“Pengulangan dalam Mahabbah memerlukan konsentrasi ketika mengulitinya, maklum saja jika bilah-bilah usia telah menjadikan Mahabbah begitu. Barangkali saja akak hanya bertahan sehingga halaman 40 atau sekitar halaman 75 dan sesudah itu pasti saja terasa berat mendampingi karya sebesar Mahabbah.”
Dengan rasa kasih dan sayang kepada Pencipta yang memberi rasa dan cinta kepada Pengarang untuk menggarap karya sebesar Mahabbah membuatkan saya masih bertahan mendampingi Mahabbah sedari pulang dari pejabat sehingga saya terlena merangkul mahabbah di sisi sebelum dikejutkan teman sebilik seusai dilaung azan Maghrib. Setelah menyeluruhi naskhah ini sehingga laman ke-44 saya masih segar, masih teruja mengenal tokoh Endar yang punya Mahabbah agung kepada al-Khaliq. Ya, hidup adalah perjalanan. Umpama perjalanan air yang asalnya titis-titis hujan lalu berkumpul menujah lurah, bukitan, gunung-ganang sehingga terpokah lereng-lereng kental dan mengalur menjadi sebatang sungai sebelum diasinkan di laut segara. Analogi pengarang mengingatkan saya kepada syair Perahu, Hamzah Fansuri yang tinggi nilai estetika, apa lagi nilai tauhid yang agam dan keluhurannya.
Shahnon Ahmad istimewa sekali di mata saya. Selain kekuatan bahasa, perbendaharaan kata yang luas, beliau juga menulis dari pengalaman yang karib sekali dengan denai hidupnya sebagai hamba yang Mahabbah kepada makhluk dan Khaliqnya. Justeru, saya melihat Mahabbah dari sudut yang tepu nilai-nilai tauhid sehingga saya terhantar ke daerah Endar yang berfalsafah dengan alam sehingga terjalin unsur ketuhanan dan isinya secara realistik, seni dan misteris. Perihal sam’iyyat diulas sederhana, sebagai peringatan kepada penikmat Mahabbah. Saya teruja sekali dengan para pertama halaman 42, ‘Terhenti separa perjalanannya dengan su’ulkhatimah penuh kehinaan, bertakahkan saf-saf asfala safilin; bukan tamat dengan husnulkhatimah bertakahkan ahsanu taqwim.’
Aduhai, ‘penghabisan yang baik’ bukan sekadar dambaan makhluk yang meniti bilah-bilah senja, bahkan ia lebih tinggi nilainya jika dihadam sedari usia pucuk tatkala dikucup cahaya duha yang hangat; pasti perencanaan rapi ke arah husnulkhatimah jika Mahabbah diraih sedari usia menunas. Ketokohan Endar benar-benar menyentuh nubari manusia yang punya rasa manusiawi! Saya melihat seorang Shahnon di sebalik selubung Endar.
Laman 51-52 benar-benar memaknakan saya sakinah yang hakiki. Ia seperti penawar yang diturunkan dari langit, mengawetkan segumpal darah sehingga gumpalan itu hidup dan melatih armada tersendiri mendepani bala tentera mazmumah sama ada yang ghaib atau nyata. Alangkah, Mahabbah!
Saya yang masih meladeni Mahabbah sesekali menjeling ‘Kembara Seorang Hamba’ yang mengoda ghairah akal saya setiap kali saya mengisar duduk setelah mengampu Mahabbah beberapa ketika. Saya meriba Mahabbah dan membelek KSH bermula dari halaman belakang. Saya membaca Dedikasi; Khusus untuk memperingati bapaku, gemulah Haji Ahmad b. Haji Bakar yang meninggal dunia pada 14 November 1981. Juga khusus untuk memperingati ibuku, gemulah Hajah Kalthum bte Haji Mohd Saman yang meninggal dunia pada 22 Februari 1990. “Ya Allah, cucurilah cahaya-MU dan rahmat-Mu ke atas kedua gemulah ibu bapaku yang sedang menunggu hari perhitungan di alam barzakh dan seterusnya dalam perjalanan menuju ke alam keabadian.” Nah, doa ini saya temukan juga dalam naskhah Mahabbah. Saya temukan lagi sesuatu di dalam naskhah KSH-Tinta Penulis, …’Baru-baru ini, beliau tiba-tiba menghidap sejenis penyakit yang agak ganjil iaitu nama saintifiknya, Myasthenia Gravis. Ia merupakan sejenis penyakit antibodi yang menyerang segala otot dan tenaga di seluruh badan sehingga daya tahan dan daya rasa menjadi lemah longlai tidak bermaya hingga menyebabkan sukar untuk bercakap, sukar untuk menelan dan mengunyah, sukar untuk bernafas dan sukar untuk meludah.’ Masya-Allah, penyakit yang sama dideritai Endar, tokoh peneraju Mahabbah! Saya sebak, mahu menangis. Serasa simpati yang berbuah lebat empati. Saya rasa kuat untuk menyelami Mahabbah, kerana ia likat gagasan Tauhid, suara peribadi seorang sasterawan yang saya sanjung. Justeru, karyanya menjadi inspirasi sepanjang saya melalui dunia kepengarangan. Entah kenapa saya ingin menghubungi teman yang menetap di Kedah, mana tahu dengan bantuannya saya bisa menziarahi ikon sasterawan negara yang saya kagumi sedari zaman remaja.
Mahabbah selayaknya dinobat Pemenang Ketiga Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP sekalipun Mahabbah menawarkan lebih daripada Mahabbah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan