Jumaat, Oktober 22, 2010

Apabila Kita Beroleh Gelaran Mulia (Ibu atau Bapa)


Selesai membayar deposit rumah dan menandatangani perjanjian sewa, saya sempat berbual-bual santai dengan tuan rumah kami yang sangat bertimbang rasa dan memudahkan banyak urusan saya. Panggilan dari abah masuk, selesai menjawab salam, abah pun mula berceloteh. "Angah, cepatlah balik, Nabilah tak boleh harap. Cuci pinggan pun malas....bla...bla...bla. Janji saya, "Angah sedang berurusan dengan tuan rumah. Esok sudah boleh mula mencuci rumah. Paling cepat angah balik Rabu depan, atau saja Jumaat pagi." Sedang berbual-bual talian terputus. Barangkali saja bateri telefon bimbit abah lemah. 

Saya tersenyum sendiri. Menyebak memori ketika saya kecil. Kami tinggal berdekatan rumah nenek sebelah bunda. Sejak kecil kami diajar mencintai orang tua. Hanya adik-beradik saya yang menyentuh arwah aki dan wan. Dari mengurut, memotongkan kuku, memandikan dan menyikatkan rambut mereka. Sekali-sekala kami datang membersih dan mengurus rumah wan. Wan suka sekali menikmati masakan saya. Ia membuatkan saya terharu, kerana wan sangat cerewat dan tidak suka masakan orang! Seperti biasa, jika anak-anak wan pulang dari KL biasanya wan akan menceritakan kenakalan kami, mengomel bunda yang selalu sibuk dengan anak-anak yang masih kecil dan tidak sempat ke rumahnya. Kami dengar segala aduan yang kadang-kala diceritakan di depan hidung kami. Aneh, kami tidak pula berkecil hati. Rutin ke rumah wan kami lalui seperti biasa. Berkhidmat untuk wan dan aki kami teruskan tanpa rasa sebal di hati.

Sekarang, abah dan bunda pula begitu. Jika saya pulang, macam-macam perihal yang diadukan. Apabila saya berlama-lama di rumah ada pula yang tidak kena. Andai saya berjauhan, segala kebaikan saya, abah dan bunda kenang dan perikan kepada adik-adik. Bagitulah juga situasi yang dialami oleh adik-beradik saya yang merantau. Kadang-kala, anak-anak wajib menjadi pendengar yang baik walaupun sering dikritik. Namun, sayang dan kasih ibu bapa kita masih telus menilai kebajikan yang kita laburkan kepada mereka. Aduhai, siapalah saya tanpa abah dan bunda?!


Tiada ulasan: