Jumaat, Ogos 06, 2010

Pilih-pilih Tebu, Jangan Sampai Terpilih Teberau~Bunda Faridah

Saya didatangi seorang teman cilik yang sudi menjadi ‘Miss Match Maker’. Sudah tentu saya hargai usaha dan keprihatinan sahabat comel ini. Saya disuguhkan calon yang secara peribadinya saya tidak mengenal rapat. Cuma, pernah terserempak beberapa kali.  Dan, saya terbau asap rokok yang likat ketika berselisih. Aroma rokok buatkan saya rasa ‘mual’ dan ‘pening’. Sungguh, saya alah dengan bauan itu.  Ia boleh membuatkan saya sakit kepala sepanjang hari.  Ada juga kata-kata saya tersilap tafsir si penanya yang menelinga, kenyataan saya, “Saya kurang senang lelaki yang berbau asap satu badan,” BUKAN “Saya tidak menyenangi lelaki yang kelabu asap”. Sedang Tuhan menyintai hamba-Nya dengan menilai hati dan darjah ketaqwaan mereka, tidak layak pula saya melihat kelabu asap, sawo ‘separa’ matang atau hitam si tapuk manggis untuk menilai calon soul mate.

Alahai, saya hanyalah seorang wanita yang kerdil kudrat dan tiada kuasa mencari pasangan sendiri. Saya cuma berhak memilih calon yang sesuai dan ‘click’ menjadi sayap kanan sepanjang perjalanan menuju Negeri Abadi. Malah, saya disalahanggap masih single kerana ‘terlalu memilih’ dan ‘jual mahal’. Jawab saya mudah, saya hanya berpeluang untuk memilih, kerana saya tidak mampu mencari seperti peranannya seorang pria. Saya juga jual mahal kerana jualan murah hanya di ‘mega sale’.

Kalau dipanjangkan kepada abah dan bunda, sudah pasti dipersoal dari sudut kafaah. Pertama yang digariskan, seharusnya sefikrah bagi memutikkan persefahaman dan persepakatan yang seimbang dalam sebarang keputusan dan perjuangan,  latar belakang pendidikan yang setara turut diteliti agar tiada yang ketinggalan isu di pucuk rumput sedangkan pasangan sudah terbang ke angkasa raya, punya pekerjaan yang stabil , rajin, tolak-ansur, sabar, tawakal dan bukannya  sampai suatu masa si isteri terpaksa ‘memelihara biawak hidup’ kerana pasangannya malas bekerja. Penilaian terakhir, harus saja beradab, menghormati dan mengasihi ibu bapa mertua seperti kasih dan sayangnya terhadap ibu bapa sendiri. Aduhai, calon menantu yang menghampiri sifat anbia’! Aduh, wanita…harus selalu taqarrub dan berusaha meneladani wanita yang akrab dengan Tuhannya untuk menggapai hajat melangit.

Pernah suatu ketika saya didatangi seorang ’Ustaz’ yang menawarkan  seorang calon seperti dia menjual pakaian di pasar minggu! Oh, saya bukan janda untuk tawar-menawar dan mudah-mudah pula untuk bersetuju. Saya cukup berhati-hati untuk membuat pilihan, harus selektif. Pun, saya lebih senang berambi memilih pasangan. Biar ‘lambat’ asalkan tepat.  Kerana ‘dia’ akan menjadi teduhan yang menjaga kebajikan saya, sayap kanan yang menemani perjuangan ‘kami’ untuk menegakkan Daulah Islamiyyah, gedung ilmu yang menghimpun perbendaharaan hikmah dan murabbi kepada zuriat kami.

Kalaulah orang kata saya memilih tebu, saya akuinya. Ya, saya memilih tebu di celah-celah teberau yang merimbun. Sampai bila? Sampai doa saya dijawab dari langit! 


8 ulasan:

srirahayumohdyusop berkata...

Salam Faizah,

Tahniah kerana membincangkan isu sensitif masa kini tanpa ada rasa kepahitan atau menjadi defensif. Jodoh di tangan Tuhan. Apabila ditanya kenapa belum kahwin harap dapat bersabar. Tiada orang yang mati kerana solo. Tapi yang mati kerana berkahwin ada beberapa kes. Allah juga yang maha mengetahui.

Faizah Azaman berkata...

Wasalam Kak Sri,

Ya Allah, terujanya saya! Dah lama saya mencari blog pengarang kegemaran saya ini! Suka sekali kerana akak sudi menyinggah 'mencemar duli'. Saya ok kak...sebab saya yakin, Allah berikan apa yang kita perlu, benar-benar perlu! Cepat atau lambat, manusia dicipta juga berpasang-pasangan. Yang berharga dan 'mahal' bukan percuma!

hafizah berkata...

Salam...
Saudari Faizah... menarik entri ni.
Ramai lagi yang senasib diluar sana. Jangan peduli kata-kata orang lain. Moga saudari ditemukan dengan seseorang yan sefikrah dan click dengan saudari. Insya Allah

Faizah Azaman berkata...

Wasalam Hafizah,

Terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak. Ameen ya Rabb, moga doa itu juga untuk saudari!

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Kak Faizah

Betul kata Kak Faizah tu. Pada pendapat saya, tidak salah berkahwin lambat asalkan pilihan jodoh itu tepat untuk kita dunia akhirat..

Faizah Azaman berkata...

wassalammualaikum warahmatuhu wabarakatuh.

Laila, ia hanya pendapat setelah jenuh melalui denai 'hidup'. Cocoknya kita pilih yang 'tepat'. Biar lambat asal tepat, dlm mbuat pilihan 'tebu' yang manis2, jgn terpilih teberau! Pesanan orang tua yang harus diambil kira :-)

manajanjimu berkata...

PELIK sungguh sipemilih, Ajaibnya sihamba yg tawadzuk,
'wanita yang kerdil kudrat dan tiada kuasa mencari pasangan sendiri' adakah dia terlupa QUDRAT MAHAKUASA pada istiqarah wal hajah.......

jangan buat sekali, sekurang2 tujuh kali, selepas tahajjud......

manajanjimu berkata...

PELIK sungguh sipemilih, Ajaibnya sihamba yang tawadzuk,
'wanita yang kerdil kudrat dan tiada kuasa mencari pasangan sendiri'

Terlupa ia agaknya QUDRAT MAHAKUASA pada istiqarah wal hajah......

jangan sekali, sekurang2 7 kali selepas tahajjud...insyallh