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan kepelbagaian bidang yang diceburinya, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana ibu muda itu membahagikan masa antara penulisan, pelajaran, kerjaya guamannya dengan rumah tangga.Apa tah pula, ketiga-tiga cahaya matanya baru berusia antara tiga tahun hingga enam tahun, kumpulan umur yang memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapanya. Pada pandangan mata kasar, Nisah bagaikan tidak mempunyai masalah kerana sehingga hari ini beliau masih tidak menggaji pembantu rumah."Bukan tiada masalah, tetapi saya perlu mengambil kira keperluan bapa yang tinggal bersama saya sejak pemergian ibu pada 1999. Memang saya sudah menetapkan, apabila berkahwinpun saya akan tinggal bersama ibu bapa kerana keluarga saya kecil, hanya dua beradik saja. "Jadi, saya bimbang bapa berasa tidak selesa jika ada orang lain di dalam rumah. Lagipun, selepas kelahiran anak sulung saya, Maisara pada November 2000 saya mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anak. Walau susah sekali pun, saya ingin anak membesar di bawah jagaan saya," katanya.Ketika itu Nisah masih berkhidmat di sebuah firma guaman di Seremban. Tetapi selepas berbincang dengan suaminya, Mohd Shukri Nasir dan mengambil kira pelbagai aspek, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan firma guaman sendiri bagi membolehkan beliau menjaga sendiri Maisara yang masih kecil.Pada 2001, Nisah & Co memulakan operasi. Dengan menjadikan rumah sebagai pejabatnya, Nisah bukan saja dapat menyiapkan kerja sambil memberi tumpuan kepada rumah tangga, bahkan berpeluang bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan luar khususnya membabitkan dunia kesusasteraan.Tidak cukup dengan itu, Nisah dan suami membuka satu lagi bidang perniagaan iaitu Ujana Ilmu yang menjual pelbagai buku ilmiah secara talian. Namun, bagi memastikan setiap bidang yang diceburi berjaya, mereka mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan secara individu."Saya menguruskan firma guaman, manakala suami pula perniagaan buku. Kedua-dua bidang itu kami uruskan dari rumah. Bagi saya apabila ada firma sendiri di rumah pula, saya bebas memilih waktu untuk bekerja. Kadang-kadang, pukul 12 tengah malam pun saya akan buka pejabat. "Malah, pernah juga beberapa kali pelanggan datang berbincang mengenai kes mereka pada waktu malam, jadi waktu saya sangat fleksibel. Tetapi, kini apabila saya menyambung kembali pelajaran saya mengurangkan pelanggan, mungkin antara empat hingga lima kes sebulan," katanya yang mengakui beruntung mempunyai suami yang sangat memahami. Beliau juga bersyukur bukan saja suaminya banyak membantu mengurangkan beban pejabat, bahkan turut mengambil inisiatif untuk belajar cara menguruskan anak khususnya kanak-kanak kecil yang memerlukan perhatian teliti.Bagaimanapun, sejak dulu lagi Nisah berkata, beliau dan suami akan berkompromi menjaga anak dan mereka akan memastikan salah seorang berada bersama si kecil. Umpamanya, sekiranya beliau mempunyai tugasan di luar, suami akan berada di rumah dan begitu juga sebaliknya.Ketiga-tiga anaknya yang dilahirkan dengan jarak kira-kira setahun setengah memberi kelebihan kepada Nisah kerana seperti katanya, mereka membesar bersama. Justeru, setiap kerja dapat dilakukan sekali gus dan penatnya hanya dirasakan pada waktu itu saja."Cabaran utama sebagai ibu ialah bagaimana hendak kawal emosi terutama apabila kita penat, anak pula buat hal. Maklum saya terbabit dalam pelbagai bidang pada satu masa Ada kalanya perasaan marah itu tidak dapat dikawal juga, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengawal emosi."Jadi, saya mengambil pendekatan mudah - menyiapkan kerja apabila anak sudah tidur, sama ada tidurkan mereka lebih awal atau bangun awal pagi. Lagipun apabila mempunyai syarikat sendiri, masa berpihak kepada kita. Kita boleh bekerja pada bila-bila masa tanpa mengabaikan anak," katanya.Berbeza dengan kebanyakan ibu yang melarang anak mereka daripada menonton televisyen terutama program kartun, Nisah pula memberi galakan selepas melihat perkembangan bahasa si kecil yang semakin meningkat terutama Maisara yang kini mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.Malah, sejak kecil lagi beliau sudah menghadiahkan buku untuk si kecil bagi memupuk minat untuk membaca meskipun pada usia yang terlalu muda itu mereka masih belum boleh membaca dengan fasih. Baginya, dengan cara itu si kecil akan lebih terdedah kepada alam pembelajaran meskipun ketika ini minat mereka lebih sekadar melihat gambar dalam buku berkenaan. Mengenai masa depan si kecil, Nisah berkata, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk menentukan haluan sendiri sama ada mewarisi perniagaan suaminya ataupun firma guamannya. Malah, jika si kecil menunjukkan minat terhadap bidang yang tidak berkaitan sekalipun beliau akan tetap menggalakkan.

PROFIL:Nama : Nisah HaronTarikh lahir: 20 April 1973Asal: Seremban, Negeri SembilanPendidikan: Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Kebangsaan MalaysiaKerjaya: Peguam, penulis, usahawan (laman web: www.nisah.cjb.net)Suami: Mohd Shukri NasirAnak: Maisara (6), Suhaila (5) dan Insyirah (3)

Isnin, Februari 13, 2006

Lewat Komentar e-Sastera

Menyitir responsif mereka...
1-MuhdZakir-FaizahAzaman:Kunang-Kunang Lantera adalh terbaik, memperkatakan mengenai pertentangan teori-teori barat/orientalis yang menyesatkan dogma pemikiran/akidah manusia..teori orientalis secara perlahan-lahan menarik orang Islam untuk melupakan Allah SWT secara diam...tahniah, penulisan akademik/intelektulisme begini amat dialu-alukan.
2-ainul muaiyanah -kagum dengan ideanya
3-abdullatip-menarik cerpen ini.
4-anjang-hebat bahasa yang disusun oleh penulis menjadi sebuah cerpen yang menarik..tahniah!
(sumber: e-sastera)
Untuk memesrai sastera kunjungi laman e-sastera.com. Rasai gegarannya!

Berlari Merempuh Hambatan dan Masa...

KUNANG-KUNANG LENTERA

Oleh Faizatul Herda Mohd Azaman

SATU

TIBA di lapangan terbang Charles de Gaulle, aku disambut hububan angin sendalu yang dingin. Suhu dikhabarkan 5 darjah Celcius. Bimbang otot betis kejang kebekuan lantas menahan teksi ke hotel. Tambangnya kali ini terasa mahal lantaran Perancis menggunakan matawang Euro, kira-kira ganda lima nilaian ringgit. Menginap di Hotel de Amour mengingatkan aku pada pertemuan silam. Titik-titik memoriku seakan berserakan dan cuba bergabung lalu membentuk dua perkataan, Cleo Sandra. Ya, itulah namanya. Cleo Sandra!

DUA

Serasa tubuh letah-letai 3 hari berturut-turut membuat liputan penyertaan Perdana Menteri ke satu persidangan antarabangsa mengenai biodiversiti. Segala maklumat dan rakaman masih belum disunting. Laporan lengkap perlu dihantar sebelum jam 8 malam ke ibu pejabat. Ah, segala maklumat hanya perlu diattach ke alamat abroadnews@newsdesk.com bermakna tugasku beres untuk hari ini. Kukecap makan malam di depan komputer riba. Waktu begitu suntuk, mengunyah sambil menaip dipersahabatkan. Enaknya makaroni bakar bersama keju mozzarella!

Telefon bimbit berbunyi mohon panggilan dijawab...
Sambungannya akan dipaparkan usai muktamar PMRAM ke 73. Saya ingin berkisah peristiwa sedih dan tugasan terkini. Apakan daya, tulisan tersebut terpaksa ditangguhkan. Saya akan kembali, pasti!